Pages

Tuesday, July 31, 2012

Kepelbagaian isu masyarakat pluralistik di Malaysia.

Pendahuluan.

            Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan detik hitam sejarah negara yang merungkai persoalan perhubungan antara kaum di Malaysia. Natijah daripada peristiwa tersebut pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Ini dapat dilihat melalui perlaksanaan dasar-dasar sosial, ekonomi dan politik yang menjurus ke arah perpaduan dan pembinaan negara dan bangsa. Peristiwa tersebut telah memberikan pengajaran penting kepada semua ahli politik dan rakyat Malaysia bahawa rusuhan kaum tidap patut wujud kerana ia boleh merosakka perpaduan, keharmonian hidup rakyat. Maka, para pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu bersama-sama menjaga kerukunan hidup agar semua kaum dapat hidup bersama tanpa ada permusuhan dan masalah.
            Oleh itu, telah wujud pelbagai isu masyarakat pluralistik di Malaysia sejak sekian lamanya dari dahulu hingga sekarang. Pelbagai isu telah timbul kesan daripada pluralistik yang telah berlaku di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi.
            Saya dan rakan-rakan seperjuangan semester 3, perlu menghasilkan tiga ulasan kritik daripada kandungan bahan bacaan yang berbeza dan mengutarakan kepelbagaian isu masyarakat pluralistik di Malaysia.



Ulasan Kritik.
Artikel 1 : Dasar Ekonomi Baru.
Tema: Ekonomi.
            Bushra bt Haji Yusof dalam karyanya Dasar Ekonomi Baru yang diterbitkan dalam buku Dasar-dasar Kerajaan Malaysia telah membincangkan mengenai pelaksanaan, matlamat, strategi, pencapaian, penyusunan dan kelemahan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
            DEB dilaksanakan pada tahun 1970 melalui Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) bertujuan untuk mencapai perpaduan negara . Rancangan DEB ini dijalankan melalui serampang dua mata iaitu mengurangkan dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi. Menurut Shamsul Amri Baharuddin dalam Modul Hubungan Etnik mengatakan bahawa matlamat utama DEB ialah mencapai perpaduan negara dengan membetulkan ketidakseimbangan sosioekonomi yang wujud antara kaum dan wilayah. Secara tersuratnya DEB ini dilancarkan untuk mencapai perpaduan dan membasmi kemiskinan bagi semua rakyat Malaysia. Namun jika kita lihat secara tersiratnya menurut pandangan saya sebenarnya DEB ini lebih kearah untuk membantu penduduk Bumiputera atau masyarakat Melayu khasnya untuk meningkatkan taraf hidup dan merapatkan jurang perbezaan antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera. Ini adalah kerana jurang perbezaan sosio-ekonomi antara penduduk Bumiputera dan bukan Bumiputera amat ketara sekali termasuklah dari segi aspek pembangunan, pemilikan harta, kekayaan, pelajaran, pekerjaan, dan sebagainya. Masyarakat Melayu hanya mempunyai tampuk kuasa politik tetapi ia tetap tidak dapat menjadikan masyarakat Melayu sebagai masyarakat yang paling berjaya dan berkuasa. 
            Masyarakat Melayu sebagai penduduk peribumi asal di Malaysia menginginkan ketuanan Melayu dan mempunyai keistimewaan dan kelebihan sebagai penduduk asal Malaysia. Oleh kerana dari semua aspek majoritinya masyarakat Melayu jauh ketinggalan di belakang, pihak kerajaan mengambil langkah untuk menstabilkan dan membantu sosio-ekonomi masyarakat Melayu dengan perlaksanaan DEB. Namun begitu, jika dilihat dari segi sejarah, keadaan ekonomi yang tidak seimbang ini disebabkan juga oleh pihak penjajah yang menggunakan dasar pecah dan perintah terhadap Tanah Melayu pada sewaktu ketika dahulu setelah terjadinya imigrasi dari Cina dan India. Masyarakat Cina dibawa masuk ke Tanah Melayu dan diletakkan di kawasan bandar dan bekerja sebagai pelombong bijih timah dan peniaga. Masyarakat India pula diletakkan di kawasan estet untuk mengerjakan ladang-ladang getah pihak British. Masyarakat Melayu tetap kekal di kawasan perkampungan dan bekerja sebagai petani, pekebun kecil, nelayan, buruh kasar dan pekerja ladang.
            Pihak kerajaan telah bekerjasama dengan pihak swasta untuk memajukan ekonomi bumiputera yang merupakan kaum yang tertinggal jauh sekali ke belakang berbanding kaum yang lain. Antaranya ialah MARA, KESEDAR, KEJORA, Bank Bumiputra, dan sebagainya. Walaupun pihak kerajaan mengatakan mahu mengimbangkan kembali ekonomi antara kaum tetapi jika kita menelitinya, pihak kerajaan lebih berpihak kepada kaum Melayu apabila mewujudkan pelbagai agensi dan program untuk Bumiputera. Contohnya MARA merupakan agensi Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang terdiri daripada sebuah badan berkanun hasil daripada resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera. KESEDAR dan KEJORA pula dibawah Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang berfungsi sebagai sebuah agensi pembangunan bagi negeri Johor dan Kelantan. Selain itu, kerajaan juga bertindak untuk menambahkan lagi kemodenan dan meninggikan daya pengeluaran di kawasan luar bandar,  masyarakat perdagangan dan perindustrian dalam kalangan Bumiputera dan menambahkan hakmilik rakyat dalam pemilikan modal produktif negara seperti pemilikan saham dalam sektor syarikat untuk Bumiputera. Jika kita teliti strategi-strategi dan perlaksanaan rancangan kerajaan ini, kita akan dapati bahawa pihak kerajaan ingin membantu orang-orang Melayu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi mereka. Hampir kebanyakan strategi tersebut lebih ke arah pihak orang-orang Melayu dan Bumiputera. Sebagai penduduk asal di Malaysia ini, saya berpendapat bahawa seharusnya masyarakat Melayu menguasai dalam semua bidang dan perkara termasuklah bidang ekonomi, pemilikan sumber, perniagaan, pendidikan, dan sebagainya. Namun apa yang telah berlaku adalah yang sebaliknya. Apa yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan adalah sangat bagus untuk membantu masyarakat bumiputera di negara ini, namun ia seakan-akan berat sebelah dan tidak bersifat adil kepada semua kaum dan masyarakat. Ini adalah kerana, sejak kemerdekaan dicapai oleh negara ini pada tahun 1957 dan juga tertubuhnya Malaysia, sudah tiada lagi bangsa Melayu dan telah menjadi bangsa yang baru iaitu bangsa Malaysia. Oleh itu, seharusnya kita semua lebih bersikap adil dan memberikan hak sama rata kepada semua masyarakat. Masyarakat sendiri perlu merebut peluang dan meningkatkan produktiviti diri untuk memajukan diri sendiri.
            Sehingga kini menjelang abad ke-21, kita masih dapat melihat bahawa kebanyakan orang-orang Melayu masih tertinggal ke belakang berbanding kaum lain seperti Cina dan India yang lebih maju dan mencapai kejayaan dalam mengejar kekayaan dan ekonomi yang kukuh. Kaum Cina majoritinya menguasai bidang ekonomi dan membuka banyak premis-premis dan firma-firma syarikat di bandar-bandar besar. Malah jika kita lihat di kawasan pinggir bandar juga terdapat banyak kedai-kedai dan gerai yang menjadi milik orang-orang Cina. Kaum India juga banyak meningkatkan taraf hidup mereka dan mempunyai kerjaya yang baik seperti dalam bidang perubatan dan juga perniagaan. Bagi masyarakat Melayu, tidak ramai yang rajin untuk memajukan diri dan mengembangkan lagi perniagaan dan perusahawanan yang diceburi. Masyarakat Melayu secara amnya lebih suka berada dalam zon yang selesa tanpa mahu meningkatkan lagi taraf hidup ke arah yang lebih kaya tidak seperti masyarakat kaum lain. Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia yang hidup harmoni bersama pelbagai kaum dan etnik perlu sentiasa memajukan diri, bersaing secara sihat tanpa mengahrapkan bantuan dan strategi daripada pihak kerajaan dan badan-badan berkanun semata-mata. Negara kita kini telah membangun dan sedang menuju kearah wawasan 2020, maka semua rakyat perlu sedar akan kepentingan ekonomi terhadap negara, diri dan keluarga.



