Pages

Saturday, December 20, 2014

Tugasan Guru dan Cabaran Semasa 2014



Tugasan 1 : Penulisan Akademik

                Pendidikan pada masa kini semakin berkembang seiring dengan kemajuan negara yang terbina. Dari zaman ke zaman, tahun berganti tahun kerajaan sentiasa mementingkan sistem pendidikan bagi melahirkan generasi yang berilmu selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan. Ia menjadi penyumbang utama kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negara. Perdana menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak turut mengatakan dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) bahawa sistem pendidikan negara perlu berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.
            Semua pihak terutamanya ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlu berganding bahu dan menambah baik visi, aspirasi, dan jangkaan untuk masa depan sistem pendidikan negara. Transformasi besar sistem pendidikan diasaskan berdasarkan objektif bagi melahirkan individu berbakat dan kompetitif pada peringkat global serta mampu berdaya saing. Berdasarkan PPPM, terdapat dua aspek yang perlu diberi perhatian bagi menjayakan transformasi sistem pendidikan iaitu aspirasi keseluruhan sistem pendidikan dan aspirasi setiap murid. Dalam aspek aspirasi sistem pendidikan Malaysia, terdapat lima aspirasi iaitu Akses, Kualiti, Ekuiti, Perpaduan, dan Kecekapan.
           
Rajah 1: Lima Aspirasi Sistem Pendidikan Malaysia

            Aspirasi yang pertama sistem pendidikan Malaysia iaitu akses kepada kejayaan. Dalam Akta Pendidikan 1996 mengatakan “Dan bahawasanya tujuan pendidikan adalah untuk membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat”. Oleh itu bagi mencapai tujuan tersebut, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sempurna tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang keluarga. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk akses yang sama dalam pendidikan berkualiti berasaskan pendidikan adalah untuk semua Tiada halangan untuk rakyat Malaysia meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi. Malah tiada diskriminasi jantina atau latar belakang yang berbeza sebagai syarat untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya
            Aspirasi sistem pendidikan yang seterusnya ialah kualiti standard antarabangsa yang tinggi. Malaysia mensasarkan untuk berada dalam kalangan negara sepertiga teratas bagi pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun. TIMSS merupakan singkatan daripada Trends in Mathematics and Science Study dan PISA pula singkatan daripada Programme For International Student Assessment. TIMSS merupakan anjuran International Association for The Evaluation of Educational Achievement (IEA). Ia dilaksanakan untuk mengkaji penguasaan murid dalam mata pelajaran matematik dan sains bagi murid tahun 4 dan tahun 8. Malaysia telah menyertai TIMSS ini bermula pada tahun 1999 (Zamrud, 2013). PISA pula dikelolakan oleh Organization for Economic Cooperation and Development (OECD) iaitu sebuah organisasi di bawah NCES yang berpusat di Amerika Syarikat. PISA memberi fokus kepada kurikulum dan kehidupan sebenar yang berorientasikan polisi. Menurut Hailmi (2014), negara yang sering mengungguli PISA ialah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, China serta Singapura.
Sehubungan dengan itu, Malaysia menyediakan penambahbaikan prestasi dengan menitik beratkan bidang Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).  Dalam Berita Harian seorang penulis mengatakan bahawa KBAT berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran kritikal dan kreatif (Ifwan Tun Tuah, 2013). Dalam sistem pendidikan Malaysia kini, warga pendidik dititikberatkan untuk memasukkan unsur-unsur KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran.
Aspirasi sistem pendidikan Malaysia yang ketiga ialah ekuiti untuk semua murid. Ia bermaksud pendidikan wajar diberikan kepada semua murid tanpa mengira etnik, tempat, latar belakang, dan sosioekonomi. Semua murid mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sepatutnya. Kerajaan berhasrat untuk merapatkan lagi jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar serta gender dalam pencapaian murid menjelang 2020. Pelbagai inisiatif dan program yang disediakan oleh kerajaan untuk semua murid antaranya ialah pelbagai jenis sekolah dan aliran seperti aliran vokasional. Vokasional disediakan untuk murid yang mempunyai pelbagai minat dan memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka. Selain itu, kementerian turut menyediakan pelbagai jenis sokongan dan bantuan kepada murid-murid bekeperluan khas bagi membolehkan mereka memaksimumkan kebolehan dan pencapaian mereka.
Malaysia terdiri daripada penduduk pelbagai etnik dan budaya. Kementerian sentiasa menggalakkan perpaduan dalam sistem pendidikan untuk menyatupadukan murid-murid agar mempunyai semangat kekitaan dan menghargai kepelbagaian budaya dan sosial. Sekolah merupakan tempat pemupukan perpaduan yang paling tepat kerana murid banyak menghabiskan masanya satu per empat di sekolah dari berumur 7 tahun hingga 17 tahun. Aspirasi sistem pendidikan yang seterusnya ini amat bersesuaian sekali dengan latar belakang rakyat di Malaysia.
Aspirasi yang terakhir dalam sistem pendidikan ini ialah pelaksanaan berkecekapan tinggi. Ia bermaksud bahawa kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan untuk pendidikan dan ia menunjukkan bahawa kerajaan turut memberikan komitmen yang tinggi dan memberi tumpuan terhadap sistem pendidikan. Pulangan murid dalam bentuk keberhasilan murid perlu dimaksimumkan seiring dengan perbelanjaan yang telah dilaburkan. Sebanyak 16% daripada bajet tahunan Persekutuan telah diperuntukkan untuk sistem pendidikan.
Selain daripada aspek aspirasi sistem pendidikan Malaysia, terdapat aspek lain juga yang turut terlibat dalam PPPM iaitu aspirasi untuk setiap murid. Dalam aspek ini, setiap murid dianggap mempunyai potensi untuk mencapai potensi individu secara keseluruhannya. Setiap warga sekolah terutamanya guru mata pelajaran, guru kelas dan pihak pentadbir turut memainkan peranan bagi menggalakkan murid mencapai potensi dalam diri mereka. Ibu bapa dan masyarakat turut memainkan peranan penting bagi mencapai aspirasi ini kerana setiap murid mempunyai potensi untuk memberikan sumbangan terhadap negara khususnya kepada keluarga dan masyarakat.
Rajah 2: Enam Aspirasi Untuk Setiap Murid

