Pages

Friday, November 11, 2011

Isu-isu Masalah Pendengaran (rumusan artikel jurnal)

Rumusan artikel dalam jurnal yang dipilih.

Artikel 1.
Penggunaan Alat Bantuan Pendengaran Di Kalangan
Murid-murid Bermasalah Pendengaran.

            Alat bantuan pendengaran membantu kanak-kanak bermasalah pendengaran mendengar bunyi-bunyi pertuturan dan membantu mempelajari pertuturan (Clark 1989;Romanik 1990). Kebanyakan kanak-kanak masalah pendengaran masih mempunyai sisa pendengaran tetapi mereka hanya boleh mendengar bunyi-bunyi yang kuat sahaja. Disebabkan oleh masalah pendengaran, kanak-kanak kategori ini mengalami masalah menguasai pertuturan dan bahasa. Menurut Gatty (1992), kanak-kanak belajar pertuturan secara spontan melalui interaksi harian dengan orang dewasa.
            Penggunaan alat bantuan pendengaran amat perlu bagi kanak-kanak masalah pendengaran untuk membantu mereka memahami dan menguasai bahasa serta pertuturan. Alat bantuan pendengaran yang digunakan oleh kanak-kanak masalah pendengaran di sekolah tidak dijaga dengan baik dan sebahagiannya mengalami kerosakan. Terdapat juga guru-guru yang tidak mempunyai pengetahuan yang mencukupi mengenai penjagaan asas alat bantuan pendengaran. Penggunaan alat bantuan pendengaran yang rosak boleh mengakibatkan pemakainya mengalami tambahan kehilangan pendengaran sebanyak 30dB lagi. Guru perlu memantau penggunaan alat bantuan pendengaran agar ia dapat berfungsi dengan baik.
            Alat bantuan pendengaran itu merupakan alat elektronik yang berbentuk kecil dan digunakan untuk membantu menguatkan bunyi persekitaran bagi yang bermasalah pendengaran. Terdapat tiga komponen utama dalam alat bantuan pendengaran iaitu alat penerima, penguat suara, dan corong suara. Alat bantuan pendengaran mempunyai empat jenis alat bantu dengar iaitu di belakang telinga, di dalam telinga, dipakai pada badan, dan alat bantuan pendengaran cermin mata.
            Berdasarkan dapatan kajian, seramai 24 orang murid daripada 141 orang di empat buah sekolah di kawasan Lembah Klang, Selangor yang hanya memakai alat bantuan pendengaran. Hasil daripada pemeriksaan juga, didapati bahawa 38.5 % daripada alat bantuan pendengaran menggunakan bateri yang lemah dan menghasilkan bunyi yang tidak jelas. 35.9 % daripada murid tersebut didapati acuan telinga alat bantuan pendengaran merreka adalah kotor dan tersumbat.
            Murid-murid masalah pendengaran yang sangat teruk hampir tidak dapat mengesan bunyi-bunyi pertuturan yang dituturkan kecuali dengan bantuan alat bantu pendengaran. Perhatian dan kaedah pengajaran terhadap kanak-kanak masalah pendengaran ini adalah berbeza dengan kanak-kanak berkeperluan khas yang lain kerana terdapat perbezaan dalam masalah dan keperluan mereka. Hanya 39 alat bantuan pendengaran yang digunakan oleh 24 orang murid yang terlibat dalam kajian ini. Alat pendengaran tidak dapat berfungsi dengan baik apabila terdapat beberapa masalah seperti bunyi-bunyian yang tidak jelas, bateri lemah, acuan telinga kotor dan tersumbat dan sebagainya. Masalah kurangnya pengetahuan oleh guru-guru dan ibu bapa mengenai alat bantuan pendengaran menyebabkan mereka tidak dapat membaiki alat tersebut apabila berlaku kerosakan. Tidak semua jenis kerosakan alat bantuan pendengaran perlu dihantar kepada pakar.
            Guru-guru dan penjaga perlulah mempunyai pengetahuan mengenai alat bantuan pendengaran bagi meningkatkan kualiti penggunaannya, malah murid-murid juga perlu dibimbing mengenai penjagaan dan mengesan sendiri seandainya alat tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik. Alat bantuan pendengaran amat penting bagi murid-murid masalah pendengaran kerana ia dapat membantu murid-murid tersebut menguasai pertuturan dan bunyi-bunyi persekitaran. Guru-guru boleh mengikuti kursus-kursus pendek agar dapat memperkembangkan lagi ilmu pengetahuan terkini dan meningkatkan perkhidmatan pendidikan kepada anak-anak murid mereka.


