Pages

Thursday, December 25, 2014

Kerja ohhh kerja




Alhamdulillah.. Hari ni dah hari kedua aku mula bekerja. Lepas habis belajar hari tu, aku sempat duduk rumah beberapa hari je lepas tu sibuk kehulu kehilir. Pergi mana?. Pergi Kampar, kenduri kahwin bestfriend, lepas tu terus balik kampung seminggu. Dari kampung balik KL sehari lepas tu terus ke Senawang pulak. Kat sana pun kenduri kahwin bestfriend aku jugak. Dua hari lepas tu, balik KL sehari, lepas tu dok kat Kota Damansara 2 minggu jadi tenaga pengajar untuk suatu program kat sana. Lepas dah habis program tu, baru balik KL dan 2 hari mencari kerja.

Banyak kerja aku dapat, tapi aku perlu pilih satu saja yang paling baik dan sesuai dengan aku. Ada jugak aku minta cikgu ganti kat sekolah, tapi perlu tunggu dulu.. So, daripada aku tunggu benda yang belum pasti baik aku pilih je dulu 1 kerja yang sesuai. Dengarnya kami posting awal tahun depan, sebab tu aku nak kerja cepat2 nak simpan duit. At least sempat kerja sebulan pun jadila. Boleh la gaji sebulan tu buat belanja ckit masa posting nanti. Betul tak??

Saturday, December 20, 2014

Berakhirnya

Alhamdulillah... Setiap permulaan akan tiba saat untuk suatu pengakhiran.. Dan setiap pengakhiran itu juga adalah satu permulaan juga..

Pada 13 Julai 2009 aku memulakan pengajian di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, dan berkahir dengan rasminya pada 17 November 2014 lepas. Setelah 5 tahun setengah aku dok dan membesar di IPIK, macam2 kenangan dan pengalaman yang dah aku lalui.. Ada pahit ada manisnya..

Dalam banyak-banyak semester, aku rasa semester akhir yang paling banyak cabaran dan kenangan. Semester tu la jugak yang paling busy.. Banyak peristiwa yang dah berlaku.. Walau apa pun, kehidupan perlu diteruskan.. Masing-masing perlu membawa haluan sendiri. Lagi pun kalau aku dan kawan2 kelas semua dapat posting bidang kami sendiri x kemana pun kami ni. Bidang P.Khas pendengaran ni kecik je.. Alih2 jumpa juga kut dalam meeting ke, kursus ke..

Ada juga peristiwa yang sukar tuk aku lupakan, ia memberi pelbagai rasa dan memori serta pengajaran. Allah Maha Mengetahui.. Manusia merancang, tapi Allah juga merancang. Sebaik-baik perancang adalah Allah.. Siapalah kita ni untuk menolak takdir qada dan qadar Nya.

Semoga ada sinar untuk kebahgiaan di masa akan datang.

 Kawan-kawan yang dah bersama selama hampir 5 setengah tahun ni dah mcm adik beradik. Rapat dan saling menyayangi.. Hope hubungan kita x akan pernah putus. Insya Allah, semoga kita berjumpa lagi











