Pages

Saturday, September 14, 2013

Pedagogi Relevan Budaya Dan Kepelbagaian Kelompok

Pedagogi Relevan Budaya Dan Kepelbagaian Kelompok

            Menurut Esah Sulaiman (2004), pedagogi berasal daripada perkataan Latin yang bererti kaedah mengajar kanak-kanak. Kemudian ia telah berkembang dan digunakan dalam konteks pengajaran untuk semua peringkat pusat pembelajaran seperti sekolah dan peringkat pengajian tinggi. Shafritz (1997 dalam Esah Sulaiman, 2004) pula mengatakan bahawa pedagogi ialah prinsip dan kaedah pengajaran. Ia meliputi pelbagai aspek yang berkait dengan penyampaian ilmu kepada murid. Ia turut dapat ditakrifkan sebagai kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang. Guru yang memiliki kemahiran pedagogi yang tinggi dapat menggunakan pelbagai kemahiran dan kebolehan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Pedagogi yang relevan menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikan pembelajaran menjadi lebih bermakna (Syed Ismail Syed Mustapa,2013). Cruickshank (1995 dalam Esah Sulaiman, 2004) menjelaskan bahawa pedagogi ialah seni dan sains pengajaran yang meliputi prinsip, strategi, kaedah, teknik, dan pelbagai pertimbangan untuk menjayakan sesuatu pengajaran. Pengajaran dikatakan sebagai suatu seni adalah kerana setiap murid mempunyai perbezaan individu dan guru harus memilih kaedah yang bersesuaian dengan murid bagi memenuhi keperluan murid yang terdiri daripada pelbagai kelompok etnik dan ras. Manakala pengajaran dikatakan sebagai sains pengajaran adalah kerana setiap pengajaran yang berlaku perlu dilaksanakan dengan sistematik dengan maklum balas tentang pengajaran digunakan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran pada masa hadapan (Highet 1950 dalam Esah Sulaiman, 2004).
Dalam pedagogi seseorang guru, penekanan terhadap pengintegrasian pengetahuan, kemahiran asas serta memupuk nilai murni adalah perlu bagi memastikan perkembangan yang menyeluruh bersesuaian dengan kebolehan murid yang relevan dengan budaya yang diamalkan. Guru perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memenuhi keperluan murid tanpa ada sikap prejudis terhadap murid yang mempunyai pelbagai budaya. Ini adalah kerana sekolah dilihat sebagai institusi yang melahirkan kanak-kanak yang mengikut kehendak masyarakat. Gay (2000 dalam Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008) mengatakan bahawa para guru perlu memberikan perhatian kepada murid-murid yang berlatar belakangkan pelbagai budaya agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan.
Antara tujuan pedagogi relevan budaya ialah supaya pengelolaan, pengurusan, dan pengajaran guru mengambil kira akan sensitiviti budaya. Ini adalah penting kerana tanpa keprihatinan sosial budaya, pedagogi guru tidak berjalan dengan lancar. Selain itu, guru harus berinteraksi dengan positif untuk memupuk sifat bangga akan budaya masing-masing. Dengan itu tidak wujudlah masalah generasi muda yang tidak mengenal budaya yang terdapat dalam Malaysia. Persefahaman dan permuafakan dapat dipupuk dalam kalangan murid-murid dan guru melalui pedagogi relevan budaya dan ia dapat menghasilkan kesepaduan perolehan ilmu, kemahiran, dan sikap yang holistik. Guru juga bertindak sebagai pengantara persekitaran rumah dan sekolah bagi murid yang mempunyai budaya yang berbeza antara murid yang lain.
Menurut Guittierez  dan Ladson Billings (1994 dalam Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008) ciri-ciri pedagogi relevan budaya ialah murid mempunyai pengetahuan, konsep, kemahiran, dan strategi yang dipelajari daripada situasi pelbagai budaya ke dalam kesepaduan ilmu dan nilai tanpa ada sikap prejudis. Murid juga memahami latar belakang sendiri dan rakan yang berlainan budaya. Walaupun belajar dalam keadaan yang pelbagai budaya, ia tetap dapat menyatupadukan pengetahuan merentasi budaya. Pedagogi ini turut memotivasikan murid belajar secara kontekstual iaitu dengan mengambilkira pengalaman murid yang berbeza.
