Pages

Monday, July 4, 2011

Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah Pendidikan Guru.

Falsafah Pendidikan kebangsaan (FPK) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) memainkan peranan penting dalam memperkembangkan dan melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di sekolah-sekolah peringkat rendah. Petikan FPK berbunyi seperti berikut :
            Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara”
            FPK ini ditentukan oleh Perlembagaan Malaysia dan berlandaskan ideologi kebangsaan yang menerapkan Rukun Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.
            Manakala, FPG pula berbunyi seperti berikut:
            “ Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.” 
            Tujuan utama pembentukan FPG itu adalah untuk menjadi panduan bagi individu dan pihak yang terlibat dengan dunia pendidikan untuk merealisasikan FPK. FPG ini menyenaraikan cirri-ciri guru yang diperlukan bagi memenuhi aspirasi negara dan Wawasan 2020.
            KBSR pula dibentuk dan digubal berlandaskan dengan FPK. Prinsip-prinsip yang terkandung dalam KBSR ialah pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan yang sama untuk semua murid dan pendidikan seumur hidup.
Berdasarkan FPK,FPG dan KBSR, saya dikehendaki untuk melakukan tugasan berdasarkan maklumat yang dikumpul melalui temu bual yang saya lakukan semasa Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Sultan Idris 2 (SKSI 2), Selama Perak pada 21-25 Mac 2011. Saya dan rakan-rakan sekumpulan telah menemubual 3 orang guru yang sudah mempunyai pengalaman mengajar lebih dari 10 tahun. Guru tersebut merupakan guru besar, guru penolong kanan pentadbiran dan guru panitia bahasa inggeris di sekolah tersebut.
            Menurut Puan Hamsiah binti Mohd Ismail, guru besar SKSI 2, beliau mengatakan bahawa bagi memastikan objektif dan matlamat FPK tercapai, para guru perlu memiliki beberapa ciri-ciri guru yang dinyatakan dalam FPG. Beliau mengatakan, bakal guru perlulah menguasai bidang akademik sepenuhnya agar dapat menjadi guru yang berilmu dan mempunyai kemahiran dalam akademik. Dengan itu, guru-guru dapat mengajar dan mendidik murid-murid dengan baik tanpa keraguan. Ini adalah kerana ilmu itu sentiasa berkembang lanjutan penemuan baru dan inovasi. Oleh itu menjadi tanggungjawab guru untuk memperoleh ilmu agar tidak ketinggalan dari segi profesional. Perkara ini adalah merujuk kepada ciri-ciri dan elemen yang terkandung dalam FPG iaitu berpandangan progresif dan saintifik melalui cabang falsafah epistemologi.
 
Dengan itu, menurut Puan Hamsiah juga, bagi memastikan para guru sentiasa meingkatkan prestasi dalam profesionalisme, guru-guru perlulah diberikan galakan, motivasi dan penganugerahan seperti anugerah guru cemerlang, guru inovasi, guru media dan sebagainya. Ia bertetapan dengan cabang falsafah logik iaitu seseorang guru itu sentiasa melakukan amalan penaakulan logik dalam menjalankan tugas dan meningkatkan diri secara profesional untuk menjamin kualiti guru.
            Kualiti guru itu penting kerana berdasarkan elemen FPK iaitu pendidikan suatu usaha yang berterusan dan ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan. Implikasi daripada elemen tersebut peningkatan terhadap ilmu dan kemahiran adalah perlu bagi proses pemerolehan dan pemindahan berlangsung secara berterusan. Maka, adalah penting bagi para guru meningkatkan kualiti, ilmu dan kemahiran diri bagi melahirkan insan yang mempunyai ilmu dan kemahiran yang diperolehi di sekolah dan boleh digunakan oleh mereka  bagi sepanjang hayat. Dengan itu,  bakat, potensi dan kebolehan diri juga dapat dipupuk, diperkembangkan dan dipertingkatkan.
            Elemen berpekerti mulia yang terkandung dalam FPG perlulah dihayati dan diamalkan oleh para guru. Sahsiah guru yang baik seperti berbudi bahasa, bersopan, berdisiplin, bermoral dan sebagainya adalah perlu bagi menjadi contoh dan teladan yang baik kepada murid-murid dan masyarakat. Ianya berkaitan juga dengan cabang falsafah aksiologi dan juga elemen FPK iaitu ingin melahirkan rakyat Malaysia yang berakhlak mulia. Hasrat kerajaan adalah menginginkan rakyat yang mempunyai perwatakan diri yang baik dan berpegang kepada nilai-nilai murni dan moral sebagai prinsip hidup.
