PENDAHULUAN BIMBINGAN
Sejak dahulu, pelbagai masalah yang timbul dalam kalangan
murid-murid di peringkat sekolah yang terdiri daripada pelbagai latar belakang
yang berbeza-beza. Murid-murid ini memerlukan bimbingan daripada guru untuk
membantu mencegah dan menyelesaikan masalah mereka.
Menurut Crow dan
Crow (1983), bimbingan merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan
dengan betul kepada murid berkenaan. Bimbingan dapat didefinisikan sebagai
istilah yang berfokus kepada masalah penyesuaian kesihatan, agama, rekreasi
dalam keluarga dan kumpulan rakan dalam sekolah dan tempat kerja (Campbell,
1932). Bimbingan dapat membantu murid untuk memahami diri sendiri dan
menyesuaikan dirinya dengan persekitarannya.
Dalam
memberikan bimbingan kepada murid-murid terdapat beberapa prinsip yang perlu
guru bimbingan ambil perhatian iaitu aktiviti bimbingan perlu dirancang dan
dibina khusus untuk memastikan bahawa program bimbingan akan memberikan kesan
yang terbaik kepada murid, memberi peluang bimbingan kepada semua murid, lebih
cenderung kepada pencegahan dan perkembangan masalah, dan program bimbingan
perlulah berdasarkan objektif pendidikan.
Dalam tugasan
program bimbingan ini, saya dikehendaki untuk menyediakan kertas cadangan dan
melaksanakan program bimbingan di sekolah. Kemudian saya perlu menganalisis
dapatan penilaian murid terhadap program bimbingan yang telah saya jalankan.
Setelah itu saya perlu menyatakan kekuatan, kelemahan dan penambahbaikan
terhadap diri saya dan program bimbingan tersebut.
Saya telah
bekerjasama dengan dua orang rakan yang lain untuk merancang dan menjalankan
satu program bimbingan yang berbentuk ceramah kepada murid-murid perempuan yang
tinggal di asrama sekolah. Program bimbingan tersebut terbahagi kepada empat
slot yang dikendalikan oleh orang yang berlainan. Saya telah menjadi penceramah
yang pertama dengan memilih tajuk Etika Pergaulan Lelaki dan Perempuan.
ANALISA DAPATAN PENILAIAN
MURID
Setelah selesai mengendalikan satu slot ceramah yang
bertajuk Etika Pergaulan Lelaki dan Perempuan di asrama Puteri SKPK Selangor,
saya telah mengedarkan borang penilaian pengisian program bimbingan kepada
murid-murid tahap 2 sebanyak 15 orang. Saya tidak memberikan borang penilaian
kepada murid-murid yang lain kerana mereka tidak mahir membaca dan menulis.
Kemahiran membaca dan menulis bagi murid-murid Pendidikan Khas adalah rendah,
malah bagi murid tahap 2 juga, mereka perlu dibimbing dan diterangkan tentang
kandungan borang tersebut.
Antara keperluan borang penilaian tersebut dilakukan
adalah untuk mengenal pasti kelemahan dan kekuatan program yang telah
dijalankan. Oleh itu, saya boleh mengetahui pandangan dan pendapat murid
tentang pengendalian saya terhadap program tersebut. Saya boleh jadikan ia
sebagai satu penanda aras pada diri saya untuk menjalankan program yang lebih
baik pada masa akan datang.
Borang
penilaian pengisian program bimbingan yang dikendalikan oleh saya terdiri
daripada empat bahagian. Bahagian pertama, ialah soalan ‘Apakah perasaan anda
sebelum menyertai program ini?’ Setelah dianalisis, saya dapati bahawa sebanyak
67% murid telah menandai ruangan ‘berminat’ untuk menyertai program bimbingan
kelolaan saya. Manakala sebanyak 20% murid yang menandai ruangan ‘malas’ dan
13% yang menandai ruangan ‘seronok’. Saya berjaya mempromosikan program
bimbingan saya dengan memberitahu bahawa terdapat program dan aktiviti yang
menarik yang bakal dijalankan. Saya juga menarik minat mereka dengan hubungan
interpersonal yang baik agar mereka tidak berasa dipaksa dan bosan untuk
menyertai program ini. Namun begitu, masih terdapat murid yang berasa malas
sebelum hadir ke program saya. Perkara ini berlaku kerana murid telah menjalani
banyak program dan aktiviti di sekolah. Oleh itu, mereka berpendapat bahawa
program saya juga adalah membosankan dan sama seperti di sekolah.
