Pages

Monday, September 10, 2012

Tugasan kerja kursus Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku


Konsep Pengurusan Disiplin Bilik Darjah.

            Setiap insan yang bergelar guru perlu mempunyai kemahiran dalam pengurusan bilik darjah dan tingkah laku murid. Pengurusan bilik darjah yang baik adalah penting bagi memastikan bilik darjah menjadi terurus dan guru serta murid dapat berada dalam bilik darjah dengan suasana yang selesa dan kondusif untuk seisi pengajaran dan pembelajaran. Pencapaian akademik yang tinggi juga bergantung kepada pengurusan bilik darjah yang berkesan. Pengurusan bilik darjah merupakan faktor yang penting yang dapat mempengaruhi tingkah laku, sikap, motivasi, dan pembelajaran murid dalam bilik darjah. Menurut laporan Pertubuhan Pendidikan Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981 dalam Akhiar Pardi, 2012 sebanyak 36 % guru di Amerika Syarikat mengatakan bahawa mereka tidak akan ingin menjadi guru jika mereka mengetahui akan masalah yang akan mereka hadapi dalam pengurusan bilik darjah. Ini adalah kerana pengurusan bilik darjah bukanlah suatu perkara yang mudah yang perlu dihadapi oleh para guru.
            Menurut Richard (1990 dalam Haliza Hamzah, 2009) pengurusan bilik darjah merupakan organisasi dan kawalan guru ke atas tingkah laku, pergerakan serta interaksi murid semasa pembelajaran berlangsung supaya pengajaran dapat dilaksanakan dengan berkesan. Menurut Burden (2003 dalam Abdullah Sani Yahya, 2007) disiplin dalam bilik darjah mencakupi iklim akademik di bilik darjah dan amalan pengajaran yang berkesan kerana disiplin yang baik mampu menyekat pelajar daripada melakukan kelakuan yang tidak wajar. Ini bermakna bahawa, kawalan oleh guru terhadap murid dari segi disiplin dan sikap mereka semasa pembelajaran berlangsung adalah penting bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran guru dan murid berlangsung dengan baik. Guru mempunyai peranan untuk menguruskan masa, ruang, sumber pembelajaran, peranan dan tingkah laku murid dalam bilik darjah sebagai seorang pengurus.
            Pengurusan bilik darjah yang berkesan akan membantu untuk mencapai matlamat yang diingini seperti murid menunjukkan tingkah laku yang baik, membentuk suasana pembelajaran yang kondusif dan selesa, menjalinkan hubungan yang baik antara guru dan murid, menggunakan masa yang diperuntukkan dengan sebaik mungkin, mengurangkan masalah disiplin murid, dan sebagainya. Biasanya guru akan menetapkan peraturan dalam bilik darjah diawal tahun seisi persekolahan. Menurut Gootman (2008 dalam Akhiar Pardi, 2012) peraturan menyediakan panduan arah tuju yang konkrit yang membolehkan jangkaan akan menjadi kenyataan. Peraturan yang telah ditetapkan perlulah konsisten agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan baik. Kaedah ini disebut sebagai pendekatan tradisional yang melibatkan pengubahsuaian tingkah laku. Ianya merujuk kepada tindakan yang akan diambil terhadap murid yang menunjukkan tingkah laku yang tidak diingini.
            Pada masa kini, pendekatan holistik lebih dititikberatkan dan diguna pakai oleh para guru dalam pengurusan bilik darjah. Pendekatan ini lebih kearah pencegahan salah laku dan tindakan guru yang menyumbang kepada salah laku murid. Guru akan mencuba untuk memberikan bimbingan kepada murid ke arah mencapai kejayaan dengan membantu mereka melihat bagaimana usaha yang dilakukan akan menampakkan hasilnya. Antara faktor utama bagi kejayaan sesuatu pengurusan bilik darjah ialah perancangan yang rapi oleh guru dan guru perlulah mengelola dan mengawal pelaksanaan perancangan tersebut serta membuat refleksi akan kelemahan dan kekuatan pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan.