            Seperti yang dikatakan oleh Encik Sudirman bin Abdul Ghani, guru penolong kanan pentadbiran SKSI 2, antara ciri-ciri bagi seorang guru bagi merealisasikan objektif FPK, seseorang guru itu perlulah mengamalkan budaya kerja cemerlang bagi menjadi guru yang cemerlang. Untuk menjadi guru yang baik juga, seseorang guru itu perlulah kuat jati dirinya agar tidak mudah dipengaruhi oleh orang lain dan persekitaran yang tidak sihat. Maka, guru-guru perlulah pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga ketika berhadapan dengan pelbagai jenis ragam manusia. Selain itu, ciri-ciri yang perlu ada bagi seorang guru ialah bersikap optimis dan komited dalam kerja yang dilakukan. Jika seseorang guru itu melakukan kerjanya dengan tidak bersungguh-sungguh dan tidak kompetensi, maka hasil kerja yang tidak berkualiti akan terhasil. Ini adalah bertentangan dengan elemen FPG yang berbunyi ‘menjamin perkembangan individu’. Apabila seseorang guru itu tidak menjalankan tugasnya dengan baik, maka perkembangan murid yang baik seperti mana yang diharapkan oleh masyarakat dan negara tidak berlaku.
Selain itu, seseorang guru itu perlulah proaktif dan meningkatkan potensi diri supaya lebih maju jauh ke hadapan.  Guru itu perlulah lebih memandang jauh ke hadapan untuk menghasilkan produktiviti murid yang  berkualiti. Jika seseorang guru itu tidak bersifat positif dan optimis, maka kecenderungan untuk menjadi lebih negatif juga adalah tinggi dan boleh mempengaruhi murid-murid kerana guru merupakan role model kepada murid-murid di sekolah.
            Bagi pendapat Puan Sabariah binti Abdul Majid iaitu seorang guru panitia bahasa inggeris di SKSI 2 pula, ciri-ciri bagi seorang guru yang perlu ada ialah kesabaran yang tinggi, cekal, bersungguh-sungguh, rajin dan tidak berputus asa. Maka dengan itu, akan lahirlah generasi muda yang mempunyai sifat nilai-nilai murni yang berjaya diterapkan oleh guru-guru yang mempunyai sifat-sifat tersebut. Elemen FPK seperti melahirkan rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara dapat direalisasikan. Ini adalah kerana implikasinya yang memberi kesan yang baik kepada masyarakat. Mereka akan berusaha memiliki sifat-sifat yang baik seperti toleransi, bertimbang rasa, hormat-menghormati dan mengadaptasikannya dalam kehidupan seharian disamping masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.
 
Guru juga perlu memahami elemen yang terdapat dalam FPG seperti menjamin perkembangan individu dengan peranan guru dalam mendidik anak murid. Peranan guru seperti dari segi perkembangan diri dan perkembangan murid secara menyeluruh. Maksudnya disini ialah, guru berperanan untuk membentuk generasi muda memperkembangkan diri dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Tugas guru bukan sahaja mengajar, malah perlu memberi sokongan, dorongan, nasihat dan sebagai tempat rujukan murid. Dengan itu, guru perlulah memahami dan melaksanakan apa yang terkandung dalam FPK dan kehendak pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
            KBSR merupakan matlamat dan objektif yang disasarkan kepada murid pendidikan rendah dan dibentuk berdasarkan FPK seperti mana yang dihuraikan dalam matlamat pendidikan sekolah rendah iaitu :
            …matlamat pendidikan rendah adalah untuk memastikan perkembangan murid secara menyeluruh. Perkembangan ini meliputi aspek-aspek intelek, rohani, jasmani, emosi, bakat, akhlak, nilai-nilai estetika sosial”
            (Kurikulum Baru Sekolah Rendah, 1991:5)
            Berdasarkan matlamat tersebut, terdapat empat prinsip KBSR iaitu pendekatan bersepadu, perkembangan individu secara menyeluruh, pendidikan seumur hidup dan pendidikan yang sama untuk semua murid. Namun begitu, dalam usaha untuk melaksanakannya, para guru mungkin menghadapi pelbagai halangan dan masalah daripada diri sendiri dan faktor luaran.
