Pages

Saturday, December 31, 2011

Entry akhir tahun ini

Assalamualaikum..
hai,..
Alhamdulillah sebelum sempat menjengah ke tahun 2012, aku dah berjaya mengubah susun atur perabot di ruang tamu dan bilik tidur.. hmm.. baru la dapat tukar mood baru ckit. x la bosan sgt, asyik memandang mende yang sama di tempat yang sama je..

Tahun baru yang bakal menjengah lagi beberapa minit je lagi ni maka bermaksud aku pun akan bakal berusia 22 tahun.. oh 22 tahun rupenyer. Bermakna aku makin meningkat dewasa dan perlu lebih bersikap matang dan menjadi lebih lagi bertanggungjawab. Sedih ke umur makin meningkat? x.. tapi hepy sebab itu bermakna tempoh aku belajar pun makin berkurang.. maka setelah ditolak tahun 2012, tinggal lagi 2 tahun je lagi pengajianku..

Harapan aku ditahun baru ni, aku akan menjadi lebih baik dari sebelum2 ni dan aku juga harap aku dapat sesuatu yang diigini.. Apa dia??.. ada la.. hehe.. kalo cakap, takut lau x dapat or x jadi, sediyh n malu plak..

hmm.. ok la minta diri dulu.
Bye dan Assalamualaikum..

Thursday, December 29, 2011

formspring.me

Ask me anything http://www.formspring.me/nidapink90

Wednesday, December 28, 2011

Hidup ini
boleh menjadi indah
jika kita pandai 
mengindahkannya
dan
mewarnakannya 
dengan warna-warna
yang 
ceria

:)

Wednesday, December 21, 2011


I 
know
who 
i
am

Wahai hati, bersabarlah dikau menghadapi dugaan hidup ini..
Memang kadang2 kita tertanya tanya,
mengapa dugaan sebegini, kesakitan ini, kesusahan ini, keperitan ini, kepedihan ini yang seringkali aku dapat.

Kata orang kadang2 Allah berikan ujian kepada hamba2 Nya kerana Dia sayang kepada hamba Nya,
Allah akan berikan dugaan kepada hamba-hamba Nya setakat mana yang hamba Nya mampu menghadapinya.
Kadang-kadang juga Allah berikan dugaan kepada kita agar kita sentiasa mengingati Nya dimana kita ini  sering alpa dan lalai dalam mentaati Nya.

Dr M pernah kata, Melayu mudah lupa. Ya, sebagai manusia kita memang kadang kala sering lupa dengan kesenangan dan keseronokan dan kebahgiaan yang kita peroleh di dunia ini hingga lalai dalam menurut perintah kepada Allah.
Kadang-kadang kita sering abaikan peluang yang sering Allah berikan kepada kita untuk bertaubat,untuk beribadah, dan berbuat baik sesama makhluk Allah.
Kemudian bila kita dalam kesedihan, kesusahan, barulah kita ingat dan kembali semula kepada Allah. Merancang memang mudah. Hendak laksanakannya kadang kala banyak dugaan dan rintangan yang dihadapi. Jika kita mahu mendapat keredhaan Allah, maka perlulah kita berusaha ke arah itu.

Kadang2 memang aku berasa sedih, patah hati, kecewa dalam hidup. Memang kita x boleh nak puaskan hati sendiri sentiasa dan memang kita tak mampu nak senangkan hati semua orang. Tapi aku tetap mencuba untuk kearah itu. Aku cuba menjadi seorang yang memahami, prihatin, aku cuba bersangka baik , aku cuba segalanya tapi kadang2 aku merasakan aku tidak dapat setimpal dengan apa yang aku lakukan. Kadang2 aku rasa lebih teruk berlaku pada diriku. Sampai bila ia harus berlaku? Mengapa? Mengapa aku rasa macam aku je yang sesak2 fikirkan untuk menjaga hati dan mengenang orang lain? Ya, memang aku pun hamba Allah yang punya kekurangan. Aku pun banyak berbuat salah dan melukakan hati dan perasaan orang. Aku minta maaf. Mungkin itulah balasannya.

Mungkin benar Allah memberikan ujian, dugaan, kesedihan, dan kekecewaan pada diriku kerana ingin aku menjadi hamba Nya yang lebih sabar, baik, mentaatiNya dan lebih mengingati Nya. Mungkin benar, Allah benar2 menyayangiku kerana itulah Dia memberikan ujian dan dugaan itu kepada ku. Mungkin kebahgiaan sebenar bukan milikku selamanya didunia ini.

Allah itu maha mengetahui. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk diriku dan mungkin rezki ku, hidupku dimasa akan datang adalah lebih baik dari sekarang.. tiada siapa yang tahu melainkan Dia Yang Mutakabbir


Sunday, December 18, 2011

Bila kita bersahabat......................

Hai,.. Assalamualaikumwarahmatullah..

hmmm...dah berapa lama aku x update blog nie. Malam ni rasa nak update sesuatu tapi x pasti nak tulis pasal apa. Tiba2 terdetik lak dihati mengenai persoalan sahabat.

Aku yakin, korang semua mesti ada ramai kawan. Tapi dalam banyak2 kawan tu tak semestinya semuanya dapat menjadi sahabat kepada kita? Ada beza ke?.. Bagi aku ada bezanya antara kawan dengan sahabat itu.

Sahabat tu bagi aku, kawan yang betul2 boleh dianggap kawan yang sejati. Yang sentiasa ada untuk kita dalam apa jua keadaan kita disaat senang atau susah. Kadang2 dia tahu je bila kita dalam keadaan susah dan sedia membantu kita walaupun kita tidak memintanya.

Tapi, sebelum tu adakah diri kita sendiri itu dikira sahabat yang baik juga? Jika kita mahukan sahabat yang sebegitu, kita patut jadikan diri kita sendiri sebagai seorang sahabat yang sejati juga. Perlu ada saling 'give' and 'take'. Faham tak apa yang saya maksudkan?