Tugasan PKU 3143 Pengurusan dan Pentadbiran Pendidikan Khas



Melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti seharian di sekolah merupakan perkara yang penting kepada setiap orang murid. Ini tidak terkecuali kepada murid yang tergolong dalam berkeperluan khas. Bagi individu berkeperluan khas, keperluan logistik di dalam rumah boleh dirancang dan disediakan oleh individu dan ahli keluarga itu sendiri. Namun di sekolah adalah tanggungjawab pentadbiran sekolah dengan bantuan komuniti, agensi sosial, agensi swasta dan kerajaan untuk melaksanakannya. Ini bagi memudahkan golongan berkeperluan khas untuk lebih berdikari dan menjalankan aktiviti mereka supaya kurang pergantungan kepada orang lain. Di negara-negara maju, banyak kemudahan-kemudahan disediakan bagi membolehkan individu kurang upaya atau berkeperluan khas dapat menjalankan pelbagai aktiviti di sekolah dengan mudah dan selamat. Namun begitu, sekolah di Malaysia turut menyediakan beberapa kemudahan bersesuaian dengan murid pendidikan khas berdasarkan keperluan dan permintaan.
a)    Sub Tugasan 1       
Tugasan ini memerlukan saya untuk mendapatkan maklumat dan mengenal pasti kemudahan dan perkhidmatan yang perlu disediakan di kawasan sekolah untuk murid berkeperluan khas yang terdiri daripada masalah penglihatan, masalah pendengaran, dan masalah fizikal. Keperluan khas merupakan satu istilah yang umum untuk semua kumpulan murid atau pelajar kurang upaya. Menurut Wong Huey Siew (2006), pendidikan khas diperlukan oleh kumpulan kurang upaya ini jika mereka menyedari bahawa mereka adalah individu yang berpotensi sepenuhnya. Setiap murid berkeperluan khas mempunyai hak untuk mendapatkan kemudahan yang bersesuaian dengan diri mereka bagi mencapai keselesaan dalam proses pembelajaran di sekolah. Murid berkeperluan khas memerlukan pendidikan khas kerana keperluan pembelajaran mereka yang berbeza daripada pelajar biasa.
            Setiap sekolah mempunyai persekitaran pembelajaran yang berbeza. Ini disebabkan oleh sekolah tersebut mempunyai kelompok sosial yang berlainan (Wong Huey Siew, 2006). Secara keseluruhannya, setiap jenis murid berkeperluan khas mempunyai perkhidmatan dan kemudahan yang tersendiri. Ia adalah penting bagi mereka untuk terus belajar dan mencapai akses ilmu yang sepatutnya sama seperti murid normal. Namun begitu, bagi memudahkan murid bekeperluan khas menjalani kehidupan sebagai murid sama seperti murid yang lain pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang perlu disediakan mengikut kesesuaian persekitaran dan jenis masalah.
Masalah penglihatan adalah keadaan mata yang tidak normal untuk berfungsi sebagai deria melihat (Asiah, 2012). Bagi murid berkeperluan khas masalah penglihatan, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan perlulah bersesuaian dengan kecacatan mata yang dialami. Kemudahan mereka adalah lebih kepada kemudahan dalam bentuk sentuhan. Contohnya media bacaan di sekolah yang diterjemahkan dalam tulisan braille. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah mencetak dan mengedarkan buku-buku teks braille dan bahan-bahan rujukan braille ke sekolah-sekolah pendidikan khas masalah penglihatan. Kemudahan buku-buku tersebut membantu murid untuk belajar dengan lebih selesa dan dapat memperoleh ilmu yang terkandung dalam buku teks sama seperti murid aliran perdana. Selain buku teks dan buku rujukan dalam tulisan braille, kemudahan lain yang turut menggunakan tulisan braille ialah label tandas, telefon awam, dan papan tanda arah. Bagi sekolah yang mempunyai kemudahan lif, penggunaan tulisan braille pada butang lif adalah perlu bagi memudahkan murid masalah penglihatan menggunakan lif tersebut. Malah kedudukan aras dan tingkat bersuara juga turut diperlukan bagi membantu mereka menggunakan lif.
