Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK)
Perkataan falsafah ini secara amnya boleh difahamkan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas. Mengikut Russel (1946), falsafah itu merupakan fahaman atau pengertian antara teologi dan sains.
Falsafah dapat diertikan sebagai pemikiran atau pandangan yang benar, rasional dan bernas.
"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menjadi panduan dan pedoman bagi segala usaha pendidikan sama ada di dalam institusi pendidikan atau di luar institusi pendidikan. Pakar-pakar pendidikan telah menggubal FPK secara rapi dan teliti dengan mengambil kira seluruh aspek yang berkaitan dengan keperluan-keperluan individu, masyarakat dan negara.
FPK telah diumumkan secara rasmi pada tahun 1988 berdasarkan kepada pertimbangan-pertimbangan atas Laporan dan Akta Pendidikan, Rukun Negara dan ciri-ciri ideologi serta kebudayaan masyarakat Malaysia.
Matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
FPK telah menggariskan pemikiran dan prinsip yang berkaitan bidang pendidikan di Malaysia yang menggabungkan matlamat dasar-dasar pendidikan sebagai satu entiti keseluruhan yang tekal, jelas dan logik
Pendidikan Negara mempunyai matlamat untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang supaya menjadi warganegara Malaysia yang baik dan berguna. Matlamat Pendidikan Negara bertujuan melahirkan rakyat Malaysia yang sempurna dan memiliki serta menghayati ciri-ciri berikut :
·
Percaya dan patuh kepada Tuhan.
· Berilmu pengetahuan.
· Berakhlak mulia.
· Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan Negara.
· Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
· Memupuk perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum.
Selain itu, Malaysia juga ingin mencapai matlamat pendidikannya iaitu ;
Melahirkan rakyat yang bertanggungjawab dan boleh memenuhi kewajipannya sebagai seorang warganegara;
Menghasilkan rakyat yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan terhadap kemajuan dan pembangunan;
Melahirkan rakyat yang boleh memahami dan menerima serta mengamalkan prinsip-prinsip dan cita-cita demokrasi mengikut perlembagaan;
Melahirkan rakyat yang taat setia kepada Raja dan cinta kepada negara;
Melahirkan rakyat yang memahami serta mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, dan bersikap toleransi, demi wujudnya perpaduan rakyat berbilang kaum dan
Mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum dengan membekalkan kemudahan-kemudahan asas pendidikan kepada golongan yang kurang berada.
Berpandukan kepada pernyataan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, difahamkan bahawa pendidikan di Malaysia merupakan suatu usaha memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu, demi mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Matlamat pendidikan ialah melahirkan rakyat yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berupaya mencapai kesejahteraan dan memberi sumbangan untuk keharmonian dan kemakmuran negara.Peranan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Antara peranan penting Falsafah Pendidikan kebangsaan dalam sistem pendidikan Malaysia ialah ;
§ Sebagai suluh yang memberi panduan dan arah tuju kepada segala usaha mengembang dan memajukan pendidikan.
§ Menjadi dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan matlamat Pendidikan Negara.
§ Sebagai rujukan untuk membantu para pendidik memahami sistem pendidikan negara.
§ Sebagai bimbingan untuk para pendidik semasa mereka melaksanakan tugas-tugas pendidikan.
§ Sebagai dasar dan pertimbangan asas untuk menentukan kurikulum bahan-bahan pelajaran dan strategi pengajaran dan pembelajaran.
§ Sebagai pengawal keatas penyelewengan aktiviti daripada dasar pendidikan.
§ Menghilangkan salah faham, keraguan atau pertelingkahan dalam sebarang usaha melaksanakan tugas ataupun aktiviti pendidikan.
Hala Tuju Sistem Pendidikan di Malaysia.
Di Malaysia, sistem pendidikan diterajui oleh dua kementerian iaitu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). KPM bertanggungjawab untuk mentadbir dan menguruskan sistem pendidikan kebangsaan di peringkat prasekolah, pendidikan rendah, pendidikan menengah dan pendidikan lepasan menengah.KPT pula bertanggungjawab dalam menguruskan pendidikan peringkat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
KPM telah menggubal misi pendidikan sebagai fokus yang ingin dicapai dalam mengangkat martabat Malaysia dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara.
Membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf
dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan
memenuhi aspirasi negara Malaysia.
Misi Pendidikan Malaysia
Pada abad ke 21 ini, Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan tekanan besar sebagai sebuah negara membangun. Malaysia berhasrat, menjelang tahun 2020, Malaysia akan mampu menjadi sebuah negara maju yang mencapai kemajuan dari pelbagai aspek seperti dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan.
Malaysia turut berhasrat agar rakyatnya sentiasa bersatu padu, berkeyakinan tinggi, berpegang teguh pada nilai-nilai agama, moral dan etika serta menikmati kehidupan yang demokratik, liberal dan bertolah ansur, perkongsian ekonomi yang adil dan progresif serta mampu untuk menguasai persaingan ekonomi.
