Pages

Tuesday, July 31, 2012

Kepelbagaian isu masyarakat pluralistik di Malaysia.

Pendahuluan.

            Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan detik hitam sejarah negara yang merungkai persoalan perhubungan antara kaum di Malaysia. Natijah daripada peristiwa tersebut pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat melalui perlaksanaan dasar-dasar sosial, ekonomi dan politik yang menjurus ke arah perpaduan dan pembinaan negara dan bangsa. Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran penting kepada semua ahli politik dan rakyat Malaysia bahawa rusuhan kaum tidap patut wujud kerana ia boleh merosakka perpaduan, keharmonian hidup rakyat. Maka, para pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu bersama-sama menjaga kerukunan hidup agar semua kaum dapat hidup bersama tanpa ada permusuhan dan masalah.
            Oleh itu, telah wujud pelbagai isu masyarakat pluralistik di Malaysia sejak sekian lamanya dari dahulu hingga sekarang. Pelbagai isu telah timbul kesan daripada pluralistik yang telah berlaku di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.
            Saya dan rakan-rakan seperjuangan semester 3, perlu menghasilkan tiga ulasan kritik daripada kandungan bahan bacaan yang berbeza dan mengutarakan kepelbagaian isu masyarakat pluralistik di Malaysia.



Ulasan Kritik.
Artikel 1 : Dasar Ekonomi Baru.
Tema: Ekonomi.
            Bushra bt Haji Yusof dalam karyanya Dasar Ekonomi Baru yang diterbitkan dalam buku Dasar-dasar Kerajaan Malaysia telah membincangkan mengenai pelaksanaan, matlamat, strategi, pencapaian, penyusunan dan kelemahan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            DEB dilaksanakan pada tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) bertujuan untuk mencapai perpaduan negara . Rancangan DEB ini dijalankan melalui serampang dua mata iaitu mengurangkan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Menurut Shamsul Amri Baharuddin dalam Modul Hubungan Etnik mengatakan bahawa matlamat utama DEB ialah mencapai perpaduan negara dengan membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum dan wilayah. Secara tersuratnya DEB ini dilancarkan untuk mencapai perpaduan dan membasmi kemiskinan bagi semua rakyat Malaysia. Namun jika kita lihat secara tersiratnya menurut pandangan saya sebenarnya DEB ini lebih kearah untuk membantu penduduk Bumiputera atau masyarakat Melayu khasnya untuk meningkatkan taraf hidup dan merapatkan jurang perbezaan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Ini adalah kerana jurang perbezaan sosio-ekonomi antara penduduk Bumiputera dan bukan Bumiputera amat ketara sekali termasuklah dari segi aspek pembangunan, pemilikan harta, kekayaan, pelajaran, pekerjaan, dan sebagainya. Masyarakat Melayu hanya mempunyai tampuk kuasa politik tetapi ia tetap tidak dapat menjadikan masyarakat Melayu sebagai masyarakat yang paling berjaya dan berkuasa. 
            Masyarakat Melayu sebagai penduduk peribumi asal di Malaysia menginginkan ketuanan Melayu dan mempunyai keistimewaan dan kelebihan sebagai penduduk asal Malaysia. Oleh kerana dari semua aspek majoritinya masyarakat Melayu jauh ketinggalan di belakang, pihak kerajaan mengambil langkah untuk menstabilkan dan membantu sosio-ekonomi masyarakat Melayu dengan perlaksanaan DEB. Namun begitu, jika dilihat dari segi sejarah, keadaan ekonomi yang tidak seimbang ini disebabkan juga oleh pihak penjajah yang menggunakan dasar pecah dan perintah terhadap Tanah Melayu pada sewaktu ketika dahulu setelah terjadinya imigrasi dari Cina dan India. Masyarakat Cina dibawa masuk ke Tanah Melayu dan diletakkan di kawasan bandar dan bekerja sebagai pelombong bijih timah dan peniaga. Masyarakat India pula diletakkan di kawasan estet untuk mengerjakan ladang-ladang getah pihak British. Masyarakat Melayu tetap kekal di kawasan perkampungan dan bekerja sebagai petani, pekebun kecil, nelayan, buruh kasar dan pekerja ladang.