            Puan Hamsiah berkata, antara halangan utama yang dihadapi untuk perlaksanaan KBSR ialah datangnya daripada guru itu sendiri. Terdapat guru hilang minat untuk melaksanakan KBSR tersebut. Pada mulanya, guru itu mempunyai minat dan semangat untuk melaksanakan pelbagai program dan latihan berdasarkan  KBSR. Namun, lama kelamaan guru tersebut sudah hilang rasa minat dan semangatnya untuk melaksanakan KBSR di sekolah. Antara faktor berlakunya perkara tersebut ialah kurangnya kemudahan asas dan alat bahan bantu mengajar di sekolah tersebut. Saya difahamkan bahawa, pihak kerajaan memberi peruntukan kepada setiap sekolah mengikut lokasi dan tempat sekolah tersebut. Sekolah yang berada dalam bandar mendapat peruntukan yang lebih banyak berbanding sekolah kategori luar Bandar. Maka mungkin disebabkan itu, pihak sekolah tidak mempunyai dana yang tinggi untuk menyediakan kemudahan asas yang mencukupi untuk para pelajar di sekolah.
            Beliau mencadangkan bahawa, pihak kerajaan perlu menyediakan lebih banyak kemudahan asas yang mencukupi mengikut jumlah murid bagi setiap sekolah seperti bantuan dana, dan alat bahan bantu mengajar tambahan. Sekiranya dana yang diberikan kepada mencukupi, maka pihak sekolah dapat membina bilik pembelajaran kendiri seperti bilik sains, bilik seni, bilik muzik dan sebagainya dengan lebih baik lagi.
            Prinsip KBSR yang pertama iaitu pendekatan bersepadu, merupakan pendekatan gabungan unsur-unsur pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi melahirkan kesepaduan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan adanya kemudahan asas dan dana yang mencukupi, pelbagai perkara dapat dilakukan bagi merealisasikan prinsip KBSR tersebut. Guru-guru juga dapat melaksanakannya dengan jayanya dan mempunyai semangat untuk terus mendidik para pelajar.
             Encik Sudirman juga mempunyai pendapat bahawa halangan yang terdapat dalam diri bagi seseorang guru itu yang menjadi punca dalam masalah perlaksanaan KBSR di sekolah. Terdapat segologan guru yang kurang proaktif dalam apa jua bentuk pengajaran dan juga program serta aktiviti di sekolah. Jika guru sendiri yang bersikap sedemikian, bagaimana pula murid-murid akan mendapat segala manfaat yang diharapkan oleh pihak kerajaan dan masyarakat. Guru perlulah bersikap lebih aktif dan bersedia melakukan tugas dengan baik dan melaksanakan segala apa yag dirancangkan dengan baik seperti mana elemen yang terkandung dalam FPG iaitu bersedia menjunjung aspirasi negara. Iaitu guru perlulah berusaha untuk menyumbang secara maksimum kea rah pencapaian aspirasi negara.
            Selain itu, ibu bapa juga kurang memainkan peranan dan memberi sokongan yang baik kepada pihak sekolah dalam segala aktiviti dan program yang dirancang di sekolah untuk anak-anak mereka. Sebagai contoh, seperti di SKSI 2, terdapat ibu bapa yang tidak menyokong dan tidak membenarkan anak-anak mereka menyertai program untuk pelajar UPSR di sekolah. Ini mungkin disebabkan rasa kurang percaya kepada pihak sekolah dan anak-anak mereka untuk berada di sekolah selepas waktu persekolahan. Sebenarnya program-program yang dirancang oleh pihak sekolah bukanlah berdasarkan kurikulum sahaja, malah ia meliputi juga keperluan yang lain bagi seseorang murid itu dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek untuk perkembangan potensi murid-murid tersebut seperti mana prinsip kedua dalam KBSR iaitu perkembangan individu secara menyeluruh.
            Perkara ini boleh diatasi dengan memberikan pendedahan dan penerangan kepada ibu bapa akan kepentingan bagi sesuatu program tersebut. Ibu bapa juga perlu diberi keyakinan bahawa anak-anak mereka mendapat jagaan dan bimbingan yang sewajarnya di sekolah. Sistem kawalan seperti pengawal perlulah ditingkatkan bagi menjamin keselamatan murid-murid di sekolah.