Mengikut James S.Coleman (dalam Mohd Salleh Lebar, 1998) terdapat empat ciri konsep persamaan pendidikan iaitu pendidikan percuma pada satu peringkat, mempunyai kurikulum yang sama untuk semua murid, dan semua murid pelbagai latar belakang berpeluang untuk bersekolah yang sama. Oleh itu, para pendidik tidak boleh terlalu bias kepada kelompok majoriti dan perlu lebih bersikap adil kepada semua murid. Usaha kerajaan untuk menerapkan pendidikan kebangsaan yang terdiri berbilang budaya telah dimulakan bermula dari wujudnya Penyata Razak 1957.
Guru perlu memilih strategi, kaedah, dan teknik yang bersesuaian mengikut keadaan kelas dan kerelevan budaya dalam pedagogi pendidikan. Menurut Ng Kim Choy dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Perguruan Sandakan, Sabah kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan pula ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Setiap kaedah pengajaran mempunyai teknik-teknik yang tertentu. Mengikut Edward M. Anthony (1963 dalam Mok Soon Sang, 2002) kaedah ialah satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.
Menurut Ng Kim Choy juga pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan pengajaran yang sering digunakan oleh guru ialah pendekatan induktif, deduktif, dan eklektik. Mengikut kamus dewan (1998 dalam Mok Soon Sang, 2002) pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah. Pendekatan yang berasaskan pengelolaan murid ialah pendekatan individu, pasangan, berkumpulan, kelas bercantum dan sebagainya. Guru perlu menyampaikan pengajaran mengikut tema-tema tertentu dan hendaklah tidak menyentuh sensitiviti budaya murid.
Srategi pula ialah suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu maklumat dengan menggunakan masa, tenaga, dan kemudahan. Biasanya guru akan menggabungkan beberapa pendekatan dengan kaedah mengajar tertentu. Menurut Mok Soon Sang (2002), strategi itu merupakan rancangan sesuatu tindakan atau operasi yang berkesan. Strategi yang dipih haruslah berdasarkan pertimbangan terhadap teori pembelajaran, pendekatan kaedah dan teknik mengajar. Ia juga harus bersesuaian dengan kepelbagaian budaya murid-murid.
Teknik mengajar ialah kemahiran guru untuk mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Mok Soon Sang, 2002). Antara teknik mengajar yang biasa digunakan oleh para guru ialah teknik bercerita, perbincangan, latih tubi, demonstrasi, penyoalan, main peranan, simulasi, sumbang saran, dan sebagainya. Menurut Mok Soon Sang (2002) juga, tujuan teknik mengajar ini ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian dan membangkitkan perasaan ingin tahu murid supaya pengajaran guru berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Teknik mengajar yang dipilih guru hendaklah bersesuaian dengan murid mengikut usia, minat, kebolehan, kecerdasan, perbezaan individu dan budaya.
Terdapat beberapa pendekatan pedagogi yang relevan untuk diamalkan dalam pelbagai budaya murid iaitu :
Rajah 1: Pendekatan pedagogi yang relevan diamalkan
Kaedah direktif ialah belajar melalui penerangan secara langsung kepada murid tentang kepelbagaian budaya dan diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan. Fokus diberikan kepada kemahiran asas. Dalam pendekatan ini guru bertindak sebagai model kepada murid-muridnya. Contoh strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah kuliah, latih tubi, dan demonstrasi. Kaedah kuliah bermaksud kaedah penerangan untuk menyampaikan maklumat yang agak banyak dalam tempoh tertentu. (Esah Sulaiman, 2004). Kaedah latih tubi merujuk kepada latihan yang diberikan guru kepada murid secara berterusan untuk melatih kemahiran dan kebolehan dalam sesuatu isi pelajaran. Manakala demonstrasi pula ialah satu jenis teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan sesuatu aktiviti di hadapan murid (Mok Soon Sang, 2002).
Kaedah mediatif pula merujuk kepada guru yang menggunakan bahan media dalam pembelajaran kelas. Melalui kaedah ini, murid diajar mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengenal pasti andaian, dan hipotesis berkaitan budaya. Contoh bahan yang digunakan melalui teknik mediatif ialah penggunaan komputer, buku elektronik, dan penggunaan video. Menurut Mohd Arif Hj. Ismail dan Rosnaini Hj. Mahmud (2001) dalam jurnal Teknologi Pendidikan, penggunaan teknik video dapat melibatkan murid dengan aktif dan memupuk nilai kerjasama dan saling bantu membantu.