            Pihak kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta untuk memajukan ekonomi bumiputera yang merupakan kaum yang tertinggal jauh sekali ke belakang berbanding kaum yang lain. Antaranya ialah MARA, KESEDAR, KEJORA, Bank Bumiputra, dan sebagainya. Walaupun pihak kerajaan mengatakan mahu mengimbangkan kembali ekonomi antara kaum tetapi jika kita menelitinya, pihak kerajaan lebih berpihak kepada kaum Melayu apabila mewujudkan pelbagai agensi dan program untuk Bumiputera. Contohnya MARA merupakan agensi Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang terdiri daripada sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera. KESEDAR dan KEJORA pula dibawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang berfungsi sebagai sebuah agensi pembangunan bagi negeri Johor dan Kelantan. Selain itu, kerajaan juga bertindak untuk menambahkan lagi kemodenan dan meninggikan daya pengeluaran di kawasan luar bandar,  masyarakat perdagangan dan perindustrian dalam kalangan Bumiputera dan menambahkan hakmilik rakyat dalam pemilikan modal produktif negara seperti pemilikan saham dalam sektor syarikat untuk Bumiputera. Jika kita teliti strategi-strategi dan perlaksanaan rancangan kerajaan ini, kita akan dapati bahawa pihak kerajaan ingin membantu orang-orang Melayu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka. Hampir kebanyakan strategi tersebut lebih ke arah pihak orang-orang Melayu dan Bumiputera. Sebagai penduduk asal di Malaysia ini, saya berpendapat bahawa seharusnya masyarakat Melayu menguasai dalam semua bidang dan perkara termasuklah bidang ekonomi, pemilikan sumber, perniagaan, pendidikan, dan sebagainya. Namun apa yang telah berlaku adalah yang sebaliknya. Apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah sangat bagus untuk membantu masyarakat bumiputera di negara ini, namun ia seakan-akan berat sebelah dan tidak bersifat adil kepada semua kaum dan masyarakat. Ini adalah kerana, sejak kemerdekaan dicapai oleh negara ini pada tahun 1957 dan juga tertubuhnya Malaysia, sudah tiada lagi bangsa Melayu dan telah menjadi bangsa yang baru iaitu bangsa Malaysia. Oleh itu, seharusnya kita semua lebih bersikap adil dan memberikan hak sama rata kepada semua masyarakat. Masyarakat sendiri perlu merebut peluang dan meningkatkan produktiviti diri untuk memajukan diri sendiri.
            Sehingga kini menjelang abad ke-21, kita masih dapat melihat bahawa kebanyakan orang-orang Melayu masih tertinggal ke belakang berbanding kaum lain seperti Cina dan India yang lebih maju dan mencapai kejayaan dalam mengejar kekayaan dan ekonomi yang kukuh. Kaum Cina majoritinya menguasai bidang ekonomi dan membuka banyak premis-premis dan firma-firma syarikat di bandar-bandar besar. Malah jika kita lihat di kawasan pinggir bandar juga terdapat banyak kedai-kedai dan gerai yang menjadi milik orang-orang Cina. Kaum India juga banyak meningkatkan taraf hidup mereka dan mempunyai kerjaya yang baik seperti dalam bidang perubatan dan juga perniagaan. Bagi masyarakat Melayu, tidak ramai yang rajin untuk memajukan diri dan mengembangkan lagi perniagaan dan perusahawanan yang diceburi. Masyarakat Melayu secara amnya lebih suka berada dalam zon yang selesa tanpa mahu meningkatkan lagi taraf hidup ke arah yang lebih kaya tidak seperti masyarakat kaum lain. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup harmoni bersama pelbagai kaum dan etnik perlu sentiasa memajukan diri, bersaing secara sihat tanpa mengahrapkan bantuan dan strategi daripada pihak kerajaan dan badan-badan berkanun semata-mata. Negara kita kini telah membangun dan sedang menuju kearah wawasan 2020, maka semua rakyat perlu sedar akan kepentingan ekonomi terhadap negara, diri dan keluarga.



