Penilaian Berasaskan Budaya
Tujuan penilaian dilakukan adalah untuk memperbaiki lagi
prestasi atau keadaan (Esah Sulaiman, 2004). Stufflebeam (dalam Esah Sulaiman,
2004) juga mengatakan penilaian sebagai proses menentukan, mendapatkan dan
memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan bagi tindakan
selanjutnya. Penilaian juga merujuk kepada satu proses mendapatkan maklumat
yang berguna untuk membuat pertimbangan tentang tindakan selanjutnya (Dr. Noriati
bt A. Rashid, 2008).
Guru perlu
mengadakan penilaian terhadap murid berasaskan budaya yang bersesuaian dengan
situasi di dalam bilik darjah. Guru harus mengambil kira aspek kepelbagaian
budaya murid semasa menyelia dan memilih instrumen untuk memperoleh maklumat
dan membuat keputusan. Antara faktor-faktor murid yang perlu guru ambil
perhatian semasa membuat penilaian tersebut ialah sejarah imigrasi, status
sosio-ekonomi, dan latar belakang murid. Perkara tersebut adalah penting supaya
maklumat yang akan diperoleh sah dan boleh dipercayai. Selain itu, guru juga
dapat memilih alat-alat penilaian yang bersesuaian berdasarkan kepelbagaian
budaya murid.
Penilaian berasaskan budaya bertujuan untuk mengumpul
maklumat bagi kemajuan, diagnosis dan tindakan selanjutnya, menilai dengan
menggunakan prosedur autentik dan alternatif, memperoleh data tentang peluang
pembelajaran untuk semua, mengumpul malumat berkaitan dengan faktor linguistik
dan kerelevan budaya, menentukan keperluan bahasa yang sesuai untuk penilaian
formal, dan mengurangkan bias dalam amalan-amalan penilaian tradisional.
Penilaian dilihat sebagai proses untuk mengumpulkan maklumat untuk dianalisis
dan dibuat keputusan untuk tujuan mengambil tindakan selanjutnya.
Perkara yang turut perlu diberikan perhatian oleh guru
adalah aturan dan kedudukan fizikal bilik darjah dalam kumpulan dengan kaum
yang berbeza. Guru hendaklah mempunyai kemahiran menguruskan bilik darjah dan
menyesuaikan persekitaran bilik darjah dengan kepelbagaian budaya murid-murid.
Menurut Sandford (1983 dalam Esah Sulaiman, 2004) pengurusan meliputi semua
perkara untuk mendapatkan penglibatan murid dan kerjasama dalam aktiviti di dalam
bilik darjah. Persekitaran bilik darjah yang teratur dan bersesuaian dengan
kepelbagaian budaya murid akan menghasilkan pembelajaran yang optimum. Levin
(2000 dalam Esah Sulaiman, 2004) menekankan suasana fizikal bilik darjah
khususnya tempat duduk. Guru harus menyusun kedudukan murid di dalam kelas
dengan tujuan untuk menyatupadukan kepelbagaian budaya dalam kalangan
murid-murid.
Guru hendaklah menyediakan aktiviti yang dapat
memperkenalkan adat dan kaum yang berbeza di Malaysia. Murid haruslah diberi peluang
untuk melakukan aktiviti bersama dengan kaum yang berbeza. Penerapan nilai
seperti kerjasama dapat diterapkan oleh guru semasa aktiviti pembelajaran dan
akan memudahkan proses penilaian terhadap murid. Antara proses penilaian yang
dilakukan oleh guru terhadap murid
semasa melakukan aktivit di dalam kelas ialah aspek nilai, disiplin, hubungan
sosial, dan aspek psikologi. Penilaian terhadap aspek nilai dilihat sebagai
satu pola tingkah laku yang diingini dalam bilik darjah. Nilai yang baik akan
mencorakkan perkembangan tingkah laku yang positif dan menjamin keharmonian
dalam bilik darjah.
Dari aspek disiplin pula, disiplin yang terkawal dapat
membentuk suasana pembelajaran bilik darjah yang harmoni dan mesra. Dalam
Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) disiplin ialah kesanggupan seseorang
individu menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu
dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri. Tujuan disiplin ditegaskan
dalam bilik darjah ialah untuk membentuk individu yang bertanggungjawab dan
dapat meneruskan amalan cara hidup yang baik. Hubungan sosial murid yang
dilakukan dalam bilik darjah berdasarkan budaya akan mengembangkan hubungan
yang harmoni, dinamis, dan bertanggungjawab. Penilaian dari aspek psikologi
pula ialah meliputi kesan pelbagai pengaruh budaya ke atas perkembangan dimensi
mental, sosial, moral dan psikologi bilik darjah. Pembentukan sahsiah dan
tingkah laku yang baik dapat dibina dalam bilik darjah melalui keyakinan dan
keberanian yang didorong oleh guru dalam pembelajaran. Guru perlu sedar bahawa
pengaruh perkembangan diri banyak dipengaruhi oleh kawasan persekitarannya
khususnya persekitaran sosial. Murid banyak dipengaruhi oleh ibu bapa,
keluarga, dan rakan sebaya dalam perkembangan sosialnya. Kesannya, pengaruh
budaya dalam kehidupan murid ini banyak dipengaruhi oleh ibu bapa, keluarga,
dan kawasan tempat tinggalnya. Murid membesar dalam suasana budaya yang
berbeza-beza bagi setiap individu.
Dalam pelaksanaan penilaian berasaskan budaya guru perlu
mengambil kira beberapa prinsip seperti penilaian harus berasaskan pemahaman
tentang cara murid belajar dalam bilik darjah. Guru harus memainkan peranan
untuk membentuk pengalaman pembelajaran murid. Guru juga hendaklah peka
terhadap perbezaan individu murid dalam pembelajaran. Penilaian yang dilakukan
oleh guru perlulah mengambil kira budaya, latar belakang, bahasa utama, dan
keluarga murid. Tugasan yang diberi oleh guru juga hendaklah bersifat
koperatif, aktif, dan berasaskan inkuiri. Guru juga harus bersikap adil dalam
penilaian yang dilakukan. Ia perlu merangkumi prinsip-prinsip inklusif dan
menyokong ekuiti bagi mengelakkan bias dari segi gender, kaum, budaya, dan
bahasa.
No comments:
Post a Comment