Artikel 2: Interaksi Budaya India & Cina ke atas Pengukuhan Bahasa dalam Tamadun Melayu.
Tema: Bahasa.
            Artikel kedua yang ingin saya ulas dan kritik adalah Interaksi budaya India dan Cina ke atas pengukuhan bahasa dalam tamadun Melayu iaitu jurnal tulisan oleh Zawiah Mat dan Mashitah Sulaiman. Dalam artikel tersebut, ia menumpukan terhadap budaya dan bahasa yang mempengaruhi masyarakat Melayu dan juga India serta Cina.
            Seperti mana yang kita telah tahu, sejak zaman berzaman lagi masyarakat Melayu telah mengalami perubahan dan pengaruh kesan daripada pertembungan budaya dan interaksi sosial antara tamadun melayu dengan masyarakat luar seperti Cina dan India. Kedatangan masyarakat Cina ke Tanah Melayu sewaktu ketika dahulu bermula sejak awal abad masihi lagi. Pada ketika itu masyarakat Cina banyak datang berdagang dan berurusan dengan Tanah melayu terutamanya di semenanjung Malaya. Masyarakat Cina sendiri menggunakan bahasa Melayu ketika berurus niaga seperti di Melaka hingga dikenali sebagai bahasa lingua franca iaitu bahasa perhubungan. Mengikut sejarah, maharaja Cina iaitu Maharaja Ming juga pernah mengahantar utusannya iaitu Yong Le Ke-1 ke Tanah Melayu untuk tujuan muhibah dan Sultan di Tanah Melayu juga turut membalas kunjungan tersebut dengan menghantar utusan ke Tanah Besar Cina juga. Mengikut kata Zawiah dalam tulisan jurnalnya bersama Mashitah, kemuncak kepada perhubungan antara Cina Dan Nusantara berlaku semasa zaman kesultanan Melayu Melaka. Hubungan baik yang dibina antara dua negara ini baik untuk kedua-dua belah pihak. Perkembangan bahasa turut berkembang dengan adanya penukaran dan pengubahsuaian kepada kedua-dua bahasa ini. Dengan itu kosa kata dan kefahaman terhadap bahasa turut meningkat.
            Selain itu, terdapat juga masyarakat Cina yang membawa keluarganya menetap terus di Tanah Melayu dan membawa masuk pengaruh bahasa kepada masyarakat Melayu. Mereka juga turut mengahwini rakyat tempatan hinga lahirlah masyarakat Baba dan Nyonya serta peranakan Cina. Dengan itu, wujudlah istilah-istilah baru daripada kepelbagaian etnik dalam pengkayaan bahasa Melayu dan tamadun Melayu. Namun begitu, masyarakat Melayu tidak mengambil perkataan dalam bahasa Cina secara terus tanpa ada pengubahsuaian atau meminjam ubah unsur tersebut. Antara contoh perkataan bahasa Cina dalam bahasa Melayu tersebut ialah teh, taugeh, kuaci, kucai, tocang, koyok, gincu, congkak, loteng, bangsal, angpau, tekong, dan sebagainya. Oleh kerana kita telah mengetahui bahawa sebahagian daripada bahasa Melayu sebenarnya bukanlah benar-benar berasal daripada tamadun Melayu, kita tidak seharusnya berasa megah dan sombong kepada kaum lain seperti Cina bahawa mereka tidak pandai menggunakan bahasa Melayu sedangkan kita sendiri pada asalnya tidak mengetahui asal usul bahasa tersebut mengandungi sebahagian pinjaman perkataan daripada bahasa Cina. Dalam penyerapan bahasa tersebut, terdapat juga beberapa perkataan yang tidak sesuai digunakan dalam urusan rasmi dan formal seperti apek, nyonya, taukeh, gua, lu, cuak, singkek, dan sebagainya. Perkataan-perkataan tersebut hanya sesuai digunakan dalam bahasa pasar sahaja dan sebenarnya ia kedengaran seperti kurang sopan dan tidak manis didengar. Seperti perkataan gua dan lu yang membawa maksud kepada saya dan kamu. Perkataan tersebut juga tidak sesuai digunakan dalam perbualan dengan orang yang lebih tua dan dengan keluarga.
            Pengaruh budaya India ke atas bahasa dalam tamadun Melayu pula mula wujud setelah hubungan awal yang dibina antara India dengan Asia Tenggara sejak abad pertama Masihi. Orang-orang melayu juga turut mengembara menjadi pelaut ke India untuk tujuan dagangan. Orang-orang India juga membina penempatan di Tanag Melayu dan menetap serta berkahwin dengan gadis tempatan. Kemudian wujudlah masyarakat india muslim atau lebih dikenali sebagai mamak pada zaman kini.
            Bahasa Melayu banyak diambil daripada bahasa sanskrit dan juga sedikit daripada bahasa tamil. Bahasa tersebut dipinjam dan diubahsuai dengan kesesuaian masyarakat Melayu. Contoh kata pinjaman daripada bahasa sanskrit ialah ‘bhumi’ menjadi perkataan ‘bumi’, ‘artha’ menjadi ‘harta’, ‘akasah’ menjadi ‘angkasa’, dan sebagainya. Pinjaman daripada bahasa tamil pula ialah ‘vaga’i menjadi perkataan ‘baga’i, ‘ayyaa’ menjadi ‘ayah’, dan lain-lain. Pandangan saya kata pinjaman dari India ini telah menyebabkan pengkayaan dalam bahasa Melayu menjadi meningkat dan kosa kata dalam bahasa Melayu juga turut berkembang.
Bahasa merupakan satu medium yang penting bagi perhubungan dan komunikasi bagi manusia. Menurut pandangan saya, jika kosa kata dan tatabahasa adalah kurang dan tidak banyak, kemungkinan banyak perkara dan benda di persekitaran kita tidak mempunyai nama dan tidak dapat diterjemahkan kepada bahasa. Namun begitu, pengaruh bahasa dari luar ini perlu digunakan sebaiknya dan disesuaikan dengan budaya, dan nilai kita sebagai kaum Melayu. Jangan sehinggakan nilai dan bahasa asal kita hilang keaslian dan nilainya sehingga jarang-jarang kita gunakan dalam kehidupan kita. Bahasa Melayu kita perlu dijaga dan jangan dicemarkan penggunaannya dengan penggunaan bahasa yang tidak betul atau ‘rojak’ . Masyarakat Malaysia kini yang terdiri daripada 3 kaum utama iaitu Melayu, Cina, dan India perlu mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa rasmi negara kita. Walaupun kita hidup dengan budaya dan bahasa masing-masing namun bahasa Melayu tetap menjadi keutamaan dan perlu dikuasai dengan fasih oleh semua rakyat. Masyarakat Cina dan India sepatutnya tidak menjadi masalah untuk fasih dalam bahasa Melayu kerana sebahagian daripada bahasa Melayu ialah kata pinjaman daripada bahasa Cina dan India. Malah, keturunan mereka telah lama menetap dan mengamalkan bahasa Melayu di Malaysia. Maka, tidak wajarlah seandainya masyarakat Cina dan India tidak tahu dan tidak mahir berbahasa Melayu dengan baik.