Artikel 2: Interaksi Budaya India & Cina ke atas Pengukuhan Bahasa dalam Tamadun Melayu.
Tema: Bahasa.
            Artikel kedua yang ingin saya ulas dan kritik adalah Interaksi budaya India dan Cina ke atas pengukuhan bahasa dalam tamadun Melayu iaitu jurnal tulisan oleh Zawiah Mat dan Mashitah Sulaiman. Dalam artikel tersebut, ia menumpukan terhadap budaya dan bahasa yang mempengaruhi masyarakat Melayu dan juga India serta Cina.
            Seperti mana yang kita telah tahu, sejak zaman berzaman lagi masyarakat Melayu telah mengalami perubahan dan pengaruh kesan daripada pertembungan budaya dan interaksi sosial antara tamadun melayu dengan masyarakat luar seperti Cina dan India. Kedatangan masyarakat Cina ke Tanah Melayu sewaktu ketika dahulu bermula sejak awal abad masihi lagi. Pada ketika itu masyarakat Cina banyak datang berdagang dan berurusan dengan Tanah melayu terutamanya di semenanjung Malaya. Masyarakat Cina sendiri menggunakan bahasa Melayu ketika berurus niaga seperti di Melaka hingga dikenali sebagai bahasa lingua franca iaitu bahasa perhubungan. Mengikut sejarah, maharaja Cina iaitu Maharaja Ming juga pernah mengahantar utusannya iaitu Yong Le Ke-1 ke Tanah Melayu untuk tujuan muhibah dan Sultan di Tanah Melayu juga turut membalas kunjungan tersebut dengan menghantar utusan ke Tanah Besar Cina juga. Mengikut kata Zawiah dalam tulisan jurnalnya bersama Mashitah, kemuncak kepada perhubungan antara Cina Dan Nusantara berlaku semasa zaman kesultanan Melayu Melaka. Hubungan baik yang dibina antara dua negara ini baik untuk kedua-dua belah pihak. Perkembangan bahasa turut berkembang dengan adanya penukaran dan pengubahsuaian kepada kedua-dua bahasa ini. Dengan itu kosa kata dan kefahaman terhadap bahasa turut meningkat.
            Selain itu, terdapat juga masyarakat Cina yang membawa keluarganya menetap terus di Tanah Melayu dan membawa masuk pengaruh bahasa kepada masyarakat Melayu. Mereka juga turut mengahwini rakyat tempatan hinga lahirlah masyarakat Baba dan Nyonya serta peranakan Cina. Dengan itu, wujudlah istilah-istilah baru daripada kepelbagaian etnik dalam pengkayaan bahasa Melayu dan tamadun Melayu. Namun begitu, masyarakat Melayu tidak mengambil perkataan dalam bahasa Cina secara terus tanpa ada pengubahsuaian atau meminjam ubah unsur tersebut. Antara contoh perkataan bahasa Cina dalam bahasa Melayu tersebut ialah teh, taugeh, kuaci, kucai, tocang, koyok, gincu, congkak, loteng, bangsal, angpau, tekong, dan sebagainya. Oleh kerana kita telah mengetahui bahawa sebahagian daripada bahasa Melayu sebenarnya bukanlah benar-benar berasal daripada tamadun Melayu, kita tidak seharusnya berasa megah dan sombong kepada kaum lain seperti Cina bahawa mereka tidak pandai menggunakan bahasa Melayu sedangkan kita sendiri pada asalnya tidak mengetahui asal usul bahasa tersebut mengandungi sebahagian pinjaman perkataan daripada bahasa Cina. Dalam penyerapan bahasa tersebut, terdapat juga beberapa perkataan yang tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi dan formal seperti apek, nyonya, taukeh, gua, lu, cuak, singkek, dan sebagainya. Perkataan-perkataan tersebut hanya sesuai digunakan dalam bahasa pasar sahaja dan sebenarnya ia kedengaran seperti kurang sopan dan tidak manis didengar. Seperti perkataan gua dan lu yang membawa maksud kepada saya dan kamu. Perkataan tersebut juga tidak sesuai digunakan dalam perbualan dengan orang yang lebih tua dan dengan keluarga.
            Pengaruh budaya India ke atas bahasa dalam tamadun Melayu pula mula wujud setelah hubungan awal yang dibina antara India dengan Asia Tenggara sejak abad pertama Masihi. Orang-orang melayu juga turut mengembara menjadi pelaut ke India untuk tujuan dagangan. Orang-orang India juga membina penempatan di Tanag Melayu dan menetap serta berkahwin dengan gadis tempatan. Kemudian wujudlah masyarakat india muslim atau lebih dikenali sebagai mamak pada zaman kini.
            Bahasa Melayu banyak diambil daripada bahasa sanskrit dan juga sedikit daripada bahasa tamil. Bahasa tersebut dipinjam dan diubahsuai dengan kesesuaian masyarakat Melayu. Contoh kata pinjaman daripada bahasa sanskrit ialah ‘bhumi’ menjadi perkataan ‘bumi’, ‘artha’ menjadi ‘harta’, ‘akasah’ menjadi ‘angkasa’, dan sebagainya. Pinjaman daripada bahasa tamil pula ialah ‘vaga’i menjadi perkataan ‘baga’i, ‘ayyaa’ menjadi ‘ayah’, dan lain-lain. Pandangan saya kata pinjaman dari India ini telah menyebabkan pengkayaan dalam bahasa Melayu menjadi meningkat dan kosa kata dalam bahasa Melayu juga turut berkembang.
Bahasa merupakan satu medium yang penting bagi perhubungan dan komunikasi bagi manusia. Menurut pandangan saya, jika kosa kata dan tatabahasa adalah kurang dan tidak banyak, kemungkinan banyak perkara dan benda di persekitaran kita tidak mempunyai nama dan tidak dapat diterjemahkan kepada bahasa. Namun begitu, pengaruh bahasa dari luar ini perlu digunakan sebaiknya dan disesuaikan dengan budaya, dan nilai kita sebagai kaum Melayu. Jangan sehinggakan nilai dan bahasa asal kita hilang keaslian dan nilainya sehingga jarang-jarang kita gunakan dalam kehidupan kita. Bahasa Melayu kita perlu dijaga dan jangan dicemarkan penggunaannya dengan penggunaan bahasa yang tidak betul atau ‘rojak’ . Masyarakat Malaysia kini yang terdiri daripada 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina, dan India perlu mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi negara kita. Walaupun kita hidup dengan budaya dan bahasa masing-masing namun bahasa Melayu tetap menjadi keutamaan dan perlu dikuasai dengan fasih oleh semua rakyat. Masyarakat Cina dan India sepatutnya tidak menjadi masalah untuk fasih dalam bahasa Melayu kerana sebahagian daripada bahasa Melayu ialah kata pinjaman daripada bahasa Cina dan India. Malah, keturunan mereka telah lama menetap dan mengamalkan bahasa Melayu di Malaysia. Maka, tidak wajarlah seandainya masyarakat Cina dan India tidak tahu dan tidak mahir berbahasa Melayu dengan baik.