Tangga yang mempunyai susur tangan juga adalah perlu disediakan di sekolah yang mempunyai murid masalah penglihatan dan juga untuk murid masalah fizikal. Ia diperlukan bagi memudahkan pergerakan murid untuk melalui kawasan yang sukar. Longkang-longkang pada kawasan sekolah juga seharusnya mempunyai penutup untuk memudahkan murid masalah penglihatan dan juga murid masalah fizikal melalui kawasan tersebut tanpa mengakibatkan kemalangan.
Bagi membantu murid masalah penglihatan menghadapi pembelajarannya dengan lebih baik, terdapat beberapa perkhidmatan yang boleh digunakan dan perlu disediakan di sekolah seperti perkhidmatan oftalmologi, cermin mata berkuasa tinggi, alat optik, lampu pembesar Luxo, mesin membaca, unit pembesar elektronik, dan duplicator braille. Selain itu, kemudahan bilik resos juga diperlukan oleh murid masalah penglihatan di sekolah. Bilik resos diuruskan oleh guru-guru pendidikan khas untuk menyediakan perkhidmatan sokongan kepada murid masalah penglihatan (Wong Huey Siew, 2006). Menurut Noriati, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhiriah & Zuraidah (2010) bilik resos ini mengandungi bahan bantu mengajar yang bersumberkan teknologi ICT yang dilengkapi dengan e-pembelajaran, komputer, e-buku, e-majalah, e-portfolio, dan forum. Selain untuk murid masalah penglihatan, bilik resos juga turut disediakan untuk murid-murid berkeperluan khas yang lain dan murid di sekolah aliran perdana.
 Manakala bagi murid berkeperluan khas masalah pendengaran pula memerlukan kemudahan dan perkhidmatan yang lebih kepada visual kerana masalah dalam bentuk pendengaran. Menurut Asiah (2012), masalah pendengaran terjadi disebabkan oleh deria dengar seseorang itu yang terganggu atau terhalang daripada menerima untuk mengamati sesuatu bunyi, perbualan atau bisikan orang lain. Golongan ini sukar untuk mendengar dan memahami apa yang diperkatakan oleh orang lain. Oleh itu, mereka lebih menggunakan visualisasi dalam kehidupan seharian mereka. Kemudahan prasarana yang biasa diperoleh oleh murid masalah pendengaran di sekolah ialah lampu suluh khas. Lampu suluh ini diletakkan di sekitar kawasan sekolah seperti di dalam kelas, kantin, asrama, koridor, dan dewan sekolah. Kegunaan lampu tersebut ialah untuk memberikan isyarat pertukaran waktu kepada murid dan guru masalah pendengaran. Jika di sekolah aliran perdana, biasanya penggunaan loceng digunakan untuk pemberitahuan pertukaran waktu dan kecemasan, tetapi di sekolah masalah pendengaran menggunakan lampu suluh isyarat. Untuk tujuan keselamatan juga, murid masalah pendengaran yang tinggal di asrama akan mendapat kemudahan springkler iaitu perinjis air. Kegunaannya adalah untuk isyarat kecemasan seperti kebakaran dan sebagainya. Apabila murid sedang tidur, sukar untuk dikejutkan dengan jeritan suara apabila berlaku kecemasan dan situasi yang mencemaskan. Oleh itu kemudahan springkler ini amat diperlukan di kawasan asrama murid.
Murid masalah pendengaran mempunyai masalah untuk mendengar dan bertutur dengan lancar. Oleh itu mereka perlu menggunakan telefon awam berskrin sebagai satu bentuk bantuan kepada mereka untuk berhubung dengan keluarga masing-masing. Selain itu, papan tanda di kawasan sekolah perlu dilengkapi dengan gambar bagi memudahkan murid lebih memahami info atau amaran yang ingin disampaikan. Selain gambar, papan tanda tersebut juga boleh disertakan sekali dengan gambar isyarat yang jelas dan ringkas. Dalam proses pembelajaran murid di sekolah, terdapat beberapa kemudahan yang boleh digunakan bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran seperti sistem radio mikrofon, papan putih interaktif, dan bilik resos. Selain itu, perkhidmatan lain yang turut disediakan untuk murid masalah pendengaran ini juga ialah bilik pemulihan, bilik terapi, bilik pertuturan, dan bilik audiologi. Setiap perkhidmatan tersebut dikendalikan oleh individu yang bertauliah dan mempunyai kelulusan dalam bidang masing-masing seperti juru pulih, juru terapi, juru terapi pertuturan, dan pakar audiologi.
