Pages

Thursday, November 25, 2010

Teks ucapan bertemakan kemerdekaan


Sub tugasan 2 :
5.0       TEKS UCAPAN BERTEMAKAN KEMERDEKAAN.

‘Sayang diberi kasih dihulur,
Seloka tertera wadah kencana,
Salam dikuntum ujaran dihulur,
Pembuka bicara hari bermakna.’

            Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua hadirin yang dihormati dan disayangi sekalian. Ucapan syukur Alhamdulillah setinggi-tingginya hanyalah kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaan-Nya kita semua dapat bersama-sama berkumpul di sini pada hari ini dalam keadaan sihat dan sejahtera.Kita seharusnya sentiasa bersyukur kerana kini, kita telah dapat hidup aman damai bersama-sama walaupun negara kita ini terdiri daripada pelbagai budaya, kaum, dan agama. Kita juga patut bersyukur kerana negara kita bebas daripada peperangan dan masih hidup aman , damai, dan sentosa tidak seperti sesetengah negara di luar sana yang sentiasa berkelumang dengan darah dan das-das tembakan.
            Hadirin sekalian,
            Kita sepatutnya berasa berterima kasih dan terhutang budi kepada pejuang-pejuang tanah air dahulu yang telah berusaha memerangi penjajah-penjajah luar yang senitiasa ingin menindas dan mengambil kesempatan terhadap bumi bertuah ini. Sebagai generasi muda masa kini, kita haruslah sedaya upaya mempertahankan kemerdekaan negara kita. Jika tidak, tidak mustahil negara kita akan dijajah semula.
            Tanpa kita sedari penghujung Ogos akan tiba tidak lama lagi. Saya pasti anda
8
semua tahu apakah peristiwa yang berlaku pada tarikh keramat 31 Ogos 1957. Pada
tarikh tersebut negara kita telah diisytiharkan sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebuah negara yang bebas daripada mana-mana penjajahan. Makanya, oleh sebab itu negara kita menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun sebagai tanda syukur dan memperingati akan kebebasan yang telah kita peroleh sejak tanggal 31 Ogos 1957 itu dahulu.
            Sedar atau tidak sedar kita kini telah pun mencapai kemerdekaan yang ke 53 tahun pada tahun ini. Tema kemerdekaan pada kali ini ialah ‘1 Malaysia Menjana Transformasi.’ Menurut Datuk Seri Musa Aman transformasi disini membawa makna berlakunya proses perubahan hasil inovasi yang bakal memberi faedah kepada rakyat dan seterusnya menghasilkan generasi yang mempunyai akhlak yang terpuji. Oleh itu, perubahan minda yang positif perlu kearah pembinaan masyarakat dan negara yang dinamik. Bagi menjayakan aspirasi kerajaan ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah mempunyai kesediaan dan keberanian untuk berubah kearah yang lebih baik lagi. Semangat kekitaan dan perpaduan antara kaum perlulah diteruskan lagi agar kita bersama-sama dapat mengekalkan keamanan dan keselesaan hidup di bumi bertuah ini.
            Menurut Datuk Seri Dr Rais Yatim, menteri penerangan dan komunikasi intipati yang terdapat dalam gagasan 1 Malaysia akan diterjemahkan dalam pelbagai bentuk aktiviti dan program bagi sepanjang sambutan kemerdekaan dari 1 Ogos hingga 16 September ini. Pelancaran kemerdekaan akan dimulakan di Stadium Utama,di Kangar,  Perlis dan berakhir di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah.
            Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
            Kita sebagai warga rakyat Malaysia yang merdeka kita perlulah mempunyai semangat cintakan tanah air dan mempunyai semangat kesetiaan kepada negara. Apabila menjelangnya bulan kemerdekaan iaitu bulan Ogos setiap tahun, kita haruslah turut menyertai kempen mengibarkan bendera Malaysia atau dikenali juga sebagai jalur
9
gemilang dimana-mana pun termasuklah di rumah, di sekolah, di kereta, dan di tempat kerja. Jika bukan kita yang sering mengangkat semagat kemerdekaan seperti ini, siapa lagi yang ingin meraikannya. Maka sia-sia lah pengorbanan para perajurit tanah air kita dahulu yang sanggup bermandi darah demi mendapatkan kemerdekaan untuk generasi yang seterusnya.
            Maka sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita sama-sama menghayati apa makna kemerdekaan yang sebenarnya, Hargailah kemerdekaan yang kita miliki kini, dan peliharalah ia agar kemerdekaan itu tetap menjadi milik kita selamanya.
            Sekian terima kasih.

No comments:

 
Images by Freepik