            Antara peranan guru dalam pengurusan bilik darjah ialah yang pertama guru haruslah memahami murid-muridnya dengan cara mendapatkan maklumat dan data murid-muridnya. Dalam diri setiap murid, mereka merupakan individu yang berlainan yang mempunyai latar belakang, minat, kebolehan, pengalaman, budaya, dan pengetahuan sedia ada yang berbeza. Maka adalah penting bagi seseorang guru untuk mengenali dan memahami diri murid-muridnya itu agar dapat memberikan pertimbangan yang sewajarnya. Dengan itu guru akan dapat merancang pengajaran dalam mencari strategi yang sesuai dan terbaik untuk digunakan dalam pengajaran bilik darjah. Guru boleh mendapatkan maklumat murid dengan cara berbual secara langsung dengan murid-murid dan mendapatkan rekod murid daripada ibu bapa dan gurunya yang terdahulu. Guru perlu mengetahui akan minat, sikap, dan keupayaan murid dalam pelajarann supaya guru dapat memenuhi keperluan murid.
            Yang kedua guru perlu menyusun atur dan merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian yang kondusif. Guru boleh bekerjasama dengan murid-murid bagi mengambil bahagian dalam menyusun aturkan fasiliti bilik darjah dan persekitaran yang baik. Semua perabut perlulah mencukupi dan dalam keadaaan yang baik serta boleh digunakan. Papan kenyataan perlulah diletakkan di tempat yang bersesuaian dan hasil kerja murid dipamerkan dan makluman penting kepada murid-murid. Selain itu, guru juga hendaklah menerangkan dan menjelaskan akan penggunaan alat pengukuran dan penilaian pembelajaran seperti latihan, ujian, laporan projek, folio dan sebagainya bagi membentuk persekitaran dan rutin bilik darjah yang baik.
            Guru juga perlu mewujudkan komunikasi yang baik dengan ibubapa atau penjaga murid-murid bagi membuka peluang kepada ibu bapa untuk terlibat dengan aktiviti dan pengalaman pembelajaran murid. Ianya juga dapat membantu guru mengawal tingkah laku murid dan membantu murid dalam meningkatkan pencapaian mereka dalam pembelajaran. Guru juga boleh meningkatkan prestasi pengajaran dan pengurusan dengan cara melakukan refleksi dan kajian tindakan dan mengambil kira tentang apa yang baru diketahui dan yakin dengan amalan pengajaran harian yang dilaksanakan. Model 5S iaitu sisih, susun, sapu, seragam, dan sentiasa amal boleh dipalikasikan oleh guru dengan kerjasama dengan murid-murid dalam pengurusan bilik darjah. Sisih itu merujuk kepada menyisih dan membuang bahan lama yang sudah rosak, susun itu ialah menyusun dan mengatur perabut, bahan belajar dengan kemas, sapu ialah membersihkan bilik darjah dengan rapi, seragam ialah pelihara keceriaan bilik darjah, dan sentiasa amal pula merujuk kepada amalan yang berterusan dengan pemantauan.
            Guru yang efektif dalam pengurusan bilik darjah merupakan guru yang dapat mengurus bilik darjah dengan berkesan, membentuk suasana bilik darjah yang mampu mepengaruhi murid-murid untuk belajar, dan dapat menggunakan masa pengajaran dan pembelajaran dengan efisien. Seorang guru yang efektif juga mempunyai beberapa ciri iaitu mempunyai sifat empati dan keupayaan untuk mengamati murid di dalam bilik darjah untuk mengesan ketidakselesaan murid-muridnya untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan. Guru juga perlu peka dan menunjukkan fleksibiliti untuk membuat respon terhadap keperluan murid. Guru juga haruslah mempunyai kualiti peribadi dan penghayatan amalan nilai murni yang baik yang bersesuaian dengan profesion keguruannya.


Laporan masalah disiplin yang berlaku dalam bilik darjah.