Kaedah generatif menggalakkan murid menjana idea-idea kritis dan kreatif yang sesuai dengan budaya yang diketengahkan. Dengan itu, murid akan dapat menyelesaikan masalah dengan menggunakan pemikiran yang kritis dan kreatif serta membuat pertimbangan untuk meneruskan budaya yang relevan dalam kehidupannya.
Kaedah kontekstual iaitu murid mengaitkan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada situasi dunia sebenar. Kaedah ini dapat meningkatkan motivasi murid untuk membuat perkaitan antara ilmu pengetahuan dengan mengaplikasikannya kepada budaya mereka. Pembelajaran lain yang dapat dikaitkan kepada pembelajaran kontekstual ialah pengalaman hidup sebenar, pembelajaran aktiviti, dan pembelajaran berpusatkan murid.
Kaedah metakognitif merupakan kaedah tugasan yang diberikan oleh guru kepada murid yang berkaitan dengan relevan budaya setempat. Dengan itu, murid berpeluang untuk memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan, dan penilaian kendiri. Murid akan menggunakan kaedah perbincangan dengan rakan-rakan mengenai tugasan yang diberikan oleh guru. Semasa murid menjalani latihan praktikal dalam kelas, murid dapat mempraktikkan strategi metakognitif yang telah diketahui.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di luar bilik darjah dengan guru yang bertindak sebagai fasilitator merupakan kaedah konteks atau kajian luar dalam pedagogi relevan budaya. Aktiviti yang diberikan oleh guru kepada murid biasanya adalah satu aktiviti penyelesaian masalah dan murid dikehendaki untuk berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikannya. Kemudian, murid akan menyediakan laporan terhadap aspek yang dibincangkan dalam sesi pembelajaran yang telah berlangsung.
Murid-murid akan dapat mengambil bahagian dalam penciptaan masa hadapan melalui kaedah kajian masa depan yang digunakan oleh guru. Kaedah ini menggalakkan murid untuk meramalkan apa yang akan berlaku di masa hadapan dengan menggunakan akal fikiran logik dan murid dapat berfikiran jauh ke hadapan. Murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya perlu memainkan peranan dalam sesi pembelajaran agar ia menjadi lebih bermakna dalam kehidupan mereka. Pemilihan soalan kajian juga perlulah dilakukan dengan beretika oleh guru.
Kaedah koperatif menggalakkan murid untuk belajar secara berkumpulan dan saling berinteraksi dalam kalangan mereka yang datangnya dari pelbagai latar belakang budaya. Menurut Slavin (1995 dalam Mohd Arif Hj. Ismail, 2001) kriteria utama dalam pembelajaran koperatif ialah setiap ahli kumpulan saling bantu membantu dan bekerjasama bagi mencapai kejayaan sebagai satu kumpulan. Kaedah ini sesuai diaplikasikan dalam kelas dan dapat menarik perhatian murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Dengan itu, kemahiran sosial dalam diri murid-murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dapat ditingkatkan. Satu teknik video yang dicadangkan oleh Mohd Arif Hj. Ismail (2001) dalam jurnal yang bertajuk Penggunaan Teknik Video Bagi Pembelajaran Koperatif: Teknik Tayangan Bersilang Dengan Komentar yang dikenali sebagai tayangan bersilang dengan komentar dapat meningkatkan pembelajaran koperatif dalam satu kelas bahasa.
Kaedah kolaboratif bermaksud kerjasama erat di antara dua pihak atau lebih (Syed Ismail Syed Mustapa,2013). Murid akan menggunakan usaha sendiri bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas untuk mencapai matlamat dalam pembelajaran. Kaedah ini melibatkan sekumpulan murid yang berusaha ke arah pencapaian prestasi yang diingini. Oleh itu, keberkesanan pembelajaran berjaya ditingkatkan.
Kelas bercantum merupakan kelas yang mengandungi murid-murid yang terdiri daripada satu tahun persekolahan (Mok Soon Sang, 2002). Sejarah kelas bercantum ini bermula sejak penjajahan British dan dikenali sebagai Multiple Class Teaching. Ciri-ciri kelas bercantum ialah hanya wujud di peringkat sekolah rendah sahaja, bilangan murid kurang daripada 10 orang, guru mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan kerana peruntukan guru mengikut bilangan kelas, dan strategi pengajaran dan pembelajaran berbeza daripada kelas biasa. Selain itu, bilangan murid di sesebuah sekolah tidak melebihi 145 orang. Bilangan guru pula adalah tidak melebihi 5 orang.