Seterusnya, murid berkeperluan khas masalah fizikal merupakan masalah yang merangkumi pelbagai jenis kecacatan pada anggota badannya. Asiah (2012) mengatakan bahawa masalah fizikal melibatkan keadaan jasmani atau anggota tubuh seseorang yang mengganggu fungsi kehidupan sehariannya. Bagi murid berkeperluan khas masalah fizikal memerlukan kemudahan dan perkhidmatan yang dapat memberi sokongan dan bantuan terhadap kecacatan yang dimiliki. Murid ini turut memerlukan bantuan dan sokongan yang berbentuk fizikal dan pengubahsuaian struktur bangunan. Contohnya tangga yang terdapat di kawasan sekolah perlulah mempunyai susur tangan bagi membantu murid masalah fizikal ini menaiki dan menurun tangga dengan mudah. ‘Ram’ dan ‘railing’ juga diperlukan bagi memudahkan murid tersebut melalui kawasan sekolah dengan selamat. Longkang yang tertutup juga perlu agar murid tersebut tidak terjatuh ke dalam longkang. Bagi murid yang berkerusi roda, laluan khas untuk kerusi roda seharusnya disediakan di sekolah agar mudah bagi murid tersebut melalui kawasan yang berbukit atau bertangga. Selain itu, bagi membantu murid masalah fizikal ini menggunakan kemudahan dengan lebih lancar, lif khas dan tandas khas dibuat khas untuk mereka. Bagi sekolah yang mempunyai kemudahan lif khas, ia amat baik bagi murid untuk bergerak naik ke aras atas dan turun ke aras bawah bangunan sekolah. Tandas yang direka khas untuk murid masalah fizikal direka dengan keluasan yang lebih luas berbanding tandas biasa dan mempunyai pemegang tangan di bahagian tepi dinding serta tandas duduk yang selesa.
Dalam urusan pengajaran dan pembelajaran kelas, kemudahan seperti papan putih interaktif dan bilik resos turut disediakan di sekolah supaya murid dapat mengakses ilmu pengetahuan dengan lebih baik. Papan putih interaktif digunakan bagi guru menyampaikan pengajaran dengan menggunakan ICT, dan bilik  resos juga mengandungi pelbagai bahan bantu mengajar yang berbentuk ICT. Selain kemudahan-kemudahan yang telah dinyatakan, terdapat juga perkhidmatan seperti jurupulih, pakar pertuturan, dan juru terapi yang disediakan untuk membantu murid masalah fizikal bagi mengurangkan masalah yang dihadapi.
Selain daripada kemudahan dan perkhidmatan yang berbeza-beza bagi setiap murid berkeperluan khas di atas, terdapat juga perkhidmatan lain yang turut disediakan untuk ketiga-tiga golongan murid berkeperluan khas ini. Antaranya ialah perkhidmatan kaunseling dan nasihat dan kemudahan taman sensori. Perkhidmatan kaunseling dan nasihat ini dikendalikan oleh guru kaunseling atau guru bimbingan dan pada setiap sekolah wajar mempunyai perkhidmatan ini. Taman sensori pula diwujudkan untuk memberikan manfaat kepada murid dan guru bagi menjalani aktiviti memerhati, kaji selidik, dan penyelesaian masalah. Pembelajaran dengan melakukan pendekatan di taman sensori ini akan memberikan pengalaman dan meningkatkan kemahiran sosial mereka.
            Berikut pula merupakan senarai semak pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang perlu disediakan di kawasan sekolah untuk murid berkeperluan khas :
No
Kemudahan/Perkhidmatan
Masalah Penglihatan
Masalah Pendengaran
Masalah Fizikal
1
Butang braille pada lif
/