Dalam persahabatan, kita tak boleh ada sikap mementingkan diri sendiri. Bila disaat kita memerlukan dia, kita boleh je ajak dia teman kita,kesan sini, dengar masalah kita, luahan kita. Tapi bila tiba giliran dia pula, kita tidak ada disisinya. Kita lebih mementingkan hal lain yang dikira boleh ditangguhkan dahulu dan memberi kepentingan kepada diri kita. Adilkah begitu?

Dalam persahabatan juga kadang2 kita ada terlajak kata dan bergurau secara berlebihan. Jika kita sedar, sebaiknya kita memohon maaf lah kepada sahabat kita itu dan cuba elakkan dari mengulanginya lagi. Dalam SMS juga, ayat tu walaupun ringkas tetapi biarlah bersesuaian dan tidak menimbulkan salah faham dan boleh melukakan hati. Jika mahu meminta sesuatu atau  berjanji temu dengan sahabat jika boleh sila gunakan perkataan yang sesuai seperti 'boleh tak kalo kita...' atau ' tolong.....'  atau   ' kalo kita...........boleh tak/ok tak?'   atau  ' jom kita................'     Jangan terus menggunakan perkataan seperti  ' kita pergi makan jam 8 ni'  /   'datang sekarang'  .. ia kelihatan seperti suatu perintah atau arahan. Sesetengah orang, mereka tidak suka begitu dan terasa seperti diarah2 kan. Tetapi jika sahabat kita itu seorang yang memahami dan tidak kisah sangat mungkin tidak mengapa tetapi sebaiknya elakkan lah. Bukankah hati sahabat perlu dijaga?...

Bila sahabat kita berjaya meraih sesuatu kemenangan atau tiba hari istimewanya  ke atau dia ceritakan sesuatu yang menggembirakannya ke, kita boleh gembirakannya. Tunjukkan muka yang ceria, tunjukkan kita juga turut berkongsi rasa gembira itu dengannya dan tunjukkan keterujaan kita. Berikan kata2 yang bersesuaian. seperti ' wah, seronoknya beruntunglah kau'  ,  'wah, tahniah la kawan. aku pun tumpang gembira gak untuk kau'  , 'yeke, mesti cantik baju baru tu, tengok2! ' . Janganlah buat tak tahu je dan diam seolah olah tiada apa2 berlaku pada hari itu. Dia pasti turut gembira dan senang hati. BUkankah kita turut mendapat pahala jika menggembirakan hati orang lain?..

Dan lagi satu, jika boleh janganlah terlalu memendam atau kurang berkongsi cerita atau luahan perasaan kepada sahabat kita itu. Dalam bersahabat, sahabat kita itu sedikit sebanyak sudah tentu mahu mengetahui apa saja yang berlaku dalam hidup kita mahupun sesuatu yang menggembirakan atau yang menyedihkan. Bukan bersifat penyibuk tetapi pasti dia akan berasa lebih dihargai dan diperlukan apabila kita sering berkongsi cerita dan saling berkongsi rahsia dengannya. Walaupun kadang kala sahabat kita itu mungkin tidak mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi  tetapi, sudah pasti sebagai orang yang dekat dengan kita selain family kita wajarlah dia mahu mengetahui apa yang berlaku dalam hidup kita. Bagaimana perasaan anda sekiranya sesuatu telah berlaku pada sahabat anda itu tetapi kita mendengarnya daripada mulut orang lain yang kurang rapat dengannya? sedangkan kita lah sahabatnya yang sering bersama dia saban hari? tidak pula dia bercerita dengan kita.. sudah pasti berasa kecil hati, tersinggung, dan rasa seperti tidak dihargai..


Walauapa pun, dalam bersahabat sikap saling memahami, bertolak ansur, saling mempercayai, jujur, dan saling memafkan itu adalah penting sekali. Jika tidak mungkin kita akan banyak berlaku perbalahan dan berlaku lah seperti sikap duri dalam daging. Jangan sesekali menikam sahabat kita dari belakang. Jangan sebarkan aib sahabat kita itu. Sedangkan kita sendiri pun ada aib dan kelemahan tersendiri. Mengapa perlu nak sebar2 kan aib orang lain?.. Jika sahabat kita berbuat salah tegurlah secara baik dan berhikmah. Jangan sesekali memandang rendah dan memperkecilkan sahabat kita. Kadang2 kita tak tahu pun sebenarnya sahabat kita itu mempunyai sesuatu ilmu, kemampuan dan kelebihan yang tidak kita jangkakan. Mungkin selama ini dia menyembunyikanya, atau tidak pernah berpeluang menunnjukkannya. Siapa tahu kan..

Baiklah rakan2 diluar sana, bersahabatlah dengan insan yang benar2 bergelar sahabat. Pilihlah sahabat yang boleh membimbing diri kita ke jalan yang baik


Jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak bauan wangi tu pasti ada terlekat sedikit pada diri kita,


Tetapi jika kita berkawan dengan tukang besi, sedikit sebanyak pun , percikan besi itu kotorannya, debunya pasti ada terlekat sedikit pada diri kita..


Ada faham ka?


:) Wassalam...

Monday, December 12, 2011

Ku Ingin Petik Bintang Di Langit. Bolehkah?! tercapaikah impianku itu?!

Pernah x korang terpikir,
kenapa kadangkala atau seringkali atau sememangnya
kita tidak dapat apa yang kita inginkan, kita idam-idamkan dan yang kita angan-angankan?..

Kadangkala kita berasa kecewa,
berasa sedih,
dan tertanya tanya.
Mengapa kita x dikurniakan dan diberikan apa yang kita inginkan,
yang kita mahukan,
yang kita idam-idamkan itu?..

Mungkin kita hanya sekadar mampu berangan-angan,
atau hanya memilikinya didalam mimpi.

Sekiranya semua itu berlaku pada diri kita,
berusahalah untuk menggapainya sekiranya mampu dan ia muhasabah.

tetapi,

seandainya ia agak mustahil untuk digapai,
fikir-fikirkanlah,
hidup didunia ini
tidak selalu Allah berikan semua yang kita impikan,
kita semua tidak dijadikan dengan begitu sempurna tanpa cacat cela oleh Allah.