Soalan kedua yang perlu
murid jawab dalam borang penilaian pengisian program tersebut ialah ‘Apakah
perasaan kamu selepas menyertai program ini?’. Setelah dianalisis, saya dapati
bahawa sebanyak 87% yang menyatakan bahawa mereka berpuas hati dengan program
ini. Ini menunjukkan bahawa murid merasakan program ini amat bagus dan
bersesuaian untuk mereka. Malah cara penyampaian saya yang mudah dan simulasi
dapat membuatkan murid-murid masalah pendengaran ini memahami penyampaian saya
dengan jelas. Saya turut menggunakan tayangan power point sebagai alat bantu
untuk saya menyampaikan pengisian kepada murid-murid.
Bahagian seterusnya dalam
borang penilaian pengisian program bimbingan tersebut memerlukan murid untuk
memberikan penilaian berdasarkan angka satu hingga lima yang mewakili tidak
memuaskan, kurang memuaskan, sederhana, memuaskan, dan sangat memuaskan. Sebanyak
47% murid yang memberikan penilaian 4 iaitu memuaskan untuk kriteria jangka
masa program yang sesuai. Program bimbingan saya dijalankan selama 35 minit dan
murid didapati bahawa memberikan perhatian dengan sepenuhnya. Saya tidak perlu
memanjangkan masa sehingga satu jam kerana dikhuatiri murid akan berasa bosan
dan hilang tumpuan. Terdapat juga 33% murid yang memberikan penilaian 5 iaitu
sangat memuaskan dan 20% yang memberikan penilaian 3 iaitu sederhana.
Seterusnya terdapat 40%
murid telah memberikan penilaian 5 iaitu sangat memuaskan terhadap kriteria
pemilihan tajuk program yang dijalankan. Perkara ini saya berpendapat bahawa
sebahagian murid dapat memahami pengisian yang diberikan dan tajuk program ini
bersesuaian dan menarik untuk dibincangkan. Saya dapat melihat semasa program
ini berlangsung, murid-murid kelihatan gembira dan dapat memberikan maklum
balas semasa saya bersoal jawab dengan murid. Murid-murid yang lain turut
memberikan penilaian 4,3,2 dan 1 iaitu sebanyak 27% murid yang memberikan
penilaian 4, 20% murid memberikan penilaian 3 dan 7% murid yang memberikan
penilaian 1 dan 2. Murid yang memberikan penilaian 1 dan 2 itu berkemungkinan
bahawa murid tersebut tidak memahami dan tidak memberikan tumpuan terhadap
pengisian yang diberikan oleh saya. Ini adalah kerana jumlah murid yang
menandai penilaian 1 dan 2 itu hanyalah dua orang murid sahaja.
Selain itu, sebanyak 47%
murid yang memilih penilaian 5 untuk kriteria tempat atau lokasi program.
Program tersebut dijalankan di bilik aktiviti di asrama perempuan. Bilik
tersebut menjadi pilihan kerana sasaran peserta untuk program ini ialah murid
yang tinggal di asrama. Walaupun terdapat kemudahan kerusi dan meja serta papan
putih di bilik belajar, namun ia tidak dapat digunakan kerana bilik tersebut
tidak mempunyai kabel plak untuk memasang komputer dan pancaran LCD. Sebanyak
20% murid yang memberikan penilaian 3 untuk tempat atau lokasi program ini
mungkin disebabkan mereka kurang selesa untuk duduk di atas lantai di dalam
bilik tersebut. Bilik tersebut tidak mempunyai kemudahan kerusi dan meja untuk
kegunaan murid. Murid yang lain pula ada yang memberikan penilaian 4 dan 2
iaitu sebanyak 13% dan penilaian 1 sebanyak 7%.