2
Kedudukan aras dan tingkat bersuara pada lif
/


3
Label tandas dengan tulisan braille
/


4
Tangga yang mempunyai susur tangan
/

/
5
Telefon awam yang mempunyai tulisan braille
/


6
Papan tanda arah yang bertulisan braille
/


7
Longkang bertutup
/

/
8
Perkhidmatan oftalmologi
/


9
Perkhidmatan kaunseling dan nasihat
/
/
/
10
Cermin mata berkuasa tinggi
/


11
Alat optik
/


12
Lampu pembesar Luxo
/


13
Mesin membaca
/


14
Unit pembesar elektronik
/


15
Lampu suluh khas

/

16
Perinjis air (springkler) di bilik asrama
/
/

17
Telefon awam berskrin (sms)

/

18
Papan tanda bergambar

/

19
Bilik pemulihan

/
/
20
Bilik pertuturan

/
/
21
Bilik terapi

/
/
22
Bilik audiologi

/

23
Alat elektronik (CCTV)
/
/
/
24
Sistem radio mikrofon

/

25
Papan putih interaktif

/
/
26
‘Ram’ dan ‘railings’


/
27
Laluan untuk kerusi roda


/
28
Lif khas


/
29
Tandas khas


/
30
Bilik resos
/
/
/
31
Buku rujukan braille
/


32
Taman sensori
/
/
/
33
Duplikator braille
/



b)    Sub Tugasan 2
Sub tugasan ini memerlukan saya untuk membuat pemerhatian mengenai kemudahan infrastruktur dan prasarana pendidikan terhadap sebuah sekolah murid berkeperluan khas. Selain itu, saya juga perlu membincangkan tentang pelaksanaan program pendidikan khas di sekolah tersebut.
 Saya telah menjalani latihan internship selama 4 minggu di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Selangor (SKPKS), Shah Alam.  Terdapat beberapa kemudahan dan prasarana yang bersesuaian dengan murid berkeperluan khas di sekolah tersebut. Antaranya ialah yang pertama lampu suluh khas. Lampu tersebut diletakkan di dalam kelas, koridor bangunan sekolah, kantin dan juga di dalam asrama. Kebaikan lampu suluh ini ialah, ia dapat memberikan isyarat kepada murid bermasalah pendengaran mengenai masa. Penggunaan lampu isyarat ini sebagai tanda kecemasan, waktu rehat, dan juga menunjukkan telah tamat sesuatu sesi pembelajaran kelas. Namun begitu saya dapati, sekolah tersebut tidak menggunakan kemudahan tersebut dengan sebaiknya. Malah ia langsung tidak digunakan sepanjang saya berada di sekolah tersebut. Situasi tersebut telah merugikan kemudahan yang telah diperuntukkan oleh pihak kementerian pendidikan. Murid-murid bermasalah pendengaran mempunyai hak untuk mengetahui pertukaran waktu dan tanda kecemasan dengan penggunaan lampu tersebut.
Seterusnya, saya dapati bahawa SKPKS mempunyai bilik perkhidmatan seperti pemulihan, pertuturan, terapi, dan audiologi. Setiap bilik tersebut mempunyai peranan dan kepentingannya tersendiri. Bilik pemulihan disediakan untuk murid yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan memerlukan sesi pemulihan yang lebih berfokus. Manakala bilik pertuturan adalah untuk murid menjalani latihan bertutur dengan bantuan dan pengawasan badan sokongan seperti ahli pertuturan. Bilik terapi pula merupakan bilik untuk rawatan bagi murid menjalani terapi tertentu. Contohnya terapi bermain untuk meningkatkan keyakinan dan sosial murid yang pasif. Bilik audiologi pula adalah untuk ahli audiologi menjalankan ujian dan rawatan susulan terhadap murid bermasalah pendengaran. Saya dapati bahawa di SKPKS ini mempunyai pakar terapi pertuturan, audiologi, dan sebagainya berfungsi dengan baik. Namun begitu saya jarang melihat murid-murid dipanggil untuk menjalani rawatan. Saya berpendapat bahawa pihak sekolah perlu menjalankan kerjasama yang erat dengan pihak badan sokongan tersebut untuk memastikan murid bermasalah pendengaran mendapat bantuan daripada pihak audiologi dengan sebaiknya.