Ketahuilah, 
masing-masing dikurniakan oleh Allah dengan kelebihan dan rezeki masing-masing,
yang tidak sama dimiliki oleh semua orang.

Tak semua perkara yang kita inginkan itu adalah yang terbaik untuk kita.

Mungkin ada perkara lain yang lebih baik dijadikan untuk kita,
tetapi,
tidak dimiliki oleh orang lain walaupun orang tersebut memiliki apa yang kita inginkan.
Mungkin juga apa yang orang lain tidak miliki itu
adalah menjadi milik kita.

Ingatlah kehidupan kita di dunia ini adalah tidak kekal abadi.
Maka janganlah terlalu memikirkan
dan
berasa sedih dengan apa yang tidak dapat kita perolehi di dunia ini.

Bersyukurlah dengan apa yang dikurniakan Allah kepada kita.
Berpijaklah dimuka bumi yang nyata.

Elakkan berasa terlalu taksub dan kagum kepada sesuatu yang terlalu kita inginkan
tetapi
sukar
dan
mustahil
untuk kita gapai.

Ia akan menjadikan kita tidak bersyukur dengan apa yang kita miliki pada hari ini.

Fikir-fikirkanlah...

Sunday, November 27, 2011

Peringatan untuk diri sendiri dan rakan2

Assalamualaikumwarahmatullah..

Terlebih dahulu marilah kita sama2 mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana masih diberi 
kesempatan untuk bernafas dimuka bumi ini,
mungkin kita masih mempunyai kesempatan untuk mebetulkan segala kesilapan dan kesalahan kita yang lalu
dan juga diberi peluang untuk meningkatkan lagi keimanan, ketaqwaan, dan pahala di sisi Allah SWT.

Sempena kedatangan tahun baru dalam kalendar islam ini iaitu Muharam,
marilah kita semua sama2 berazam dan berusaha untuk menambahkan 
amal ibadah kita, keimanan, ketaqwaan, dan kesabaran dalam diri kita
Marilah juga kita sama2 berusaha untuk mengubah sikap buruk kita 
dan menginsafi diri serta muhasabah diri kita untuk
berubah menjadi lebih baik lagi.
Hubungan sesama manusia juga perlulah dijaga juga dalam menjaga hubungan kita dengan Allah.
Jadilah seorang yang sabar dan pemaaf. 
Janganlah suka berdendam dan bersangka buruk kepada orang lain.
Elakkan juga fitnah dan mengata orang lain.

kehidupan kita di dunia ini tidak lama,
alam akhirat sana yang lebih kekal abadi,.
Makanya mahu buat apa2 pun ingatlah pada Allah dan kesan dan akibatnya di kemudian hari.
Jangan diikutkan sangat nafsu amarah dan keseronokan duniawi semata mata.
berpandangan baiklah kepada semua orang.
Tutur kata juga perlu dijaga,
jangan mudah mengeluarkan kata2 yang berunsurkan sindiran, dan yang boleh memalukan diri orang lain,
walaupun dengan niat bergurau krn x semua orang boleh menerimanya.

Sedarlah juga wahai hati,
jika kini kau merasakan kau lah yang terbaik,
ada lagi orang yang lagi baik dari diri kau walopun dalam tidak sedar,
jika kini kau merasakan kau yang paling pandai,
ingatlah mungkin sebenarnya ada orang lain yang lebih bijak pandai berfikir dari kau,
Jika kini kau merasakan kau yang paling betul,
ketahuilah mungkin sebenarnya kau yang memang salah tanpa kau sedari.

Hormatilah insan lain, dan orang lain akan turut menghormatimu.
Jangan berasa ego sangat dan merasakan diri tu memang betul.
Terimalah pendapat orang juga dengan hati yang terbuka.
Mengakuilah kesilapan sendiri dan jangan menegakkan benang yang sudah basah..

Perkara buruk yang lepas jadikan sebagai pedoman dan pengajaran,
buang yang keruh dan ambil yang jernih..

Sempena tahun baru dalam islam ni gak, 
Ampun dan maaf dipinta kepada semua dari saya.
Halalkan segala yang terlebih terkurang ye..

:)



Monday, November 21, 2011

sYABAB mURABBI sYabab BeraPI



sebagai perkongsian.. 
sekali sekala aku akan mengupdate blog diatas ni gak.
ada beberapa orang admin blog tersebut.
Ia sebuah blog persatuan..
kalo rajin, rasa2 nak tengok ke silalah...

Assalamualaikum...

Saturday, November 19, 2011

list aktiviti dan perkara yang nak dibuat untuk cuti sem kali ini

Assalamualaikumwarahmatullah dan selamat sejahtera semua..

Hai, hari ini sudah bermula pun cuti semester bagi guru-guru pelatih seluruh Malaysia. Hmm.tapi sebenarnya aku sudah habis exam pada hari khamis lepas, tapi baru pulang ke rumah petang jumaat semalam. Sebelum pulang ke rumah masing-masing kami semua perlu mengosongkan bilik dan memasukkan semua barang2 ke dalam stor yang disediakan. Memang penat dan letih tiap sem gitu.

Hmm..cuti kali ni sampai 3 jan 2012. 4 jan baru kuliah bermula.. Nak buat apa ye cuti lama2 nie?.. Mesti bosan. Adik aku, Rosman dah pergi UiTM rabu lepas utk mendftr jadi student Dip Ukur Bahan. Suriati lak sekarang tngah SMP smpai 30 nov. Farahanim pun dah cuti sekolah, buka sekolah nanti dia akan masuk darjah 6. Raiyan pun bulan ni dah masuk umur 2 tahun. Dah makin bijak dan faham apa orang kata.Abah aku makin sibuk kerja, siang malam kerja, kadang2 hari minggu pun tetap bekerja. Emak aku masih dirumah menjadi suri rumah dan mengambil upah menjahit baju2 kurung.