Soalan seterusnya
memerlukan murid untuk memberikan penilaian kepada penceramah iaitu saya
sendiri. Keputusan daripada analisis borang penilaian pengisian program
bimbingan yang dijalankan menunjukkan bahawa sebanyak 100% murid memberikan
penilaian 5 iaitu sangat berpuas hati terhadap penceramah. Ini bermakna murid
sangat suka dan memberikan tanggapan yang baik terhadap penceramah.
Soalan yang
terakhir dalam borang penilaian tersebut ialah ‘Adakah anda rasa bahawa program
seperti ini perlu diadakan lagi?’. Murid-murid sebanyak 100% telah menandai
keputusan iaitu ‘ya’ Ini bermakna, murid-murid bersetuju dan suka program
bimbingan seperti ini diadakan lagi pada masa akan datang. Malah perkara ini
turut menunjukkan bahawa ceramah yang disampaikan oleh saya adalah
menyeronokkan dan memberi kesan kepada murid. Jika cara penyampaian saya adalah
membosankan dan murid tidak memahami kandungan ceramah saya, sudah tentu murid
tidak memberikan penilaian sangat memuaskan kepada saya.
Secara
keseluruhannya, saya merasakan murid-murid telah memberikan maklum balas yang
baik dan memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan program ini. Saya dapat
menilai kekuatan dan kelemahan saya dalam mengendalikan program bimbingan ini.
KEKUATAN DAN KELEMAHAN DIRI
Kekuatan
Diri
Sepanjang saya melakukan perancangan untuk melaksanakan
program bimbingan ini, saya telah berbincang dengan tiga orang lagi rakan untuk
mengadakan program bimbingan dalam satu hari sahaja. Setiap daripada kami akan
mengambil satu slot dan tajuk untuk memberikan satu ceramah atau bentuk
bimbingan kepada murid-murid yang menjadi sasaran kami di asrama.
Saya telah memilih pada hari Jumaat iaitu pada jam 8.00
malam untuk mengadakan program bimbingan tersebut. Hari Jumaat itu dipilih
kerana murid-murid asrama tidak pulang ke rumah masing-masing kerana terdapat
sekolah ganti pada hari Sabtu. Sehari sebelum program bermula, saya telah
memberitahu murid-murid bahawa terdapat aktiviti yang akan dijalankan pada hari
Jumaat. Oleh itu, murid-murid telah bersedia dan turun awal ke bilik aktiviti.
Saya juga telah meminjam LCD daripada guru pembimbing
saya untuk digunakan dalam program bimbingan tersebut. LCD diperlukan kerana
saya dan rakan-rakan menggunakan tayangan power point untuk menayangkan gambar,
dan isi penting dalam ceramah kami. LCD tersebut saya jaga dan simpan hingga
saya pulangkan kembali kepada guru pembimbing pada keesokan harinya.
Semasa program bimbingan sedang berlangsung, saya telah
menggunakan bahasa yang mudah dan bahasa isyarat yang betul kepada murid-murid
saya agar mereka dapat memahami isi yang saya sampaikan kepada mereka. Ini
adalah kerana murid-murid bermasalah pendengaran menghadapi masalah dalam
penguasaan perbendaharaan kata dalam Bahasa Melayu. Oleh itu, jika saya
menggunakan bahasa pada aras yang tinggi, murid-murid tidak dapat memahami isi
ceramah saya.
Selepas selesai program bimbingan yang disampaikan oleh
saya, saya telah mengedarkan borang penilaian program kepada murid-murid tahap
dua. Ini adalah kerana, terdapat murid dalam kalangan murid tahap satu yang
lemah dalam bacaan dan pemahaman konsep yang rendah. Sebelum membenarkan murid
mengisi borang penilaian tersebut, saya telah menerangkan arahan dan cara
mengisi borang tersebut dengan betul. Oleh itu, semua murid dapat memahami dan
mengisi borang penilaian dengan baik.
Selepas tamat program bimbingan ini, saya telah
memberikan gula-gula sebagai satu penghargaan kepada murid. Ia juga merupakan satu
langkah untuk menaikkan motivasi murid untuk terus mengikuti program bimbingan
yang dikendalikan oleh tiga orang rakan saya yang seterusnya.
