Pages

Friday, October 15, 2010

Contoh teks ucapan pengacaraan majlis hari anugerah kecemerlangan akademik sekolah.

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK SEKOLAH KEBANGSAAN DESA BAIDURI (SKDB).

Pada:
18 NOVEMBER 2009
Tempat:
DEWAN DATO’ RAZALI


Disediakan oleh :
Noor Azianida bt Ramli.



Tentative Program Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah.

7.00 pagi :      Kehadiran para tetamu dan warga sekolah.
7.45 pagi :      Nyanyian lagu negaraku, lagu negeri Selangor, dan lagu sekolah.
                        Bacaan doa oleh Ustaz Ahmad bin Hafifi.
                        Ucapan oleh pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru oleh En Zulkifli                  bin        Salleh.
                        Ucapan guru besar oleh En Haji  Ali bin Haji Abu.
                        Ucapan dan perasmian majlis oleh pegawai pendidikan daerah Hulu                       Langat, Puan Hafisah binti Aziz.
                        Persembahan nasyid oleh pelajar kelas 5 Amanah.
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah pelajar tahap 1 terbaik                              mengikut kelas.
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah pelajar tahap 2 terbaik                              mengikut kelas.
                        Penyampaian anugerah cemerlang mengikut mata pelajaran.
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah kehadiran pelajar penuh                          mengikut kelas.
                        Persembahan penyampaian puisi oleh Siti Aini binti Amran, pemenang               tempat kedua pertandingan puisi peringkat daerah.
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah galakan membaca nilam.
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah cemerlang pelajar dalam Ujian               Penilaian Sekolah Rendah (UPSR)
                        Penyampaian hadiah dan sijil anugerah pelajar terbaik  seisi 2009.
                        Persembahan koir.
11.30 pagi :   Jamuan ringan dan bersurai.



