Pages

Sunday, August 5, 2012

Contoh teks untuk pengajaran hasil pembelajaran 4.3 Bahasa Melayu KBSR.

HASIL PEMBELAJARAN:
4.3 Mengemukakan hujah untuk menyokong atau menentang sesuatu pendirian dengan memberikan alasan yang sesuai secara sopan dalam aktiviti yang terancang.

Tajuk : Syarahan ‘Keburukan Siaran Televieyen kepada Kanak-kanak’.

 Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah “Keburukan Siaran Televisyen Kepada Kanak-kanak.”

Hadirin sekalian,

Akibat pembangunan negara yang begitu pesat hampir semua penduduk negara ini sudah memiliki televisyen di rumah mereka. Televisyen sudah diketahui mampu bertindak sebagai alat penyebaran maklumat yang berkesan kepada negara ini. Pada masa yang sama unsur hiburan turut ditimbulkan oleh televisyen menerusi penyiaran program dalam dan luar negara itu.

Namun, peranan televisyen yang membawa kebaikan itu turut menyelitkan impak buruk yang ketara kepada kanak-kanak di negara ini. Kebanyakan program yang ditayangkan itu merupakan program import yang memaparkan pelbagai unsur ganas yang tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak seperti rompakan dan pembunuhan. Sikap menonton program ini dengan kerap akan menyebabkan kanak-kanak cuba meniru aksi tersebut.

Selain itu, televisyen menyebabkan kanak-kanak menghabiskan terlalu banyak masa dengan menonton tanpa membuat sebarang aktiviti yang berfaedah seperti membuat kerja sekolah mereka. Alasan menonton program kesukaan mereka sering menjadi alasan yang menyebabkan banyak aktiviti lain terganggu. Keadaan ini boleh menyebabkan prestasi peperiksaan mereka menurun lalu menimbulkan pelbagai kesan negatif kepada kanak-kanak itu pada masa hadapan pula.

Hadirin yang dihormati,

Semua pihak terutama ibu bapa perlu sedar akan pentingnya sikap mengawal amalan menonton televisyen ini dengan lebih baik. Ibu bapa harus mengutamakan program yang mampu menambahkan pengetahuan dan memupuk sikap baik dalam diri kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan pemimpin negara pada masa hadapan. Kita perlu sedar bahawa rancangan televisyen dapat mempengaruhi fikiran dan tindakan kanak-kanak. Oleh itu, pilihlah rancangan televisyen yang sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak.
Sekian, terima kasih.

No comments:

 
Images by Freepik