Bagi mencapai wawasan dan matlamat negara dalam jangka masa 15 tahun akan datang, Malaysia telah memperkenalkan rangka kerja pelaksanaan baru, iaitu Misi Nasional. Misi Nasional memberikan penekanan tinggi ke atas pembangunan
modal insan ‘minda kelas pertama’ dan bina upaya sebagai pendekatan utama bagi
melonjak ke status negara maju.
Terdapat lima teras utama Misi Nasional yang telah digariskan untuk mencapai prestasi yang tinggi dan impak yang maksimum daripada pembangunan nasional, iaitu ;
Teras 1 | Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi |
Teras 2 | Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk ’minda kelas pertama’ |
Teras 3 | Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi yang berterusan secara membina dan produktif |
Teras 4 | Meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup |
Teras 5 | Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan |
KPM telah merangka Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) KPM 2006-2010 yang menjadi garis panduan pembangunan pendidikan bagi tempoh 5 tahun dalam Rancangan Malaysia Ke-9. Matlamat PIPP adalah untuk menghasilkan pendidikan yang berkualiti untuk semua.
PIPP mengandungi 6 teras strategik untuk memperkukuh sistem pendidikan negara ;
§ Membina Negara Bangsa |
§ Membangunkan Modal Insan |
§ Memperkasakan Sekolah Kebangsaan |
§ Merapatkan Jurang Pendidikan |
§ Memartabatkan Profesion Keguruan |
§ Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan |
Konsep Falsafah Pendidikan Guru (FPG).
‘Falsafah Pendidikan Guru adalah untuk melahirkan guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif, dan saintifik, menjunjung aspirasi negara serta menjunjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin.’
Intipati dalam FPG ini adalah ;
§ Guru yang berpekerti mulia.
§ Berpandangan progresif dan saintifik.
§ Bersedia menjunjung aspirasi negara.
§ Menyanjung warisan kebudayaan negara.
§ Menjalin perkembangan individu.
§ Memelihara satu masyarakat yang bersatu padu.
§ Memelihara satu masyarakat yang demokratik.
§ Memelihara satu masyarakat yang progresif.
§ Memelihara satu masyarakat yang berdisiplin.
Matlamat Falsafah Pendidikan Guru (FPG).
v Tujuan utama pendidikan ialah berusaha menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu, yang taat setia, yang bertanggung jawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa penting usaha menuju kepada arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun Negara.
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan Terhadap
Sistem Pendidikan Negara.
Implikasi terhadap kurikulum.
Selaras dengan cita dan tujuan FPK, perubahan kurikulum yang berlaku menyumbang kepada implikasi perubahan sukatan pelajaran yang berorientasikan program bersepadu, perubahan bahan-bahan pelajaran yang diserapkan dengan nilai-nilai murni ke dalam mata pelajaran lain, perubahan program pendidikan berorientasi pelahiran yang seimbang dan harmonis, perubahan sistem pendidikan yang berorientasikan kearah pendidikan umum, dan perubahan sukatan pelajaran yang bersesuaian untuk pelajar dalam bidang vokasional dan teknologi.
Implikasi terhadap pendidik.
FPK turut menyumbang kepada perubahan sikap pendidik dan profesionalnya ketika menjalankan tugas sejajr dengan tujuan dan dasar FPK. Ia turut meliputi perubahan sikap pendidik dengan pandangan yang positif terhadap tugasnya untuk mencapai tujuan dan cita FPK serta perubahan profesional dengan mengubah strategi dan teknik pengajarannya yang sesuai.
Implikasi terhadap institusi pendidikan.
Perubahan institusi pendidikan kearah melahirkan pelajar-pelajar mengikut tujuan dan cita FPK yang meliputi perubahan kemudahan-kemudahan agar para pelajar berpeluang mengembangkan potensi mereka secara menyeluruh dan seimbang, perubahan aktiviti budaya sekolah yang kondusif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri pelajar, dan juga perubahan iklim sekolah yang kondusif untuk memastikan para pelajar cintakan ilmu dan menjadi amalan membaca itu sebagai satu budaya mereka.
Implikasi Falsafah Pendidikan Guru :
Peranan Guru Sebagai Pendidik.
§ Guru perlu mempunyai pengetahuan am dan juga pengetahuan dalam mata pelajaran, khasnya mata pelajaran KBSR dan pengetahuan ikhtisas keguruan.
§ Mengamalkan pengajaran dan pembelajaran mengikut hasrat FPG,terutama dalam pengembangan individu dan pemeliharaan suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan juga berdidiplin.
§ Mengamalkan nilai-nilai murni dalam diri dan etika keguruan selaras dengan FPG.
§ Sebagai guru, perlu mempunyai akauntabiliti dan tanggungjawab untuk sentiasa berilmu dan mengamalkannya bagi memenuhi tuntutan keperluan masa depan.
§ Menggunakan ilmu dan kemahiran mendidik dan nilai keguruan dalam merangsang perkembangan para pelajar.
No comments:
Post a Comment