            Mengumumkan ketibaan pegawai pendidikan daerah hulu Langat, Puan Hafisah binti Aziz, guru besar sekolah kebangsaan desa baiduri (SKDB), Encik Haji Ali bin Haji Abu, dan pengerusi persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), Encik Zulkifli bin Salleh. Semua hadirin dijemput berdiri.
            Hadirin sekalian, marilah kita bersama-sama menyanyikan lagu negaraku, lagu negeri Selangor, dan lagu sekolah diiringi dengan muzik.
            Terima kasih kepada semua hadirin dan hadirat sekalian. Hadirin dan hadirat semua dijemput duduk di tempat masing-masing.
            Assalamualiakumwarahmatullahiwabarakatuh dan selamat sejahtera kepada Yang Berbahagia Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Langat, Puan Hafisah binti Aziz, Yang berusaha guru besar Sekolah kebangsaan Desa Baiduri, Encik Haji Ali bin Haji Abu,Yang Dihormati guru penolong kanan, Puan Hanani binti Ali, guru penolong kanan ko-kurikulum, Encik Yusoff bin Haji Kamal, pengerusi Persatuan Ibu bapa dan Guru, Encik Zulkifli bin Salleh,guru-guru, para ibu bapa, dan murid-murid sekalian.
            Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah kepada Allah kerana dengan limpah dan kurnianya jugalah maka kita dapat bersama-sama berhimpun di sini pada pagi ini untuk meraikan kejayaan anak-anak kita dalam pelajaran mereka pada tahun ini.
            Ucapan selamat datang dan ribuan terima kasih kepada semua hadirin sekalian kerana sudi menghadirkan diri ke majlis ini terutamanya kepada Yang Berbahagia Puan Hafisah binti Aziz kerana sudi meluangkan masa dan memilih untuk menghadirkan diri ke majlis kami ini walaupun banyak urusan rasmi lain yang lebih memerlukan perhatian dan kehadiran beliau. Ucapan terima kasih juga kepada semua ibu bapa yang sudi meluangkan masa untuk memberi sokongan kepada anak-anak dan pihak sekolah. Semoga usaha kita semua diberkati Allah.
            Hadirin yang dimuliakan,
            Bersama-samalah kita menadahkan tangan memohon keberkatan Allah bagi merestui majlis kita pada pagi ini supaya dihindarkan daripada segala perkara yang tidak diingini. Oleh itu, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Ustaz Ahmad bin Hafifi, ketua jabatan pendidikan islam SKDB untuk memimpin bacaan doa kita pada pagi ini. Dipersilakan.
(Doa)
            Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Ustaz Ahmad bin Hafifi untuk pimpinan bacaan doa sebentar tadi.
            Majlis dengan segala hormatnya menjemput Encik Zulkifli bin Salleh selaku pengerusi PIBG sekolah untuk menyampaikan ucapan beliau sepatah dua kata. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
(Ucapan)
            Majlis mengucapkan terima kasih kepada Encik Zulkifli diatas ucapan beliau yang bersemangat itu.
            Kini, majlis mempersilakan pula Yang Berusaha Encik Haji Ali bin Haji Abu, guru besar SKDB untuk menyampaikan ucapan beliau. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
(Ucapan.)
            Ucapan terima kasih kepada Encik Haji Ali di atas ucapan beliau.
            Kini majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Puan Hafisah binti Aziz, pegawai pendidikan daerah Hulu Langat untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi seisi 2009. Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
(Ucapan)
            Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Puan Hafisahbinti Aziz diatas ucapan dan perasmian beliau.
            Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
            Sebelum kita meneruskan lagi acara kita yang seterusnya pada pagi ini, marilah bersama-sama kita menyaksikan persembahan nasyid oleh pelajar tahun 5 Amanah yang diketuai oleh adik Amyrul Suhaimi bin harriz.
(Nasyid)
            Terima kasih kepada kumpulan nasyid yang telah membuat persembahan sebentar tadi. Buat pengetahuan hadirin sekalian, kumpulan nasyid dari kelas 5 Amanah yamg membuat persembahan tadi merupakan kumpulan nasyid yang menjadi johan dalam pertandingan nasyid antara kelas-kelas tahap dua sempena sambutan kelahiran nabi pada tahun lepas. Mereka telah dilatih dan dipimpin oleh ustazah mereka iaitu ustazah Siti Zabedah binti Ismail.
            Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,
            Kecemerlangan yang dicipta adalah hasil daripada usaha yang gigih dan berterusan. Ia juga tidak mengenal erti jemu dan letih untuk mendapatkan sebuah kejayaan dan kecemerlangan. Oleh itu, wajarlah sekiranya kita menyediakan sedikit penghargaan kepada para pelajar yang telah berjaya mencapai kecemerlangan di sekolah. Semoga ia akan menjadi pencetus semangat untuk terus berjuang dalam mengejar ilmu dan cita-cita. Maka acara yang seterusnya adalah penyampaian hadiah dan sijil  penghargaan untuk pelajar terbaik tahap satu mengikut kelas. Majlis menjemput pengerusi PIBG, Encik Zulkifli bin Salleh untuk menyampaikannya kepada pelajar.
(Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan tahap 1)

            Seterusnya, penyampaian hadiah dan sijil penghargaan untuk pelajar terbaik tahap dua mengikut kelas.
(Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan tahap dua)

            Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Zulkifli bin Salleh diatas kesudian beliau untuk menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan kepada para pelajar. Majlis seterusnya menjemput guru besar SKDB, Encik Haji Ali bin Haji Abu untuk penyampaian hadiah yang seterusnya iaitu penyampaian anugerah pelajar terbaik mengikut mata pelajaran.

(Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan pelajar terbaik mengikut mata pelajaran).

            Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan yang seterusnya adalah  penyampaian hadiah dan sijil untuk pelajar yang berkehadiran penuh sepanjang persekolahan  bagi seisi 2009.

(Penyampaian hadiah dan sijil penghargaan kehadiran penuh pelajar)

            Terima kasih diucapkan kepada Encik Haji Ali bin Haji Abu diatas kesudian beliau menyampaikan hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar sebentar tadi.

            Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
            Sebelum kita meneruskan lagi acara kita yang seterusnya pada pagi, marilah bersama-sama kita mendengarkan bacaan puisi yang akan disampaikan oleh adik Siti Aini binti Amran dari kelas 4 Cekal. Dipersilakan.

(Persembahan puisi)

            Terima kasih diucapkan  kepada Siti Aini binti Amran. Buat pengetahuan hadirin sekalian, adik Siti Aini ini telah mewakili sekolah dalam pertandingan puisi tahap dua peringkat daerah dan telah berjaya merangkul tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan.

            Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
            Majlis seterusnya menjemput Puan Hafisah binti Aziz untuk penyampaian hadiah dan sijil penghargaan yang seterusnya.
           
            Hadirin sekalian,
            Membaca merupakan satu amalan yang mulia. Ada pepatah melayu yang mengatakan bahawa membaca itu adalah jambatan ilmu. Ini bermakna membaca merupakan salah satu cara untuk mendapatkan ilmu. Dengan membaca juga fikiran kita akan lebih luas dan terbuka. Oleh itu, pihak sekolah telah menggalakkan murid-murid agar sentiasa mengamalkan aktiviti membaca. Dengan itu kami telah menyediakan satu anugerah iaitu anugerah galakan membaca nilam kepada murid yang telah membaca bahan bacaan terbanyak sepanjang tahun 2009. Anugerah tersebut telah berjaya dirangkul  oleh seorang murid perempuan dari kelas 5 Bestari.
            Beliau telah membaca pelbagai bahan bacaan sebanyak 250 buah buku. Beliau merupakan anak kepada seorang guru bahasa arab dan ibunya merupakan seorang suri rumah tangga. Beliau merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik  beradik. Setiap hujung minggu beliau akan menghabiskan masanya di rumah untuk membaca buku di perpustakaan mini milik ayahnya. Ibu bapanya sentiasa menggalakkan beliau untuk mengamalkan budaya membaca walau di mana jua dia berada. Dengan ini, dijemput Nur Dayana binti Mohd zin, penerima anugerah galakan membaca nilam tahun 2009 untuk naik ke atas pentas menerima hadiah, trofi dan sijil penghargaan.Dipersilakan.

            Tahniah dan syabas kepada adik Nur Dayana binti Mohd Zin.
           
            Hadirin yang dihormati sekalian,
            Buat pengetahuan anda semua dalam peperiksaan UPSR yang lepas terdapat 20 orang murid yang berjaya mendapat 5A dalam semua subjek. Mereka terdiri dari kelas 6 Amanah, 6 Bestari, dan  6 Cekal. Dengan ini majlis ingin menjemput Puan Hafisah binti Aziz  sekali lagi untuk menyampaikan sijil penghargaan kepada mereka yang telah bejaya.

            Terima kasih diucapkan kepada Puan Hafisah diatas kesudian menyampaikan sijil penghargaan sebentar tadi.
           
            Pengetahuan merupakan kebijaksanaan sekiranya ia digunakan dengan sebaiknya. Untuk mencapai kejayaan bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan dan usaha yang berterusan. Tugas murid selain belajar, mreka juga perlu bergiat aktif dalam bidang ko-kurikulum dan menjadi contoh kepada adik-adik dan menjadi kebanggaan keluarga dan warga sekolah. Oleh itu, acara yang seterusnya adalah penyampaian anugerah pelajar terbaik bagi seisi 2009.
            Penerima anugerah ini merupakan murid tahun 6 Amanah di sekolah ini. Beliau telah bersekolah di sini sejak darjah 2. Beliau berpindah ke sini kerana mengikuti keluarganya yang berpindah di sini. Beliau merupakan anak sulung daripada 4 orang adik beradik. Dua orang daripada adik-adiknya sudah bersekolah dan adik bongsunya baru berusia 3 tahun. Bapanya merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaya dan ibunya pula bekerja sebagai akauntan di jabatan perkhidmatan awam.
            Beliau pernah dilantik menjadi ketua kelas semasa ditahap 1 dahulu, dilantik menjadi pengawas pusat sumber semasa darjah 4,dilantik menjadi pengawas sekolah sejak dari darjah 5, pernah menjawat jawatan setiausaha persatuan pengakap, naib pengerusi persatuan pendidikan islam,dan merupakan  penolong ketua pengawas sekolah selama 2 tahun berturut turut.
            Selain itu beliau turut bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum seperti mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, bola baling, catur, dan sebagainya. Beliau juga telah ke peringkat daerah dalam pertandingan syarahan dan berjaya merangkul tempat kedua dalam pertandingan itu baru-baru ini.            