Kelemahan
Diri
Memandangkan saya menjalani praktikum
di Shah Alam dan tinggal di sana sepanjang saya dan rakan-rakan berpraktikum
selama hampir tiga bulan, saya tidak berkesempatan untuk datang berjumpa dengan
pensyarah pembimbing untuk menunjukkan draf tugasan ini. Masalah ini berlaku
kerana hampir setiap hari sekolah tersebut mengadakan aktiviti dan program
untuk guru dan murid hingga ke petang. Oleh itu, saya menghadapi masalah masa
untuk datang ke institut untuk berjumpa dengan pensyarah. Malah pada hari Sabtu
juga sekolah ini seringkali mengadakan pelbagai aktiviti dan program untuk guru
dan murid-muridnya.
Saya terlupa untuk memberitahu warden asrama bahawa saya
dan rakan-rakan ingin mengadakan program bimbingan untuk murid-murid di asrama.
Saya hanya memaklumkan kepada Pembantu Pengurusan Murid (PPM) sahaja. Perkara
ini berlaku kerana warden perempuan masih belum tinggal di dalam asrama. Beliau
datang ke asrama secara harian. Namun begitu, saya sempat memberitahunya
sebelum program bermula apabila beliau datang ke asrama untuk memantau
murid-murid pada waktu malam.
Pada mulanya saya dan rakan-rakan ingin mengadakan
program bimbingan di bilik belajar kerana mempunyai kelengkapan kerusi, meja
dan papan putih. Namun begitu, bilik tersebut tidak mempunyai plug untuk
dipasang komputer dan LCD. Oleh itu, saya telah membuat keputusan untuk menukar
tempat di bilik aktiviti. Di bilik tersebut, murid-murid terpaksa duduk di atas
lantai kerana ketiadaan kerusi dan meja. Murid-murid kelihatan kurang selesa
dan berasa letih kerana perlu duduk di atas lantai untuk empat program
bimbingan pada satu malam.
CADANGAN PENAMBAHBAIKAN
Setelah meneliti kelemahan pada diri dan program
bimbingan yang telah dijalankan, saya berpendapat bahawa saya perlu mencari
ikhtiar lain sekiranya tidak berkesempatan untuk berjumpa dengan pensyarah bagi
menunjukkan draf tugasan kerja kursus. Dengan dunia yang serba canggih kini,
terdapat banyak kemudahan yang boleh digunakan seperti e-mel dan mesin faks.
Saya sepatutnya boleh menggunakan kemudahan internet yang disediakan di sekolah
untuk menghantar draf kepada pensyarah dengan menggunakan e-mel. Malah, sekiranya
terdapat kemudahan mesin faks di pejabat sekolah, saya mungkin boleh meminta
kebenaran daripada pihak sekolah untuk menggunakannya.
Saya juga sepatutnya memberitahu kepada warden asrama
untuk mengadakan program bimbingan di asrama. Walaupun warden tersebut masih
belum berpindah masuk ke dalam rumah warden, namun saya tidak seharusnya
menjadikan ia sebagai satu alasan untuk terlupa memberitahu beliau. Warden
tersebut juga merupakan seorang guru di sekolah, oleh itu saya boleh
memberitahu beliau semasa saya berada di sekolah. Selepas ini saya berpendapat
saya perlu mendapatkan nombor telefon warden asrama agar mudah bagi saya
berkomunikasi dan menyampaikan maklumat mengenai murid-murid di asrama.
Sebagai satu cadangan penambahbaikan, pada masa akan datang
saya seharusnya menyediakan tempat yang lebih selesa kepada murid-murid.
Contohnya, saya boleh membawa dan menyusun kerusi terlebih dahulu di bilik
aktiviti sebelum program dimulakan. Sekiranya saya tidak dapat melakukannya
sendirian, saya boleh meminta bantuan rakan-rakan, PPM, dan murid sendiri untuk
menyediakan tempat yang lebih selesa. Oleh itu, murid tidak perlu duduk di atas
lantai sahaja sepanjang program berlangsung.
PENDAHULUAN KAUNSELING
Kaunseling
merujuk kepada satu proses menolong apabila seseorang kaunselor membina satu
perhubungan yang profesional dengan klien dan membimbingnya supaya menjadi
lebih faham tentang dirinya (Akhiar Pardi & Shamsina Shamsuddin, 2013).