Artikel 3: Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka.
Tema: Politik.
            Saya telah membaca dan memahami kandungan karya Abdul Halim Ramli dalam jurnalnya, Perdebatan Antara Kaum Mengenai Isu Kerakyatan Sebelum Merdeka yang diterbitkan oleh Universiti Malaya di Jabatan Sosial Sains dan Seni. Mengikut sejarah, kedatangan kaum lain seperti Cina dan India pada asalnya ke tanah Melayu adalah dibawa masuk oleh pihak penjajah. Kemudian, dalam proses memerdekakan Tanah Melayu pelbagai isu dan proses telah berlaku.
            Pada Oktober 1945, pihak Inggeris telah menubuhkan Malayan Union bagi menggabungkan negeri-negeri Melayu di Semenanjung. Ia bertujuan untuk membentuk satu pentadbiran yang berpusat dan melonggarkan syarat kelayakan bagi orang-orang bukan Melayu. Apabila pihak Inggeris membuat rancangan seperti Malayan Union itu, sudah tentulah orang-orang Melayu tidak bersetuju dan menentang secara habis-habisan rancangan tersebut. Ini adalah kerana, dengan tertubuhnya Malayan Union, hak istimewa dan kedaulatan raja-raja Melayu akan terhapus. Perkara itu membuatkan ketuanan Melayu hilang dan orang-orang Melayu berpendapat bahawa Tanah Melayu perlu kekal sebagai hak milik orang-orang Melayu, dan kaum lain yang datang berhijrah ke Tanah melayu perlulah menyedari akan hal tersebut dan perlu tahu bahawa mereka bukanlah penduduk asal Tanah Melayu. James Allen dalam jurnal karya  Abdul Halim Ramli turut mengatakan bahawa rancangan pihak Inggeris itu seolah-olah ingin membelakangkan dan menghukum orang-orang Melayu dan menyebelahi dibelah pihak orang-orang Cina kerana kaum Cina telah banyak membantu orang Inggeris dalam jajahan mereka di Tanah Melayu seperti penyertaan mereka sebagai MPAJA iaitu Malayan People’s Anti-Japanes Army.
            Pihak Inggeris mempunyai agendanya yang tersendiri dalam penubuhan Malayan Union ini. Mereka ingin memerintah Tanah Melayu dan tidak mengiktiraf hak orang Melayu sebagai penduduk asal yang mempunyai hak  istimewa peribumi berbanding kaum lain. Pihak Inggeris dikatakan memerintah secara langsung Tanah Melayu kerana melalui Malayan Union ini raja-raja Melayu perlu menyerahkan kedaulatan mereka kepada Raja Inggeris. Perkara seperti ini sudah pastilah tidak wajar dan menurut pandangan saya juga, orang-orang Inggeris tidak boleh merampas kedaulatan dan pemerintahan raja-raja Melayu kerana Tanah Melayu adalah hak milik orang-orang Melayu dan orang-orang Melayu berhak memerintah dan menetap di tanah kelahiran mereka sendiri.
            Jika ingin mengatakan bahawa masyarakat Cina dan India benar-benar menginginkan hak kerakyatan di Tanah Melayu, perkara itu adalah tidak benar sama sekail. Ini adalah kerana, pada mulanya kaum Cina tidak memperlihatkan sokongan mereka terhadap gagasan Malayan Union tersebut. Sebahagian daripada mereka hanya memberikan kesetiaan mereka kepada negara Cina dan mereka lebih mengambil berat akan ekonomi dan gangguan hak sivil mereka pada ketika itu. Bagi kaum India pula, mereka lebih memberikan tumpuan terhadap isu kekurangan makanan dan peningkatan harga barangan dan industri. Mereka tidak banyak memberikan komen dan maklum balas terhadap gagasan tersebut. Mereka turut menganggap bahawa Tanah Melayu adalah negara Melayu dan perlulah dikekalkan. Maka disini, kita dapat lihat bahawa kaum Cina dan India tidak merebutkan hak kerakyatan tersebut pada awalnya, tetapi pihak Inggeris yang bukan warganegara di Tanah Melayu yang bersungguh-sungguh campur tangan dalam urusan kewarganegaraan  Tanah melayu untuk kepentingan mereka.
            Kemudian Malayan Union dibubarkan dan digantikan pula dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1946. Dalam persekutuan tersebut orang-orang Melayu bersetuju memberikan hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu tetapi dengan syarat bahawa mereka perlu memberikan tatat setia dan mengikut segala syarat yang diberikan dalam perjanjian tersebut. Namun begitu, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati bagi pihak kaum lain kerana undang-undang yang ketat. Namun begitu, sebenarnya adalah agak wajar jika diberikan syarat dan undang-undang yang sedikit ketat kepada bukan Melayu untuk mendapatkan kewarganegaraan di Tanah Melayu kerana mereka perlu membuktikan taat setia mereka kepada Tanah Melayu dan menjdai bangsa yang baru. Kita tidak mahu bangsa yang akan membelot dan mengkhianati bangsa dan negara sendiri. Pada ketika ini terdapat sebahagian kaum bukan Melayu yang tidak menolak perkara tersebut secara keseluruhannya kerana ia adalah untuk menjaga kepentingan penduduk asal Tanah Melayu iaitu orang-orang Melayu. Namun begitu terdapat juga sebahagian golongan yang menentang dan menolak syarat kerakyatan tersebut kerana mereka berpandangan bahawa ianya seperti ingin meminggirkan kaum lain dan berpendapat bahawa Tanah Melayu adalah negara majmuk dan bukan hanya untuk orang-orang Melayu sahaja. Bagi saya, kedua-dua belah pihak iaitu kaum Melayu dan kamu bukan Melayu perlu berfikiran terbuka dan menerima anatara satu sama lain. Masyarakat bukan Melayu perlu memahami dan menerima bahawa Tanah Melayu merupakan hak milik dan negara kelahiran kaum Melayu sejak dahulu lagi, dan perkara yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi negara yang mempunyai kaum dan bangsa lain adalah disebabkan oleh kemasukan dari negara luar oleh pihak penjajah untuk kepentingan mereka. Kaum bukan Melayu kebanyakannya tidak mahu pulang ke negara asal kerana di negara mereka mempunyai masalah-masalah lain seperti masalah ekonomi, pengangguran, ketidakstabilan politik, ekonomi yang tidak stabil, dan sebagainya. Maka mereka perlu sedar bahawa mereka sedang membuat permohonan untuk tinggal secara tetap di Tanah Melayu dan perlu mengikut segala syarat dan perundangan yang ditetapkan. Tetapi dalam masa yang sama juga kaum Melayu turut perlu memahami bahawa, bukan kehendak kaum bukan Melayu untuk datang ke Tanah Melayu sewenang-wenangnya kerana mereka juga datang ke Tanah Melayu disebabkan oleh desakan keperluan hidup dan dibawa oleh pihak penjajah. Mereka juga menjadi mangsa keadaaan. Malah terdapat juga sebahagian daripada mereka terpaksa meninggalkan kehidupan dan keluarga di negara asal mereka.
            Kesan daripada politik dan penjajahan semasa sebelum merdeka dahulu, kini negara Malaysia sudah terdiri daripada pelbagai kaum dan dapat hidup secara harmoni dan saling faham-memahami antara satu sama lain. Kini, semua kaum yang terdapat di Malaysia mempunyai hak yang sama untuk berpolitik secara adil dan saksama. Rakyat juga diberi pilihan untuk memilih pemimpin mereka sendiri melalui pilihanraya umum yang diadakan.

Friday, July 27, 2012

Perbandingan Antara Budaya Orang Pekak dan Budaya Orang Yang Mendengar.

Perbandingan Antara Budaya Orang Pekak dan
Budaya Orang Yang Mendengar.