Elaun aku pun tinggal brpe je dlm akaun tu. Betul2 kena jimat sementara nak dapat elaun sem depan. Tak tahu la masuk bulan brape. Mungkin masuk bulan 2 or 3. Tapi aku hope sgt2 masuk la awal.. huhu..

Kawan2 kelas aku dah ramai dok luar.. Lelaki tiggal 3 orang yang stay asrama, dan perempuan lak tinggal 4 orang je lagi. Buka sem ni nanti aku akan mula masuk sem 3 PISMP tahun ke 2. Sebelum masuk sem 4, aku pun fikir nak dok luar plak dgn bestie aku. Tinggal nak dapatkan persetujuan semua, tunggu elaun dan masa je. Insya Allah mungkin pertengahan sem 3 akan mula merancang.

hmmm...cuti2 ni apa nak buat ye.. nak kerja? no transport la plak.. so aku pun dah sediakan list aktiviti dan benda2 yg nak wat bg mengisi masa aku dirumah..



  • abeskan masa dgn family - wajib la kan
  • tingkatkan ilmu dalam masakan - sedar diri ckit, perempuan kena la pandai masak
  • baca 4 buah novel - pinjam dari najwa
  • baca 2 buah buku motivasi - pinjam dari bihah
  • study n prktis sign language - persediaan bagi subjek tersebut, tahun depan. ( dh byk lupe)
  • baca 3 buah buku ilmiah - ulangkaji ckit yang banyak teori n fakta tu sbb akan digunakan lagi dimasa akan datang.
  • tidur yang cukup - maklumlah kat kampus kan selalu je x ckup tidur n rehat yang panjang.

Kita ni sebagai manusia hanya mampu merancang, tapi aku harap apa yang aku dah rancang tu dapat lah dilaksanakan.

hmm..aku pun x taw la adakah aku masih boleh menaip di blog kesayangan nie buat masa cuti sebulan setengah nie. Lau masih de rezki dan umur yang panjang, kita bjmpa lagi k..

bye, Assalamualaikum..

    Friday, November 11, 2011

    Isu-isu Masalah Pendengaran (rumusan artikel jurnal)

    Rumusan artikel dalam jurnal yang dipilih.

    Artikel 1.
    Penggunaan Alat Bantuan Pendengaran Di Kalangan
    Murid-murid Bermasalah Pendengaran.

                Alat bantuan pendengaran membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran mendengar bunyi-bunyi pertuturan dan membantu mempelajari pertuturan (Clark 1989;Romanik 1990). Kebanyakan kanak-kanak masalah pendengaran masih mempunyai sisa pendengaran tetapi mereka hanya boleh mendengar bunyi-bunyi yang kuat sahaja. Disebabkan oleh masalah pendengaran, kanak-kanak kategori ini mengalami masalah menguasai pertuturan dan bahasa. Menurut Gatty (1992), kanak-kanak belajar pertuturan secara spontan melalui interaksi harian dengan orang dewasa.
                Penggunaan alat bantuan pendengaran amat perlu bagi kanak-kanak masalah pendengaran untuk membantu mereka memahami dan menguasai bahasa serta pertuturan. Alat bantuan pendengaran yang digunakan oleh kanak-kanak masalah pendengaran di sekolah tidak dijaga dengan baik dan sebahagiannya mengalami kerosakan. Terdapat juga guru-guru yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai penjagaan asas alat bantuan pendengaran. Penggunaan alat bantuan pendengaran yang rosak boleh mengakibatkan pemakainya mengalami tambahan kehilangan pendengaran sebanyak 30dB lagi. Guru perlu memantau penggunaan alat bantuan pendengaran agar ia dapat berfungsi dengan baik.
                Alat bantuan pendengaran itu merupakan alat elektronik yang berbentuk kecil dan digunakan untuk membantu menguatkan bunyi persekitaran bagi yang bermasalah pendengaran. Terdapat tiga komponen utama dalam alat bantuan pendengaran iaitu alat penerima, penguat suara, dan corong suara. Alat bantuan pendengaran mempunyai empat jenis alat bantu dengar iaitu di belakang telinga, di dalam telinga, dipakai pada badan, dan alat bantuan pendengaran cermin mata.
                Berdasarkan dapatan kajian, seramai 24 orang murid daripada 141 orang di empat buah sekolah di kawasan Lembah Klang, Selangor yang hanya memakai alat bantuan pendengaran. Hasil daripada pemeriksaan juga, didapati bahawa 38.5 % daripada alat bantuan pendengaran menggunakan bateri yang lemah dan menghasilkan bunyi yang tidak jelas. 35.9 % daripada murid tersebut didapati acuan telinga alat bantuan pendengaran merreka adalah kotor dan tersumbat.
                Murid-murid masalah pendengaran yang sangat teruk hampir tidak dapat mengesan bunyi-bunyi pertuturan yang dituturkan kecuali dengan bantuan alat bantu pendengaran. Perhatian dan kaedah pengajaran terhadap kanak-kanak masalah pendengaran ini adalah berbeza dengan kanak-kanak berkeperluan khas yang lain kerana terdapat perbezaan dalam masalah dan keperluan mereka. Hanya 39 alat bantuan pendengaran yang digunakan oleh 24 orang murid yang terlibat dalam kajian ini. Alat pendengaran tidak dapat berfungsi dengan baik apabila terdapat beberapa masalah seperti bunyi-bunyian yang tidak jelas, bateri lemah, acuan telinga kotor dan tersumbat dan sebagainya. Masalah kurangnya pengetahuan oleh guru-guru dan ibu bapa mengenai alat bantuan pendengaran menyebabkan mereka tidak dapat membaiki alat tersebut apabila berlaku kerosakan. Tidak semua jenis kerosakan alat bantuan pendengaran perlu dihantar kepada pakar.
                Guru-guru dan penjaga perlulah mempunyai pengetahuan mengenai alat bantuan pendengaran bagi meningkatkan kualiti penggunaannya, malah murid-murid juga perlu dibimbing mengenai penjagaan dan mengesan sendiri seandainya alat tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik. Alat bantuan pendengaran amat penting bagi murid-murid masalah pendengaran kerana ia dapat membantu murid-murid tersebut menguasai pertuturan dan bunyi-bunyi persekitaran. Guru-guru boleh mengikuti kursus-kursus pendek agar dapat memperkembangkan lagi ilmu pengetahuan terkini dan meningkatkan perkhidmatan pendidikan kepada anak-anak murid mereka.