Saya telah menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) dari 5 hingga 9 Mac 2012 di Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri (SKDB) Cheras, Selangor Darul Ehsan. Saya perlu melakukan pemerhatian dan temubual dengan guru untuk menyempurnakan tugasan kerja kursus pendek ini. Saya telah berpeluang untuk memerhati beberapa buah kelas tahap satu dan dua semasa saya menjalani PBS di SKDB. Namun begitu, tidak banyak yang dapat saya perhatikan kerana sepanjang minggu saya berada di SKDB itu, murid-muridnya sedang menjalani ujian penggal dan hanya tahap satu yang berakhir pada hari khamis iaitu pada 8 Mac 2012.
Ketika saya menjaga kelas tahun 1 Gigih menjalani ujian penggal mata pelajaran matematik, keadaan mula menjadi bising apabila ramai murid yang sudah berjaya menyiapkan soalan ujian yang diberikan. Situasi begitu agak mengganggu murid-murid lain yang masih belum menyudahkan jawapan mereka. Saya berusaha untuk meminta mereka diam dan duduk di tempat masing-masing tetapi ternyata gagal. Masalah disiplin bagi kelas 1 Gigih tersebut ialah tingkah laku disruptif iaitu perlakuan yang mengganggu, mengacau dan mengendalakan aktiviti dalam bilik darjah. Sehinggalah saya terpaksa menggunakan bahan seperti bulu ayam dan mengetuk pada meja sambil memarahi mereka untuk diam dan duduk di tempat masing-masing. Saya juga terpaksa untuk memberikan peneguhan negatif kepada mereka dengan tidak membenarkan mereka rehat jika mereka tidak patuh pada arahan saya.
Kemudian saya juga berpeluang untuk menjaga kelas tahun 5 Damai untuk menjalani ujian penggal mata pelajaran sains. Sementara menunggu masa untuk menjalani ujian, saya memberi mereka masa untuk mengulangkaji pelajaran dan membaca buku serta berbincang dengan rakan-rakan jika perlu. Namun, saya dapati bahawa terdapat beberapa orang murid yang melakukan kesalahan tingkah laku dan disiplin di bawah pengawasan saya. Terdapat murid yang berkumpul dan berbual-bual sehingga menggangu ketenteraman kelas, mengusik kawan, berkejar-kejaran hingga ke luar kelas serta mengganggu rakan yang sedang membaca buku. Mereka semua saya dapati mempunyai tingkah laku disruptif juga seperti kelas tahun 1 Gigih tadi. Walaubagaimana pun, mereka lebih mudah ditegur dan dimarahi kerana mereka sudah berada dalam tahun 5 dan lebih memahami dan menghormati saya sebagai seorang guru berbanding murid tahun 1 yang lebih gemar bermain dan mengejar keseronokan di dalam kelas dan juga bersikap manja.
Pada hari terakhir saya menjalani PBS di SKDB, tahun 1 sudah tamat menjalani ujian penggal dan memulakan pengajaran dan pembelajaran kelas seperti biasa. Pada hari tersebut saya berpeluang untuk melakukan pemerhatian terhadap kelas tahun 1 Kasih semasa kelas Pendidikan Jasmani dan Bahasa Inggeris berlangsung. Selain itu, saya juga berpeluang untuk menemuramah Puan Tuty Rafna sebagai guru Pendidikan Jasmani dan guru kelas tahun 1 Kasih dan juga melakukan sedikit temubual terhadap Puan Siti Nur Hazwani bt Hamzah sebagai guru bahasa inggeris mereka.