            Menurut kamus dewan edisi terbaru, budaya bermaksud peradaban, kemajuan fikiran, dan akal budi (cara berkelakuan dan sebagainya). Setiap bangsa dan kaum mempunyai budayanya yang tersendiri. Tetapi sedarkah kita semua bahawa wujudnya budaya pekak dalam masyarakat kita yang menghadapi masalah pendengaran. Orang pekak juga sebenarnya mempunyai budaya dan gaya hidup mereka yang tersendiri. Tetapi adakah ianya sama dan mempunyai perbezaan dengan budaya orang yang mendengar?
            Sebenarnya terdapat beberapa perbezaan antara budaya orang pekak dengan budaya orang yang mendengar. Perbezaan yang pertama yang dapat kita lihat ialah dari segi penggunaan bahasa dan linguistik. Dalam budaya orang pekak, orang pekak menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dalam komunitinya. Contohnya di negara Malaysia, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) digunakan sebagai bahasa komunikasi dalam komuniti orang pekak. Bagi orang yang mendengar, rakyat Malaysia biasanya menggunakan bahasa lisan seperti bahasa melayu, bahasa inggeris, bahasa cina,bahasa hindi, dan sebagainya. Bagi komunikasi lisan yang biasa, penggunaan verbal dan suara adalah faktor utama untuk berkomunikasi. Dalam bahasa isyarat pula, penggunaan isyarat pada tangan, badan, dan mimik muka yang dititik beratkan untuk berkomunikasi. Tetapi bagaimana pula untuk orang pekak berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang yang mendengar? Orang pekak biasanya membawa buku nota kecil dan sebatang pen walau kemana mereka pergi agar mudah untuk berkomunikasi dengan orang yang mendengar yang tidak tahu menggunakan bahasa isyarat. Dalam aktiviti sosial atau dalam majlis tertentu yang mempunyai kelompok orang yang mendengar dan orang pekak, terdapat seorang jurubahasa isyarat di hadapan berdekatan dengan orang yang berucap bagi menyampaikan maklumat dan menukarkan bahasa lisan kepada bahasa isyarat.
            Sebagai orang yang mendengar, biasanya kita boleh berkomunikasi dengan hanya menggunakan organ mulut untuk bertutur dan telinga untuk mendengar. Dua organ ini sahaja sudah cukup untuk orang yang mendengar saling berkomunikasi dan berinteraksi. Tetapi bagi orang pekak mereka memerlukan kontek mata yang jelas tanpa ada halangan seperti asap rokok, dan tiada gangguan benda pada mulut dan tangan. Mereka juga memerlukan kawasan yang mempunyai pencahayaan yang baik untuk berkomunikasi. Walaupun begitu terdapat juga kelebihan dalam penggunaan bahasa isyarat ini kerana ia dapat digunakan walaupun berada pada kedudukan jarak yang jauh, disebalik cermin, dan juga ketika di dalam air.
            Dari segi perhubungan bagi orang pekak, mereka juga mempunyai perhubungan dengan sesama manusia seperti dengan keluarga, percintaan, perkahwinan, dan sebagainya. Bagi individu pekak yang dilahirkan dalam keluarga yang boleh mendengar, mereka mempunyai masalah untuk saling berkomunikasi kerana tidak memahami antara satu sama lain. Mereka mungkin tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka. Tetapi terdapat juga keluarga yang memahami dan turut mempelajari bahasa isyarat agar mudah untuk berkomunikasi dengan orang pekak dan mereka tidak berasa seperti disisihkan. Kanak-kanak pekak lebih selesa berkawan dengan kanak-kanak pekak yang lain berbanding kanak-kanak yang boleh mendengar. Tetapi apabila mereka semakin meningkat dewasa, mereka mula berkawan dengan orang yang boleh mendengar kerana mereka mula menyedari akan kepentingan untuk berkawan dengan orang yang mendengar. Golongan pekak ini juga menjalani kehidupan sosial seperti orang yang mendengar. Contohnya, mereka juga mempunyai kekasih dan turut berkahwin. Tetapi mereka tidak keluar bersama kekasih mereka di tempat-tempat yang gelap dan sunyi kerana kesukaran untuk menggunakan bahasa isyarat. Orang pekak juga berkahwin seperti orang yang mendengar tetapi jika orang pekak tersebut beragama islam yang memerlukan akad dan nikah, mereka akan menggunakan khidmat jurubahasa untuk urusan ijab dan kabul. Mereka tidak perlu berjabat tangan dengan kadi dan melafazkan akad tetapi cukup dengan berbahasa isyarat dan berniat didalam hati.
            Setiap orang pasti mempunyai anutan agama dan kepercayaannya yang tersendiri seperti agama islam, buddha, hindu, dan kristian. Walaupun orang pekak tidak mempunyai keupayaan untuk mendengar dan bertutur seperti orang yang mendengar, namun terdapat juga dalam kalangan mereka yang berpegang kepada kepercayaan agama sama seperti orang yang mendengar. Tetapi biasanya, golongan pekak mempunyai pengetahuan dan pegangan agama yang lebih rendah berbanding dengan orang yang mendengar. Ini adalah kerana kurangnya maklumat yang disampaikan kepada mereka. Negara kita juga mempunyai masalah dalam penyebaran agama kepada golongan pekak. Ini adalah kerana golongan pendakwah dan guru agama tidak mempunyai kemahiran untuk berbahasa isyarat dan tidak memahami budaya orang pekak. Namun begitu, kini di masjid-masjid utama di Malaysia disediakan seorang jurubahasa setiap kali khutbah jumaat diadakan agar orang-orang pekak beragama islam juga turut menerima maklumat dan khutbah yang disampaikan.
            Orang pekak turut mendapatkan ilmu pendidikan dengan belajar di sekolah. Di Malaysia terdapat beberapa jenis sekolah yang boleh disertai oleh kanak-kanak pekak. Kanak-kanak pekak boleh dihantar belajar di sekolah rendah biasa dengan kanak-kanak yang mendengar dalam program inklusif. Malah terdapat juga sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak pekak. Golongan pekak juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sama seperti orang yang mendengar. Antaranya ialah politeknik, universiti, institut perguruan, dan kolej-kolej swasta. Namun begitu, mereka perlu berusaha dengan lebih gigih lagi berbanding orang yang mendengar kerana input yang diterima oleh mereka di dalam kelas biasanya adalah kurang kerana mereka tidak dapat mendengar dan hanya bergantung kepada input visual sahaja. Maka, mereka perlu untuk menambahkan pengetahuan dengan cara mendapatkan buku-buku tambahan, merujuk sumber internet, bertanya pada pensyarah dan rakan-rakan , dan juga mendapatkan khidmat jurubahasa. Namun begitu, kebanyakannya yang dapat kita lihat, golongan pekak mempunyai tahap akademik yang lebih rendah berbanding dengan orang yang mendengar. Ini adalah disebabkan oleh kekurangan yang dialami oleh mereka. Mereka tidak dapat mendengar input yang disampaikan oleh pensyarah dalam kuliah dan mereka juga tidak dapat mendengar perbincangan oleh rakan-rakan mereka yang mendengar. Kemudian, disebabkan oleh masalah pendengaran yang dihadapi oleh orang pekak, mereka mempunyai penguasaan bahasa yang agak lambat berbanding dengan orang normal. Oleh itu, mereka mempunyai masalah untuk kefahaman yang tinggi dalam akademik. Tetapi tidak dapat dinafikan juga terdapat orang pekak yang berjaya dalam pelajaran dan dalam kehidupan mereka, tetapi mereka memerlukan usaha yang kuat dan sokongan oleh orang-orang disekelilingnya terutama daripada keluarga mereka.
            Selain itu, orang pekak juga mempunyai pengetahuan dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sama seperti orang yang mendengar. Kehidupan moden dan akses maklumat yang semakin tersebar luas kini membolehkan orang pekak menggunakan ICT sebagai satu medium untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Contohnya, orang pekak boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan bergambar (MMS), webcam, 3G, dan sebagainya untuk berkomunikasi secara visual dan tulisan dengan orang lain. Mereka juga mempunyai jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, youtube, dan sebagainya sebagai satu kaedah komunikasi. Mereka juga menggunakan web dan blog untuk menyebarkan dan mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka juga dapat menonton televiesyen seperti orang yang mendengar tetapi mestilah mempunyai ciri-ciri tertentu. Contohnya, jika mereka ingin menonton rancangan berita dalam televiesyen, mereka perlu memilih siaran berita yang mempunyai jurubahasa isyarat seperti yang disedikan oleh rancangan televiesyen Malaysia (RTM). Dan mereka gemar menonton rancangan yang mempunyai sari kata seperti rancangan luar negara, dan juga rancangan yang tidak mempunyai dialog tetapi dapat difahami seperti rancangan Mr. Bean yang turut dikenali ramai.
            Aktiviti sukan dan rekreasi juga turut diminati oleh orang-orang pekak. Mereka juga mempunyai minat dan kemahiran yang sama seperti orang yang mendengar. Terdapat pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan program dan sukan untuk golongan orang pekak. Contohnya MSFD iaitu Malaysia Sports Federation of the Deaf bergabung dengan Komuniti Sukan Orang Pekak Antarabangsa (CISS) menguruskan Deaflympik setiap 4 tahun dan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.
            Dari segi kerjaya pula, orang pekak turut mempunyai kerjaya yang baik seperti orang yang mendengar. Mereka juga memerlukan pekerjaan untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan mereka. Namun begitu, tidak semua jenis pekerjaan yang sesuai untuk mereka ceburi. Orang pekak sesuai untuk menceburi bidang pekerjaan yang tidak memerlukan banyak komunikasi lisan seperti tukang masak, tukang cuci, menyusun barang-barang, akauntan, atlet, tukang jahit, penulis, mekanik, dan sebagainya. Jika orang pekak turut rajin belajar dan berusaha, mereka juga boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan profesional, malah mereka juga boleh menjadi kaya dan bersaing dalam masyarakat yang mendengar. Bagi orang yang mendengar, mereka boleh memilih dan menceburi semua bidang yang diminati bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki. Tidak seperti orang pekak yang terpaksa memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.
            Kesimpulannya, budaya orang pekak dengan budaya orang yang mendengar terdapat sedikit persamaan dan perbezaannya. Sebagai orang yang mendengar dan mempunyai pancaindera yang mencukupi kita perlulah bersyukur dan juga turut memahami dan belajar mengenai budaya orang pekak agar kita lebih mudah memahami dan bergaul dengan orang pekak. Orang pekak juga berasa berbangga dengan budaya mereka sendiri dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Mereka perlu lebih terbuka dan menerima budaya orang yang mendengar agar kita sama-sama dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan harmoni.
           
           

Monday, July 23, 2012

Audiogram, ujian audiometer dan ciri-ciri akustik bilik darjah.



Rumusan tentang artikel akustik bilik darjah :
Meningkatkan akustik dan akademik kawalan bunyi untuk bilik darjah.