    Artikel 2.
    Kemudahcapaian Perisian Pendidikan Multimedia
    Untuk Pengguna Masalah Pendengaran.

                Artikel ini membincangkan mengenai kajian awal terhadap keperluan merekabentuk perisian pendidikan multmedia untuk meningkatkan kemudahcapaian orang kurang upaya masalah pendengaran. Penggunaan internet amat penting dan memberi kesan dalam kehidupan orang masalah pendengaran kerana ia memudahkan mereka untuk mendapat capaian maklumat dan pengetahuan dan jaringan komunikasi dalam pelbagai aspek. Bukan sahaja orang normal, malah orang masalah pendengaran juga mempunyai hak yang sama dalam penggunaan ICT , alat bantu pendidikan, dan perisian berbantukan komputer (PBK).
                Peggunaan teknologi dalam pendidikan dan juga pembelajaran berbantukan komputer mampu meningkatkan peluang pendidikan kepada ramai pelajar kerana ia memberi banyak faedah kepada pelajar seperti mempercepatkan proses pembelajaran, meningkatkan daya ingatan, berinteraksi dengan komputer secara aktif, pembelajaran yang lebih fleksibiliti dan juga pembelajaran kendiri. Selain itu, kajian mendapati bahawa motivasi pelajar dapat ditingkatkan dengan penggunaan teknologi multimedia dan juga ia dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Proses pembelajaran bahasa dapat ditingkatkan dengan adanya Computer-Assisted Language Learning (CALL). Pelajar masalah pendengaran pada tahap severe hingga profound dapat dibantu dengan penggunaan bahan bacaan bergambar pada tahap awal pemerolehan bahasa berlaku.
    Di Malaysia, bahan bantuan pengajaran dan pembelajaran bagi orang-orang masalah pendengaran dalam proses pembelajaran adalah masih terlalu kurang. Perisian kursus dalam Bahasa Melayu untuk komuniti pekak di Malaysia juga amat sukar didapati. Terdapat juga menerbitan dalam bentuk CD-ROM tetapi ia hanya dalam bentuk video . Efthimiou dan Fotena (2007) turut berpendapat bahawa peralatan dalam pendidikan untuk komuniti pekak ini masih kurang.
    Teknologi animasi boleh digunakan untuk persembahan komprehensif perututuran kiu bagi kemudahcapaian orang masalah pendengaran. Kajian dan pembangunan perisian pendidikan MudahKiu ini menggunakan kaedah penggabungan antara pertuturan kiu dan pengaplikasian prinsip kemudahcapaian dan teknologi multimedia. Kemudahcapaian itu bermaksud orang kurang upaya boleh menggunakan sesuatu produk tersebut. Produk multimedia yang telah dibangunkan lebih mudah untuk dimasukkan ciri-ciri kemudahcapaiannya berbanding diberikan kemudahan itu semasa orang kurang upaya telah menggunakan media tersebut. Pembangun boleh meningkatkan kemudahcapaian perisian pendidikan kepada pengguna dengan cara menyediakan semua maklumat audio dalam bentuk visual, menyediakan sari kata bagi semua persembahan multimedia, dan maklumat penting mestilah mampu menarik perhatian pengguna.Rekabentuk yang perlu diambilkira dalam merekabentuk perisian pendidikan untuk mereka yang mempunyai masalah pendengaran ialah kawalan dan navigasi, rekabentuk skrin, elemen multimedia, rekabentuk dokumen HTML, dan lain-lain.
    Model pembangunan perisian pendidikan dapat dibangunkan untuk orang-orang masalah pendengaran dengan menggunakan faktor-faktor HCI. Model ini mengambil kira aspek yang berkaitan dengan pendidikan seperti persekitaran pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, kaedah membaca, pendekatan errorless, model Scaffolding, teori pembelajaran dan juga matlamat pembelajaran.
    Kebanyakan bahan pendidikan dalam eletronik masa kini direkabentuk untuk pengguna normal. Sesuatu bahan pendidikan yang direkabentuk dengan mengambil kira isu-isu kemudahcapaian  sejak dari awal lagi dapat mengurangkan kos dan meningkatkan bilangan pengguna. Perisisan kursus perlu dibangunkan dan ditingkatkan lagi bilangannya bagi melahirkan lebih ramai golongan yang berilmu, mampu berdikari, dan merapatkan jurang antara orang normal dengan orang masalah pendengaran.


    Artikel 3.
    Intervensi Awal Untuk Kanak-kanak Yang Mengalami
    Kehilangan Pendengaran Dengan Kadar Sehala dan Dua Hala.