Setiap manusia memerlukan sesi kaunseling sekiranya mereka menghadapi masalah
dan memerlukan bantuan khidmat nasihat dan psikologi.
Menurut Mizan
Adiliah & Halimatun Halaliah (2005), keistimewaan khidmat kaunseling ialah
membimbing klien mencari sumber dirinya yang menyumbang kepada isu yang
dihadapi. Klien diberi peluang untuk bertanggungjawab terhadap keputusan dan
tindakan yang dipilihnya sendiri.
Di sekolah
biasanya terdapat dua jenis kaunseling iaitu kaunseling individu dan kaunseling
kelompok. Menurut Mok Soon Sang (2003), terdapat empat jenis kaunseling
individu yang sering diamalkan iaitu kaunseling krisis, kaunseling penyediaan
kemudahan, kaunseling pencegahan, dan kaunseling perkembangan. Adiliah et. Al,
(2005) turut mengatakan bahawa pendekatan yang sering digunakan di sekolah
untuk sesi kaunseling ialah pendekatan krisis, pendekatan pemulihan, pendekatan
pencegahan, dan pendekatan perkembangan.
Dalam tugasan
kerja kursus ini, saya dikehendaki untuk membuat laporan sesi kaunseling yang
dijalankan oleh pihak sekolah. Saya perlu merakamkan video tentang satu proses
kaunseling. Malah saya akan menulis laporan analisis proses kaunseling yang
merangkumi aspek-aspek seperti permulaan sesi kaunseling yang dijalankan,
justifikasi pendekatan yang diaplikasikan, dan pengaplikasian kemahiran asas
kaunseling dan teori kaunseling yang digunakan.
PERMULAAN SESI KAUNSELING
Sebelum seseorang kaunselor atau guru kaunseling
memulakan sesi kaunselingnya, terlebih dahulu guru kaunseling tersebut perlulah
melakukan penstrukturan. Menurut Dr. Maznah Baba dan Zainal Madon (2003),
kemahiran penstrukturan ialah usaha pembimbing memastikan proses kaunseling
dapat berjalan dengan lancar mengikut masa dan kekerapan pertemuan yang
ditetapkan. Ramlan Hamzah dan Lily Mastura (2006) pula mengatakan menstruktur
itu adalah gambaran secara ringkas apa yang harus berlaku dalam sesi
kaunseling. Lazimnya penstrukturan ini dilakukan oleh guru kaunseling semasa
sesi yang pertama. Antara perkara yang distrukturkan oleh guru kaunseling
kepada kliennya ialah maksud kaunseling, anggaran jangka masa sesi, peranan
sebagai kaunselor, peranan klien, matlamat kaunseling, dan kerahsiaan (Ramlan
Hamzah et. al, 2006).
Berdasarkan
sesi kaunseling yang dilakukan oleh guru kaunseling SKPK Selangor, Encik Khairi
dengan kliennya, saya dapati bahawa beliau membuat persediaan awal seperti
menyediakan tempat pertemuan, menerima klien tanpa syarat, dan menjaga etika
kerahsiaan. Namun begitu, saya turut dapati bahawa guru kaunseling tersebut
tidak melakukan penstrukturan sepenuhnya kerana beliau tidak menyatakan
maklumat tentang kaunseling, anggaran masa sesi, peranan kaunselor dan klien.
Sesi kaunseling yang dijalankan oleh Encik Khairi
merupakan sesi kaunseling yang pertama untuk kliennya itu. Pada permulaan sesi,
selepas beliau mempersilakan klien duduk di kerusi, beliau bertanyakan kepada
klien mengenai tujuan beliau perlu datang ke sesi kaunseling tersebut. Guru
kaunseling menerima klien tanpa syarat walaupun klien yang datang merupakan
klien yang dirujuk atas sebab masalah disiplin seperti pergaduhan di asrama
sekolah.