Selain itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling turut disediakan di SKPKS yang boleh membantu murid bermasalah pendengaran mendapatkan bimbingan dan kaunseling daripada kaunselor yang bertauliah. Murid bermasalah pendengaran juga mempunyai masalah dan terdapat juga golongan murid yang tidak tahu meluahkan perasaan kepada orang lain. Oleh itu, peranan seorang kaunselor amatlah penting dalam membantu dan membentuk keperibadian murid yang baik. Guru bimbingan dan kaunseling di SKPKS amat membantu dan berkaliber dalam menjalani sesi kaunseling individu dan kelompok terhadap murid yang memerlukan. Namun begitu, saya dapati guru bimbingan dan kaunseling di sekolah ini bukan berasal daripada bidang pendidikan khas masalah pendengaran. Malahan beliau baru sahaja bertugas di sekolah ini selama setahun. Oleh itu, beliau menghadapi sedikit kesukaran untuk berkomunikasi dengan kliennya. Sebagai penambahbaikan, saya berpendapat bahawa guru yang baru bertukar bidang ke pendidikan khas ini perlu diberikan kursus yang secukupnya berkaitan dengan murid-murid khas. Oleh itu, guru dapat memahami dan berinteraksi dengan lebih baik lagi terutamanya dari segi penggunaan bahasa isyarat.
Seterusnya, papan tanda bergambar juga turut disediakan di kawasan sekolah. Contohnya papan tanda tandas dan selamat datang. Papan tanda dapat digunakan untuk tujuan memberikan maklumat kepada murid. Maklumat yang disampaikan adalah lebih jelas dan mudah difahami. Secara umumnya, murid bermasalah pendengaran menghadapi masalah dalam penguasaan membaca dan bahasa. Mereka lambat untuk menguasai kemahiran membaca secara pantas.
Penggunaan alat elektronik seperti CCTV juga adalah perlu dipasang di kawasan sekitar sekolah. Ia bertujuan untuk memantau keadaan dan menjaga keselamatan murid-murid, guru-guru, dan pelawat di sekolah. Murid bermasalah pendengaran yang tidak dapat bersuara sukar untuk mendapatkan bantuan dan menjerit meminta tolong sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini di dalam kawasan sekolah. Oleh itu, dengan bantuan alat CCTV ini, pihak pentadbir, guru disiplin, dan pengawal keselamatan dapat memerhatikan keadaan semasa para murid di sekolah. Walau bagaimana pun, kos untuk penyelenggaraan untuk alat elektronik ini adalah tinggi. Harga untuk barang gantian juga adalah tinggi mengikut kualiti. Selain daripada penggunaan CCTV, pengawal sekolah dan pembantu pengurusan murid (PPM) perlu sering meronda dan mengawasi murid dan keadaan sekolah agar sentiasa dalam keadaan selamat dan terkawal.
      Selain perkara-perkara di atas, terdapat beberapa lagi kemudahan yang perlu diambil perhatian dan diwujudkan di sekolah pendidikan khas bermasalah pendengaran ini. Ia adalah penting untuk membantu dan memberikan keselesaan kepada murid di sekolah. Antaranya ialah perenjis air (springkler) di kawasan sekolah terutamanya di asrama murid. Contohnya, sekiranya berlaku kebakaran semasa murid sedang tidur, perinjis air ini dapat merenjiskan air dan membantu mengurangkan api menjadi lebih marak. Malah murid juga akan tersedar daripada tidur semasa kebakaran sedang berlaku. Murid tidak dapat menjerit untuk memberitahu keadaan kecemasan yang sedang berlaku kepada rakan-rakan yang lain semasa berlakunya kecemasan tersebut.
Selain itu, telefon awam berskrin juga perlu disediakan bagi kemudahan murid-murid bermasalah pendengaran ini. Ia bertujuan memberi peluang kepada mereka untuk berhubung dengan masyarakat luar terutamanya dengan ahli keluarga. Pihak sekolah boleh mengusahakan mendapatkan telefon seperti itu untuk kesenangan dan kemudahan murid pada masa hadapan.
Sistem radio mikrofon juga amat bagus digunakan oleh guru dan murid semasa dalam sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Ia dapat membantu guru untuk menyampaikan maklumat dengan baik serta murid turut dapat memperoleh pengetahuan dan ilmu yang disampaikan oleh guru. Biasanya sistem radio mikrofon ini digunakan dalam sistem pendidikan di luar negara. Di Malaysia, penggunaannya adalah tidak meluas.
Papan putih interaktif juga dapat digunakan bagi membantu murid belajar dengan lebih baik semasa di dalam kelas. Ia adalah satu bentuk kemudahan yang sesuai sekali digunakan oleh guru dan murid. Papan putih interaktif ini dapat membantu guru menggunakannya dengan sistem komputer bagi memudahkan cara penyampaian ilmu. Murid juga akan kelihatan aktif dan tidak bosan dengan cara pengajaran dan pembelajaran yang konvensional.