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

            Walaupun sibuk dengan aktiviti seharian, beliau tidak pernah mengabaikan pelajaran. Beliau tidak pernah menghadiri kelas tuiesyen dan hanya belajar secara sendirian di rumah dan berbincang dengan guru-guru dan rakan-rakan di sekolah. Walaupun sering mendapat kejayaan dalam pelajaran, beliau tidak pernah bersikap sombong dan sentiasa membantu rakan-rakan dan adik-adiknya dalam pelajaran.
            Sikapnya yang sentiasa merendah diri, murah dengan senyuman, dan ringan tulang itu sentiasa disenangi oleh para guru dan rakan-rakannya di sekolah. Di rumah kedua ibu bapanya menyifatkan dirinya sebagai seorang anak yang baik, sentiasa rajin membantu ibu bapa dan juga merupakan seorang kakak yang baik dan bertanggungjawab.
            Bukti bahawa beliau telah berjaya mencapai kejayaan dalam pelajaran ialah beliau telah mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan UPSR yang lepas dan juga berjaya mendapat 7A dalam peperiksaan ujian penilaian sekolah rendah agama (UPSRA) di sekolah rendah agama as-syakirin.
            Untuk menyampaikan anugerah pelajar terbaik ini dijemput guru besar SKDB, Encik Haji Ali bin Haji Abu untuk menyampaikan anugerah tersebut. Penerima anugerah pelajar terbaik bagi seisi 2009 ialah Wardina binti Taruddin dari 6 Amanah. Majlis mempersilakan Wardina binti Taruddin untuk naik ke pentas untuk menerima trofi dan sijil penghargaan.
            Tahniah diucapkan kepada Wardina binti Taruddin. Ucapan terima kasih juga kepada En Haji Ali bin Haji Abu diatas kesudian beliau untuk menyampaikan anugerah sebentar tadi.
            Sebelum majlis kita bersurai pada hari ini, marilah bersama-sama kita menyaksikan persembahan penutup oleh kumpulan koir sekolah yang akan menyampaikan dua buah lagu iaitu lagu ibu pertiwi dan lagu gemilang.
            Terima kasih kepada kumpulan koir yang menyampaikan persembahan sebentar tadi. Buat pengetahuan semua, kumpulan koir tersebut mendapat bimbingan oleh Encik Tan Leong dari jabatan muzik sekolah. Kumpulan koir tersebut pernah mendapat tempat pertama pada tahun lalu dalam pertandingan koir peringkat daerah Hulu Langat.
            Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, kini berakhirlah sudah majlis hari anugerah kecemerlangan akademik Sekolah Kebangsaan Desa Baiduri bagi tahun 2009.
             Majlis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang telah bersama-sama menjayakan dan memeriahkan majlis pada hari ini. Ucapan terima kasih juga saya tujukan khas kepada Puan Hafisah binti Azizi diatas kesudian beliau untuk hadir ke sini. Jasa baik puan amat kami hargai.
Bila memandang ke muka laut,
Nampaknya sampan mudik ke hulu,
Bila terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik ingat selalu.
           
             Sebelum bersurai, semua hadirin dijemput untuk menjamu selera makanan yang disediakan di kantin. Tajaan makanan itu adalah daripada PIBG sekolah. Saya sudahi dengan serangkap pantun.
Kalau berladang menanam keladi,
Keladi dibawa ke tanah seberang,
Kalau dagang pandai berbudi,
Sampai mati dikenang orang.

            Sekian, terima kasih.

Wednesday, October 13, 2010

Teori Sosilogi Sastera. dan Tema persoalan novel Ranjau Sepanjang Jalan


 Teori Sosilogi Sastera.


Antara pandangan Marx melalui teori sosiologi ini adalah :
Marx mengatakan bahawa :

ü  Individu akan menjadi terasing apabila bekerja dengan kapitalis.
ü  Pembahagian kerja dalam masyarakat tidak boleh menjadi penentu untuk kelas atau status manusia kerana ia memperlihatkan ketidakadilan dan eksploitasi.
ü  Ekonomi merupakan punca berlakunya segala konflik sosial.
ü  Ini kerana, golongan borjuis berkuasa dan menekan golongan proletar.
ü  Kemudian golongan bawahan akan bangun memberontak atas sebab penindasan tersebut.
ü  Hasilnya wujud isu sosial yang bercirikan pertentangan kelas dan ketidakpuasan hati yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam karya sastera.
           
