Pages

Monday, July 23, 2012

Audiogram, ujian audiometer dan ciri-ciri akustik bilik darjah.



Rumusan tentang artikel akustik bilik darjah :
Meningkatkan akustik dan akademik kawalan bunyi untuk bilik darjah.

            Suasana dan persekitaran pengajaran telah banyak berubah kini berbanding suatu ketika dahulu. Kelas semakin luas , pelbagai bahan, rujukan dan teknologi digunakan di dalam kelas. Pelbagai teknologi dan pengaruh persekitaran yang mempengaruhi akustik bilik darjah dan turut mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk belajar secara berkesan. Contohnya penggunaan komputer dan kebisingan dari kawasan persekitaran memberi sedikit kesan kepada kanak-kanak di dalam bilik darjah.
            Terdapat beberapa masalah yang berlaku di dalam bilik darjah yang berkaitan dengan akustik bilik darjah iaitu, terdapat sesuatu isu yang menghalang arahan lisan yang diberikan kepada kanak-kanak itu sampai dengan tepat, bilangan kanak-kanak yang ramai dalam sebuah bilik darjah,  aktiviti yang banyak yang turut mengganggu penyampaian bunyi, tempat duduk pelajar yang tidak sesuai, maklumat yang disampaikan adalah laju dan tidak sesuai dengan usia kanak-kanak, bunyi bising dan gangguan dari alat pemanas dan pengudaraan di dalam bilik darjah, dan juga bunyi bising dari bahan pengajaran seperti penggunaan komputer.
            Masalah kebisingan ini boleh memberikan kesan yang buruk dalam bilik darjah kepada murid-murid dari segi kefokusan, perhatian, perangai dan sifat, prestasi akademik, pemerolehan bahasa, dan kesihatan murid. Untuk guru pula masalah kebisingan yang berlaku boleh menyebabkan guru lebih berasa letih, mempengaruhi gaya pengajaran, mempengaruhi pertuturan, dan meningkatkan lagi tekanan dan ketidakselesaan pada diri guru tersebut.
            Akustik bilik darjah dapat dibaiki dengan beberapa cara seperti menggunakan karpet pemaidani, kayu keras, lantai batu, langsir, bidai dan, papan notis. Selain itu sekolah juga boleh menggunakan amplifikasi bunyi bertujuan untuk menguatkan suara guru, namun ia memerlukan perbelanjaan yang agak mahal dan biasanya sekolah-sekolah tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.
            Namun begitu jika dilihat dari sudut lain, sebenarnya bunyi kebisingan itu turut wujud disebabkan oleh suara kanak-kanak itu sendiri semasa membuat perbincangan  dan melakukan aktiviti. Guru perlu melakukan sesuatu dan menghentikan suasana yang bising tersebut kerana ia boleh mengganggu rakan-rakan sekelas dan mereka perlu bersikap bertimbang rasa dan hormat kepada yang lain juga.
            Selain itu, terdapat juga cara lain yang boleh digunakan oleh guru, iaitu menggunakan Papan Putih Interaktif atau Interactive White Boards (IWB). Ia merupakan sebuah alat teknologi yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan masalah murid-murid yang berbuat bising. Apabila kebisingan berlaku, guru menggunakan cahaya yang terang dan semakin kebisingan berlaku, warna tersebut akan menjadi semakin terang. Maka murid-murid akan menyedari bahawa, mereka telah terlalu bising. Dengan itu, ia dapat membantu guru mengajar di dalam kelas tanpa rasa terganggu dengan kebisingan yang dilakukan oleh murid-muridnya. Dalam masa yang sama juga murid-murid turut menyedari bahawa kelakuan mereka itu turut memberi kesan kepada rakan-rakan sekelas mereka.

Pentafsiran dari audiogram.

            Saya telah melakukan ujian nada tulen terhadap rakan sekelas saya iaitu Nur ‘Adilah bt Mohamad Kamal untuk menguji tahap pendengaran dengan menggunakan berbagai jenis frekuensi. Alatan yang digunakan ialah audiometer iaitu suatu instrumen elektrik. Keputusan ujian tersebut direkodkan ke dalam sebuah peta grafik iaitu audiogram. Pada kertas audiogram tersebut, terdapat julat atau frekuensi bunyi yang mampu didengari oleh kedua-dua belah telinga serta intensiti iaitu kekuatan bunyi yang boleh didengari. Semasa menjalani ujian ini, bunyi akan diturunkan intensitinya sehingga tidak dapat mendengar lagi iaitu sehingga ke tahap ambang pendengaran.
 