Dari aspek membina hubungan antara guru kaunseling dan
klien, Encik Khairi telah bersikap mesra, menerima tanpa syarat, dan ikhlas
mendengar dan menasihati. Seperti yang dinyatakan oleh Mizan Adiliah dan
Halimatun Halaliah (2005), antara ciri-ciri seorang guru kaunseling yang
membina hubungan yang baik dengan klien ialah kemesraan, kejujuran, penerimaan
tanpa syarat dan empati. Encik Khairi tidak sesekali memarahi dan menghukum
kliennya kerana tugas seorang guru kaunseling perlulah bersikap terbuka, mesra,
memberikan pandangan dan nasihat kepada klien. Guru kaunseling turut menyambut
kehadiran klien dengan memberikan senyuman dan bersedia menerima kehadiran
klien.
Bilik kaunseling tidak dapat digunakan sewaktu sesi
kaunseling berlangsung kerana bilik tersebut sedang dalam pengubahsuaian.
Kemudian guru kaunseling ingin menggunakan bilik di pejabat tetapi terdapat
beberapa orang guru berada di dalam bilik tersebut sedang melakukan
perbincangan. Sebagai seorang guru kaunseling, Encik Khairi perlu menjaga
kerahsiaan kliennya daripada pengetahuan orang lain. Oleh itu, akhirnya guru
kaunseling membuat keputusan untuk mengadakan sesi kaunseling tersebut di bilik
mesyuarat. Keadaan di bilik mesyuarat tersebut adalah selesa kerana mempunyai
pendingin hawa dan jauh daripada orang ramai.
Kedudukan guru kaunseling dengan klien seperti jarak
tempat duduk perlulah sesuai (Ramlan Hamzah et. al, 2006). Jika kedudukan guru
kaunseling dengan klien terlalu jauh, komunikasi dua hala menjadi sukar. Meja
dan kerusi perlulah sesuai dan selesa untuk digunakan. Contohnya seperti Encik
Khairi yang menggunakan kerusi yang selesa agar klien berasa selesa dan
selamat.
Dalam sesi kaunseling antara guru kaunseling dan klien,
Encik Khairi telah melakukan proses penerokaan terhadap kliennya. Menurut Lee
Keok Cheong, Ee Ah Meng, Suppiah Nachiappan dan Taquddin Abd Mukti (2012),
penerokaan dibuat oleh guru kaunseling untuk mendapatkan kefahaman yang jelas
tentang diri klien dan fakta-fakta yang boleh membantu kepada penyelesaian
masalah. Seperti mana yang dapat dilihat dalam video rakaman tersebut, guru
kaunseling melakukan penerokaan bagi memahami dan menganalisis masalah
kliennya. Ia juga bertujuan untuk mengumpulkan fakta-fakta yang berkaitan dalam
masalah klien tersebut. Contohnya, melalui penerokaan yang dibuat oleh Encik
Khairi, beliau telah mengetahui punca berlakunya pergaduhan kliennya itu.
PENDEKATAN YANG DIGUNAKAN
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah
dilaksanakan mengikut empat jenis pendekatan iaitu pendekatan krisis,
pendekatan pemulihan, pendekatan pencegahan dan pendekatan perkembangan (Akhira
Pardi et. al, 2013). Guru kaunseling akan melakasanakan perkhidmatan bimbingan
dan kaunseling kepada murid-murid atau klien berdasarkan masalah-masalah yang
timbul.
Semasa saya
melihat dan membuat rakaman video proses kaunseling yang berlangsung di
sekolah, saya mendapati bahawa pendekatan yang digunakan dalam sesi kaunseling
tersebut ialah pendekatan krisis. Menurut Pietrofesa (1971),pendekatan krisis
dalam kaunseling merujuk kepada kes-kes kritikal yang memerlukan tindakan
segera oleh pihak sekolah dan guru kaunseling. Contoh kes bagi pendekatan ini
ialah pergaduhan, penderaan, kematian keluarga, percubaan membunuh, masalah
mental dan penyalahgunaan dadah.
Murid yang menjalani sesi kaunseling seperti dalam
rakaman yang diambil oleh saya telah melakukan kesalahan bergaduh dan memukul
rakan di asrama sekolah. Klien ini telah dirujuk kepada guru kaunseling selepas
melakukan kesalahan tersebut. Ia memerlukan tindakan yang segera agar perkara
tersebut tidak menjadi lebih serius. Respon yang diberikan oleh klien mengenai
masalah yang dihadapinya ialah reaksi emosi iaitu rasa takut dan bersalah.