            Suasana dan persekitaran pengajaran telah banyak berubah kini berbanding suatu ketika dahulu. Kelas semakin luas , pelbagai bahan, rujukan dan teknologi digunakan di dalam kelas. Pelbagai teknologi dan pengaruh persekitaran yang mempengaruhi akustik bilik darjah dan turut mempengaruhi keupayaan kanak-kanak untuk belajar secara berkesan. Contohnya penggunaan komputer dan kebisingan dari kawasan persekitaran memberi sedikit kesan kepada kanak-kanak di dalam bilik darjah.
            Terdapat beberapa masalah yang berlaku di dalam bilik darjah yang berkaitan dengan akustik bilik darjah iaitu, terdapat sesuatu isu yang menghalang arahan lisan yang diberikan kepada kanak-kanak itu sampai dengan tepat, bilangan kanak-kanak yang ramai dalam sebuah bilik darjah,  aktiviti yang banyak yang turut mengganggu penyampaian bunyi, tempat duduk pelajar yang tidak sesuai, maklumat yang disampaikan adalah laju dan tidak sesuai dengan usia kanak-kanak, bunyi bising dan gangguan dari alat pemanas dan pengudaraan di dalam bilik darjah, dan juga bunyi bising dari bahan pengajaran seperti penggunaan komputer.
            Masalah kebisingan ini boleh memberikan kesan yang buruk dalam bilik darjah kepada murid-murid dari segi kefokusan, perhatian, perangai dan sifat, prestasi akademik, pemerolehan bahasa, dan kesihatan murid. Untuk guru pula masalah kebisingan yang berlaku boleh menyebabkan guru lebih berasa letih, mempengaruhi gaya pengajaran, mempengaruhi pertuturan, dan meningkatkan lagi tekanan dan ketidakselesaan pada diri guru tersebut.
            Akustik bilik darjah dapat dibaiki dengan beberapa cara seperti menggunakan karpet pemaidani, kayu keras, lantai batu, langsir, bidai dan, papan notis. Selain itu sekolah juga boleh menggunakan amplifikasi bunyi bertujuan untuk menguatkan suara guru, namun ia memerlukan perbelanjaan yang agak mahal dan biasanya sekolah-sekolah tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi.
            Namun begitu jika dilihat dari sudut lain, sebenarnya bunyi kebisingan itu turut wujud disebabkan oleh suara kanak-kanak itu sendiri semasa membuat perbincangan  dan melakukan aktiviti. Guru perlu melakukan sesuatu dan menghentikan suasana yang bising tersebut kerana ia boleh mengganggu rakan-rakan sekelas dan mereka perlu bersikap bertimbang rasa dan hormat kepada yang lain juga.
            Selain itu, terdapat juga cara lain yang boleh digunakan oleh guru, iaitu menggunakan Papan Putih Interaktif atau Interactive White Boards (IWB). Ia merupakan sebuah alat teknologi yang boleh digunakan untuk membantu mengurangkan masalah murid-murid yang berbuat bising. Apabila kebisingan berlaku, guru menggunakan cahaya yang terang dan semakin kebisingan berlaku, warna tersebut akan menjadi semakin terang. Maka murid-murid akan menyedari bahawa, mereka telah terlalu bising. Dengan itu, ia dapat membantu guru mengajar di dalam kelas tanpa rasa terganggu dengan kebisingan yang dilakukan oleh murid-muridnya. Dalam masa yang sama juga murid-murid turut menyedari bahawa kelakuan mereka itu turut memberi kesan kepada rakan-rakan sekelas mereka.

Pentafsiran dari audiogram.

            Saya telah melakukan ujian nada tulen terhadap rakan sekelas saya iaitu Nur ‘Adilah bt Mohamad Kamal untuk menguji tahap pendengaran dengan menggunakan berbagai jenis frekuensi. Alatan yang digunakan ialah audiometer iaitu suatu instrumen elektrik. Keputusan ujian tersebut direkodkan ke dalam sebuah peta grafik iaitu audiogram. Pada kertas audiogram tersebut, terdapat julat atau frekuensi bunyi yang mampu didengari oleh kedua-dua belah telinga serta intensiti iaitu kekuatan bunyi yang boleh didengari. Semasa menjalani ujian ini, bunyi akan diturunkan intensitinya sehingga tidak dapat mendengar lagi iaitu sehingga ke tahap ambang pendengaran.
 







Gambar 1: Audiometer.

            Cara membuat bacaan audiogram ialah, nombor-nombor yang mendatar di bahagian atas graf ialah merupakan frekuensi bunyi dan nombor-nombor di bahagian kiri pula menunjukkan tahap pendengaran individu. Bacaan graf tersebut perlulah dibaca dari belah kiri ke kanan. Ia dibentuk daripada bunyi yang paling perlahan di bahagian atas hingga bunyi yang paling kuat di bahagian bawah graf.















Rajah 1:Contoh audiogram tahap pendengaran normal.

Berdasarkan audiogram yang diperoleh hasil daripada ujian nada tulen tersebut, saya mendapati Nur ‘Adilah mempunyai tahap pendengaran di telinga kanannya sebanyak 10 dB hingga 55 dB. Maka saya dapat simpulkan bahawa Nur ‘Adilah mempunyai tahap pendengaran yang sederhana bagi telinga kanannya. Ini adalah kerana tahap pendengaran individu yang normal ialah antara -10 dB hingga 25 dB, 25 dB hingga 45 dB adalah di tahap pendengaran yang ringan, 45 dB  hingga 65 dB pula ialah tahap pendengaran sederhana, tahap pendengaran yang teruk ialah 65 dB hingga 85 dB,  dan 85 dB hingga 130 dB pula ialah tahap pendengaran yang sangat teruk. Bagi telinga belah kiri pula, dalam bacaan audiogram menunjukkan bahawa tahap pendengarannya ialah 15 dB  hingga 40 dB. Maka tahap pendengaran bagi telinga kirinya ialah ringan.


 






             Gambar 2: Ujian nada tulen dijalankan terhadap Nur ‘Adilah.

            Selain itu, semasa saya menjalankan ujian nada tulen tersebut, saya telah memilih sebuah bilik kuliah yang kosong dan menutup kesemua tingkap dan pintu bagi mengurangkan gangguan bunyi dari luar. Namun begitu, memandangkan kedudukan bilik kuliah tersebut adalah berhampiran dengan kawasan jalan raya, terdapat sedikit gangguan kerana terdapat gangguan bunyi yang datangnya daripada bunyi motosikal dan kenderaan berat yang lain yang melalui jalan raya tersebut. Sebenarnya bagi menjalani ujian nada tulen ini, penguji dan pesakit perlu berada dalam bilik yang kalis bunyi agar hasil ujian tersebut akan menjadi lebih baik dan tepat.

Cara-cara menjalankan ujian audiometer automatik nada tulen.

            Pada mulanya penguji perlu menggunakan audiometer untuk menguji pendengaran pesakit. Pesakit perlu memakai fon kepala dan memegang suis. Fon telinga itu berfungsi untuk menghalang daripada gangguan bunyi-bunyi lain yang tidak dikehendaki. Ia juga berperanan untuk mengalirkan nada ke telinga yang sedang diuji. Ujian ini perlu dijalankan di bilik yang bersesuaian dan kalis bunyi agar tidak timbul gangguan dari bunyi-bunyi yang lain dan boleh mengganggu kefokusan pesakit untuk mendengar bunyi yang disalurkan melalui fon telinga tersebut. Dalam bilik kalis bunyi, ia perlulah dilapisi dengan bahan lembut untuk menyerap bunyi – bunyian dan gemaan. Pintu bilik tersebut perlulah ditutup ketat dan teguh. Fon telinga yang dipakai oleh pesakit pula adalah berbentuk seperti cawan dan lebih besar meliputi telinga. Pesakit hendaklah membuka dan menutup mulut beberapa kali agar kedudukan fon telinga tersebut adalah lebih tepat. Selain itu, pesakit juga perlulah duduk secara bertentangan dengan penguji agar pesakit tidak akan berasa terganggu dengan pergerakan yang dilakukan oleh penguji atau penilai.
            Pesakit akan diuji setiap belah kanan dan kiri telinga secara bergilir-gilir kerana setiap telinga mempunyai sensitiviti bunyi yang berlainan. Nada bunyi akan meningkat intensitinya sehingga pesakit akan memberikan respon dengan cara menekan suis. Semasa pesakit menekan suis, ia bermakna bahawa pesakit telah dapat mengesan bunyi yang dipancarkan dan nada bunyi tersebut akan menurun intensitinya sehingga pesakit akan melepaskan suis tersebut.  Sesuat frekuensi yang berbunyi bagi setiap nada, ia akan berbunyi selama dua minit dan kemudian ia akan bertukar secara automatik kepada frekuensi yang lain pula.
            Penguji akan mencatatkan bacaan pada audiometer tersebut didalam graf yang dipanggil sebagai audiogram. Bunyi dari audiometer akan digandakan dan intensitinya akan dikuatkan jika pesakit tidak dapat mengesan bunyi pada fon telinganya. Jika pesakit tidak mendengar bunyi yang diperdengarkan, gandaan bunyi akan berlaku dan diteruskan sehinggalah pesakit memberikan respon.