Semasa kelas Pendidikan Jasmani berlangsung di padang, saya mendapati bahawa suasana kelas adalah terkawal dibawah bimbingan dan pengawasan Puan Tuty Rafna. Namun saya juga mendapati bahawa terdapat dua orang murid yang tidak memakai pakaian sukan dan diarahkan untuk duduk di tepi padang dan memerhatikan rakan-rakan mereka melakukan aktiviti pendidikan jasmani. Masalah disiplin tersebut juga dikenali sebagai masalah disiplin bersifat disruptif. Semasa melakukan aktiviti di padang, saya mendapati bahawa semua murid tahun 1 Kasih dapat mematuhi arahan dan peraturan guru mereka. Ini kerana aktiviti yang mereka jalani merupakan aktiviti yang menyeronokkan dan tidak memerlukan mereka menggunakan otak untuk berfikir seperti mata pelajaran yang lain. Menurut Puan Tuty Rafna sebagai guru kelas tahun 1 Kasih, semasa di dalam kelas biasanya murid-murid mempunyai beberapa tingkah laku bermasalah seperti kurang memberikan perhatian semasa guru sedang mengajar di hadapan kelas. Mereka tidak memberikan tumpuan sepenuhnya dan asyik berbual-bual dengan rakan di sebelahnya. Selain itu, terdapat juga murid yang gemar bermain-main dan mengganggu rakan semasa di dalam kelas.
Kemudian semasa saya melakukan pemerhatian terhadap kelas tahun 1 Kasih semasa mata pelajaran bahasa inggeris di bawah pengelolaan Puan Siti Nur Hazwani bt Hamzah, saya mendapati bahawa terdapat murid yang mengacau dan mengganggu rakan sekelas dan berjalan ke tempat duduk rakannya. Namun begitu, kelas masih dapat dijalankan dengan baik kerana guru mereka memberikan aktiviti yang menyeronokkan iaitu seni bahasa (language arts). Maka suasana kelas adalah dalam keadaan yang terkawal dan tidak bising. Tetapi menurut Puan Siti Nur Hazwani bt Hamzah, semasa seisi pengajaran dan pembelajaran yang biasa dijalankan bersama murid-murid tersebut terdapat beberapa masalah tingkah laku yang timbul dalam bilik darjah tersebut. Antara masalah tingkah laku tersebut ialah terdapat murid yang suka mengganggu rakan sekelas mereka dan membuat bising, tidak menumpukan perhatian terhadap pengajaran guru, bersikap hiperaktif yang tidak selesa berada di tempat sendiri dan gemar bergerak dan berjalan-jalan di dalam bilik darjah.
Masalah-masalah tingkah laku tersebut mungkin berpunca daripada beberapa sebab. Menurut Myer (2004 dalam Akhiar Pardi, 2012) salah laku boleh terjadi apabila murid merasakan diri mereka baik atau sebaliknya, ketika berasa tidak sihat, letih, menghadapi tugasan yang mencabar, gelisah, gugup, sedih, kecewa atau ketika menghadapi masalah yang serius. Antara sebab berlakunya salah laku bermasalah dalam bilik darjah ialah murid ingin mendapatkan perhatian daripada guru dan rakan-rakannya. Murid sebegini mungkin mempunyai masalah kekurangan kasih sayang dan perhatian di rumah, maka mereka datang ke sekolah dengan melakukan masalah tingkah laku seperti berbuat bising dan bercakap dengan kuat dengan harapan untuk menarik perhatian orang lain terhadap diri mereka. Selain itu, murid yang gemar bercakap dengan kuat dan berbuat bising itu mungkin mempunyai amalan dan budaya sebegitu sejak di rumah lagi dan mereka tidak mengetahui bahawa tingkah laku mereka itu adalah salah dan boleh mengganggu  orang lain dalam bilik darjah.
Antara sebab murid gemar mengganggu dan mengacau rakan mereka semasa di dalam bilik darjah ialah, mereka mempunyai sikap yang mudah bosan dan ingin menunjukkan kekuasaannya. Murid ini akan mengganggu rakan mereka tanpa tujuan yang munasabah dan mereka berasa seronok kerana dapat mengganggu rakan mereka dan terlepas dari hukuman jika guru tidak mengambil sebarang tindakan. Teknik pengajaran guru yang tidak bervariasi dan membosankan boleh menyebabkan murid bertindak sedemikian kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang kurang menarik dan tidak menyeronokkan.