            Halangan dalam kalangan diri murid-murid itu sendiri turut wujud bagi membantutkan proses perlaksanaan KBSR di sekolah. Terdapat pelajar yang tidak mengikuti program dan latihan yang disediakan oleh guru-guru. Jika perkara sedemikian berlaku, bagaimana program yang dilaksanakan akan berjaya? Malahan, terdapat juga murid-murid yang tidak hadir ke kelas tambahan yang disediakan secara percuma kepada mereka. Perkara ini amat mengecewakan para guru yang telah bertungkus lumus mahu meningkatkan prestasi diri mereka.
Murid-murid perlulah memberikan kerjasama yang baik kepada guru-guru dan mengikuti segala program yang disediakan untuk mereka. Mereka harus mempunyai kesedaran akan kepentingan mengejar ilmu dan menyeimbangkan potensi dan kemahiran diri dalam kehidupan mereka. Perkara ini boleh diatasi dengan pendedahan dan nasihat oleh kaunselor dan para guru.
Faktor jarak rumah ke sekolah dan masalah kemiskinan keluarga bagi murid tersebut juga menjadi halangan bagi guru untuk menjayakan program-program berdasarkan KBSR. Kerana masalah tersebut, terdapat ibu bapa yang bertindak untuk memberhentikan anak-anak mereka daripada meneruskan persekolahan mereka. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana menurut prinsip dalam KBSR juga ada menyebut mengenai pendidikan seumur hidup. Ia merupakan suatu usaha berterusan untuk mendapatkan ilmu dan tiada had dari segi jangka waktu. Jika anak-anak diberhentikan daripada meneruskan persekolahan mereka, kemungkinan pembelajaran secara berterusan tidak akan berlaku.
Bagi setiap murid, mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan demi masa depan yang cerah. Maka seharusnya penyelesaian bagi masalah jarak rumah ke sekolah dan kemiskinan diatasi dan dibantu oleh pihak yang sewajarnya. Bagi keluarga yang miskin, bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) boleh dimohon dan didapatkan bagi meringankan beban yang ditanggung. Malah, pihak sekolah juga boleh memberikan bantuan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid-murid miskin dan juga pengecualian bayaran yuran sekolah juga boleh diberikan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Bagi masalah jarak rumah yang jauh untuk ke skolah, murid tersebut boleh memohon untuk tinggal di asrama bagi menjimatkan masa dan perbelanjaan. Malahan, menurut Encik Sudirman juga, terdapat guru yang menawarkan bantuan untuk menumpangkan murid dengan menaiki kereta guru tersebut untuk pergi ke sekolah setiap hari. Guru sebegini biasanya ikhlas mahu melihat anak muridnya berjaya dalam pelajaran dan seimbang dari pelbagai segi, maka guru tersebut sanggup untuk membantu murid tersebut dengan cara menumpangkannya ke sekolah setiap hari.
Faktor pengaruh daripada kawan juga memberi kesan kepada murid-murid untuk tidak mengikuti pembelajaran berasaskan KBSR yang dirancang oleh guru-guru. Mereka cenderung untuk mengikuti rakan-rakan yang berada di luar sekolah untuk melakukan aktiviti yang kurang sihat seperti memonteng kelas tambahan dan sebagainya. Perkara ini juga berlaku kerana tiada penegasan daripada ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Perkara seperti ini boleh diatasi dengan memberi kesedaran kepada murid-murid akan kepentingan mengikuti kelas tambahan yang disediakan oleh para guru di sekolah. Ibu bapa juga perlu diajak berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Ibu bapa turut perlu diberi nasihat untuk lebih prihatin dan peka terhadap anak-anak mereka.
Puan Sabariah turut berpendapat bahawa terdapat  masalah berpunca daripada ibu bapa dalam pengurusan keluarga dan ekonomi. Ibu bapa tersebut menjadikan alasan masalah keluarga dan ekonomi yang menyebabkan anak-anak mereka tidak dapat meneruskan persekolahan mereka. Namun begitu, walaupun terdapat keluarga yang mampu untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah, tetapi disebabkan masalah keluarga yang dihadapi dalam keluarga, boleh memberi kesan kepada anak-anak. Mereka mungkin tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlangsung. Perkara ini boleh diatasi dengan peranan kaunselor sekolah dalam menghubungkan ibu bapa dan murid dengan pihak sekolah untuk berbincang dan mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi.