Sistem masyarakat dan realiti sosial mempunyai kaitan rapat dengan teori sosiologi sastera. Permulaan bagi teori ini adalah konsep umum kesusasteraan, kemudian beralih kepada pengarang dan teks dan seterusnya kepada masyarakat. Teori sosiologi menganalisis karya sastera dari segi intrisik dan ekstrinsik dengan penekanan pada isu masyarakat. Marx menempatkan kesusasteraan dalam suatu struktur ideologi yang meliputi falsafah, politik dan perundangan. Hubungan erat antara karya sastera dengan masyarat dan persekitaran ditunjukkan dalam melalui penekanan yang menggambarkan kedudukan kesusasteraan sebagai suatu institusi masyarakat yang aktif berfungsi.
 
Untuk menganalisis karya sastera terdapat beberapa idea penting dalam teori sosiologi sastera, iaitu :
a)    Sesebuah karya sastera berkait rapat dengan konteks masa dan zaman, termasuk juga dengan pemikiran dan pandangan hidup masyarakat dan sistem pemerintahan yang melahirkan karya tersebut. Ini bermaksud sastera merupakan cerminan masyarakat.
b)    Karya sastera menganalisis peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam masyarakat. Ia merupakan gambaran fenomena sosial, budaya, ekonomi, politik dan pelbagai aspek dalam kehidupan.
c)    Pengarang hendaklah menggambarkan segala peristiwa masyarakat dengan tepat dan perlu bersifat kreatif.
d)    Pengarang mengambil isu semasa untuk dijadikan teks karya, nilai-nilai masyarakat dan kesan dalam karya terhadap pembaca.

e)    Struktur yang bermakna perlu ada dalam sesebuah karya bagi mewakili perspektif penulis sebagai mewakili masyarakatnya.
Kritikan sosiologi ini lebih banyak menekankan isi dan kesan sosial terhadap sastera. Ia dilihat sebagai perbuatan yang benar-benar berlaku dalam masyarakat.Pengkritikan jenis sosiologi ini mengaitkan sastera dengan masyarakat. Mohd Taib Osman dan Kassim Ahmad sering menganalisis sastera Malaysia menggunakan kritikan jenis sosiologi ini. Selain itu, Umar Junus turut menggunakan kritikan jenis ini seperti yang terdapat dalam bukunya yang berjudul Sosiologi Sastera : Persoalan Teori dan Metode.
Dalam pendekatan sosial, ia mula menilai sejauh mana unsur-unsur ‘dogmatik’, ‘diktatik’, dan arahan kepada masyarakat dimasukkan dalam karya. Melalui kritikan sosiologi juga ia mengkritik keadaan sosial dalam masyarakat seperti rasuah, kemiskinan, penindasan, ketidakjujuran, dan sebagainya.

Rumusan Teori Sosiologi Sastera.