Cadangan Mengatasi 1 Masalah Disiplin Dengan Menggunakan 2 Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah.

            Guru perlu mengetahui cara dan kaedah yang perlu dilakukan untuk mengurus masalah disiplin yang berlaku dalam bilik darjah. Guru boleh meletakkan suatu peraturan dikenakan pada murid untuk mengawal dan mendapatkan tingkah laku yang diingini. Guru perlu tahu bagaimana untuk mengawal murid dalam bilik darjah agar pengurusan bilik darjah akan berlaku dengan baik. Oleh itu, terdapat beberapa model pengurusan disiplin yang boleh diaplikasikan oleh guru semasa mengurus disiplin murid dalam bilik darjah. Bagi cadangan saya untuk mengatasi masalah disiplin yang timbul dalam pemerhatian dan perbincangan saya dengan guru-guru terhadap murid-murid di SKDB tersebut, saya telah memilih dua model pengurusan disiplin bilik darjah iaitu Model Disiplin Asertif Canter dan Model Pengurusan Kelompok Kounin.
Model Disiplin Asertif Canter telah dibentuk oleh Lee dan Marlene Canter. Mereka telah melakukan pemerhatian ke atas guru-guru di dalam bilik darjah dan mereka memasukkan tindakan guru-guru tersebut dalam model yang dibentuk oleh mereka. Model ini mengenai hak guru dan murid yang perlu diberikan antara satu sama lain iaitu guru mempunyai hak untuk mengajar dalam keadaan baik, tenang, selesa, dan tanpa gangguan dan juga murid-murid mempunyai hak untuk belajar dalam suasana yang tenang dan teratur. Model ini menggunakan peneguhan terhadap tingkah laku yang diingini dan penerimaan murid terhadap akibat daripada tingkah laku yang ditunjukkan. Guru berhak menetapkan peraturan dalam bilik darjah dan murid harus mematuhinya.
Antara cara yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah disiplin yang berlaku dengan menggunakan moel pengurusan disiplin bilik darjah ini ialah dengan menggunakan Hierarki Tindakan Pembetulan Canter. Canter menasihatkan guru agar membuat hierarki disiplin mengikut keutamaan beserta dengan tindakan pembetulan dan akibat yang akan dilakukan terhadap murid tersebut. Pada kali pertama jika terdapat murid yang gemar mengganggu dan mengacau rakannya semasa seisi pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti yang berlaku pada murid-murid Puan Tuty Rafna dan Puan Siti Nur Hazwani, guru perlu menegur dan mengatakan kepada murid tersebut bahawa ‘peraturan kelas kita ialah jangan ganggu rakan. Ini adalah amaran daripada saya.’ Kemudian jika masih lagi berlaku untuk kali yang kedua dan ketiga, guru perlu menegurnya lagi dengan mengatakan ‘peraturan kelas kita ialah jangan ganggu rakan! Awak telah memilih untuk time out 5 minit di belakang kelas.’ Time out itu merupakan ‘masa untuk bertenang’ yang diberikan oleh guru kepada seseorang murid yang dalam keadaan tidak selesa dan tidak tenang. Pada kali keempat jika murid tersebut masih mengganggu rakannya, guru perlu mengatakn kepada murid tersebut ‘awak tahu akan peraturan kelas kita jika mengganggu rakan lain. Awak telah memilih untuk menelefon ibu awak’. Kemudian guru harus menelefon ibu kepada murid tersebut untuk memaklumkan perkara tersebut kepada ibunya dan adalah lebih berkesan lagi jika guru mengarahkan murid tersebut untuk menelefon dan memberitahu sendiri kepada ibunya akan kesalahan disiplin yang telah dilakukan oleh dirinya itu. Tetapi, jika murid tersebut masih melakukan kesalahan yang sama, guru hendaklah mengatakan ‘peraturan kelas kita ialah jangan mengganggu rakan. Awak telah memilih untuk berjumpa dengan guru besar.’ Kemudian jika murid tersebut masih mengulangi kesalahannya itu, guru harus memberitahu kepada murid tersebut bahawa guru akan membawa murid itu terus berjumpa dengan guru besar pada masa dan ketika itu juga. Untuk menjayakan hierarki disiplin ini, guru perlu menyimpan rekod kesalahan yang dilakukan oleh murid dengan menggunakan senarai nama murid.