Selain itu juga, hanya terdapat segelintir ibu bapa yang benar-benar menginginkan anak-anak mereka memperolehi kejayaan dalam kehidupan mereka. Golongan ibu bapa ini, sentiasa memastikan anak-anak mereka melakukan yang terbaik dan mendapatkan pendidikan yang terbaik di sekolah. Para ibu bapa ini juga kebiasaannya menyokong dan member galakan kepada pihak sekolah untuk melakukan pelbagai jenis aktiviti, program dan kelas untuk anak-anak mereka demi melahirkan generasi muda yang cemerlang.
Namun begitu, terdapat juga segelintir ibu bapa yang sekadar menghantar anak anak mereka ke sekolah tanpa pantauan oleh mereka sendiri. Mereka menyerahkan segala tanggungjawab untuk mendidik terhadapi guru-guru. Perkara seperti ini tidak seharusnya berlaku kerana sokongan dan pantauan daripada pihak ibu bapa dan keluarga juga adalah penting dalam merealisasikan objektif yang terkandung dalam FPK dan KBSR.
Kurangnya pengetahuan agama, moral dan sivik dalam diri murid-murid juga menjadi faktor untuk menjadi penghalang dalam perlaksanaan KBSR di sekolah. Dengan itu, guru-guru menghadapi masalah untuk menjayakan segala program berlandaskan KBSR kerana murid-murid ini kurang mempunyai rasa hormat dan tanggungjawab terhadap guru mereka untuk mengikuti program-program dan pembelajaran yang dilaksanakan. Oleh itu, masalah ini perlu mendapat perhatian oleh semua pihak agar perkara ini tidak berlarutan sehingga menggagalkan objektif KBSR.
Prinsip KBSR yang keempat iaitu pendidikan yang sama untuk semua murid. KBSR menyediakan pendidikan yang sama bagi semua murid di Malaysia. Semua murid pada tahap persekolahan yang sama bagi semua jenis aliran persekolahan mengikuti kurikulum yang sama. Secara umumnya, tiga bidang dalam KBSR itu ialah komunikasi, manusia dan alam sekeliling, dan perkembangan diri individu.
Halangan yang mungkin berlaku dalam menjayakan prinsip yang keempat ini ialah halangan daripada murid sendiri. Contohnya, penguasaan dan kefahaman bagi setiap murid mungkin berbeza walaupun kurikulum yang sama diberikan kepada semua murid. Oleh itu, tidak semua murid itu berjaya meningkatkan prestasi mereka sama seperti rakan-rakan sebayanya yang lain dalam tempoh masa yang sama.
Ketiadaan minat bagi seseorang murid itu juga menjadi halangan bagi seseorang guru itu untuk menjayakan program KBSR yang dirancang. Contohnya, sekiranya murid tersebut tidak meminati kemahiran hidup dan kokurikulum, bagaimana perkembangan diri individu itu dapat ditingkatkan? Ini kerana, tanpa minat yang tinggi murid tersebut tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan baik dan tidak berusaha untuk memajukan dirinya dalam bidang tersebut.
Antara penyelesaian masalah tersebut ialah kaunselor dan guru-guru perlulah memberikan sokongan dan mendorong murid-murid agar memupuk minat mereka terhadap pelajaran tersebut dan bersungguh-sungguh mengikuti P&P yang berlangsung. Dengan itu, hasrat dan objektif yang disasarkan akan dapat tercapai.
Hasil daripada temubual untuk menyiapkan  tugasan ini, saya dapat simpulkan bahawa guru-guru perlu mempunyai ciri-ciri berdasarkan apa yang dikehendaki dalam FPG bagi merealisasikan objektif FPK dan juga KBSR. Tanpa penghayatan FPG dan FPK dalam diri setiap guru, apa yang ingin dicapai oleh kementerian pelajaran dan masyarakat tidak akan tercapai. Selain itu juga, peranan dan kesedaran daripada ibu bapa, masyarakat dan diri sendiri bagi murid-murid tersebut juga adalah perlu bagi menjayakan perlaksanaan KBSR di sekolah. Segala halangan dan masalah yang dihadapi oleh para guru dan lain-lain juga perlu diberi perhatian dan diselesaikan dengan sewajarnya agar ia tidak mengganggu perlaksanaan program KBSR.

No comments:

 
Images by Freepik