Perbandingan Ciri-ciri Akustik Bilik Darjah yang Ideal
 Dengan Bilik Darjah yang Dikaji.

Saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dari 5 hingga 9 Mac 2012 di Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri (SKDB) Cheras, Selangor Darul Ehsan. Saya perlu melakukan pemerhatian untuk membuat perbandingan ciri-ciri akustik bilik darjah yang ideal untuk murid normal atau murid bermasalah pendengaran.
Akustik merupakan satu cabang fizik yang mengkaji penghasilan, kawalan, penghantaran, penerimaan bunyi dan kesan-kesannya. Akustik bilik darjah yang baik mampu memberi kesan terhadap seisi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Jika sesuatu bilik darjah itu tidak mempunyai ciri-ciri akustik yang ideal, maka murid-murid akan menghadapi masalah untuk menerima pengajaran guru ketika berada di dalam kelas terutamanya bagi murid yang mempunyai masalah dalam pendengarannya. Oleh itu, akustik bilik darjah yang ideal adalah amat penting bagi mengurangkan gangguan pada bunyi dan gemaan dari luar bilik darjah, dan dalam bilik darjah.
Semasa saya melakukan pemerhatian bilik darjah sepanjang saya berada di SKDB pada 5 hingga 9 Mac yang lalu, saya dapati hampir kebanyakan bilik darjah yang saya masuki mempunyai akustik bilik darjah yang sederhana baik. Bilik darjah tersebut dipasangkan kain langsir yang sederhana tebal dan cukup untuk menutupi tingkap dalam bilik darjah tersebut. Kain langsir yang sesuai membolehkan penyerapan bunyi dan gemaan berlaku, malah cahaya matahari yang terik juga dapat ditapis bagi menjamin keselesaan murid dan guru. Selain itu, saya juga dapati bahawa meja guru turut dialas dengan menggunakan alas meja. Alas meja tersebut turut membantu untuk menyerap gemaan dan bunyi yang tidak diperlukan. Namun begitu, meja-meja murid tidak dialas dengan alas meja yang bersesuaian. Adalah lebih baik jika meja-meja murid yang disusun rapi itu turut dialas dengan alas meja seperti kertas pembalut atau kain alas meja agar ia turut berperanan untuk menyerap gema dan bunyi.
 Saya juga mendapati bahawa papan notis di bahagian hadapan dan belakang bilik darjah tidak dibiarkan kosong. Nota-nota, carta aliran, dan memo penuh dipenuhi pada ruangan papan notis tersebut. Malah terdapat juga nota-nota yang berbentuk kad yang menarik turut dilekatkan serta digantungkan pada ruangan dinding di bahagian hadapan dan belakang bilik darjah. Selain ianya berfungsi sebagai hiasan yang menarik dan sebagai nota tambahan kepada murid-murid, ia juga dapat mengurangkan gangguan bunyi dan gemaan bagi memberikan keselesaan untuk murid menerima pengajaran dengan mudah dan jelas. 
Selain itu, berdasarkan pemerhatian saya juga di setiap sudut bilik darjah tidak dibiarkan kosong. Contohnya terdapat bilik darjah yang saya masuki meletakkan sudut bacaan di hujung sudut belakang kelas. Guru menyediakan meja dan almari rendah untuk diletakkan bahan bacaan seperti buku cerita dan turut diletakkan hiasan seperti pasu bunga di sudut tersebut. Semakin banyak barangan dan bahan yang terkandung dalam sesuatu bilik darjah, maka akustik bilik darjah juga turut baik dan menjadi semakin ideal.
 Tetapi menurut pendapat saya, adalah lebih baik lagi jika guru menambahkan lagi bahan-bahan yang boleh membantu membentuk akustik bilik darjah yang lebih baik bagi memastikan kualiti pengajaran yang ingin disampaikan berjaya diterima oleh murid. Guru boleh menggunakan lapik telur di bahagian siling atau dinding bagi mengurangkan lagi kesan gema dan bunyi yang keterlaluan dalam bilik darjah. Selain itu, jika boleh guru harus meletakkan permaidani lembut di sesuatu sudut untuk mengekalkan akustik bilik darjah yang baik. Selain ia berfungsi untuk menyerap gema dan bunyi, permaidani tersebut juga boleh menambahkan lagi keceriaan dan kekemasan bilik darjah. Malah ia boleh dijadikan sebagai sudut untuk beristirehat dan santai selepas penat belajar.
Kebisingan dapat dibahagikan kepada tiga iaitu kebisingan di luar bangunan, kebisingan di dalam bangunan, dan kebisingan di dalam bilik. Kebisingan di luar bangunan merupakan unsur-unsur bunyi yang dihasilkan oleh pembinaan, keadaan trafik, bunyi kenderaan dan sebagainya. Sepanjang pemerhatian saya, masalah kebisingan di luar bangunan ini adalah tidak berlaku. Mungkin disebabkan oleh kedudukan bilik darjah yang jauh daripada jalan raya dan kawasan pembinaan dan pusat bandar. Kebisingan di dalam bangunan pula melibatkan bunyi bising yang terhasil di dalam bangunan seperti sekolah tetapi berlaku di luar bilik darjah. Bunyi-bunyi tersebut terhasil daripada bunyi pertukangan, muzik, suara bising murid lain, dan sebagainya. Saya mendapati bahawa kebisingan jenis ini sering berlaku sepanjang saya melakukan pemerhatian di SKDB terutamanya ketika ketiadaan guru. Murid –murid dari bilik darjah di sebelah menyebelah berbuat bising sehingga mengganggu ketenteraman dan ketenangan murid di bilik darjah lain. Masalah ini mungkin berlaku kerana suara yang tidak dikawal dan akustik bilik darjah yang kurang baik. Seterusnya, kebisingan dalam bilik itu sendiri seperti bunyi murid berbuat bising, bunyi pergerakan kerusi dan meja serta sebagainya. Masalah kebisingan dalam bilik  darjah itu sendiri tidak dapat dielakkan. Maka seharusnya setiap bilik darjah mempunyai ciri-ciri akustik bilik yang baik bagi meningkatkan keupayaan penyerapan gema dan bunyi berlaku.
Kesimpulannya, hasil pemerhatian saya menunjukkan bahawa terdapat beberapa ciri-ciri akustik bilik darjah di bilik darjah SKDB. Namun begitu, ia masih boleh ditingkatkan lagi dengan beberapa langkah dan tindakan agar akustik bilik darjah semakin ideal dan dapat mempengaruhi seisi pengajaran dan pembelajaran yang berjaya. Jika akustik bilik darjah yang baik tidka dapat direalisasikan, murid-murid tidak dapat menerima pengajaran guru dengan baik dan jelas kerana terdapat gangguan-gangguan bunyi yang menyebabkan mereka hilang kefokusan terhadap pengajaran guru.

           
Refleksi.