Gambar 1: Audiometer.

            Cara membuat bacaan audiogram ialah, nombor-nombor yang mendatar di bahagian atas graf ialah merupakan frekuensi bunyi dan nombor-nombor di bahagian kiri pula menunjukkan tahap pendengaran individu. Bacaan graf tersebut perlulah dibaca dari belah kiri ke kanan. Ia dibentuk daripada bunyi yang paling perlahan di bahagian atas hingga bunyi yang paling kuat di bahagian bawah graf.















Rajah 1:Contoh audiogram tahap pendengaran normal.

Berdasarkan audiogram yang diperoleh hasil daripada ujian nada tulen tersebut, saya mendapati Nur ‘Adilah mempunyai tahap pendengaran di telinga kanannya sebanyak 10 dB hingga 55 dB. Maka saya dapat simpulkan bahawa Nur ‘Adilah mempunyai tahap pendengaran yang sederhana bagi telinga kanannya. Ini adalah kerana tahap pendengaran individu yang normal ialah antara -10 dB hingga 25 dB, 25 dB hingga 45 dB adalah di tahap pendengaran yang ringan, 45 dB  hingga 65 dB pula ialah tahap pendengaran sederhana, tahap pendengaran yang teruk ialah 65 dB hingga 85 dB,  dan 85 dB hingga 130 dB pula ialah tahap pendengaran yang sangat teruk. Bagi telinga belah kiri pula, dalam bacaan audiogram menunjukkan bahawa tahap pendengarannya ialah 15 dB  hingga 40 dB. Maka tahap pendengaran bagi telinga kirinya ialah ringan.


 






             Gambar 2: Ujian nada tulen dijalankan terhadap Nur ‘Adilah.

            Selain itu, semasa saya menjalankan ujian nada tulen tersebut, saya telah memilih sebuah bilik kuliah yang kosong dan menutup kesemua tingkap dan pintu bagi mengurangkan gangguan bunyi dari luar. Namun begitu, memandangkan kedudukan bilik kuliah tersebut adalah berhampiran dengan kawasan jalan raya, terdapat sedikit gangguan kerana terdapat gangguan bunyi yang datangnya daripada bunyi motosikal dan kenderaan berat yang lain yang melalui jalan raya tersebut. Sebenarnya bagi menjalani ujian nada tulen ini, penguji dan pesakit perlu berada dalam bilik yang kalis bunyi agar hasil ujian tersebut akan menjadi lebih baik dan tepat.

Cara-cara menjalankan ujian audiometer automatik nada tulen.

            Pada mulanya penguji perlu menggunakan audiometer untuk menguji pendengaran pesakit. Pesakit perlu memakai fon kepala dan memegang suis. Fon telinga itu berfungsi untuk menghalang daripada gangguan bunyi-bunyi lain yang tidak dikehendaki. Ia juga berperanan untuk mengalirkan nada ke telinga yang sedang diuji. Ujian ini perlu dijalankan di bilik yang bersesuaian dan kalis bunyi agar tidak timbul gangguan dari bunyi-bunyi yang lain dan boleh mengganggu kefokusan pesakit untuk mendengar bunyi yang disalurkan melalui fon telinga tersebut. Dalam bilik kalis bunyi, ia perlulah dilapisi dengan bahan lembut untuk menyerap bunyi – bunyian dan gemaan. Pintu bilik tersebut perlulah ditutup ketat dan teguh. Fon telinga yang dipakai oleh pesakit pula adalah berbentuk seperti cawan dan lebih besar meliputi telinga. Pesakit hendaklah membuka dan menutup mulut beberapa kali agar kedudukan fon telinga tersebut adalah lebih tepat. Selain itu, pesakit juga perlulah duduk secara bertentangan dengan penguji agar pesakit tidak akan berasa terganggu dengan pergerakan yang dilakukan oleh penguji atau penilai.
            Pesakit akan diuji setiap belah kanan dan kiri telinga secara bergilir-gilir kerana setiap telinga mempunyai sensitiviti bunyi yang berlainan. Nada bunyi akan meningkat intensitinya sehingga pesakit akan memberikan respon dengan cara menekan suis. Semasa pesakit menekan suis, ia bermakna bahawa pesakit telah dapat mengesan bunyi yang dipancarkan dan nada bunyi tersebut akan menurun intensitinya sehingga pesakit akan melepaskan suis tersebut.  Sesuat frekuensi yang berbunyi bagi setiap nada, ia akan berbunyi selama dua minit dan kemudian ia akan bertukar secara automatik kepada frekuensi yang lain pula.
            Penguji akan mencatatkan bacaan pada audiometer tersebut didalam graf yang dipanggil sebagai audiogram. Bunyi dari audiometer akan digandakan dan intensitinya akan dikuatkan jika pesakit tidak dapat mengesan bunyi pada fon telinganya. Jika pesakit tidak mendengar bunyi yang diperdengarkan, gandaan bunyi akan berlaku dan diteruskan sehinggalah pesakit memberikan respon.