Artikel 3: Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka.
Tema: Politik.
            Saya telah membaca dan memahami kandungan karya Abdul Halim Ramli dalam jurnalnya, Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka yang diterbitkan oleh Universiti Malaya di Jabatan Sosial Sains dan Seni. Mengikut sejarah, kedatangan kaum lain seperti Cina dan India pada asalnya ke tanah Melayu adalah dibawa masuk oleh pihak penjajah. Kemudian, dalam proses memerdekakan Tanah Melayu pelbagai isu dan proses telah berlaku.
            Pada Oktober 1945, pihak Inggeris telah menubuhkan Malayan Union bagi menggabungkan negeri-negeri Melayu di Semenanjung. Ia bertujuan untuk membentuk satu pentadbiran yang berpusat dan melonggarkan syarat kelayakan bagi orang-orang bukan Melayu. Apabila pihak Inggeris membuat rancangan seperti Malayan Union itu, sudah tentulah orang-orang Melayu tidak bersetuju dan menentang secara habis-habisan rancangan tersebut. Ini adalah kerana, dengan tertubuhnya Malayan Union, hak istimewa dan kedaulatan raja-raja Melayu akan terhapus. Perkara itu membuatkan ketuanan Melayu hilang dan orang-orang Melayu berpendapat bahawa Tanah Melayu perlu kekal sebagai hak milik orang-orang Melayu, dan kaum lain yang datang berhijrah ke Tanah melayu perlulah menyedari akan hal tersebut dan perlu tahu bahawa mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu. James Allen dalam jurnal karya  Abdul Halim Ramli turut mengatakan bahawa rancangan pihak Inggeris itu seolah-olah ingin membelakangkan dan menghukum orang-orang Melayu dan menyebelahi dibelah pihak orang-orang Cina kerana kaum Cina telah banyak membantu orang Inggeris dalam jajahan mereka di Tanah Melayu seperti penyertaan mereka sebagai MPAJA iaitu Malayan People’s Anti-Japanes Army.
            Pihak Inggeris mempunyai agendanya yang tersendiri dalam penubuhan Malayan Union ini. Mereka ingin memerintah Tanah Melayu dan tidak mengiktiraf hak orang Melayu sebagai penduduk asal yang mempunyai hak  istimewa peribumi berbanding kaum lain. Pihak Inggeris dikatakan memerintah secara langsung Tanah Melayu kerana melalui Malayan Union ini raja-raja Melayu perlu menyerahkan kedaulatan mereka kepada Raja Inggeris. Perkara seperti ini sudah pastilah tidak wajar dan menurut pandangan saya juga, orang-orang Inggeris tidak boleh merampas kedaulatan dan pemerintahan raja-raja Melayu kerana Tanah Melayu adalah hak milik orang-orang Melayu dan orang-orang Melayu berhak memerintah dan menetap di tanah kelahiran mereka sendiri.
            Jika ingin mengatakan bahawa masyarakat Cina dan India benar-benar menginginkan hak kerakyatan di Tanah Melayu, perkara itu adalah tidak benar sama sekail. Ini adalah kerana, pada mulanya kaum Cina tidak memperlihatkan sokongan mereka terhadap gagasan Malayan Union tersebut. Sebahagian daripada mereka hanya memberikan kesetiaan mereka kepada negara Cina dan mereka lebih mengambil berat akan ekonomi dan gangguan hak sivil mereka pada ketika itu. Bagi kaum India pula, mereka lebih memberikan tumpuan terhadap isu kekurangan makanan dan peningkatan harga barangan dan industri. Mereka tidak banyak memberikan komen dan maklum balas terhadap gagasan tersebut. Mereka turut menganggap bahawa Tanah Melayu adalah negara Melayu dan perlulah dikekalkan. Maka disini, kita dapat lihat bahawa kaum Cina dan India tidak merebutkan hak kerakyatan tersebut pada awalnya, tetapi pihak Inggeris yang bukan warganegara di Tanah Melayu yang bersungguh-sungguh campur tangan dalam urusan kewarganegaraan  Tanah melayu untuk kepentingan mereka.