c)    Sub Tugasan 3
Setelah saya selesai menyiapkan tugasan PKU 3143 ini, saya berpendapat bahawa pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai jenis kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang bersesuaian mengikut jenis-jenis murid berkeperluan khas. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah menyediakan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan untuk sekolah-sekolah pendidikan khas berdasarkan bajet yang telah dibuat dalam Persekutuan. Di sekolah, kemudahan yang disediakan adalah mengikut keperluan murid dan sekolah tersebut. Berdasarkan pengalaman saya sepanjang pergi ke sekolah semasa Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS), praktikum, dan internship saya dapati tidak semua kemudahan infrastruktur dan kemudahan yang disediakan di sekolah yang mempunyai murid berkeperluan khas digunakan dengan sebaiknya. Contohnya semasa saya pergi ke sebuah sekolah pendidikan khas masalah pendengaran pada semester lepas dan semester ini, saya dapati bahawa kemudahan seperti lampu suluh khas tidak digunakan. Lampu suluh tersebut seharusnya digunakan untuk menunjukkan isyarat seperti pertukaran waktu pengajaran dan pembelajaran, waktu keluar dan masuk rehat, waktu tamat persekolahan, dan kecemasan. Namun, apa yang dapat saya perhatikan ialah kemudahan tersebut tidak digunakan oleh pihak sekolah. Saya berpendapat bahawa senario seperti itu tidak seharusnya berlaku di sekolah.
Namun begitu, saya juga tidak nafikan bahawa terdapat juga khidmat sokongan dan perkhidmatan yang digunakan dan dilaksanakan dengan baik di sekolah. Contohnya bilik bimbingan dan kaunseling, dan bilik audiologi di sebuah sekolah pendidikan khas di Selangor. Oleh itu, saya berpendapat bahawa semua prasarana dan khidmat sokongan yang disediakan hendaklah digunakan sebaiknya agar tidak berlaku pembaziran sumber dan memberi manfaat kepada murid-murid. Pihak kerajaan telah menyediakan peruntukan mengikut keperluan sesuatu sekolah, oleh itu jika pihak sekolah tidak menggunakan sebarang kemudahan yang disediakan ia akan mengakibatkan murid-murid tidak mendapat kemudahan dan bantuan yang sepatutnya. Setiap murid bekeperluan khas mempunyai hak dalam mendapatkan kemudahan yang baik untuk keselesaan mereka mengikuti pembelajaran di sekolah.
 Sepanjang tempoh masa saya menyiapkan tugasan ini, pelbagai pengalaman yang saya peroleh dari segi kekuatan, kelemahan, dan isu yang berkaitan dengan kemudahan dan prasarana untuk murid berkeperluan khas.
Dari segi kekuatan, apa yang dapat saya katakan ialah saya berjaya memperoleh beberapa rujukan daripada media elektronik iaitu laman web dan juga media cetak seperti pamplet sekolah. Bahan rujukan yang pelbagai dapat membantu saya untuk mendapatkan maklumat dan info mengenai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk individu kurang upaya di sekolah. Saya berjaya memperoleh bahan bercetak seperti buku-buku rujukan di perpustakaan negara. Saya telah berusaha untuk mencari maklumat tambahan di laman web dan portal di internet. Walaupun saya menghadapi masalah untuk meminjam buku tersebut di perpustakaan negara, saya telah mengambil inisiatif dengan cara mengambil gambar bahan rujukan tersebut dan dilampirkan di bahagian lampiran pada tugasan ini. Saya telah pergi menyiapkan tugasan ini disamping mencari bahan rujukan di perpustakaan negara selama dua hari iaitu dari pagi hingga ke petang. Ini juga merupakan satu inisiatif untuk menggunakan buku-buku yang tidak boleh pinjam untuk dibawa pulang.
 Tugasan ini dapat menggalakkan pelajar seperti saya untuk menambahkan pengetahuan tentang ilmu pendidikan khas seperti jenis-jenis masalah kurang upaya, sekolah-sekolah pendidikan khas, dan kemudahan yang perlu disediakan untuk murid berkeperluan khas. Jika selama ini saya hanya belajar mengenai bidang pendidikan khas masalah pendengaran, kini saya juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan tentang bidang masalah penglihatan dan masalah fizikal. Saya telah banyak mempelajari mengenai pelbagai jenis kemudahan prasarana dan khidmat sokongan yang diperlukan oleh murid berkeperluan khas. Jika sebelum ini, saya hanya mengetahui beberapa jenis kemudahan semasa saya belajar di institut, tetapi melalui tugasan ini saya telah mendapat info lebih banyak mengenai kemudahan untuk murid berkeperluan khas. Selain itu, saya dapat melihat dan mengenal pasti infrastruktur serta prasarana pendidikan yang disediakan di sekolah pendidikan khas yang telah saya kunjungi. Saya dapat melihat sendiri dan menilai kegunaan kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.