                Kanak-kanak masalah pendengaran boleh mendapat risiko untuk perkembangan yang lewat, masalah dalam pendidikan, dan pelbagai aspek yang lain. Masalah kelewatan perkembangan dan masalah pendidikan bagi kanak-kanak masalah pendengaran hanya dilaporkan pada 1930. Pada 1980, Bess dan Tharpe telah memulakan siri pendidikan mengenai masalah pendengaran bagi kanak-kanak. Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti masalah dari segi pertuturan, bahasa, akademik, dan perkembangan psikososial. Oleh itu, Intervensi awal perlu dilakukan sejak kecil kepada kanak-kanak masalah pendengaran tersebut.
                Akta IDEA 2004 mengandungi bahagian C dan B yang berkaitan dengan program untuk orang-orang kurang upaya. Bahagian C menerangkan mengenai perkhidmatan untuk bayi dan kanak-kanak sehingga berumur 3 tahun. Selain itu, ia juga ada menyatakan mengenai program perkhidmatan sokongan untuk keluarga kanak-kanak tersebut yang mempunyai kelewatan perkembangan. Bahagian B pula berkaitan dengan usia kanak-kanak dari usia 3 tahun hingga ke peringkat remaja pada usia 21 tahun yang memerlukan pendidikan khas dan perkhidmatan yang berkaitan. Masalah pendengaran termasuk dalam kategori kekurangan upaya dan perkembangan yang lewat. Sekiranya perkhidmatan seperti yang terkandung dalam bahagian C dan B tidak dilakukan dalam sesebuah negara, kanak-kanak masalah pendengaran akan mengalami masalah untuk mendapat intervensi awal dan ibu bapa perlu mengeluarkan belanja untuk mendapatkan perkhidmatan yang peribadi untuk anak mereka.
                Sesetengah orang yang terlibat dalam program intervensi awal ini seperti guru-guru dan ahli terapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang kurang dalam kehilangan pendengaran seperti kemahiran kefungsian auditori, amplifikasi, dan stimulasi pertuturan dan bahasa. Semasa perkhidmatan intervensi awal, pasukan yang terlibat perlu berterusan memantau kemahiran, kebolehan dan keperluan kanak-kanak terbabit. Perhatian perlu diberi penekanan terhadap pertuturan, bahasa, perkembangan auditori dan sebagainya kerana kanak-kanak masalah pendengaran menghadapi risiko untuk mendapat kelemahan yang lain. Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pendengaran perlu dikesan dari peringkat awal dan mendapat lebih lagi perkhidmatan dari kecil lagi. Intervensi awal perlu diberikan kepada mereka bagi membantu perkembangan mereka dari segi pertuturan, bahasa, kognitif, sosial dan kemahiran motor. Pakar audiologi memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak tersebut dalam meningkatkan kebolehan auditori mereka. Selain itu, kanak-kanak masalah pendengaran ini juga memerlukan bantuan dalam menggunakan amplifikasi dan perkembangan kemahiran komunikasi mereka untuk peningkatan kognitif, akademik, sosial dan lain-lain.
                Terdapat beberapa strategi intervensi awal untuk kanak-kanak masalah pendengaran iaitu kumpulan sokongan ibu bapa, memberikan sokongan kepada penjaga kanak-kanak tersebut, dapatkan perhatian kanak-kanak tersebut sebelum memulakan perbualan, memberikan fokus terhadap persekitaran yang sesuai untuk pendengaran, menggunakan petunjuk-petunjuk seperti gerak badan, gambar dan gerakan bibir  dan sebagainya.
                Kehilangan pendengaran bagi kanak-kanak memberikan kesan terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut dan juga terhadap prestasi persekolahannya. Perkhidmatan intervensi awal semasa perlu sentiasa dibangunkan dan memperbaharui perkhidmatan yang baru agar dapat disesuaikan dengan kanak-kanak dan keluarganya untuk menerima intervensi awal yang lebih bersesuaian.

    Peraturan Permainan Ping Pong.

    Peraturan pakaian.
    i.              Semua peserta dikehendaki untuk memakai pakaian sukan,berkasut, kemas dan bersesuaian.
    ii.            Semua peserta adalah dilarang untuk memakai pakaian berwarna oren kerana menyamai warna bola ping pong.
    iii.           Peserta digalakkan untuk memasukkan baju kedalam seluar.


    Peraturan permainan.
    i.              Permulaan servis akan ditentukan melalui cara undian.
    ii.            Bola hendaklah dilambung dalam andaian 6 inci semasa hendak memulakan servis.
    iii.           Mata akan diberikan kepada pihak lawan, sekiranya servis yang dilakukan tidak mengenai bola.
    iv.           Apabila bola terkena jaring pihak lawan, ulangan servis hendaklah dilakukan.
    v.            Bola yang mengenai tangan dan masuk ke gelanggan akan dikira mata.
    vi.           Bola yang masuk secara melencung ke gelanggang lawan (tidak melalui jaring) turut dikira.
    vii.          Peserta yang menampan meja semasa membuat pukulan, akan dikira batal.
    viii.        Kiraan permainan bagi setiap permainan adalah 11/21.
    ix.           Segala keputusan dari pengadil adalah muktamad.

    Wednesday, November 9, 2011

    Kaedah Membaca.

    PENGENALAN.
                Abd. Aziz (2000 dalam Khairuddin Mohamad, 2011) mengatakan bahawa kefahaman merupakan aspek terpenting dalam sesuatu aktiviti bacaan. Untuk membolehkan seseorang itu membaca, kefahaman yang tinggi amatlah perlu bagi memudahkan individu itu memperoleh maklumat daripada apa yang dibacanya.
                Bagi peringkat awal bacaan kanak-kanak, terdapat beberapa jenis kaedah membaca yang boleh digunakan oleh guru untuk mengajar murid-murid. Kaedah merupakan prosedur menyeluruh terhadap sesuatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran bahasa. Antara kaedah yang sering digunakan oleh para guru ialah kaedah abjad, kaedah fonetik, kaedah pandang sebut, dan kaedah cerakinan.


    Kaedah Abjad.
    • Kaedah klasik dan kaedah yang paling tua.
    • Pernah digunakan pada zaman kerajaan Greek dan Rom.
      Dimulai dengan pengenalan abjad dan kemudian membunyikan abjad tersebut.

    Zulkifley Hamid (1994 dalam Khairudin Mohamad, 2011 ) mengatakan bahawa kaedah abjad berpegang kepada prinsip bahawa setiap perkataan terdiri daripada beberapa huruf.
    • Guru memperkenalkan huruf vokal dan konsonan terlebih dahulu.
    • Vokal : a,  e, i, o, u
    • Konsonan : b,c,d,f,g,h,j,k,l,m,n,p,q,r,s,t,v,w
    • Nama-nama abjad perlulah disebut dan dihafal oleh murid.
    • Aktiviti mengeja suku kata dalam perkataan.
    • Guru mengaitkan gambar dengan sesuatu huruf.
    • Contoh : ‘a’ untuk api.
    Kelebihan Kaedah Abjad.
    Terdiri daripada suku kata yang hampir tetap bunyinya dalam sistem bahasa Melayu.
    Setelah mengenal huruf dan membunyikan vokal konsonan dengan baik, murid dapat membaca perkataan baharu.
    Kemahiran asas dan binaan yang kukuh dalam aktiviti asas membaca.
    Murid-murid dapat mencapai tahap kecekapan yang tinggi dalam kemahiran membaca.