Yang pertama, murid akan mempunyai pengetahuan yang paling asas iaitu keupayaan literasi dan numerasi sepenuhnya. Pengetahuan ini akan membekalkan murid untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan mengaplikasikannya secara berkesan bagi membolehkan mereka memupuk nilai untuk diri sendiri, masyarakat, dan negara. Kedua, kemahiran berfikir. Semangat yang tinggi untuk meningkatkan penguasaan berfikir dalam diri setiap murid adalah perlu bagi mendapatkan pengetahuan sepanjang hayat dan menghubung kaitkannya dengan pengetahuan baru. Kemahiran kognitif dalam diri setiap murid merangkumi pemikiran kreatif dan inovatif, penyelesaian masalah, dan keupayaan belajar.
            Aspirasi murid yang ketiga ialah kemahiran memimpin. Kemahiran memimpin dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan adalah penting bagi menjamin keberkesanan dalam sesuatu pasukan. Sistem pendidikan Malaysia menggalakkan murid untuk sentiasa bekerja dalam kumpulan dan belajar untuk menjadi seorang pemimpin yang berkebolehan semasa mengendalikan aktiviti kokurikulum dan di dalam bilik darjah. Perkara ini merangkumi unsur-unsur seperti keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan keterampilan komunikasi.
Seterusnya ialah kemahiran dwibahasa dalam diri setiap murid. Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan dan ia perlu dikuasai oleh setiap individu. Selain itu, Bahasa Inggeris turut perlu dikuasai sebagai bahasa kedua di Malaysia dan ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa. Setiap murid berpeluang untuk belajar bahasa tambahan mengikut minat dan kemampuan mereka. Kelebihan yang dapat diperoleh oleh mereka ialah mudah untuk bekerjasama dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan yang lain.
Etika dan kerohanian pula sangat perlu dalam diri murid-murid agar mempunyai satu set prinsip dan nilai bersama yang kukuh seperti kerohanian pegangan agama yang kuat, bersikap integriti yang mempunyai keberanian dan disiplin yang tinggi serta mempunyai rasa tanggungjawab sivik demi kebaikan negara, alam sekitar, dan masyarakat. Selain itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai identiti nasional yang melambangkan sebagai rakyat yang berpegang teguh dengan nilai-nilai bangsa Malaysia. Setiap murid diajar untuk menghayati nilai-nilai seperti semangat patriotisme, memahami perbezaan, bertolak ansur, dan menghormati budaya dan etnik kaum lain. Dengan itu generasi muda akan mempunyai rasa bangga dan tanggungjawab serta setia terhadap negara Malaysia.
Seorang guru yang baik sentiasa berpegang dan memahami tentang visi dan aspirasi sistem pendidikan negara. Dengan itu, para pendidik akan berusaha untuk kearah pencapaian aspirasi negara tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi oleh guru dalam usaha untuk mencapai visi dan aspirasi tersebut. Bagi aspirasi sistem pendidikan yang pertama iaitu akses kepada kejayaan tanpa mengira taraf ekonomi, etnik, dan latar belakang murid. Di sini, guru perlu berpegang kepada prinsip bahawa setiap murid berhak dan berkeupayaan untuk mencapai kejayaan dalam semua bidang terutamanya akademik. Cabaran guru dari aspek ini ialah yang pertama wujudnya masalah yang timbul dalam diri murid itu sendiri. Terdapat murid yang mempunyai sikap tidak positif dan terbuka untuk berusaha mencapai kejayaan dalam akademik. Murid yang berada di dalam kelas belakang kebiasaannya kurang bermotivasi untuk mencari alternatif terhadap penyelesaian masalah akademik mereka. Kejayaan tetap tidak dapat dicapai sekiranya murid tidak menunjukkan perubahan sikap dan prestasi walaupun guru telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Cabaran guru dalam merealisasikan Malaysia berada pada tahap antara yang teratas di antarabangsa dari segi prestasi akademik pula ialah tekanan daripada pihak kementerian dan kerajaan untuk terus meningkatkan prestasi murid. Sedangkan di sekolah, guru sering dibebani dengan pelbagai tugasan dan pekerjaan luar daripada bidang mengajar. Malah pelbagai kursus dan aktiviti yang perlu dihadiri oleh guru dalam sesuatu tempoh masa pada waktu pengajaran dan pembelajaran. Kesannya ialah murid akan terabai dan tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Oleh itu, bagaimana pula murid-murid dapat mencapai kejayaan dalam pelajaran dan merealisasikan impian dan harapan negara? Sistem pendidikan juga sering bertukar apabila menteri pelajaran atau kerajaan telah bertukar. Oleh itu, guru tidak dapat menumpukan perhatian yang sewajarnya dengan menggunakan satu-satu sistem untuk tempoh masa tertentu.