Perbandingan Ciri-ciri Akustik Bilik Darjah yang Ideal
 Dengan Bilik Darjah yang Dikaji.

Saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dari 5 hingga 9 Mac 2012 di Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri (SKDB) Cheras, Selangor Darul Ehsan. Saya perlu melakukan pemerhatian untuk membuat perbandingan ciri-ciri akustik bilik darjah yang ideal untuk murid normal atau murid bermasalah pendengaran.
Akustik merupakan satu cabang fizik yang mengkaji penghasilan, kawalan, penghantaran, penerimaan bunyi dan kesan-kesannya. Akustik bilik darjah yang baik mampu memberi kesan terhadap seisi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Jika sesuatu bilik darjah itu tidak mempunyai ciri-ciri akustik yang ideal, maka murid-murid akan menghadapi masalah untuk menerima pengajaran guru ketika berada di dalam kelas terutamanya bagi murid yang mempunyai masalah dalam pendengarannya. Oleh itu, akustik bilik darjah yang ideal adalah amat penting bagi mengurangkan gangguan pada bunyi dan gemaan dari luar bilik darjah, dan dalam bilik darjah.
Semasa saya melakukan pemerhatian bilik darjah sepanjang saya berada di SKDB pada 5 hingga 9 Mac yang lalu, saya dapati hampir kebanyakan bilik darjah yang saya masuki mempunyai akustik bilik darjah yang sederhana baik. Bilik darjah tersebut dipasangkan kain langsir yang sederhana tebal dan cukup untuk menutupi tingkap dalam bilik darjah tersebut. Kain langsir yang sesuai membolehkan penyerapan bunyi dan gemaan berlaku, malah cahaya matahari yang terik juga dapat ditapis bagi menjamin keselesaan murid dan guru. Selain itu, saya juga dapati bahawa meja guru turut dialas dengan menggunakan alas meja. Alas meja tersebut turut membantu untuk menyerap gemaan dan bunyi yang tidak diperlukan. Namun begitu, meja-meja murid tidak dialas dengan alas meja yang bersesuaian. Adalah lebih baik jika meja-meja murid yang disusun rapi itu turut dialas dengan alas meja seperti kertas pembalut atau kain alas meja agar ia turut berperanan untuk menyerap gema dan bunyi.
 Saya juga mendapati bahawa papan notis di bahagian hadapan dan belakang bilik darjah tidak dibiarkan kosong. Nota-nota, carta aliran, dan memo penuh dipenuhi pada ruangan papan notis tersebut. Malah terdapat juga nota-nota yang berbentuk kad yang menarik turut dilekatkan serta digantungkan pada ruangan dinding di bahagian hadapan dan belakang bilik darjah. Selain ianya berfungsi sebagai hiasan yang menarik dan sebagai nota tambahan kepada murid-murid, ia juga dapat mengurangkan gangguan bunyi dan gemaan bagi memberikan keselesaan untuk murid menerima pengajaran dengan mudah dan jelas. 
Selain itu, berdasarkan pemerhatian saya juga di setiap sudut bilik darjah tidak dibiarkan kosong. Contohnya terdapat bilik darjah yang saya masuki meletakkan sudut bacaan di hujung sudut belakang kelas. Guru menyediakan meja dan almari rendah untuk diletakkan bahan bacaan seperti buku cerita dan turut diletakkan hiasan seperti pasu bunga di sudut tersebut. Semakin banyak barangan dan bahan yang terkandung dalam sesuatu bilik darjah, maka akustik bilik darjah juga turut baik dan menjadi semakin ideal.