            Pada tahun 1980-an, teori sosiologi sastera mula muncul dan popular. Karl Marx telah memperkenalkan teori ini yang dikenali sebagai fahaman Marxis. Menurut Marx, sejarah manusia dipenuhi dengan pertentangan dan perjuangan antara kelas sosial. Kesusasteraan tidak dapat dipisahkan daripada masyarakat dan sejarah. Bahan kesusasteraan terdiri daripada struktur sosial masyarakat yang berhubung dengan sistem, peraturan, moraliti, ekonomi dan budaya.
            Menurut Marx, pembahagian kerja dalam masyarakat tidak boleh menjadi penentu untuk kelas atau status manusia kerana ia memperlihatkan ketidakadilan dan eksploitasi. Marx mengatakan bahawa ekonomi merupakan punca berlakunya segala konflik sosial. Ini kerana, golongan borjuis berkuasa dan menekan golongan proletar. Kemudian golongan bawahan akan bangun memberontak atas sebab penindasan tersebut. Hasilnya wujud isu sosial yang bercirikan pertentangan kelas dan ketidakpuasan hati yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam karya sastera.
            Sistem masyarakat dan realiti sosial mempunyai kaitan rapat dengan teori sosiologi sastera. Permulaan bagi teori ini adalah konsep umum kesusasteraan, kemudian beralih kepada pengarang dan teks dan seterusnya kepada masyarakat. Teori sosiologi menganalisis karya sastera dari segi intrinsik dan ekstrinsik dengan penekanan pada isu masyarakat. Marx menempatkan kesusasteraan dalam suatu struktur ideologi yang meliputi falsafah, politik dan perundangan. Hubungan erat antara karya sastera dengan masyarat dan persekitaran ditunjukkan dalam melalui penekanan yang menggambarkan kedudukan kesusasteraan sebagai suatu institusi masyarakat yang aktif berfungsi.
Kritikan sosiologi ini lebih banyak menekankan isi dan kesan sosial terhadap sastera. Ia dilihat sebagai perbuatan yang benar-benar berlaku dalam masyarakat.Pengkritikan jenis sosiologi ini mengaitkan sastera dengan masyarakat. Mohd Taib Osman dan Kassim Ahmad sering menganalisis sastera Malaysia menggunakan kritikan jenis sosiologi ini. Selain itu, Umar Junus turut menggunakan kritikan jenis ini seperti yang terdapat dalam bukunya yang berjudul Sosiologi Sastera : Persoalan Teori dan Metode.
Dalam pendekatan sosial, ia mula menilai sejauh mana unsur-unsur ‘dogmatik’, ‘diktatik’, dan arahan kepada masyarakat dimasukkan dalam karya. Melalui kritikan sosiologi juga ia mengkritik keadaan sosial dalam masyarakat seperti rasuah, kemiskinan, penindasan, ketidakjujuran, dan sebagainya.

Ulasan novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad.
                  
Tema ialah persoalan utama yang diungkapkan dalam sesuatu karya, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
 Tema yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad ialah perjuangan, kesusahan dan penderitaan hidup petani-petani Melayu dalam menghadapi bencana alam.
Antara penderitaan dan kesusahan yang dialami kaum petani yang diwakili oleh keluarga Lahuma dan Jiha dalam novel ini ialah luas sawah yang berkurang. Contohnya Lahuma Cuma memiliki sawah 14 relung sahaja sedangkan pada awalnya keluarganya mempunyai sawah sebanyak 20 relung. Ini kerana 6 relung sawah telah dijual.
          Bapanya dulu mempunyai dua puluh relung
     bendang. Enam relung terlepas ke tangan
    Cina kerana jual janji. Tinggal empat belas
    relung. (RSJ Hlm 4).

            Yang kedua, Lahuma hanya mempunyai isteri dan 7 orang anak yang kesemuanya adalah perempuan. Yang bekerja hanya dia dan isterinya, Jeha. Tiada tenaga lelaki yang lain yang boleh membantunya di sawah. Tenaga kerja perempuan tidak sama dengan lelaki.
                  
       “Kaulah yang akan menajak kalau aku sakit.”
       Jeha Cuma mengiya saja. Bendang itu tentu
      tak sanggup dihabiskan olehnya dan oleh
     Sanah dan Milah. Jeha sedar tentang
      kedudukan yang sebenar.Tak ada Lahuma,
      tak adalah beras nanti untuk anak-anak.
     (RSJ Hlm 80).

            Yang ketiga pula ialah bencana alam termasuk juga bencana dari binatang perosak. Contonya Jeha sakit akibat ular tedung senduk, Lahuma sakit dan dan mati akibat terkena duri nibung, dan padi mereka diserang ketam, banjir, dan burung tiak.
                  
       Bahana ular tedung senduk masih liar 
       menjelajah kehidupan Jeha sejak peristiwa
        di pinggir paya dekat belukar semai tempoh
       hari. Langkah-langkah dan gerak-gerinya
        masih juga terketar-ketar dan terhinggut-hinggut                              ketakutan.......  (RSJ Hlm 45).
   ............Mahu rasanya dia merentap pisau cukur
     dan memotong kaki yang reput itu. Mahu rasanya
   dia memicit kaki itu hingga terlompat keluar duri nibung
yang tersumbat itu. (RSJ Hlm 91).
   Lahuma sudah mati... (RSJ Hlm 123).
   Ketam sudah datang, Ketam sudah mula
   menyerang sawah Kampung Banggul Derdap.
   (RSJ Hlm 151)
   Tetapi banjir di sebelahnya masih juga belum surut
    ....... (RSJ Hlm 217).
   Tiba-tiba timbul dari dalam semak-semak padi
   Itu lebih kurang lima belas ekor burung tiak yang hitam                       kelabu....... (RSJ Hlm 239).
                                                            