Artikel 2.
Kemudahcapaian Perisian Pendidikan Multimedia
Untuk Pengguna Masalah Pendengaran.

            Artikel ini membincangkan mengenai kajian awal terhadap keperluan merekabentuk perisian pendidikan multmedia untuk meningkatkan kemudahcapaian orang kurang upaya masalah pendengaran. Penggunaan internet amat penting dan memberi kesan dalam kehidupan orang masalah pendengaran kerana ia memudahkan mereka untuk mendapat capaian maklumat dan pengetahuan dan jaringan komunikasi dalam pelbagai aspek. Bukan sahaja orang normal, malah orang masalah pendengaran juga mempunyai hak yang sama dalam penggunaan ICT , alat bantu pendidikan, dan perisian berbantukan komputer (PBK).
            Peggunaan teknologi dalam pendidikan dan juga pembelajaran berbantukan komputer mampu meningkatkan peluang pendidikan kepada ramai pelajar kerana ia memberi banyak faedah kepada pelajar seperti mempercepatkan proses pembelajaran, meningkatkan daya ingatan, berinteraksi dengan komputer secara aktif, pembelajaran yang lebih fleksibiliti dan juga pembelajaran kendiri. Selain itu, kajian mendapati bahawa motivasi pelajar dapat ditingkatkan dengan penggunaan teknologi multimedia dan juga ia dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Proses pembelajaran bahasa dapat ditingkatkan dengan adanya Computer-Assisted Language Learning (CALL). Pelajar masalah pendengaran pada tahap severe hingga profound dapat dibantu dengan penggunaan bahan bacaan bergambar pada tahap awal pemerolehan bahasa berlaku.
Di Malaysia, bahan bantuan pengajaran dan pembelajaran bagi orang-orang masalah pendengaran dalam proses pembelajaran adalah masih terlalu kurang. Perisian kursus dalam Bahasa Melayu untuk komuniti pekak di Malaysia juga amat sukar didapati. Terdapat juga menerbitan dalam bentuk CD-ROM tetapi ia hanya dalam bentuk video . Efthimiou dan Fotena (2007) turut berpendapat bahawa peralatan dalam pendidikan untuk komuniti pekak ini masih kurang.
Teknologi animasi boleh digunakan untuk persembahan komprehensif perututuran kiu bagi kemudahcapaian orang masalah pendengaran. Kajian dan pembangunan perisian pendidikan MudahKiu ini menggunakan kaedah penggabungan antara pertuturan kiu dan pengaplikasian prinsip kemudahcapaian dan teknologi multimedia. Kemudahcapaian itu bermaksud orang kurang upaya boleh menggunakan sesuatu produk tersebut. Produk multimedia yang telah dibangunkan lebih mudah untuk dimasukkan ciri-ciri kemudahcapaiannya berbanding diberikan kemudahan itu semasa orang kurang upaya telah menggunakan media tersebut. Pembangun boleh meningkatkan kemudahcapaian perisian pendidikan kepada pengguna dengan cara menyediakan semua maklumat audio dalam bentuk visual, menyediakan sari kata bagi semua persembahan multimedia, dan maklumat penting mestilah mampu menarik perhatian pengguna.Rekabentuk yang perlu diambilkira dalam merekabentuk perisian pendidikan untuk mereka yang mempunyai masalah pendengaran ialah kawalan dan navigasi, rekabentuk skrin, elemen multimedia, rekabentuk dokumen HTML, dan lain-lain.
Model pembangunan perisian pendidikan dapat dibangunkan untuk orang-orang masalah pendengaran dengan menggunakan faktor-faktor HCI. Model ini mengambil kira aspek yang berkaitan dengan pendidikan seperti persekitaran pengajaran dan pembelajaran, kurikulum, kaedah membaca, pendekatan errorless, model Scaffolding, teori pembelajaran dan juga matlamat pembelajaran.
Kebanyakan bahan pendidikan dalam eletronik masa kini direkabentuk untuk pengguna normal. Sesuatu bahan pendidikan yang direkabentuk dengan mengambil kira isu-isu kemudahcapaian  sejak dari awal lagi dapat mengurangkan kos dan meningkatkan bilangan pengguna. Perisisan kursus perlu dibangunkan dan ditingkatkan lagi bilangannya bagi melahirkan lebih ramai golongan yang berilmu, mampu berdikari, dan merapatkan jurang antara orang normal dengan orang masalah pendengaran.


Artikel 3.
Intervensi Awal Untuk Kanak-kanak Yang Mengalami
Kehilangan Pendengaran Dengan Kadar Sehala dan Dua Hala.