    Kelemahan Kaedah Abjad.
    Murid dapat menyebut dengan lancar perkataan yang diberi tetapi tidak memahaminya.
    Murid membaca secara merangkak-rangkak kerana terbawa-bawa cara membaca sambil mengeja.
    Terdapat kemungkinan bahawa murid akan lupa pelajaran yang lepas jika tidak diulang kali dalam bilik darjah.
    Murid akan berasa bosan kerana aktiviti yang lebih kepada hafalan dan kurang penghayatan.











    Rumusan Kaedah Abjad.
                Kaedah abjad ini merupakan kaedah yang mengutamakan abjad depan bagi setiap perkataan. Guru akan mengajar murid huruf pangkal bagi setiap perkataan atau objek. Contohnya untuk perkataan ‘api’ , huruf pangkalnya ialah ‘a’. Maka murid akan mengingati bahawa huruf ‘a’ itu digunakan untuk perkataan ‘api’. Setelah murid menguasai kaedah ini, barulah murid akan diajar menggunakan kaedah yang seterusnya.

    Kaedah Fonetik.

                 -  Sesuai untuk kanak-kanak yang baru mengenal huruf.
                 
                 -  Murid perlu mengenal huruf dan mengaitkannya dengan bunyi.


    -  Asosiasi bunyi.  
                                
    Contoh : Guru membunyikan ‘aa’ dan mengaitkannya dengan peristiwa atau kejadian di kawasan persekitaran seperti terkena api, ‘aaaaaaaaaaa panas!’

    -  Asosiasi gambar.
     
    Contoh : Guru menggunakan kad gambar emak untuk bunyi ‘ee’.



    Guru memperkenalkan bunyi-bunyi ‘a’, ‘i’, ‘u’ dahulu kerana ‘e’ dan ‘o’ lebih kurang digunakan.
    Konsonan pula diperkenalkan dahulu ‘k’,’s’,’t’,’d’,’r’,’l’,’m’,’g’, dan ‘n’ kerana ia bunyi-bunyi yang lebih mudah berbanding konsonan yang lain.


    Kelebihan Kaedah Fonetik.

              Huruf yang dilihat dapat dikaitkan dengan bunyi oleh murid.
              Penggunaan asosiasi dapat mempercepatkan proses mengingat.
              Murid dapat mengurangkan beban memori.
              Terdapat huruf-huruf tertentu yang lebih mudah boleh diperkenalkan dahulu


    Kelemahan Kaedah Fonetik

    1.Murid-murid lembap tidak sesuai belajar mengikut kaedah ini.
    2.Sesuai untuk murid-murid yang pandai.
     3.Persiapan awal oleh murid perlu dilakukan sebelum aktiviti membaca.
    4.Murid hendaklah mengetahui bunyi dan bentuk huruf terlebih dahulu.
    5.Kaedah ini lebih sesuai digunakan kepada murid yang telah mahir menyebut dan mengingat bunyi huruf yang telah diajarkan.

    Rumusan Kaedah Fonetik.
                Kaedah Fonetik menggunakan bunyi-bunyian vokal dan konsonan untuk memperkenalkan perkataan. Contohnya bunyi vokal untuk ‘e’ merupakan furuf vokal untuk perkataan ‘emak’. Contoh huruf konsonan pula iaitu huruf ‘l’ boleh dikaitkan dengan objek lori. Maka, murid akan mengingati bunyi-bunyian vokal dan konsonan itu untuk dikaitkan dengan perkataan dan objek yang lain.


    Kaedah Pandang Sebut.

    Dicadangkan penggunaannya di Amerika Syarikat oleh Samuel Worcester



  • 2 aktiviti :        Membunyikan suku kata berdasarkan gambar
                            Membunyikan ayat berdasarkan gambar

  • Bertujuan untuk murid membiasakan diri mengecam perkataan tanpa perlu mengeja dan ia dapat memendekkan masa murid untuk mengeja.



    Konsep Kaedah Pandang Sebut
    • ·         Murid-murid menyebut perkataan pada kad-kad imbasan yang ditunjukkan oleh guru.
    • ·         Kemudian aktiviti membaca bahan yang sama daripada buku teks.
    • ·          Murid mengecam gambar dan menyebut perkataan.
    • ·         Murid diperkenalkan kumpulan huruf yang membentuk perkataan tersebut.
    • ·         Murid menyebut berulang kali perkataan tersebut.


    • Kebaikan Kaedah Pandang Sebut.
      *      Murid tidak perlu belajar mengeja perkataan dahulu maka masa dapat dijimatkan.
      *      Murid dapat memahami maksud perkataan semasa menyebutnya.
      *      Kaedah ini merupakan kaedah terpantas untuk mempelajari kemahiran membaca.
    Kelemahan Kaedah Pandang Sebut.
    • §  Murid tidak pandai mengeja.
    • §  Murid tidak dapat menyebut perkataan baharu kerana tiada pendedahan.
    • §  Perbendaharaan kata murid terbatas.
    • §  Kaedah ini hanya sesuai untuk murid-murid yang pandai.


    Rumusan Kaedah Pandang Sebut.

                            Kaedah pandang sebut ini merupakan kaedah yang digunakan dengan cara pengamatan dan mengingat. Contohnya apabila guru menunjukkan kad gambar dadu dan tertera ejaan ‘dadu’, murid akan mengamatinya dan mengingati perkataan dan gambar tersebut. Apabila murid itu terpandang perkataan atau objek yang sama dalam situasi lain, murid tersebut akan terus mengetahui bunyi dan ejaan ‘dadu’ itu.


