Pengenalan dan Konsep Pembinaan Persekitaran Bilik Darjah yang Mesra Budaya.
Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya melibatkan
suasana pembelajaran dalam bilik darjah menjadi kondusif untuk murid-murid yang
terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya. Menurut Syed Ismail Syed
Mustapa (2013) dalam bukunya yang berjudul Budaya dan Pembelajaran, beliau
mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang dinamik dapat mencapai objektif
ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi,
rohani dan intelek. Lemlech (1998 dalam Syed Ismail Syed Mustapa, 2013)
menjelaskan bahawa pengurusan bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan.
Ini bermakna bahawa ia merupakan satu proses yang melibatkan penyertaan dan
kerjasama daripada semua ahli bilik darjah untuk mencapai sesuatu objektif
dalam pengajaran dan pembelajaran.
Mesra
membawa erti keselesaan, keceriaan, dan kegembiraan. Mesra boleh wujud apabila
perhubungan sesama manusia terjalin berdasarkan nilai-nilai murni dan ia dapat
meningkatkan persefahaman, toleransi, dan saling hormat menghormati. Perkataan
budaya pula dikatakan berasal daripada perkataan Budhi (Sanskrit) dan Daya (Melayu) yang membawa maksud
kecergasan fikiran akal budi dan kekuatan kuasa, tenaga, dan pengaruh. Maka ia
bermaksud budaya merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan,
tenaga, dan akalnya untuk meningkatkan kecergasan akal supaya dapat menangani
masalah. Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim (dalam Syed Ismail Syed Mustapa,2013)
budaya adalah tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
Budaya
melibatkan cara hidup manusia yang melibatkan kepercayaan, agama, adat resam,
bahasa, ekonomi, politik, dan sebagainya. Dalam sesebuah bilik darjah terdapat murid-murid
yang terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit, agama, dan daerah. Menurut
Abdul Halin Hamid (2003) dalam bukunya Mengenali Institusi Sosial mengatakan
bahawa terdapat tiga kesan elemen penting budaya ke atas sesebuah sekolah iaitu
kepercayaan, nilai, dan norma berkaitan dengan persekolahan. Beliau turut
mengatakan bahawa setiap masyarakat mempunyai nilai tertentu berkait dengan
sekolah.
Pengurusan bilik darjah turut melibatkan proses
merancang, mengelola, memimpin, mengarah, dan mengawal yang melibatkan guru dan
murid-muridnya. Pengurusan bilik darjah yang berjaya dapat menghasilkan
pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan JERIS iaitu jasmani,
emosi, rohani, intelek, dan sosial. Selain itu pengurusan persekitaran fizikal
bilik darjah juga adalah penting agar ia dapat memberikan keselesaan dan
membantu penghuninya menghadapi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.
Antara peralatan asas yang diperlukan dalam sesebuah bilik darjah ialah papan
putih, papan kenyataan, meja, kerusi, bahan bacaan, bahan bantu mengajar, dan
sebagainya. Ia perlu disusun dan diletakkan dengan baik untuk memberikan
keselesaan, keceriaan, dan kekemasan bilik darjah.
Selain itu, peraturan bilik darjah yang berpandukan
pekeliling dan peraturan sekolah dapat membantu mewujudkan suasana pengajaran
dan pembelajaran yang selesa dan mesra. Walaubagaimana pun, guru perlu
memastikan agar ia bersesuaian dengan pelbagai budaya murid-muridnya.
Pengurusan sosio-emosi juga adalah penting bagi
merangsang dan mengekalkan minat murid untuk terus kekal bermotivasi bagi
menghadapi pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan untuk menguruskan
emosi murid dengan berkesan agar mereka tidak berada dalam situasi yang
membimbangkan semasa berada di dalam kelas.
Kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan murid perlu
disesuaikan dengan situasi pembelajaran. Murid perlu mengetahui dan menghormati
agama dan adat etnik murid yang lain. Persefahaman antara murid yang terdiri
daripada kelompok etnik yang berbeza dapat mengelakkan perkara-perkara negatif
seperti pertentangan.
1 comment:
TERIMA KASIHHHHHH, SANGAT MEMBANTUU...SEMOGA DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN
Post a Comment