Pages

Saturday, September 14, 2013

Pengenalan dan Konsep Pembinaan Persekitaran Bilik Darjah yang Mesra Budaya.

  Pengenalan dan Konsep Pembinaan Persekitaran Bilik Darjah yang Mesra Budaya.           

Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya melibatkan suasana pembelajaran dalam bilik darjah menjadi kondusif untuk murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa (2013) dalam bukunya yang berjudul Budaya dan Pembelajaran, beliau mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang dinamik dapat mencapai objektif ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Lemlech (1998 dalam Syed Ismail Syed Mustapa, 2013) menjelaskan bahawa pengurusan bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan. Ini bermakna bahawa ia merupakan satu proses yang melibatkan penyertaan dan kerjasama daripada semua ahli bilik darjah untuk mencapai sesuatu objektif dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Mesra membawa erti keselesaan, keceriaan, dan kegembiraan. Mesra boleh wujud apabila perhubungan sesama manusia terjalin berdasarkan nilai-nilai murni dan ia dapat meningkatkan persefahaman, toleransi, dan saling hormat menghormati. Perkataan budaya pula dikatakan berasal daripada perkataan Budhi (Sanskrit) dan Daya (Melayu) yang membawa maksud kecergasan fikiran akal budi dan kekuatan kuasa, tenaga, dan pengaruh. Maka ia bermaksud budaya merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan, tenaga, dan akalnya untuk meningkatkan kecergasan akal supaya dapat menangani masalah. Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim (dalam Syed Ismail Syed Mustapa,2013) budaya adalah tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
            Budaya melibatkan cara hidup manusia yang melibatkan kepercayaan, agama, adat resam, bahasa, ekonomi, politik, dan sebagainya. Dalam sesebuah bilik darjah terdapat murid-murid yang terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit, agama, dan daerah. Menurut Abdul Halin Hamid (2003) dalam bukunya Mengenali Institusi Sosial mengatakan bahawa terdapat tiga kesan elemen penting budaya ke atas sesebuah sekolah iaitu kepercayaan, nilai, dan norma berkaitan dengan persekolahan. Beliau turut mengatakan bahawa setiap masyarakat mempunyai nilai tertentu berkait dengan sekolah.
Pengurusan bilik darjah turut melibatkan proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah, dan mengawal yang melibatkan guru dan murid-muridnya. Pengurusan bilik darjah yang berjaya dapat menghasilkan pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial. Selain itu pengurusan persekitaran fizikal bilik darjah juga adalah penting agar ia dapat memberikan keselesaan dan membantu penghuninya menghadapi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Antara peralatan asas yang diperlukan dalam sesebuah bilik darjah ialah papan putih, papan kenyataan, meja, kerusi, bahan bacaan, bahan bantu mengajar, dan sebagainya. Ia perlu disusun dan diletakkan dengan baik untuk memberikan keselesaan, keceriaan, dan kekemasan bilik darjah.
Selain itu, peraturan bilik darjah yang berpandukan pekeliling dan peraturan sekolah dapat membantu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa dan mesra. Walaubagaimana pun, guru perlu memastikan agar ia bersesuaian dengan pelbagai budaya murid-muridnya.
Pengurusan sosio-emosi juga adalah penting bagi merangsang dan mengekalkan minat murid untuk terus kekal bermotivasi bagi menghadapi pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan untuk menguruskan emosi murid dengan berkesan agar mereka tidak berada dalam situasi yang membimbangkan semasa berada di dalam kelas.

Kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan murid perlu disesuaikan dengan situasi pembelajaran. Murid perlu mengetahui dan menghormati agama dan adat etnik murid yang lain. Persefahaman antara murid yang terdiri daripada kelompok etnik yang berbeza dapat mengelakkan perkara-perkara negatif seperti pertentangan.

1 comment:

Unknown said...

TERIMA KASIHHHHHH, SANGAT MEMBANTUU...SEMOGA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN

 
Images by Freepik