            Tugasan projek kursus Audiologi dalam Pendidikan ini merupakan tugasan individu yang berfokuskan tentang penggunaan ujian nada tulen untuk menguji tahap pendengaran seseorang, etiologi kepekaan pesakit, dan akustik bilik darjah. Pada mulanya tugasan saya itu memerlukan saya dan rakan-rakan untuk menjalankan ujian nada tulen terhadap murid-murid pekak semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dan melakukan pemerhatian dan banding beza bilik darjah akustik  murid-murid pekak. Namun begitu, saya dan rakan-rakan semua perlu ke sekolah rendah kebangsaan harian yang tidak mempunyai kelas masalah pendengaran. Maka, pada mulanya kami menghadapi sedikit kesulitan dan masalah untuk melaksanakan tugasan projek ini.
            Selepas kami habis menjalani PBS, pensyarah pembimbing saya, Dr Shahrul Arbai’ah memberikan kami peluang untuk melakukan tugasan ini dengan hanya menggunakan rakan sendiri di dalam kelas untuk melakukan ujian nada tulen. Kemudian, untuk tugasan perbandingan dan perbezaan bilik darjah murid di sekolah, pensyarah tidak menghadkan hanya memilih bilik darjah murid masalah pendengaran tetapi kami juga dibenarkan untuk memilih bilik darjah murid yang mendengar.
            Saya telah berusaha untuk mencari sumber rujukan dari pelbagai sumber seperti buku-buku akademik, internet, perpustakaan, pensyarah, dan sebagainya. Saya telah mendapatkan beberapa artikel untuk soalan merumuskan artikel yang berkaitan dengan akustik bilik darjah. Kemudian, saya menunjukkan artikel tersebut untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pensyarah pembimbing. Pensyarah pembing telah bersetuju agar saya memilih satu daripada artikel-artikel tersebut kerana semua artikel yang ditunjukkan adalah bersesuaian.
            Semasa ingin melakukan ujian nada tulen terhadap rakan sekelas, saya telah memilih sebuah bilik kuliah yang kosong dan tidak digunakan agar bilik tersebut mempunyai bunyi bising yang kurang dan tidak akan mengganggu pihak penguji dan piak pesakit. Namun begitu, memandangkan lokasi bangunan kelas kami adalah berdekatan dengan jalan raya, maka sedikit sebanyak bunyi bising jalan raya seperti motosikal turut mengganggu pesakit. Oleh itu, saya berpendapat bahawa, keputusan ujian nada tulen tersebut adalah kurang tepat kerana keadaan bilik darjah yang kurang akustik dan gangguan bunyi dari luar bangunan.
            Selepas saya berjaya menyiapkan tugasan ini, saya mendapati bahawa saya telah dapat mengaplikasikan semua yang dipelajari semasa di dalam kelas seperti cara menggunakan audiometer ujian nada tulen yang betul, cara mencatatkan keputusan ujian dalam bentuk graf atau audiogram, akustik bilik darjah yang baik, mengenalpasti tahap-tahap pendengaran seperti tahap pendengaran normal, ringan, sederhana, teruk, dan sangat teruk, serta dapat meningkatkan pengetahuan profesional sebagai bakal guru pendidikan khas.
            Selain itu, saya juga perlu membaiki segala kelemahan dan kekurangan saya sepanjang menyiapkan tugasan ini. Saya perlu memilih bilik yang lebih bersifat akustik yang baik untuk melakukan ujian pendengaran agar keputusan ujian yang diterima adalah lebih tepat. Tambahan pula, saya turut mengambil pengajaran daripada pemerhatian saya terhadap akustik bilik darjah di sekolah yang saya tinjau agar saya akan menerapkan ciri-ciri akustik bilik darjah yang baik terhadap bilik darjah di sekolah yang akan saya mengajar nanti.
            Apa yang dapat saya simpulkan disini adalah, sebagai seorang bakal guru pendidikan khas masalah pendengaran, saya perlu mengetahui cara untuk mengenalpasti tahap pendengaran murid dan punca berlakunya kepekakan tersebut. Selain itu, saya perlu mengetahui cara untuk membaca audiogram serta melakukan penambahbaikan bilik akustik bilik darjah bagi mengurangkan masalah bunyi-bunyian dan gemaan dari pelbagai sudut.


Rujukan.

Julia Jantan. (2010).Audiologi Dan Rehabilitasi Auditori. Selangor : OUM.
Martin, Frederick N. (2003). Introduction to Audiology. United States: Pearson Education.
Peter V. Paul. (2011). Hearing and Deafness. United States: Jones and Bartlett Publishers.

Thursday, July 19, 2012

Jika kita tolong orang, orang akan tolong kita balik. Jika kita tolong agama Allah pun, Allah akan tolong kita balik.

hukhuk..batuk.. beberapa hari lepas aku mula dengan sakit tekak je.. suara pun jadi kasar,.. pastu baru batuk and kemudian selsema lak.. adoyai... tersumbat2 hidung ni.. dah la pagi2 tadi terkena ujan time nak gi kelas. walaupun nek kereta tapi tempias nya tetap kena jugak.

Dalam kelas dah la ber air-cond.. memang la rasa macam nak demam. Cepat2 aku mesej kwn2 yg belum dtg lagi tu, minta tolong belikan panadol soluble. Pastu sorang kawan aku yg baik hati ni pun datang kelas and belikan aku 4 biji panadol soluble, sepeket strepsils, dan air mineral. Terima kasih byk2.. Dah la time aku nak bayar balik, dia x nak. Macam tu la, kalo berkawan. Selalu tolong kawan yg susah.

Bila kelas petang lak, adoi bilik ber air-cond lagi. tersumbat2 idung aku ni. Terpaksa bernafas guna mulut. Nak menaip wat kerja pun x selesa.. Tolong lah.. Banyak kerja menimbun ni.. Teringat lak dulu, pernah suatu hari tu aku namapk mcm x bermaya, nampak lemah. tapi walhal aku ok je.. mungkin byk keje kut. pastu byk lak kawan2 aku tanya aku ni ok ke?demam ke? ok sebenarnya x pun.. hmm terharu lak rasa.. rasa disayangi dan dihargai. Pastu aku rasa mcm x selesa sejuk sgt, aku pun tutup air-cond, pastu ada lak yg kata napa tutup? pastu ada lak yg back-up 'biarla dia kurang sihat kan.' hmm...ok sebenarnya aku x la sakit mana pun. cume batuk ckit2 and sakit tekak je time tu.. maaflah wat kotrang salah faham.

Alhamdulillah, rakan2 kelas aku setakat ni sume tengok baik2.. Selalu tolong kawan dan care.. Mungkin ada la kut yang tak, tapi mostly ialah ya. Tapi pernah x korang rasa, korang selalu wat baik kat orang tapi, orang x da pun wat baik kat kita? ada x? yes, aku pernah rasa macam tu. Rasa mcm aku je yg dok buat baik kat org, tp org x pun buat bek kat aku. Cuba fikir, betul ke? hmmm.. kadang2 memang ye, orang yang kita buat baik kat dia tu, dia x pernah pun berbuat bek kat kita balik. Tapi pernah x korang sedar, perbuatan baik korang tu ada Allah balas dengan benda dan perkara lain atau dengan kebaikan oleh orang lain terhadap korang. Percayalah Allah tu Maha Adil. Setiap perbuatan kita ,ada balasannya. Kalo kita buat baik kat orang selalu, insya Allah Allah akan bantu kita juga tapi mungkin dengan perkara atau melalui orang yang lain.

Jadi, sentiasalah berbuat baik pada orang lain. Tak perlu harapkan balasan, biar Allah yang tetapkan. Dan ingatlah kalo kita permudahkan urusan orang lain, Insya Allah Allah juga akan permudahkan urursan kita. Macam tu lah juga bila kita tolong agama Allah seperti berdakwah ke, ajak orang ke arah kebaikan ke, kerja dalam persatuan agama ke, Insya Allah Allah akan tolong kita balik. Dalam surah Muhammad pun ada menyatakannya . Tapi maaflah x ingat pula ayat ke berapa. Kalo de masa semak sendiri lah ye..

Have a nice day!
Doakan aku sihat cepat dan dapat siapkan kerja cepat..huhuhu..

Tuesday, July 17, 2012

Laporan PBS tugasan elektif 1: Pendidikan Jasmani (sem 3)

Tugasan Elektif 1 : Pendidikan Jasmani
PBS3103 Pengalaman Berasaskan Sekolah.

            Saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dari 5 hingga 9 Mac 2012 di Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri (SKDB) Cheras, Selangor Darul Ehsan. Saya perlu melakukan pemerhatian, mengumpul maklumat, berbincang dengan guru dan merekod maklumat. Untuk perbincangan mengenai kelas pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani , saya telah menemuramah Encik Najib bin Harun sebagai Ketua Panitia Pendidikan Jasmani SKDB dan juga Encik Isharizam bin Ujang sebagai setiausaha sukan SKDB. Kemudian saya telah mendapat peluang untuk melakukan pemerhatian terhadap kelas tahun 1 Kasih semasa seisi pendidikan jasmani di padang dan turut mendapatkan sedikit maklumat daripada Puan Tuty Rafna selaku guru pendidikan jasmani 1 Kasih dan merekodnya diatas kertas catatan saya.
            Menurut Encik Najib bin Harun, Ketua Panitia Pendidikan Jasmani SKDB biasanya setiap satu masa untuk satu kelas ialah selama 60 minit untuk satu minggu. Pendekatan dan strategi yang sering digunakan oleh guru pendidikan jasmani ialah menggunakan pendekatan dua hala antara guru dan murid. Seperti menurut kata Puan Tuty Rafna, guru pendidikan jasmani 1 Kasih bahawa beliau kadangkala melakukan kaedah berpusatkan murid dan juga guru. Ada masa-masa tertentu beliau akan menggunakan kaedah berpusatkan guru dan ada kalanya menggunakan kaedah berpusatkan murid. Berdasarkan pemerhatian saya terhadap pengajaran dan pembelajaran beliau pada 9 mac yang lalu, saya mendapati bahawa beliau telah menggunakan strategi berpusatkan guru kerana beliau banyak memberikan arahan dan panduan kepada murid-muridnya semasa melakukan aktiviti di padang. Saya juga merasakan semasa seisi pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung antara Puan Tuty Rafna dengan murid-murid kelas 1 Kasih adalah bersesuaian dengan objektif pelajaran pada hari tersebut. Saranan saya juga terhadap seisi pengajaran dan pembelajaran pendidikan jasmani ialah guru dan murid perlu bekerjasama memberikan idea yang kreatif bagi aktiviti yang lebih menarik dan menyeronokkan lagi.  
Setiap kali memulakan seisi pengajaran saya mendapat tahu bahawa aktiviti memanaskan badan akan dilakukan dan semua murid dikehendaki untuk melakukannya. Guru akan memaklumkan akan kepentingan aktiviti memanaskan badan kepada murid-murid diawal tahun persekolahan. Kemudian di seisi yang lain guru hanya melakukan aktiviti memanaskan badan bersama murid-murid tanpa menerangkan lagi akan kepentingan tersebut kerana guru menganggap murid-murid sudah pun mengetahuinya. Begitu juga menurut Puan Tuty Rafna, beliau menerangkan akan kepentingan aktiviti memanaskan badan kepada murid di awal seisi persekolahan. Kemudian beliau hanya akan sesekali menerangkannya atau meminta murid-muridnya memberitahunya akan kepentingan memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti pendidikan jasmani. Pendapat saya, terutama bagi murid tahap satu, mereka perlu selalu diberitahu akan kepentingan memanaskan badan sebelum memulakan aktiviti kerana murid-murid tahap satu tidak sentiasa memahami dan mengingati akan keperluan untuk memanaskan badan tidak seperti kanak-kanak yang lebih besar kerana kanak-kanak yang lebih besar lebih mengingati dan memahami akan kepentingan untuk memanaskan badan setiap kali sebelum memulakan aktiviti di padang.
Untuk tahap usia kanak-kanak sekolah rendah terutamanya tahap satu, aktiviti yang diberikan tidak membahayakan otot-otot, sendi dan lain-lain anggota badan. Ini adalah kerana guru yang mengajar seperti menurut Encik Isharizam bin Ujang, setiausaha sukan SKDB beliau sentiasa mengikut sukatan pelajaran dan silibus dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani. Sukatan pelajaran yang telah disediakan biasanya menepati kehendak dan kesesuaian tahap murid mengikut tahun. Pada pemerhatian saya sendiri juga pada kelas 1 Kasih di padang, aktiviti yang diberikan oleh guru mereka adalah tidak merbahayakan mereka dan guru mereka sentiasa mengawasi mereka semasa melakukan semua aktiviti di padang. Otot-otot seperti trapezius, gastrocnemius, biceps, triceps, quadricep, latissimus dorsi dan sebagainya pula diberikan tumpuan dan penekanan semasa aktiviti seperti berlari, melompat, menunduk, dan sebagainya. Puan Tuty Rafna juga mengatakan bahawa beliau sentiasa mengikut modul Pendidikan Jasmani yang telah disediakan, maka aktiviti yang dilakukan sentiasa dirancang dan menggunakan keseluruhan anggota badan.
            Semasa seisi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani di padang, guru sentiasa memastikan murid-muridnya berdisiplin dan mendengar arahan seperti arahan memasukkan t-shirt sukan kedalam seluar bagi murid lelaki dan arahan menepati masa untuk ke padang. Jika murid tidak mendengar arahan dan tidak berdisiplin, murid akan akan diberi teguran dan didenda oleh guru, contohnya mengenakan denda mengutip sampah di kawasan sekitar. Dan menurut Encik Isharizam bin Ujang, kebiasaannya murid tersebut akan melakukan denda tersebut dan tidak lagi mengulanginya.
            Semasa dalam pemerhatian saya, aktiviti menyejukkan badan atau ‘warm down’ dijalankan oleh guru dan murid tetapi apa yang saya dapat lihat ialah, guru hanya menarik nafas dan menghembusnya beberapa kali sebagai aktiviti menyejukkan badan. Guru tidak melakukan bebrapa pergerakan yang lain sebagai aktiviti menyejukkan badan mereka selepas selesai melakukan aktiviti. Malah penerangan mengenai aktiviti menyejukkan badan juga saya dapati tidak dijelaskan oleh guru mereka. Tetapi apabila saya berjumpa dan menanyakan Puan Tuty Rafna mengenai aktiviti menyejukkan badan itu, beliau menjelaskan bahawa beliau telah menerangkan akan kepentingan aktiviti menyejukkan badan itu kepada murid di awal seisi persekolahan dulu dan hanya mengulanginya sekali sekala kepada murid-muridnya. Saranan saya ialah, guru sepatutnya tidak hanya melakukan aktiviti menyejukkan badan dengan hanya menarik nafas dan menghembuskannya sahaja. Guru perlu menunjukkan kepada murid beberapa lagi aktiviti dan pergerakan untuk menyejukkan badan seperti membuat regangan badan, berjalan, dan sebagainya sebelum bersurai. Dengan itu guru dan murid akan dapat mengelakkan diri daripada mendapat kejangan pada otot apabila telah selesai melakukan aktiviti pendidikan jasmani.
            Peralatan yang digunakan semasa Pendidikan Jasmani adalah sesuai dengan aktiviti yang dirancang oleh guru. Jika pada hari tersebut, guru ingin mengajar permainan bola sepak, guru akan menggunakan bola sepak dan menggunakan jaring gol bola sepak disediakan di padang sekolah. Guru sentiasa memastikan keselamatan dan disiplin murid-muridnya semasa bermain di padang dan tidak akan membenarkan menggunakan perlatan yang merbahayakan keselamatan diri dan orang lain. Berdasarkan pemerhatian saya, Puan Tuty Rafna telah menggunakan alatan yang sesuai seperti, relung hula hoop, kon sederhana besar, dan tali skipping. Puan Tuty Rafna telah memanipulasikan alatan yang ada dan mempelbagaikan aktiviti seperti bergerak bersama rakan secara berdua atau bertiga sambil menggunakan relung hula hoop, melompat merentasi tali skipping seperti melintasi sungai dan lain-lain.
            Pembahagian masa yang digunakan dari mula hingga tamat waktu adalah sesuai dan dirancang guru. Menurut Encik Isharizam bin Ujang dan Puan Tuty Rafna jika dahulu kelas Pendidikan Jasmani dijalankan selama 30 minit setiap satu seisi dan mengadakan dua kali seisi untuk satu minggu. Tetapi kesan daripada itu wujud beberapa masalah yang lain dari segi pengurusan masa oleh murid dan guru. Murid-murid akan mengambil masa untuk ke padang dan guru juga tidak dapat untuk menguruskan murid dalam masa yang singkat sebelum memulakan seisi pengajaran. Maka masa yang diperuntukkan untuk kelas Pendidikan Jasmani biasanya adalah tidak mencukupi. Semasa saya melakukan pemerhatian terhadap kelas 1 Kasih, saya dapati guru mereka, Puan Tuty Rafna menggunakan masa yang ada dengan baik sekali. Guru mereka memulakan pengajaran dan aktiviti seawal 7.40 pagi dan berkahir pada jam 8.40 pagi tepat. Dengan itu, murid-murid tidak akan mengambil masa dari subjek oleh guru yang lain jika kelas pendidikan jasmani mereka lewat ditamatkan.
            Pandangan umum sering mengatakan bahawa kelas Pendidikan Jasmani ini hanyalah masa untuk murid bermain dan bersuka ria bersama-sama dengan rakan-rakannya tanpa diajar oleh guru dengan teknik dan cara yang betul. Namun menurut guru-guru Pendidikan Jasmani yang saya temui disini, pandangan tersebut adalah salah sama sekali kerana kini, guru-guru Pendidikan Jasmani yang dipostingkan ke sekolah-sekolah adalah mengikut sukatan pelajaran yang ditetapkan dan tidak sekadar memberikan aktiviti bebas kepada murid. Menurut mereka, guru-guru yang sekadar mengendalikan kelas Pendidikan Jasmani dengan cara yang tidak betul adalah berasal daripada guru yang bukan berada dalam bidang Pendidikan Jasmani. Guru yang bukan berasal daripada bidang Pendidikan Jasmani tidak mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan dengan Pendidikan Jasmani murid sekolah rendah, maka biasanya mereka hanya akan membenarkan murid-murid mereka bermain apa sahaja yang diingini di padang sekolah. Maka, pihak pentadbiran dan kementerian pelajaran perlu memastikan guru-guru pendidikan jasmani yang berkelayakan adalah mencukupi bagi setiap sekolah agar masalah-masalah lain tidak akan timbul. Jika benar terdapat kekurangan bagi guru-guru pendidikan jasmani dan terpaksa melantik guru yang bukan dalam bidang yang berkaitan untuk mengajar pendidikan jasmani, pihak pentadbiran dan kementerian pelajaran perlu memberikan kursus dan kemahiran serta ilmu kepada guru-guru tersebut agar mereka dapat mengajar murid-murid pendidikan jasmani dengan lebih baik.









Rujukan.





 
Images by Freepik