Persoalan pula bermaksud perkara-perkara yang lebih kecil yang ada hubungan dengan tema.
Antara Persoalan yang wujud dalam novel yang dikaji ini ialah yang pertama, kesusahan yang dialami kaum petani untuk menanam padi. Dalam novel tersebut terdapat pelbagai kesusahan yang dialami oleh keluarga Lahuma iaitu masalah bencana alam seperti ular tedung senduk, duri nibung, ketam, banjir, dan burung tiak yang menyerang dan menimpa kepada Jeha, Lahuma, dan sawah mereka.

                      Dia teringat kepada ular tedung senduk di bekas
                   semai.Lintah gajah. Kemarau panjang. Banjir besar.      
                   Ketam-ketam. Burung Tiak yang banyak. Batang-     
                  batangmenerung. Rumput-rumput bulu landak.
                  Onak nibung  yang membunuh Lahuma....
                   (RSJ Hlm 263)

            Persoalan yang kedua ialah, berpegang teguh pada agama dan berserah kepada Tuhan semata-mata.Lahuma sekeluarga percaya sepenuhnya kepada Allah dan bergantung terus kepada pencipta Nya.

Makan bangkai dan bertelanjang juga Lahuma
serah kepada Tuhan. Terserah kepada Allah
Azzawajalla. Apa boleh buat kalau Allah suruh
makan bangkai. Apa nak kata kalau Tuhan
suruh anak cucunya bertelanjang. (RSJ Hlm 7).

            Persoalan yang ketiga ialah, ketaatan seorang isteri kepada suaminya.Ketaatan seorang isteri ditunjukkan melalui watak Jeha yang sentiasa berada disisi Lahuma walaupun disaat Lahuma yang sedang menderita sakit akibat bisa onak nibung. Dan juga Jeha tetap setia dan beranggapan bahawa Lahuma adalah suaminya dan tiada siapa yang boleh menggantikan tempatnya walaupun Lahuma sudah meninggal dunia.

       Petang itu Jeha tidak turun ke sawah. Kaki
        lakinya dicelur dan didemah lagi.Ubat
       ramuan dicari tambah. (RSJ Hlm 99)
       Lahuma dalam kubur masih juga lakinya.
       Lahuma yang disayanginya itu. (RSJ Hlm 176).

            Persoalan yang keempat ialah, tanggungjawab anak sulung terhadap keluarga.  Watak Sanah sebagai anak sulung kepada Lahuma dan Jeha yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan adik-adiknya dan sawah milik keluarga mereka setelah ayahnya meninggal dunia dan emaknya menjadi gila.
      
       Tetapi kini Sanah tidak melepaskan
       tangan lagi.Dia mahu menghadapi
       segala-galanya itu dengan adik-adiknya
        yang enam orang itu. (RSJ Hlm 222)

            Persoalan yang kelima yang saya kaji dalam novel yang dipilih ialah, tekanan jiwa dan perasaan sehingga menjadi gila.Jeha dalam novel tersebut telah mengalami gangguan jiwa kerana dia terpaksa menanggung kesengsaraan hidup bersama anak-anaknya yang ramai untuk menjaga sawah mereka setelah kematian suaminya. Sedangkan semasa suaminya hidup dahulu banyak pekerjaan yang melibatkan sawah mereka diuruskan oleh Lahuma dan Jeha hanya membantu sahaja.

Lakinya telah tidak ada. Anaknya tujuh orang. Bendang ada empat belas relung. Rumah sudah robek-robek. Bencana sawah macam-macam dan menjadi-jadi pula tahun ini. Jeha tidak dapat menanggung seksaan itu...(RSJ Hlm 180).


Wednesday, October 6, 2010

Berakhir sudah ukjk sem 3 2010 ...

Alhamdulillah,.. akhirnya tamat sudah ujian amali dan kecergasan atau ukjk bagi sem ni..
Yang besnyer sem ni adalah yg akhir.. degreethun dpan ti dah x de dah ukjk kecuali student major pj,..heheh..
Citer hari ini ialah,..


