Golongan
pekak mempunyai cara komunikasinya yang tersendiri untuk bersosial dan berbual
dalam komuniti mereka. Salah satunya dengan menggunakan bahasa isyarat yang
terdiri daripada simbol-simbol bahasa yang bermakna dan difahami oleh mereka.
Di Malaysia, biasanya warga pekak didedahkan dengan Bahasa Isyarat Malaysia
(BIM), Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM), dan Kod Tangan Bahasa Inggeris (KTBI).
Namun begitu, adakah setiap jenis bahasa isyarat terdapat perbezaannya atau
tidak?
Bahasa
isyarat dan kod tangan mempunyai beberapa perbezaan yang kadang kala tidak
diketahui oleh orang lain. Dari segi sejarah, Bahasa Isyarat telah mula
digunakan di Tanah Melayu sejak tahun 1954 di Sekolah Kanak-kanak Pekak
Persekutuan Pulau Pinang. Kemudian Persekutuan Orang Pekak di Malaysia (POPM ,
2000) telah menjalankan satu program untuk mengkaji dan mengumpulkan kesemua
isyarat dari pelbagai negeri dan daerah untuk diselaraskan. Ini adalah kerana,
setiap negeri dan daerah mempunyai sedikit perbezaan dari segi bahasa
isyaratnya sama seperti orang yang mendengar yang mempunyai loghat bahasa
melayu yang tersendiri bagi setiap negeri dan daerah. Maka buku BIM yang
pertama telah diterbitkan dan mempunyai 1000 bentuk bahasa isyarat. Buku
tersebut dijadikan rujukan oleh komuniti orang pekak. Selain itu, di Malaysia
selain menggunakan BIM sebagai bahasa bagi orang-orang pekak, mereka juga turut
menggunakan Kod Tangan Bahasa Melayu (KTBM) dan Kod Tangan Bahasa Inggeris
(KTBI). Di Malaysia, KTBM merupakan terjemahan daripada Kod Tangan Bahasa
Isyarat Amerika (ASL) pada tahun 1970-an. Ia merupakan kaedah komunikasi seluruh
untuk sesi pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak pekak di sekolah. KTBM
merupakan ciptaan oleh sekumpulan golongan akademik yang professional untuk
pengajaran bahasa di sekolah.
Perbezaan dari penggunaannya pula, bagi
BIM ia merupakan bahasa komunikasi harian yang digunakan oleh orang-orang pekak
di Malaysia. Sejak dahulu lagi ia menjadi bahasa komunikasi yang dibanggakan
oleh orang-orang pekak itu sendiri. Sedangkan KTBM dan KTBI itu digunakan oleh
guru-guru dan kanak-kanak pekak di sekolah semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran bahasa. Ini adalah kerana KTBM menyamai Bahasa
Melayu yang sebenar. KTBM ini menggunakan komunikasi secara menyeluruh
termasuklah anggota badan dan juga ekspresi muka. Walaubagaimana pun, guru-guru
bagi kanak-kanak pekak ini turut menggunakan BIM bagi membantu meningkatkan
kefahaman murid-murid pekak.
BIM dari segi semantiknya mempunyai
makna yang berbeza bagi setiap simbol bahasa isyarat. Contohnya bagi perkataan
‘jatuh’ mempunyai isyarat yang berbeza mengikut situasi dan penggunaan ayat.
Tetapi bagi KTBM dan KTBI , walaupun perkataan yang sama tetapi mempunyai makna
yang berbeza, simbol isyaratnya adalah sama. Maka, untuk membezakan makna yang
berlainan itu, ekspresi muka dan ayat yang betul perlu digunakan bagi
memberikan makna yang tepat.
Seterusnya , perbezaan bagi BIM dan KTBM
ini dapat dilihat dari segi sintaksisnya. Sintaksis ialah ilmu bahasa yang
mengkaji bentuk , struktur , dan binaan ayat. Dalam BIM, golongan pekak
menggunakan ayat yang tidak tepat dari segi tatabahasanya. Subjek dan predikat
tidak disusun dengan baik semasa berkomunikasi dengan orang lain. Dalam BIM,
ayat predikat didahulukan dan kemudian diikuti dengan ayat subjek. Tidak
seperti KTBM yang menggunakan tatabahasa dan sintaksis dengan tepat. Dalam
KTBM, subjek dan predikat disusun mengikut peraturan bahasa Melayu. Jika BIM
diterjemahkan dalam bentuk penulisan, susunan ayat subjek dan predikat adalah
tidak tepat dan tidak tersusun mengikut peraturan tatabahasa Bahasa Melayu.
KTBM lebih menekankan
penggunaan Bahasa Malaysia yang baik dan betul tatabahasanya dan menggunakan
penambahan imbuhan awalan dan akhiran dalam perkataan yang digunakan.
Berbanding dengan BIM, ia lebih kepada ringkasan dan tidak ada penambahan
imbuhan pada perkataan yang digunakan. Malah, jika BIM diterjemahkan dalam
bentuk penulisan, susunan ayat BIM adalah tidak tepat serta tidak tersusun
dengan baik. Bagi golongan pekak yang terpelajar biasanya mempunyai kemahiran
BIM dan KTBM kerana mereka dapat menguasai Bahasa Malaysia dengan baik. Mereka
menggunakan imbuhan dan ayat yang betul dalam Bahasa Malaysia. Tetapi, dalam
buku KTBM edisi kedua dan seterusnya dikatakan sukar diingati dan jarang
digunakan oleh kebanyakan warga pekak.