    Kaedah Suku Kata.
    Kaedah suku kata merupakan satu deretan bunyi yang mengandungi satu puncak kelantangan. (Daniel Jones.)
    v  Suku kata merupakan ujaran terkecil dari sebuah kata yang didengarkan pada kehadiran vokal.
    v  Satu suku kata sekurang-kurangnya mengandungi satu buah vokal dan konsonan.

    Jenis-jenis suku kata.

    i)             Kata tunggal satu suku kata. Contoh : K + V + K     (sos)
    ii)            Kata tunggal dua suku kata. Contoh : V + KV          (api)
    iii)           Kata tunggal tiga suku kata. Contoh : KV + KV + KV          (kereta)
    iv)            Kata tunggal empat suku kata. Contoh : KV + V + KV+ KV           (suasana)


    Kelebihan Kaedah Suku Kata
     
    • Murid-murid dapat mengeja dengan baik kerana dilatih untuk mengeja bagi tiap-tiap perkataan yang dibaca.
    • Guru tidak perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang banyak dan ini memudahkan guru-guru menjalankan tugasnya.



    Kelemahan Kaedah Suku Kata

              Murid tidak lancar membaca kerana lebih fokus kepada huruf.
              Terlalu mementingkan ejaan hingga menyebabkan fahaman tidak berjaya diperoleh
              Kanak-kanak mudah keliru kerana nama-nama huruf tidak menepati bunyi huruf-huruf tersebut.


    Rumusan Kaedah Suku Kata.
                            Kaedah suku kata ini,murid akan mengenal perkataan melalui ejaan suku kata vokal dan konsonan. Contohnya perkataan ‘susu’, suku kata yang digunakan ialah kv+kv=kvkv. Murid akan mengeja setiap satu suku kata dan hasilnya murid tersebut akan mengetahui perkataan apakah yang tertera itu.




    RUMUSAN.

                            Membaca merupakan proses yang kompleks. Oleh itu terdapat beberapa kaedah untuk mengajar murid-murid mengenai bacaan awal. Kaedah bacaan awal terdapat beberapa jenis iaitu kaedah abjad, kaedah fonetik, kaedah pandang sebut dan kaedah suku kata.
                Kaedah abjad lebih berfokus terhadap pembunyian abjad dan guru pada mulanya akan mengajar huruf vokal dan konsonan yang lebih mudah dan selalu digunakan dahulu. Kaedah fonetik pula, murid perlu mengenal huruf dan mengaitkannya dengan bunyi-bunyian. Kaedah fonetik terdapat dua jenis aktiviti iaitu asosiasi bunyi dan asosiasi gambar. Manakala kaedah pandang sebut pula ialah yang melibatkan aktiviti membunyikan suku kata dan ayat berdasarkan gambar. Kaedah pandang sebut hanya memerlukan kanak-kanak mengecam perkataan tanpa perlu mengeja dan ini akan menjimatkan masa kanak-kanak untuk mengeja perkataan. Kaedah yang keempat pula ialah kaedah suku kata. Kaedah suku kata merupakan ujaran terkecil yang mengandungi sekurang-kurangnya sebuah vokal dan konsonan.
                Setiap kaedah bacaan awal kanak-kanak ini terdapat beberapa kelemahan dan kelebihannya yang tersendiri. Ia terpulang kepada guru-guru untuk memilih kaedah mana yang lebih sesuai dengan murid-murid mereka.



    REFLEKSI.

                Kerja kursus pendek ini iaitu Literasi Bahasa Melayu (WAJ 3104) yang bermula dari 1 Julai hingga 18 Ogos 2011 memerlukan pembacaan dan pengumpulan maklumat yang lengkap. Sebaik sahaja saya mendapat tugasan ini, saya berusaha untuk mengumpulkan maklumat yang diperlukan dan berkolaborasi dengan pensyarah pebimbing dan juga rakan-rakan.
                Saya berjaya mendapatkan maklumat daripada buku-buku rujukan di perpustakaan, daripada rakan dan juga dari sumber internet. Adakalanya saya menghadapi sedikit kesukaran seperti maklumat yang kurang jelas dan tidak lengkap. Malah kadang-kadang masalah gangguan kelajuan internet yang minimum juga turut menyebabkan saya terganggu konsentrasi dan turut menimbulkan masalah dalam usaha untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.
                Setelah saya menyiapkan tugasan ini saya memperoleh banyak ilmu berkaitan kaedah bacaan awal untuk kanak-kanak. Kini saya telah mengetahui beberapa jenis kaedah yang boleh diaplikasikan sebagai seorang bakal guru kelak. Saya juga turut mengetahui bahawa tidak semua jenis kaedah bacaan awal itu boleh digunakan untuk semua tahap dan golongan kanak-kanak.
                Saya menyedari bahawa setiap golongan kanak-kanak itu terdapat cara dan kaedah yang bersesuaian untuk diajarkan kepada mereka mengenai bacaan awal. Oleh itu, sebagai seorang bakal guru saya perlulah peka dengan kanak-kanak dan mengetahui kaedah manakah yang bersesuaian dengan mereka dan berusaha untuk mengajar mereka membaca.



    RUJUKAN.

    Kamarudin Hj. Hussin. (1998). Pedagogi Bahasa Perkaedahan. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
    Khairuddin Mohamad. (2011). Siri Pendidikan Guru Literasi Bahasa Melayu. Shah    Alam: Oxford Fajar.
    Mohd Nor Izwan Sulaiman. Peringkat-peringkat pengajaran membaca. Dilayari pada 7 Ogos 2011 di URL http://mohdnorizwansulaiman.blogspot.com/2009/05/peringkat-peringkat-pengajaran-membaca.html.
    Ramlan Hamzah. (2008). Kemahiran Belajar untuk PPISMP. Subang Jaya: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
    Tiada nama pengarang. Dilayari pada 17 Ogos 2011 di URL http://www.scribd.com/doc/39765457/LITERASI-BAHASA




  •  
    Images by Freepik