 Tetapi menurut pendapat saya, adalah lebih baik lagi jika guru menambahkan lagi bahan-bahan yang boleh membantu membentuk akustik bilik darjah yang lebih baik bagi memastikan kualiti pengajaran yang ingin disampaikan berjaya diterima oleh murid. Guru boleh menggunakan lapik telur di bahagian siling atau dinding bagi mengurangkan lagi kesan gema dan bunyi yang keterlaluan dalam bilik darjah. Selain itu, jika boleh guru harus meletakkan permaidani lembut di sesuatu sudut untuk mengekalkan akustik bilik darjah yang baik. Selain ia berfungsi untuk menyerap gema dan bunyi, permaidani tersebut juga boleh menambahkan lagi keceriaan dan kekemasan bilik darjah. Malah ia boleh dijadikan sebagai sudut untuk beristirehat dan santai selepas penat belajar.
Kebisingan dapat dibahagikan kepada tiga iaitu kebisingan di luar bangunan, kebisingan di dalam bangunan, dan kebisingan di dalam bilik. Kebisingan di luar bangunan merupakan unsur-unsur bunyi yang dihasilkan oleh pembinaan, keadaan trafik, bunyi kenderaan dan sebagainya. Sepanjang pemerhatian saya, masalah kebisingan di luar bangunan ini adalah tidak berlaku. Mungkin disebabkan oleh kedudukan bilik darjah yang jauh daripada jalan raya dan kawasan pembinaan dan pusat bandar. Kebisingan di dalam bangunan pula melibatkan bunyi bising yang terhasil di dalam bangunan seperti sekolah tetapi berlaku di luar bilik darjah. Bunyi-bunyi tersebut terhasil daripada bunyi pertukangan, muzik, suara bising murid lain, dan sebagainya. Saya mendapati bahawa kebisingan jenis ini sering berlaku sepanjang saya melakukan pemerhatian di SKDB terutamanya ketika ketiadaan guru. Murid –murid dari bilik darjah di sebelah menyebelah berbuat bising sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan murid di bilik darjah lain. Masalah ini mungkin berlaku kerana suara yang tidak dikawal dan akustik bilik darjah yang kurang baik. Seterusnya, kebisingan dalam bilik itu sendiri seperti bunyi murid berbuat bising, bunyi pergerakan kerusi dan meja serta sebagainya. Masalah kebisingan dalam bilik  darjah itu sendiri tidak dapat dielakkan. Maka seharusnya setiap bilik darjah mempunyai ciri-ciri akustik bilik yang baik bagi meningkatkan keupayaan penyerapan gema dan bunyi berlaku.
Kesimpulannya, hasil pemerhatian saya menunjukkan bahawa terdapat beberapa ciri-ciri akustik bilik darjah di bilik darjah SKDB. Namun begitu, ia masih boleh ditingkatkan lagi dengan beberapa langkah dan tindakan agar akustik bilik darjah semakin ideal dan dapat mempengaruhi seisi pengajaran dan pembelajaran yang berjaya. Jika akustik bilik darjah yang baik tidka dapat direalisasikan, murid-murid tidak dapat menerima pengajaran guru dengan baik dan jelas kerana terdapat gangguan-gangguan bunyi yang menyebabkan mereka hilang kefokusan terhadap pengajaran guru.

           
Refleksi.