            Kanak-kanak masalah pendengaran boleh mendapat risiko untuk perkembangan yang lewat, masalah dalam pendidikan, dan pelbagai aspek yang lain. Masalah kelewatan perkembangan dan masalah pendidikan bagi kanak-kanak masalah pendengaran hanya dilaporkan pada 1930. Pada 1980, Bess dan Tharpe telah memulakan siri pendidikan mengenai masalah pendengaran bagi kanak-kanak. Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut seperti masalah dari segi pertuturan, bahasa, akademik, dan perkembangan psikososial. Oleh itu, Intervensi awal perlu dilakukan sejak kecil kepada kanak-kanak masalah pendengaran tersebut.
            Akta IDEA 2004 mengandungi bahagian C dan B yang berkaitan dengan program untuk orang-orang kurang upaya. Bahagian C menerangkan mengenai perkhidmatan untuk bayi dan kanak-kanak sehingga berumur 3 tahun. Selain itu, ia juga ada menyatakan mengenai program perkhidmatan sokongan untuk keluarga kanak-kanak tersebut yang mempunyai kelewatan perkembangan. Bahagian B pula berkaitan dengan usia kanak-kanak dari usia 3 tahun hingga ke peringkat remaja pada usia 21 tahun yang memerlukan pendidikan khas dan perkhidmatan yang berkaitan. Masalah pendengaran termasuk dalam kategori kekurangan upaya dan perkembangan yang lewat. Sekiranya perkhidmatan seperti yang terkandung dalam bahagian C dan B tidak dilakukan dalam sesebuah negara, kanak-kanak masalah pendengaran akan mengalami masalah untuk mendapat intervensi awal dan ibu bapa perlu mengeluarkan belanja untuk mendapatkan perkhidmatan yang peribadi untuk anak mereka.
            Sesetengah orang yang terlibat dalam program intervensi awal ini seperti guru-guru dan ahli terapi mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang kurang dalam kehilangan pendengaran seperti kemahiran kefungsian auditori, amplifikasi, dan stimulasi pertuturan dan bahasa. Semasa perkhidmatan intervensi awal, pasukan yang terlibat perlu berterusan memantau kemahiran, kebolehan dan keperluan kanak-kanak terbabit. Perhatian perlu diberi penekanan terhadap pertuturan, bahasa, perkembangan auditori dan sebagainya kerana kanak-kanak masalah pendengaran menghadapi risiko untuk mendapat kelemahan yang lain. Kanak-kanak yang mempunyai masalah dalam pendengaran perlu dikesan dari peringkat awal dan mendapat lebih lagi perkhidmatan dari kecil lagi. Intervensi awal perlu diberikan kepada mereka bagi membantu perkembangan mereka dari segi pertuturan, bahasa, kognitif, sosial dan kemahiran motor. Pakar audiologi memainkan peranan penting dalam membantu kanak-kanak tersebut dalam meningkatkan kebolehan auditori mereka. Selain itu, kanak-kanak masalah pendengaran ini juga memerlukan bantuan dalam menggunakan amplifikasi dan perkembangan kemahiran komunikasi mereka untuk peningkatan kognitif, akademik, sosial dan lain-lain.
            Terdapat beberapa strategi intervensi awal untuk kanak-kanak masalah pendengaran iaitu kumpulan sokongan ibu bapa, memberikan sokongan kepada penjaga kanak-kanak tersebut, dapatkan perhatian kanak-kanak tersebut sebelum memulakan perbualan, memberikan fokus terhadap persekitaran yang sesuai untuk pendengaran, menggunakan petunjuk-petunjuk seperti gerak badan, gambar dan gerakan bibir  dan sebagainya.
            Kehilangan pendengaran bagi kanak-kanak memberikan kesan terhadap perkembangan kanak-kanak tersebut dan juga terhadap prestasi persekolahannya. Perkhidmatan intervensi awal semasa perlu sentiasa dibangunkan dan memperbaharui perkhidmatan yang baru agar dapat disesuaikan dengan kanak-kanak dan keluarganya untuk menerima intervensi awal yang lebih bersesuaian.

4 comments:

Ummu Faqeh said...

salam sis...saya nk mintak izin copy sdkt maklumat untuk menyiapkan kertas kerja..blh x? syukran...

nidapink90 said...

afwan

Ira Nadhira said...

Thanks sis :) Ia sangat membantu saya untuk siapkan kerja PBS Sain ;)

nidapink90 said...

:)

 
Images by Freepik