Murid-murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan seperti kumpulan sama kebolehan, kumpulan pelbagai kebolehan, kumpulan tahun persekolahan, kumpulan sosial, dan kumpulan individu. Kumpulan sama kebolehan turut dikenali sebagai kumpulan akademik. Biasanya pengajaran matematik dan bahasa amat sesuai digunakan untuk mengajar kumpulan akademik ini.
Rajah 2: Contoh kumpulan mengikut kebolehan











                                    












Rajah 3: Contoh pelan cantuman kelas kumpulan mengikut kebolehan

            Kumpulan pelbagai kebolehan terdiri daripada murid-murid mempunyai kebolehan dalam pelbagai aktiviti. Murid yang cerdas dapat membantu murid yang lemah berdasarkan lembaran kerja yang diberikan. Maka, projek yang dilaksanakan dapat membuahkan hasil yang membanggakan. Kumpulan tahun persekolahan pula merupakan guru yang mengajar satu tahun tertentu dan dalam masa yang sama tahun persekolahan yang lain perlu melakukan kerja sendiri. Dalam kumpulan ini, kemahiran belajar adalah berbeza mengikut kumpulan.
Rajah 4: Contoh pelan kelas kumpulan tahun persekolahan

            Kumpulan sosial dibentuk berdasarkan kepada penyesuaian murid-murid itu sendiri. Murid-murid diberi peluang untuk memilih kumpulan mereka sendiri. Aktiviti-aktiviti yang sering dilakukan oleh murid-murid dari kumpulan sosial ini ialah pelajaran muzik, drama, rekreasi, dan permainan. Kumpulan individu pula digunakan setelah murid-murid melibatkan diri dalam pembelajaran. Guru memberikan bimbingan secara individu kepada murid-murid.
            Guru perlu bijak menggunakan kreativiti dalam melaksanakan pengajaran dalam kelas bercantum. Ini adalah kerana terdapat aras perbezaan yang agak ketara dalam diri setiap murid. Guru hendaklah menguasai sepenuhnya aspek pedagogi agar murid mempunyai minat ditahap yang baik untuk terus menguasai ilmu dan kemahiran yang telah dirancang oleh guru.


No comments:

 
Images by Freepik