            Kemudian Malayan Union dibubarkan dan digantikan pula dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1946. Dalam persekutuan tersebut orang-orang Melayu bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu tetapi dengan syarat bahawa mereka perlu memberikan tatat setia dan mengikut segala syarat yang diberikan dalam perjanjian tersebut. Namun begitu, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pihak kaum lain kerana undang-undang yang ketat. Namun begitu, sebenarnya adalah agak wajar jika diberikan syarat dan undang-undang yang sedikit ketat kepada bukan Melayu untuk mendapatkan kewarganegaraan di Tanah Melayu kerana mereka perlu membuktikan taat setia mereka kepada Tanah Melayu dan menjdai bangsa yang baru. Kita tidak mahu bangsa yang akan membelot dan mengkhianati bangsa dan negara sendiri. Pada ketika ini terdapat sebahagian kaum bukan Melayu yang tidak menolak perkara tersebut secara keseluruhannya kerana ia adalah untuk menjaga kepentingan penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu. Namun begitu terdapat juga sebahagian golongan yang menentang dan menolak syarat kerakyatan tersebut kerana mereka berpandangan bahawa ianya seperti ingin meminggirkan kaum lain dan berpendapat bahawa Tanah Melayu adalah negara majmuk dan bukan hanya untuk orang-orang Melayu sahaja. Bagi saya, kedua-dua belah pihak iaitu kaum Melayu dan kamu bukan Melayu perlu berfikiran terbuka dan menerima anatara satu sama lain. Masyarakat bukan Melayu perlu memahami dan menerima bahawa Tanah Melayu merupakan hak milik dan negara kelahiran kaum Melayu sejak dahulu lagi, dan perkara yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi negara yang mempunyai kaum dan bangsa lain adalah disebabkan oleh kemasukan dari negara luar oleh pihak penjajah untuk kepentingan mereka. Kaum bukan Melayu kebanyakannya tidak mahu pulang ke negara asal kerana di negara mereka mempunyai masalah-masalah lain seperti masalah ekonomi, pengangguran, ketidakstabilan politik, ekonomi yang tidak stabil, dan sebagainya. Maka mereka perlu sedar bahawa mereka sedang membuat permohonan untuk tinggal secara tetap di Tanah Melayu dan perlu mengikut segala syarat dan perundangan yang ditetapkan. Tetapi dalam masa yang sama juga kaum Melayu turut perlu memahami bahawa, bukan kehendak kaum bukan Melayu untuk datang ke Tanah Melayu sewenang-wenangnya kerana mereka juga datang ke Tanah Melayu disebabkan oleh desakan keperluan hidup dan dibawa oleh pihak penjajah. Mereka juga menjadi mangsa keadaaan. Malah terdapat juga sebahagian daripada mereka terpaksa meninggalkan kehidupan dan keluarga di negara asal mereka.
            Kesan daripada politik dan penjajahan semasa sebelum merdeka dahulu, kini negara Malaysia sudah terdiri daripada pelbagai kaum dan dapat hidup secara harmoni dan saling faham-memahami antara satu sama lain. Kini, semua kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai hak yang sama untuk berpolitik secara adil dan saksama. Rakyat juga diberi pilihan untuk memilih pemimpin mereka sendiri melalui pilihanraya umum yang diadakan.

No comments:

 
Images by Freepik