Seterusnya, cabaran yang dihadapi oleh guru dalam membentuk ekuiti untuk semua murid ialah untuk bersikap adil dan tidak bias terhadap murid-murid di sekolah. Sebagai manusia biasa, terdapat guru yang sukar untuk benar-benar bersikap adil dan tidak bias terhadap semua muridnya. Contohnya, jika di dalam kelas yang diajarkan oleh guru tersebut terdapat anak kepada sanak saudaranya atau terdapat murid yang lebih cantik dan pintar berbanding yang lain maka kemungkinan untuk seseorang guru itu bersikap berat sebelah mungkin wujud dalam dirinya. Selain itu, perkara ini kadang kala boleh mengganggu emosi guru sekiranya dipaksa oleh ibu bapa yang kaya dan berpengaruh untuk lebih memberikan perhatian yang lebih kepada anak mereka.
Latar belakang murid yang berbeza turut mempengaruhi guru untuk berhadapan dengan muridnya. Contohnya jika terdapat murid yang datang daripada keluarga yang pernah melakukan jenayah atau mempunyai sejarah hitam dalam hidupnya, kemungkinan terdapat guru yang mempunyai persepsi dan pandangan yang negatif terhadap murid tersebut. Maka ia turut menjadi satu cabaran kepada rakan sejawat yang lain untuk membetulkan persepsi negatif tersebut demi memberikan pendidikan yang terbaik kepada setiap murid. Selain itu, kadang kala terdapat ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka mengikut keperluan pendidikan. Contohnya, kanak-kanak pendidikan khas tidak mendapat rawatan dan pengesahan daripada doktor untuk membolehkan anak tersebut mendapat sistem pendidikan yang bersesuaian. Contohnya, terdapat ibu bapa yang tidak dapat menerima anak mereka adalah kanak-kanak masalah pembelajaran. Maka, ibu bapa tersebut telah menghantar anak tersebut ke sekolah harian kebangsaan dan telah menyebabkan guru sukar mengajar dengan baik dan tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada setiap murid. Adalah menjadi satu cabaran kepada guru, apabila terdapat ibu bapa yang sukar menerima pandangan dan saranan guru untuk mendiagnosis dan menghantar anak mereka ke sekolah yang bersesuaian. Guru menjadi tertekan kerana tidak dapat mengajar dengan sempurna dan kehadiran murid tersebut mungkin mengakibatkan guru tidak memberikan perhatian yang adik kepada murid-muridnya.
Seterusnya, guru turut menghadapi cabaran apabila masih wujud jurang perbezaan murid dari segi agama, etnik, dan budaya yang berbeza. Tidak semua murid telah dididik dan dipupuk sejak kecil dalam keluarganya untuk saling bergaul sesama rakan tanpa mengira agama, kaum, dan etnik. Di sinilah cabaran yang terpaksa guru hadapi untuk menyatupadukan murid sejak di bangku sekolah lagi. Harapan negara untuk memupuk perpaduan dalam kalangan murid mungkin tidak tercapai jika tidak disokong dan dibantu oleh keluarga dan masyarakat setempat. Sedangkan terdapat juga individu dewasa di sekeliling murid yang turut mempunyai sikap yang tidak bersatu padu antara satu sama lain.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan bajet untuk pendidikan dalam bajet persekutuan agar dapat mencapai akses sejagat bagi setiap peringkat pendidikan. Dalam perkara ini, guru dan pihak sekolah perlu menggunakan perbelanjaan dan peruntukan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan dengan sebaiknya. Namun begitu, apa yang terjadi di sekolah ialah sering kali berlaku masalah kekurangan dana dan kewangan untuk melaksanakan sesuatu program dan membaiki aset tetap yang rosak. Sehinggakan pihak sekolah perlu melakukan kutipan sumbangan daripada ibu bapa, Persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), serta melakukan pelbagai program untuk mengutip dana. Cabaran bagi guru dalam perkara ini ialah, guru menjadi semakin sibuk dengan urusan luar kelas bagi menjayakan sesuatu agenda. Kesannya, murid-murid terabai dan tertinggal pelajaran serta guru juga tidak dapat memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap tugasnya yang sebenar.
Dalam menjayakan hasrat negara untuk melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional, terdapat cabaran dan masalah yang dihadapi oleh guru. Pada peringkat yang paling asas iaitu keupayaan murid untuk memiliki pengetahuan dan keupayaan dalam literasi dan numerasi sepenuhnya, guru mempunyai cabaran untuk merealisasikan terhadap semua murid. Cabaran untuk memastikan murid dapat menguasai ilmu ialah bebanan tugas guru (Maszuria, Salina, Marina & Hjh Rosnah, 2014). Tugas guru pada masa kini bukan sahaja adalah untuk mengajar di dalam kelas sahaja. Malah terdapat banyak tugasan lain yang memerlukan perhatian daripada guru seperti aktiviti kokurikulum, hal ehwal murid, perkeranian, dan sebagainya. Oleh itu, kualiti masa guru untuk mengajar juga adalah berkurangan.