Perkara ini dapat dilihat apabila klien dipanggil untuk berjumpa dengan guru
kaunseling. Reaksi wajah klien tersebut kelihatan takut dan gementar. Apabila
berlangsungnya sesi kaunseling, guru kaunseling mendapati bahawa klien berasa
takut dan risau seandainya guru kaunseling atau guru disiplin akan melaporkan
pergaduhan klien dengan rakannya kepada ibunya. Di sini, saya dapati bahawa ibu
klien tersebut mempunyai pengaruh dan kuasa dalam kehidupannya.
KEMAHIRAN ASAS KAUNSELING
DAN TEORI KAUNSELING
Kemahiran
Asas Kaunseling
Berdasarkan
sesi kaunseling yang dijalankan, saya dapat melihat bahawa guru kaunseling,
Encik Khairi menggunakan beberapa kemahiran asas kaunseling terhadap klien
tersebut. Kemahiran asas kaunseling adalah selari dengan kemahiran komunikasi.
Setiap guru kaunseling atau kaunselor perlu mengamalkan kemahiran asas ini agar
sesi kaunseling akan menjadi lebih berkesan. Yang pertama, guru kaunseling
hendaklah membentuk dan membina hubungan yang baik dengan klien. Guru
kaunseling bersifat tenang dan duduk dalam keadaan sedia dan selesa berhadapan
dengan klien. Guru tersebut memulakan sesi kaunseling dengan menunjukkan
ekspresi muka yang baik dan kontak mata yang bersesuaian terhadap klien. Dengan
itu klien dapat mengeluarkan segala maklumat dan menyatakan masalah dengan baik
kerana guru lebih bersifat terbuka dan menggunakan nada yang sederhana seiring
dengan isyarat tangan kerana klien merupakan murid bermasalah pendengaran.
Lawrence Brammer (1998) turut menjelaskan bahawa proses kaunseling perlu
mengandungi fasa membina hubungan mesra dan mendalam.
Kemahiran asas yang kedua ialah kemahiran melayan. Maksud
kemahiran melayan ialah guru kaunseling memberikan perhatian sepenuhnya kepada
setiap butir bicara dan tingkah laku oleh klien. Seperti yang saya lihat pada
guru kaunseling dalam rakaman yang dibuat oleh saya, guru tersebut menerima
klien dengan mesra dan mengekalkan kontak mata dan menghargai setiap butir
bicara kliennya. Guru tersebut bercakap dan berisyarat dengan jelas dan tidak
terlalu laju agar klien berasa selesa dan tidak tergesa-gesa. Selain itu,
ekspresi muka guru kaunseling menunjukkan bahawa beliau faham dan berminat
dengan penjelasan yang diberikan oleh klien.
Kemahiran mendengar yang diamalkan oleh guru kaunseling
dalam rakaman tersebut juga adalah baik. Guru tersebut mendengar dan tidak
mencelah setiap penjelasan yang diberikan oleh klien. Proses mendengar
merupakan proses yang aktif. Guru kaunseling menggunakan deria penglihatan
sepenuhnya kerana klien merupakan murid bermasalah pendengaran yang menggunakan
isyarat untuk berkomunikasi. Beliau memerhatikan tingkah laku dan bahasa badan
yang digunakan oleh klien.
Seterusnya, guru kaunseling juga menjaga hubungan
interpersonal dengan meletakkan jarak yang sesuai antara guru dan klien.
Kedudukan meja dan kerusi yang tidak terlalu jauh dan tidak terlalu dekat dapat
membantu proses kaunseling berjalan dengan lebih baik.
