Strategi Bagi Membantu Masalah Kemahiran
Menulis
Tulisan merupakan lambang-lambang
bunyi bahasa yang dipindahkan dalam bentuk grafik diatas medium seperti kertas,
buku dan lain-lain bagi melahirkan perasaan, fikiran, dan idea. Tulisan
bertujuan bagi melahirkan bunyi-bunyian yang bermakna serta dijadikan sebagai alat komunikasi.
Terdapat sebahagian kanak-kanak yang
mengalami masalah kemahiran menulis dalam kehidupan mereka walaupun sudah
menduduki bangku sekolah dan mempunyai guru untuk mengajar. Oleh itu, guru-guru
perlu mengetahui dan membina strategi untuk membantu murid-murid yang masih
tidak dapat menulis dengan baik yang disebabkan oleh beberapa faktor. Yang
pertama sekali, guru harus sentiasa memberikan motivasi dan dorongan kepada
murid agar mereka tidak mudah berputus asa dan sentiasa berusaha untuk
memperbaiki kelemahan diri. Guru perlu memberikan peneguhan dan ganjaran
apabila seseorang murid itu dapat melakukan tugasan yang diberikan dengan baik.
Contohnya, apabila murid dapat menulis dengan tulisan yang teratur dan kemas,
murid tersebut dibenarkan untuk bermain permainan elektronik di belakang kelas
apabila waktu rehat.
Seterusnya bagi mengatasi masalah
tulisan yang tidak seragam, tidak konsisten, dan tidak kemas ialah guru
menyediakan latihan bertulis dalam buku garis tiga dan buku berpetak. Guru
menunjukkan contoh dan melatih murid menulis huruf dan perkataan pada buku
tersebut dengan cara yang betul. Latihan yang konsisten dan berterusan perlu
dilakukan bagi melatih tubi murid berkenaan. Guru juga boleh menyediakan
permainan bahasa yang menarik bagi menarik perhatian murid untuk terus
memberikan tumpuan disamping berasa seronok bermain semasa sedang belajar.
Dengan itu, murid tidak berasa bosan dan objektif guru dapat dilaksanakan.
Bagi mengatasi masalah jarak antara
perkataan yang terlalu rapat pula, guru boleh mencadangkan kepada murid untuk
menggunakan sebatang pensel diantara setiap satu perkataan sebagai penanda
jarak. Dengan itu tulisan murid akan lebih mudah dibaca kerana tidak ditulis
dalam jarak yang tidak sesuai lagi. Selain itu, kaedah menggunakan kertas surih
juga boleh dilakukan. Murid dikehendaki untuk menyalin semula perkataan
mengikut potongan kertas surih yang disediakan.
Masalah pembalikan huruf yang
dialami oleh murid dapat diatasi dengan latihan menulis huruf yang murid keliru
secara berulang-ulang. Apabila sudah membuat latihan secara berulang-ulang,
maka murid akan mengingati huruf itu sedikit demi sedikit. Guru juga boleh
menyediakan kad huruf bagi melatih pengecaman murid terhadap huruf-huruf. Kad
huruf boleh disediakan juga dalam bentuk timbul untuk murid menggunakan deria
sentuhannya. Murid juga boleh dilatih menulis huruf menggunakan jari di udara
atau di pasir. Dengan itu, murid akan lebih mengingati dan mengecam bentuk
huruf dan dapat mengurangkan kekeliruan huruf. Latihan menyambung titik-titik
dalam latihan menulis juga dapat melatih murid menulis perkataan dengan baik.
Latihan menulis yang kerap seperti menyalin ayat pendek yang diberikan oleh
guru dapat membantu murid menulis dengan baik dan melatih menulis ayat yang
betul.
Latihan koordinasi motor dan tangan
perlu ditekankan oleh guru terhadap muridnya. Perkembangan motor halus yang
baik dapat membantu murid memegang pensel dengan cekap untuk memudahkan murid
menulis. Latihan tersebut terdiri daripada latihan menulis dari kiri ke kanan,
latihan mewarna dari kiri ke kanan, dan latihan membentuk bulatan di udara, di
atas meja, pasir, lantai tanpa menggunakan alat tulis. Aktiviti meniru tulisan
boleh digunakan untuk melatih murid meniru bentuk huruf. Aktiviti ini dapat
membantu murid membina keyakinan diri untuk menulis dan dapat melatih tangan
dan mata untuk berkoordinasi. Masalah ejaan yang dihadapi oleh murid pula boleh
diatasi dengan menggalakkan murid menulis sambil mengeja perkataan tersebut.
Dengan itu, kesilapan semasa menulis dapat dikurangkan.
Guru
tidak seharusnya memaksa murid untuk menyiapkan tugasan dengan segera dan
tergesa-gesa. Guru harus memberikan masa yang lebih kepada murid dan perlu
lebih bersabar menunggu murid menyudahkan tugasannya. Latihan yang berterusan
dan konsisten dapat memberikan hasil yang baik dan akhirnya murid dapat
memperbaiki kelemahan dari aspek penulisannya.
No comments:
Post a Comment