Bagi mendapatkan pengurusan disiplin yang berkesan, guru perlu menerangkan pelan-pelan pengurusan disiplin kepada murid-murid sebanyak tujuh langkah. Yang pertama guru perlu menerangkan kepada murid akan tujuan peraturan-peraturan yang ditetapkan itu dilaksanakan, kemudian guru perlu menerangkan kepada murid bagaimana caranya peraturan itu dilaksanakan, yang ketiga guru hendaklah menyemak sama ada murid-murid telah faham atau tidak akan peraturan-peraturan tersebut dan murid yang patuh akan peraturan yang ditetapkan akan menerima ganjaran yang sewajarnya, yang kelima murid perlu diterangkan oleh guru sebab akan tindakan pembetulan dikenakan kepada murid yang melanggar peraturan yang ditetapkan, yang keenam guru perlu menerangkan tentang tindakan pembetulan yang akan dikenakan kepada murid, dan yang terakhir guru harus semak semula akan kefahaman murid-murid.
Salah satu jenis guru yang baik ialah guru yang asertif iaitu guru yang sentiasa jelas, yakin, dan mengatakan jangkaan dan arahannya dengan konsisten dan juga tegas terhadap peraturan yang ditetapkan. Guru jenis ini tahu  akan apa yang diingini oleh murid-muridnya dan mengatakan dengan jelas akan tingkah laku yang diigini terhadap murid-muridnya. Guru perlu membantu murid-murid untuk memahami akan bentuk-bentuk tingkah laku yang membawa kejayaan dan kegagalan. Dari awal persekolahan lagi, guru harus mengatakan segala jangkaan dan harapan kepada muridnya. Guru hendaklah meminta dengan tegas kepada murid-murid untuk mematuhi jangkaan-jangkaan tersebut. Murid akan dikenakan balasan atau akibat yang bersesuaian dengan tingkah laku yang tidak sepatutnya dilakukannya di dalam kelas. Contoh ayat yang tegas oleh guru terhadap muridnya ialah, ‘saya tidak mahu bertekak dengan kamu. Kamu duduk dulu sehingga dapat bertenang.’ Selain itu, kaedah ganjaran juga amat baik dilakukan kepada murid-murid di dalam bilik darjah. Apabila murid dapat mengikuti peraturan yang ditetapkan dengan baik, guru harus memberikan perhatian kepada murid dengan memberikan sedikit penghargaan, pujian, senyuman, memberikan sijil penghargaan, memberikan hadiah seperti pensel warna, dan juga memaklumkan kepada ibu bapa akan sikap positif anak mereka. Teknik rakaman rosak juga boleh diaplikasikan oleh guru untuk menangani masalah murid yang gemar mengganggu rakan dan membuat bising serta bersikap hiperaktif. Teknik rakaman rosak itu ialah arahan yang diberikan oleh guru ialah secara berulang-ulang sehingga murid mematuhi akan arahan dan peraturan tersebut. Guru hendaklah menggunakan intonasi suara yang tegas dan kontak mata perlulah dikekalkan kepada murid tersebut. Selain itu sikap guru yang tekal dan konsisten apabila melaksanakan arahan tersebut adalah perlu bagi menjayakan teknik rakaman rosak tersebut. Jika murid masih melakukan salah laku, guru hendaklah memaklumkan kepada ibu bapa murid tentang bagaimana tingkah laku murid tersebut telah mengganggu pengajaran guru dan pembelajaran murid-murid yang lain.
Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah yang kedua pilihan saya ialah Model Pengurusan Kelompok Kounin. Model ini menekankan kepada pengawasan dan penyeliaan oleh guru terhadap aktiviti-aktiviti murid-muridnya dalam bilik darjah. Model ini berkaitan dengan kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi pergerakan murid-muridnya dalam bilik darjah pada setiap masa. Ia dikenali sebagai withitness oleh Kounin. Guru perlu mengawasi secara keseluruhan bilik darjah dan berinteraksi dengan semua murid agar kawalan bilik darjah akan tercapai. Kemudian, guru juga boleh menggunakan teknik overlapping iaitu satu kemahiran guru dalam mengawal bilik darjah dengan menangani lebih daripada satu situasi. Contohnya jika dalam bilik darjah terdapat murid yang gemar bercakap dan mengganggu rakan disebelahnya dan ketika itu guru sedang mengajar, guru boleh terus meminta seorang murid yang lain membacakan petikan yang diberikan dan dalam masa yang sama guru terbabit meminta murid yang berbuat bising itu agar menghentikan salah lakunya itu. Selain itu, terdapat juga satu kaedah lain yang dicadangkan oleh Kounin kepada para guru dalam mengawal dan mengawasi bilik darjah iaitu Ripple Effect atau dikenali juga sebagai Kesan Gelombang. Kesan Gelombang itu berlaku apabila guru memberikan teguran dan tindakan terhadap seseorang murid yang sedang melakukan kesalahan disiplin dan tingkah laku tetapi ia juga memberi kesan kepada murid-murid lain yang turut berada dalam bilik darjah tersebut. Namun begitu, jika guru mahu menggunakan Kesan Gelombang ini Kounin mengatakan bahawa seseorang guru itu hendaklah bersikap jelas, tegas, dan serius semasa memberikan teguran dan melakukan tindakan tersebut.