Berdasarkan PPPM 2013-2025, kemahiran berfikir merangkumi pemikiran secara kreatif dan kritis, dan berfikir pada aras tinggi. PPPM 2013-2025 juga bermatlamat mahu melahirkan bukan sahaja murid-murid yang cemerlang tetapi yang mempunyai daya fikir yang tinggi (Utusan, 2013). Kemahiran sedemikian boleh diasah dan diterapkan kepada murid semasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Menurut Raini Pakar (2012), kemahiran berfikir adalah kurang diterapkan dalam pengajaran guru semasa di dalam kelas. Perkara ini terjadi kerana terdapat guru yang beranggapan bahawa kemahiran ini hanya membebankan guru dan merumitkan tugas guru. Kemahiran berfikir ini memerlukan guru untuk meluangkan masa untuk menyediakan pelbagai bahan yang boleh menjana pemikiran murid. Oleh itu, guru mempunyai masalah kekangan masa untuk merancang dan membina bahan pengajaran yang bersesuaian. Oleh itu, ia telah mengakibatkan bebanan kerja yang banyak bagi seorang guru. Guru-guru konvensional masih selesa menggunakan pengajaran berpusatkan guru berbanding menggunakan pengajaran berpusatkan murid dan bahan. Guru yang kurang menggunakan kemahiran berfikir ini kerana kurang berkemahiran untuk menyesuaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan murid yang ramai yang terdiri daripada pelbagai jenis dan kebolehan.
Dalam ilmu yang terbina untuk membantu murid meningkatkan nilai kepimpinan dalam diri merupakan satu aspek penting untuk membantu melahirkan generasi yang berkemahiran untuk menyelesaikan masalah. Kemahiran memimpin perlu dipupuk sejak zaman awal persekolahan lagi agar mereka mengaplikasikan kemahiran memimpin dalam dunia pekerjaan kelak. Dalam konteks sistem pendidikan kepimpinan merangkumi empat dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran berkomunikasi dengan berkesan (Sinar Harian, 2013). Cabaran bagi guru untuk menjayakan hasrat dalam PPPM ini untuk melahirkan murid yang berkemahiran memimpin ialah guru perlu bijak berfikir untuk menerapkan nilai tersebut ke dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu berfikir jauh ke hadapan untuk menciptakan suatu suasana pembelajaran yang boleh menggalakkan murid menggunakan kemahiran memimpin. Contohnya guru menghadapi cabaran untuk mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan kritis contohnya aktiviti dalam kumpulan, perbentangan, dan sebagainya.
Selain itu, guru juga menghadapi cabaran untuk mengajar murid belajar bahasa kedua selain daripada bahasa ibunda sendiri. Contohnya bagi sebuah sekolah yang terletak di kawasan pedalaman, secara amnya murid-murid di sekolah tersebut mempunyai tahap yang rendah dan sederhana dalam penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris. Situasi tersebut berlaku kerana latar belakang murid yang terdiri daripada keluarga yang berpendidikan rendah dan kurang akses kepada penggunaan bahasa Inggeris. Bagi guru yang mengajar di sekolah sedemikian menghadapi cabaran untuk mengajar murid bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa kedua. Antara cabarannya ialah persepsi murid yang menganggap bahasa tersebut merupakan sesuatu pengajaran bahasa yang sukar dikuasai. Murid juga tidak mendapat bantuan untuk menggunakan bahasa inggeris di rumah kerana keluarga yang tidak mempunyai kemahiran bahasa tersebut.
Guru juga menghadapi cabaran untuk membentuk murid yang mempunyai etika kerohanian dan identiti nasional apabila generasi zaman sekarang mudah terdedah dengan pelbagai situasi dan kemajuan yang tiada batasan. Generasi masa kini lebih mudah mendapat maklumat dan terdedah dengan pelbagai situasi luar dan dalam negara. Pengaruh dari negara barat juga semakin menular di negara kita dan sedikit sebanyak murid-murid yang masih mentah turut mudah terpengaruh dengan budaya luar. Perkara ini  mengakibatkan guru semakin mempunyai tugas yang berat untuk menerapkan nilai murni dan etika kerohanian dalam generasi muda. Guru perlu lebih bekerja keras dan bijak memberikan ilmu dan penerapan nilai ke dalam pengajaran dan pembelajaran agar generasi seterusnya akan mempunyai identiti yang mulia dan juga mempunyai jati diri rakyat yang cintakan negara.
Perubahan dalam sistem pendidikan yang menuntut perubahan paradigm dalam kalangan guru akan secara langsung atau tidak membawa kepada tekanan terhadap guru (Noriati, Boon Pong Ying, Sharifah Fakhriah & Zuraidah, 2010). Perkara ini bergantung kepada seseorang guru itu untuk menghadapinya secara positif atau negatif. Guru sudah pasti tidak lari daripada tekanan emosi kerana bebanan kerja yang banyak seperti mengajar, aktiviti kokurikulum ,dan juga kerja – kerja pengurusan sekolah. Dalam masa yang sama juga, guru turut mendapat tekanan daripada tanggungjawab terhadap murid, rakan sekerja, dan pihak pengurusan dalam melaksanakan tugas di sekolah. Dalam proses melaksanakan tugas dan tanggungjawab tersebut, sudah pasti guru akan berhadapan dengan pelbagai halangan, rintangan, perselisihan faham, dan juga kesuntukan masa sehingga guru mendapat tekanan yang sukar dikawal. Oleh itu, guru perlu bijak mencari penyelesaian dan pencegahan agar emosi guru dapat dikawal dan tidak mempengaruhi kualiti kerja di sekolah.