Antara
perbezaan yang ketara dalam BIM dan KTBM ialah KTBM direka oleh kumpulan
pendidik yang bukan pekak. Mereka mengambil dan menukarkan Bahasa Isyarat
Amerika (ASL) untuk diubahsuaikan dengan Bahasa Malaysia. Kumpulan pendidik
yang mencipta KTBM ini hanya mempunyai pengetahuan yang terhad dalam kebudayaan
pekak. Oleh sebab itu, kebanyakan warga pekak tidak mengamalkan KTBM ini secara
menyeluruh. Tetapi ia amat relevan digunakan untuk pengajaran Bahasa Malaysia
di sekolah. Sedangkan BIM itu merupakan bahasa yang diciptakan oleh orang-orang
pekak itu sendiri. Maka penggunaan BIM dalam komunikasi antara orang pekak
adalah lebih difahami dan selesa digunakan. Begitu juga dengan Kod Tangan
Bahasa Inggeris (KTBI) juga merupakan Kod Tangan yang digunakan di sekolah
untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bahasa inggeris. Isyarat Tangan ini
mempunyai tatabahasa dan imbuhan yang betul sama seperti yang terdapat dalam
KTBM. KTBI ini dapat membantu kanak-kanak pekak untuk meningkatkan penguasaan
dalam Bahasa Inggeris. Ia adalah mengikut kandungan perkataan dalam standard
kamus Bahasa Inggeris. Kebanyakan perkataan dalam KTBI juga diambil daripada
perkataan ASL. Walaupun begitu, ASL dan KTBI mempunyai perbezaan dan tidak
boleh disamakan. Jika terdapat dua orang yang berlainan yang masing-masing
mengamalkan ASL dan KTBI, mereka mungkin tidak dapat memahami mesej yang ingin disampaikan.
Seterusnya
perbezaan yang dapat dilihat antara BIM dan KTBM atau KTBI ialah, dalam KTBM
dan KTBI setiap simbol isyarat mempunyai kata dasarnya yang tersendiri.
Contohnya bagi isyarat ‘mendung’ dan ‘mega’ , ia berasal daripada kata dasar
‘awan’ . Dalam KTBM dan KTBI juga, terdapat simbol isyarat yang hampir sama
tetapi kod huruf pada isyarat tersebut yang membezakannya. Contohnya, bagi
isyarat orang, bangsa, pelajar, dan rakyat mempunyai bentuk isyarat yang sama.
Tetapi yang membezakannya ialah kod huruf pada simbol isyarat tersebut. Maka
dengan itu, pelajar atau murid yang mempelajari KTBM dan KTBI akan lebih mudah
mengingati simbol isyarat tersebut. Dalam BIM, simbol isyaratnya lebih kepada
sifat, ciri-ciri, dan perilaku perkataan tersebut. Contohnya bagi isyarat untuk
haiwan, kebanyakannya mengikut sifat dan tingkahlaku haiwan tersebut.
Kesimpulan
yang dapat dibuat berdasarkan BIM, KTBM, dan KTBI ialah BIM ini merupakan
bahasa isyarat yang digunakan oleh golongan pekak sejak dahulu lagi. Setiap
negeri dan daerah mempunyai isyarat tangan yang tersendiri tetapi telah pun
diselaraskan dan diterbitkan dalam buku BIM. Namun begitu kelemahannya ialah
dalam BIM tidak terdapat simbol isyarat untuk imbuhan. Dan penggunanya sering
menggunakan ayat yang tidak lengkap dan tepat seperti dalam ayat baku Bahasa Malaysia.
Sedangkan dalam KTBM, isyarat yang digunakan mempunyai tatabahasa dan imbuhan
yang sama dalam Bahasa Malaysia baku. Ia dicipta oleh sekumpulan pendidik yang
bukan pekak dan mempunyai pengetahuan budaya pekak yang terhad. Tujuan KTBM ini
dicipta ialah untuk digunakan di sekolah bagi pengajaran Bahasa Malaysia.
Begitu juga dengan KTBI yang digunakan semasa pengajaran Bahasa Inggeris di
dalam bilik darjah. Walaupun begitu, kadang kala guru juga akan menggunakan BIM
sewaktu pengajaran bagi memberikan kefahaman kepada murid-murid pekak.
4 comments:
Terima kasih atas info yg berguna ini. Saya bukan pekak dan tiada ahli keluarga yg pekak tapi saya berminat utk mempelajari bahasa isyarat
Terima kasih atas info yg berguna ini. Saya bukan pekak dan tiada ahli keluarga yg pekak tapi saya berminat utk mempelajari bahasa isyarat
Sekarang saya lebih faham dengan jelas mengenai perbezaan KtbM dengan BIM .Terima kasih untuk perkongsian yang menarik dan menyeluruh ini.
tkasih cikgu...ada lg yg dok pertikai bim n bmkt ni...akak share ni kt presiden pekak msia yg sll ptikai cg2 guna bmkt
Post a Comment