Arahan guru perlulah jelas dan tidak bersifat umum. Bagi menangani masalah murid yang hiperaktif yang gemar berjalan-jalan ke tempat duduk rakannya guru boleh memberikan teguran seperti contoh, ‘Ahmad, duduk di tempat kamu atau saya akan tarik balik 1 token bintang kamu.’ Jika murid tidak mendengar arahan dan teguran guru, guru perlu melaksanakan akibat yang dinyatakan kerana ia adalah perlu bagi menunjukkan kepada semua murid bahawa guru bersikap serius dalam menguruskan disiplin bilik darjah. Semasa guru hendak mengeluarkan arahan, guru perlu memberikan mimik muka, nada dan ton suara yang serius, tegas, dan keras agar tindakan disiplin dapat dijalankan dengan lebih berkesan.
Guru hendaklah memilih masa yang sesuai untuk memberikan teguran dengan jelas, tegas, dan serius terhadap murid yang melakukan salah laku tersebut. Guru tidak sepatutnya melengah-lengahkan teguran terhadap murid tersebut kerana sebaiknya teguran itu diberikan pada ketika murid sedang melakukan salah laku. Adalah penting bagi seseorang guru untuk mengawasi bilik darjah setiap masa kerana dengan itu guru akan dapat mengenalpasti akan masalah dan punca berlakunya masalah disiplin yang akan berlaku.
Bagi memastikan seisi pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan dengan baik dan lancar, guru harus bijak menguruskan pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Guru tidak sepatutnya memberikan penerangan yang meleret-leret dan mengulang-ulang perkara yang tidak perlu sehingga terkeluar daripada objektif pengajaran pada hari tersebut dan menyebabkan murid tidak memahami isi pelajaran yang diterangkan oleh guru. Oleh itu, guru harus mengetahui cara untuk menarik perhatian murid-muridnya di dalam bilik darjah agar guru dapat mengawal mereka dengan baik. Antara caranya ialah, guru perlu memastikan murid-muridnya sentiasa mempunyai tugasan dan hendaklah melibatkan mereka dalam aktiviti bilik darjah. Contohnya bagi menarik perhatian murid yang gemar bercakap dan berjalan di dalam kelas, Puan Tuty Rafna dan Puan Siti Nur Hazwani bt Hamzah perlu melibatkan murid-muridnya dalam aktiviti kelas seperti membacakan petikan yang diberikan, melukis bersama-sama dalam kumpulan yang diberi, dan menolong guru melekatkan gambar pada carta aliran. Kemudian guru juga boleh memanggil murid untuk memberikan maklum balas, menjawab soalan, dan membuat penerangan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran bilik darjah.
Kounin juga mengatakan bahawa sesuatu pengajaran itu perlulah mengambil kira akan aspek minat, kebolehan, dan perkembangan murid agar murid tidak mudah berasa bosan dengan pengajaran guru yang tidak bervariasi. Pengajaran guru yang membosankan boleh menyebabkan murid melakukan masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Semasa dalam pemerhatian saya, Puan Siti Nur Hazwani telah memberikan aktivit melukis sebagai aktiviti seni bahasa dalam kelas bahasa inggerisnya. Dengan itu, sedikit sebanyak saya dapati bahawa beliau berjaya mengawal murid-muridnya daripada melakukan salah laku disiplin dengan lebih banyak. Kebanyakan kanak-kanak mempunyai minat untuk melukis dan mewarna.
Bagi mengurangkan masalah tingkah laku murid dalam bilik darjah, guru boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang dapat menyibukkan diri murid dengan melibatkan murid dalam aktiviti pembelajaran yang menarik. Semasa guru memberikan aktiviti secara berkelompok, guru harus memendekkan penerangan yang diberikan oleh guru kepada murid agar masa yang ada dapat digunakan oleh murid untuk berkolaborasi dan menambahkan ilmu pengetahuan. Namun begitu, guru hendaklah memastikan agar aktiviti tersebut tidak menggunakan masa yang terlalu lama bagi mengelakkan murid-murid berasa bosan dan dengan itu akan timbul masalah salah laku dalam bilik darjah seperti bising dan menggganggu rakan serta berjalan-jalan ke tempat duduk rakannya.
Model Pengurusan Kelompok Kounin ini mengutamakan keupayaan guru untuk mengurus kumpulan dan mengurus pelajaran dalam bilik darjah. Dengan menggunakan model jenis ini, guru berkemampuan untuk mengendalikan lebih daripada satu isu dan keadaan dalam satu-satu masa, kelancaran aktiviti dapat berlaku dengan baik, mengekalkan fokus murid dan mengpelbagaikan teknik pengajaran.