Tugasan 2: Pelan Tindakan

Pelan Tindakan Peningkatan Akademik (Matematik dan Sains)

Matlamat : Melahirkan murid yang dapat memahami konsep matematik dan sains dengan baik.
Strategi: Meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Objektif:  1. Meningkatkan kemahiran mengira matematik bagi murid tahap 1.
                2.  Meningkatkan pencapaian matematik bagi murid tahap 2.
                3.  Meningkatkan kemahiran dan pemahaman konsep sains bagi murid tahap 2.

Bilangan
Aktiviti
Huraian
Sasaran
Jangka Masa
1
Bijak Nombor
Setiap 5 hinga 10 minit sebelum memulakan kelas Matematik, murid perlu menjawab kuiz matematik secara lisan
Murid tahap 1
Sepanjang tahun
2
Bijak Sifir
Setiap 5 minit sebelum memulakan kelas Matematik, murid perlu membaca sifir secara hafalan
Murid tahap 2
Sepanjang tahun
3
Majalah Matematik dan Sains
Penerbitan berkala yang mengandungi tentang maklumat dan perkongsian tentang Matematik dan Sains
Murid tahap 1 dan 2
Diterbitkan setiap 3 bulan sekali bagi sepanjang tahun
4
Bengkel Matematik dan Sains UPSR
Diadakan sebulan sekali
Murid tahun 5 dan 6
Sepanjang tahun
5
Kelas tambahan Matematik dan Sains
Diadakan setiap hari Isnin dan Selasa pada sebelah petang
Murid yang lemah tahap 1 dan 2
Sepanjang tahun
6
Bulan Matematik dan Sains
Pelbagai aktiviti yang berbeza pada setiap minggu :
-       Kuiz
-       Explorace
-       Puzzle matematik
-       Lawatan ke Petrosains
Murid tahap 1 dan 2
April