Tugasan ini juga telah menambahkan kemahiran sosial saya apabila saya perlu berurusan dengan pihak sekolah dan perpustakaan untuk mendapatkan maklumat mengenai kemudahan prasarana dan perkhidmatan untuk murid berkeperluan khas. Sedikit sebanyak kemahiran ini dapat saya praktikkan pada masa hadapan apabila sudah masuk ke alam pekerjaan kelak. Sebagai seorang bakal guru, saya perlu mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi bagi memudahkan saya untuk berhadapan dan berinteraksi dengan orang ramai terutamanya dengan murid, pihak sekolah dan masyarakat setempat.
Dari segi kelemahan dalam tugasan yang diberikan ini ialah tidak banyak sumber media cetak yang saya peroleh daripada terbitan tempatan. Masalah ini berlaku kerana perkembangan pendidikan khas di Malaysia masih dalam keadaan yang sedang membangun. Maka sumber-sumber maklumat mengenainya masih kurang dikeluarkan oleh warga tempatan. Walau bagaimana pun, para ilmuwan dan pelajar khasnya perlulah mengambil inisiatif untuk menghasilkan bahan bacaan dan rujukan pendidikan khas untuk memberikan sebaran ilmu kepada orang ramai mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang seharusnya diperoleh oleh individu kurang upaya. Kita tidak seharusnya terus-terusan bergantung kepada sumber bahan bacaan dari luar negara. Saya juga apabila telah tamat pengajian dan mempunyai kelayakan akademik, saya perlu berusaha untuk mengkaji dan menghasilkan bahan bacaan yang bermutu mengenai pendidikan khas untuk masyarakat setempat. Kita perlu sedar bahawa masih ramai dalam kalangan masyarakat yang masih tidak memahami dan mengetahui realiti sebenar mengenai hak dan perkhidmatan yang harus disalurkan kepada warga berkeperluan khas.
Selain itu, saya juga menghadapi masalah untuk mendapatkan bahan rujukan di perpustakaan institut. Antara masalahnya ialah sistem carian buku secara online (OPAC) di perpustakaan tersebut sering bermasalah. Perkara ini menyebabkan saya tidak dapat mencari buku-buku yang diperlukan dengan lebih cepat dan efisien. Saya terpaksa mencari buku di setiap rak di bahagian tertentu bagi mencari bahan rujukan yang diperlukan. Perkara ini telah sering terjadi dan menyebabkan kami sukar mencari bahan rujukan. Seharusnya perkara ini hendaklah dielakkan. Pihak perpustakaan perlu sentiasa memastikan OPAC dapat digunakan selalu dan membuat servis yang baik. Kemudian, pihak perpustakaan juga tidak menyimpan keratan akhbar yang lama untuk dijadikan rujukan para pelajar di institut. Perkara ini telah menyukarkan kami untuk mencari bahan sokongan daripada akhbar yang berkaitan dengan bidang yang diceburi. Inisiatif lain yang perlu saya lakukan ialah mencari sumber rujukan daripada akhbar secara dalam talian bagi menggantikan keratan akhbar yang tidak berjaya diperoleh.
Pengalaman saya dalam usaha untuk menyiapkan tugasan ini dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman mengenai kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang diperlukan oleh murid berkeperluan khas di  sekolah. Pengalaman ini dapat saya gunakan apabila bertugas sebagai seorang guru kelak. Saya boleh membantu murid berkeperluan khas untuk mendapatkan perkhidmatan dan kemudahan yang sesuai dengan jenis kecacatannya di sekolah. Jika terdapat sebarang masalah seperti masalah tidak menggunakan kemudahan yang disediakan di sekolah, saya boleh bertindak melakukan sesuatu untuk memastikan kemudahan tersebut digunakan sebaiknya. Murid berkeperluan khas perlu dibantu dan diberikan hak mereka dalam mendapatkan kemudahan dan perkhidmatan yang sewajarnya.
Jika kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di sekolah adalah kurang mencukupi, saya perlu mengetahuinya dan membuat tindakan yang segera. Maka tugasan ini sedikit sebanyak turut memberikan saya pengalaman dan pengetahuan mengenai kemudahan prasarana dan perkhidmatan yang perlu disediakan di sekolah murid berkeperluan khas. Pengalaman dan pengetahuan ini dapat saya gunakan apabila bergelar guru di sekolah pendidikan khas kelak. Adalah menjadi tanggungjawab bagi seorang guru untuk mengambil tahu perihal kebajikan dan keperluan muridnya agar proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan dengan lancar.
 
Images by Freepik