Kesimpulan.

Keupayaan guru untuk mengurus bilik darjah dan tingkah laku murid merupakan perkara yang penting dan perlu bagi menjamin keselesaan dan persekitaran bilik darjah yang kondusif dan selesa. Guru perlu mengambil kira akan ciri fizikal yang baik, faktor emosi murid-murid, suasana sosial, serta peraturan dan rutin yang dilaksanakan.
Guru perlulah mengenal pasti akan masalah dan punca berlakunya masalah tingkah laku yang timbul agar dapat ditangani dengan segera. Peraturan yang jelas, ringkas, dan penting perlulah dilaksanakan oleh guru agar bilik darjah berada dalam keadaan yang terkawal.
Terdapat beberapa Model Pengurusan Disiplin Bilik Darjah yang boleh digunakan oleh guru bagi mengatasi masalah disiplin yang berlaku dalam bilik darjah. Guru perlulah melakukan sesuatu dan mengambil tindakan terhadap salah laku murid agar tidak mengganggu seisi pengajaran dan pembelajaran yang sedang berlangsung.
 
Rujukan.

Abdullah Sani Yahya. (2007). Guru sebagai Pemimpin. Selangor: PTS Professional.
Akhiar Pardi. (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Kuala Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Edmund T. Emmer. (1997). Classroom Management For Secondary Teachers. United States: Viacom Company.
Haliza Hamzah. (2009). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

1 comment:

nadzim bakri said...

Nice one cikgu....
like this post so much
kdg2 cikgu ni kena jadi Interior Designer jugak..hik2

 
Images by Freepik