            Pelan tindakan yang disediakan seperti diatas merujuk kepada tindakan yang dicadangkan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Ia bersesuaian dengan aspirasi murid yang pertama iaitu pengetahuan. Dalam PPPM 2013-2025, aspirasi murid iaitu setiap kanak-kanak akan dapat membaca, menulis dan mengira, menguasai mata pelajaran teras seperti Matematik dan Sains, dan mempunyai pengetahuan kukuh mengenai Malaysia, Asia, dan Dunia. Namun disini, saya hanya memberi fokus terhadap dua mata pelajaran sahaja iaitu Matematik dan Sains.
Matlamat utama Pelan Tindakan Peningkatan Akademik (Matematik dan Sains) ini ialah melahirkan murid yang dapat memahami konsep matematik dan sains dengan baik. Strateginya pula ialah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains. Pelan ini juga disediakan bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengira matematik bagi murid tahap1, meningkatkan pencapaian matematik bagi murid tahap 2, dan meningkatkan kemahiran dan pemahaman konsep sains bagi murid tahap 2. Terdapat enam aktiviti atau program yang dirancang untuk dilaksanakan selama setahun yang pertama, aktiviti Bijak Nombor. Aktiviti ini memfokuskan kepada murid tahap 1 dan diadakan setiap hari pada sepanjang tahun waktu persekolahan. Ia dikendalikan oleh guru matematik yang mengajar kelas pada satu-satu masa mengikut jadual waktu. Setiap kali sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran matematik, murid akan menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru selama 5 hingga 10 minit. Soalan yang dikemukakan oleh guru merangkumi soalan matematik seperti operasi tambah, tolak, dan penyelesaian masalah mengikut tahap murid. Semasa aktiviti ini, guru perlu memberikan tumpuan terhadap murid yang lemah dan kurang aktif. Dengan itu, aktiviti ini akan menggalakkan murid untuk berfikir dan meningkatkan kemahiran matematik mengira.
Aktiviti yang kedua pula ialah aktiviti bijak sifir untuk murid tahap 2. Aktiviti ini juga dikendalikan oleh guru matematik sebelum memulakan pengajaran dan pembelajarannya selama 5 minit. Murid dikehendaki untuk membaca sifir secara hafalan secara beramai-ramai atau individu. Jangka masa pelaksanaan aktiviti ini ialah setiap hari pada waktu persekolahan. Kadang kala, guru akan mengemukakan soalan matematik yang melibatkan operasi darab untuk mengukuhkan ingatan dan kemahiran murid. Tujuan aktiviti ini diadakan ialah supaya murid-murid dapat menghafal dan menguasai sifir apabila sudah belajar pada tahap 2 persekolahan.
Aktiviti yang seterusnya ialah menerbitkan majalah Matematik dan Sains pada setiap tiga bulan bagi sepanjang tahun sesi persekolahan. Penerbitan majalah ini akan dikendalikan oleh panitia Matematik dan Sains dengan kerjasama daripada Persatuan Teknologi Maklumat Sekolah. Antara pengisian yang terkandung dalam majalah tersebut ialah info, maklumat, perkongsian ilmu, dan soalan kuiz mata pelajaran matematik dan sains. Majalah tersebut akan dijual dengan harga yang rendah dan mampu milik oleh setiap murid. Hasil jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun panitia Matematik dan Sains dan akan digunakan untuk aktiviti panitia yang seterusnya pada masa akan datang.