Kemahiran yang lain pula ialah kemahiran memberikan
tindak balas. Di sini, guru kaunseling memerhatikan tindak balas yang diberikan
oleh klien sama ada positif atau negatif. Contohnya seperti dalam video
rakaman, klien memberikan tindak balas dengan anggukan kepala sebagai tanda
setuju dan memahami butir bicara oleh guru tersebut. Selain itu, guru
kaunseling turut mengemukakan soalan terbuka dan tertutup kepada klien. Tujuan
penyoalan dibuat adalah untuk mendapatkan kepastian dan maklumat lanjut. Contohnya, guru kaunseling bertanya soalan
dalam bentuk terbuka kepada klien mengapa berlaku pergaduhan di asrama antara
dia dan rakannya. Soalan terbuka ini memerlukan klien untuk membuat penjelasan
dan huraian masalahnya. Soalan tertutup pula seperti guru kaunseling menyoal
kepada klien sama ada mahu guru melaporkan perkara tersebut kepada ibunya atau
pun tidak. Soalan ini memerlukan jawapan yang terhad seperti ‘ya’ atau ‘tidak’.
Saya turut mendapati bahawa guru kaunseling telah
memparafrasa dan merumus untuk memastikan klien memahami tentang perkara yang
dibincangkan. Guru kaunseling menyatakan kembali apa yang telah dipersetujui
dan dikatakan oleh klien. Ini menunjukkan bahawa guru kaunseling mendengar
dengan teliti akan isi perbincangan dalam sesi kaunseling tersebut. Ia juga
bertujuan untuk memberikan gambaran kepada klien bahawa guru kaunseling
memahami situasi dan permasalahan yang berlaku. Guru kaunseling memberikan
sokongan dan galakan agar klien membantu dirinya agar tidak mengulangi
perbuatan buruk itu lagi.
Teori
Kaunseling
Teori merupakan andaian-andaian
untuk menjelaskan sesuatu kejadian atau sesuatu fenomena (Ramlan Hamzah et. al,
2006). Menurut Zainal Abidin Ahmad (2005), teori memberi fokus kepada guru
kaunseling mengenai apa yang dilakukannya terhadap klien. Teori kaunseling
menawarkan satu sistem yang komprehensif bagaimana melaksanakan kaunseling dan
menolong kaunselor memahami klien, mengaplikasikan teknik kaunseling yang
sesuai serta meramal perubahan klien (Sabariah Siron, 2005). Oleh itu,
seseorang guru kaunseling perlulah menggunakan teori yang bersesuaian untuk
membantu dan membimbing kliennya menghadapi masalah. Antara teori yang boleh
digunakan oleh guru kaunseling semasa sesi kaunseling dijalankan iaitu teori
psikoanalisis, teori pemusatan klien, teori gestalt, teori tingkah laku, dan
teori terapi rasional emotif tingkah laku.
Setelah saya
meneliti dan mengkaji rakaman video sesi kaunseling Encik Khairi dan kliennya,
saya dapati bahawa teori yang digunakan dalam sesi tersebut ialah terapi
rasional emotif tingkah laku. Teori ini mula diperkenalkan oleh Albert Ellis
(Sapora Sipon dan Ruhaya Hussin, 2013). Terapi ini juga turut dikenali dengan
model A-B-C (Akhiar Pardi et. al, 2013).
Menurut Ramlan
Hamzah et. al (2006), teori ini menitikberatkan soal nilai dan kepercayaan yang
tidak rasional yang dianut oleh kebanyakan insan yang akhirnya membawa kepada
masalah. Setiap individu mempunyai masalah dan masalah tersebut datangnya dari
dalam diri sendiri dan mempunyai kecenderungan ke arah kemusnahan seperti sifat
keluh kesah, tidak sabar dan sebagainya.
Matlamat utama
dalam teori terapi rasional emotif tingkah laku ialah untuk menunjukkan kepada
klien bahawa pemikiran mereka merupakan punca utama terjadinya
gangguan-gangguan emosi dan tingkah laku yang dialami oleh klien (Corey, 1977).
Seperti dalam sesi kaunseling yang dikendalikan oleh Encik Khairi, klien beliau
mengatakan bahawa pemikirannya yang menganggap perbuatannya memukul rakan itu
adalah satu tindakan nasihat yang betul. Oleh itu berlakulah konflik antara
klien dengan rakannya itu dan pergaduhan berlaku dengan lebih teruk.
Dalam teori terapi rasional
emotif tingkah laku, terdapat model A-B-C yang boleh digunakan untuk
menjelaskan bagaimana sesuatu situasi itu boleh mencetuskan sesuatu perasaan
dan tingkah laku seseorang.
No comments:
Post a Comment