            Tugasan projek kursus Audiologi dalam Pendidikan ini merupakan tugasan individu yang berfokuskan tentang penggunaan ujian nada tulen untuk menguji tahap pendengaran seseorang, etiologi kepekaan pesakit, dan akustik bilik darjah. Pada mulanya tugasan saya itu memerlukan saya dan rakan-rakan untuk menjalankan ujian nada tulen terhadap murid-murid pekak semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan melakukan pemerhatian dan banding beza bilik darjah akustik  murid-murid pekak. Namun begitu, saya dan rakan-rakan semua perlu ke sekolah rendah kebangsaan harian yang tidak mempunyai kelas masalah pendengaran. Maka, pada mulanya kami menghadapi sedikit kesulitan dan masalah untuk melaksanakan tugasan projek ini.
            Selepas kami habis menjalani PBS, pensyarah pembimbing saya, Dr Shahrul Arbai’ah memberikan kami peluang untuk melakukan tugasan ini dengan hanya menggunakan rakan sendiri di dalam kelas untuk melakukan ujian nada tulen. Kemudian, untuk tugasan perbandingan dan perbezaan bilik darjah murid di sekolah, pensyarah tidak menghadkan hanya memilih bilik darjah murid masalah pendengaran tetapi kami juga dibenarkan untuk memilih bilik darjah murid yang mendengar.
            Saya telah berusaha untuk mencari sumber rujukan dari pelbagai sumber seperti buku-buku akademik, internet, perpustakaan, pensyarah, dan sebagainya. Saya telah mendapatkan beberapa artikel untuk soalan merumuskan artikel yang berkaitan dengan akustik bilik darjah. Kemudian, saya menunjukkan artikel tersebut untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pensyarah pembimbing. Pensyarah pembing telah bersetuju agar saya memilih satu daripada artikel-artikel tersebut kerana semua artikel yang ditunjukkan adalah bersesuaian.
            Semasa ingin melakukan ujian nada tulen terhadap rakan sekelas, saya telah memilih sebuah bilik kuliah yang kosong dan tidak digunakan agar bilik tersebut mempunyai bunyi bising yang kurang dan tidak akan mengganggu pihak penguji dan piak pesakit. Namun begitu, memandangkan lokasi bangunan kelas kami adalah berdekatan dengan jalan raya, maka sedikit sebanyak bunyi bising jalan raya seperti motosikal turut mengganggu pesakit. Oleh itu, saya berpendapat bahawa, keputusan ujian nada tulen tersebut adalah kurang tepat kerana keadaan bilik darjah yang kurang akustik dan gangguan bunyi dari luar bangunan.
            Selepas saya berjaya menyiapkan tugasan ini, saya mendapati bahawa saya telah dapat mengaplikasikan semua yang dipelajari semasa di dalam kelas seperti cara menggunakan audiometer ujian nada tulen yang betul, cara mencatatkan keputusan ujian dalam bentuk graf atau audiogram, akustik bilik darjah yang baik, mengenalpasti tahap-tahap pendengaran seperti tahap pendengaran normal, ringan, sederhana, teruk, dan sangat teruk, serta dapat meningkatkan pengetahuan profesional sebagai bakal guru pendidikan khas.
            Selain itu, saya juga perlu membaiki segala kelemahan dan kekurangan saya sepanjang menyiapkan tugasan ini. Saya perlu memilih bilik yang lebih bersifat akustik yang baik untuk melakukan ujian pendengaran agar keputusan ujian yang diterima adalah lebih tepat. Tambahan pula, saya turut mengambil pengajaran daripada pemerhatian saya terhadap akustik bilik darjah di sekolah yang saya tinjau agar saya akan menerapkan ciri-ciri akustik bilik darjah yang baik terhadap bilik darjah di sekolah yang akan saya mengajar nanti.
            Apa yang dapat saya simpulkan disini adalah, sebagai seorang bakal guru pendidikan khas masalah pendengaran, saya perlu mengetahui cara untuk mengenalpasti tahap pendengaran murid dan punca berlakunya kepekakan tersebut. Selain itu, saya perlu mengetahui cara untuk membaca audiogram serta melakukan penambahbaikan bilik akustik bilik darjah bagi mengurangkan masalah bunyi-bunyian dan gemaan dari pelbagai sudut.


Rujukan.

Julia Jantan. (2010).Audiologi Dan Rehabilitasi Auditori. Selangor : OUM.
Martin, Frederick N. (2003). Introduction to Audiology. United States: Pearson Education.
Peter V. Paul. (2011). Hearing and Deafness. United States: Jones and Bartlett Publishers.

No comments:

 
Images by Freepik