Bengkel Matematik dan Sains UPSR akan dilaksanakan setiap bulan sebanyak satu kali. Murid yang terlibat dengan bengkel ini ialah murid tahun 5 dan 6. Setiap bulan, pihak panitia akan memilih hari Sabtu untuk membuat bengkel tersebut selama satu hari. Bengkel ini akan diteruskan sehingga bulan terakhir sebelum peperiksaan UPSR dijalankan. Di dalam bengkel ini, murid akan didedahkan dengan teknik-teknik menjawab soalan Matematik dan Sains UPSR mengikut tema dan sukatan UPSR. Individu yang terlibat untuk memberikan ceramah dan pengajaran dalam bengkel ini ialah terdiri daripada guru-guru UPSR.
Selain itu, guru Matematik dan Sains juga perlu mengenal pasti murid yang lemah dan bermasalah untuk memahami konsep Matematik dan Sains agar dapat diberikan kelas tambahan dan intensif selepas waktu persekolahan. Kelas tambahan ini akan diadakan pada setiap hari Isnin dan Selasa pada sebelah petang selama satu jam setengah. Kelas tambahan ini akan dikendalikan oleh guru-guru yang berpengalaman dan akan bertugas secara bergilir-gilir.
Aktiviti yang terakhir ialah aktiviti Bulan Matematik dan Sains sekolah. Bulan yang dipilih untuk mengadakan pelbagai aktiviti dan program selama sebulan ini ialah pada bulan April. Antara aktiviti yang dirancangkan ialah kuiz Matematik dan Sains, pertandingan Explorace, pertandingan puzzle Matematik, dan lawatan ke Petrosains. Kuiz Matematik dan Sains akan diadakan pada setiap hari pada waktu perhimpunan pagi. Setiap soalan yang dikemukakan akan mengikut tahap dan bagi setiap soalan yang berjaya dijawab oleh murid pula akan diberikan ganjaran hadiah. Pertandingan Explorace pula akan diadakan pada hari Rabu minggu kedua April pada waktu kokurikulum selama dua jam. Dalam pertandingan tersebut, murid akan menjawab beberapa soalan kuiz yang menjana minda berkaitan dengan Matematik dan Sains secara berkumpulan. Setiap stesen dalam pertandingan tersebut, mengandungi soalan Matematik dan Sains yang perlu dijawab oleh murid. Jika jawapan yang diberikan adalah tepat, murid akan berpeluang untuk meneruskan pertandingan dengan pergi ke stesen yang seterusnya hingga ke penamat. Pada minggu ketiga April pula, panitia Matematik dan Sains akan mengadakan pertandingan puzzle matematik. Setiap murd berpeluang untuk menyertai pertandingan ini secara individu dan pemenang akan diberikan hadiah pada hujung bulan April. Waktu pertandingan ini diadakan ialah pada hari Khamis pada waktu perhimpunan pagi. Aktiviti yang terakhir untuk bulan Matematik dan Sains ialah lawatan ke Petrosains. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai dunia sains secara lawatan di luar sekolah. Sasaran murid bagi lawatan ini ialah murid tahun 3,4,5, dan 6. Pihak sekolah akan berurusan dengan pihak Petrosains untuk mendapatkan pas pelajar secara percuma atau separuh harga. Murid-murid akan berasa seronok kerana akan belajar sambil mengadakan lawatan secara santai di Petrosains.


No comments:

 
Images by Freepik