Bile aku bgun pg, aku ingtkan bengkak kaki aku makin surut, tp tgk2 makin bengkak dan lebam ada la.. huhu..


walo pun de mc n surat doc, aku tetap nak buat ukjk.. Kalo x wat aku x de markah ti,. aku still leh jalan bukannye patah kaki.. haish..
En zul pn kata wat je setakat mana yg bleh, ti bg surat doc kat die..


Sume stesen aku cube wat yg termampu termasuklah lari ulang alik 10x dan lari 2.4 (6 pusingan padang).. tp de satu je stesen tu, lect yg bertugas x benarkan aku wat.. sebab kena melompat, takut x boleh.. huhu.. so x de markah la kat situ, cume ditulis 'cedera' ..
lari ulang alik tu, en jalal x benarkan aku lari so cume jalan je .. mm dapat le markah minimum jer..


yg 2.4 tu lak, mule2 igt nak jalan jer tp memng tertinggal  blkng la kan n ble lak nak abes 6 round so aku lari gak la ckit2. lari2 anak@jog pelan2.. yg aku leh bangga kan tu adalah aku berjaya abeskan 6 round tanpa henti.. Alhamdulillah.. tp mrkh ckit gak la, nak wat cmne. x leh nak lari laju2..

Memang terkilan gak la.. memng aku rasa ukjk sem ni lah yg paling teruk sekali berbanding sem2 lepas.. huhu..
walo bagaimana pun, aku rasa lulus gak kut.. so exam ti plak la penentunyer.. huhu.. 

Tuesday, October 5, 2010

adoyai... Kakiku bengkak . .. .

Adoyai,..cakit kakiku..
Hari ni sebenarnya aku ade ujian amali tuk permainan hoki dan bola tampar..

Entah mcm mne masa aku nak merejam bola, time lompat tu aku terjatuh,.. aduh sakit!! .. dah la ade 2 lagi yg belum diuji salah satunya menyangga bola.. so aku try je la wat setakat yg bleh.

Mse nak blik asrama, aku beli la ais kat cafe dan rendam kaki aku yg sakit tur..

Tp aku rse pas aku rendam dgn ais rse makin sakit lak..
aku nak jalan pun dah terjengket jengket..

Ble bff aku tgk, terus diorg suwuh g klinik..
so kesimpulannya aku dpt la surat doc tuk pegecualian ujian yg seterusnya sok iaitu ukjk..

Org kata memng la bes x yah lari 6 pusingn padang tu, tp aku kena wat folio la plak sebagai gantinyer.. malas la plak.. tp lau nak lari, adoi memng x leh la,.. buat melarat je nanti kaki ni. 

Hmm.. doc bg mc sehari je, tp tgk doc tu cam ok agak2 lau aku minta mc 2-3 ari die bg ke ha?.. hahhaha.. segan la nak minta lebih2 lak.. 

Tp lau kaki still bengkak, jalan byk plak,..riso lak.. huhu.. 
nak balik umah la,..






Thursday, September 2, 2010

Nida's 20th B'day





Terima Kasih byk2 kpd dila, ziema, bib, biha, najwa, yang membuat surprise sempena bday ku yg ke 20.. Thanks..
Terima kasih juga kpd ardilla yg bg kek secret recipe..
Terima kasih juga kepada semua yang bagi ucapan dan yg ingat my bday..
THANK YOU....

Sunday, August 15, 2010

Draft agsiment K.Sosial Pra Pismp sem 1 2009

Geomorfologi merupakan kajian saintifik mengenai bentuk mukabumi dan juga perubahan-perubahan daratan. Geomorfologi, asalnya daripada bahasa Yunani, yang bermaksud 'Kajian Bentuk Bumi'. Proses fizikal, kimia, dan biologi ialah merupakan proses geomorfologi yang bertanggungjawab membentuk, memperkembang, dan mengubah bentuk muka bumi atau pandang darat fizikal sama ada secara meluas atau mikro.
Kajian tentang geomorfologi ini merangkumi subbidang seperti geomorfologi tropika. Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap melibatkan proses luluhawa kimia, pergerakan jisim, dan hakisan berkaitan ombak dan sungai.
Terdapat tiga jenis luluhawa iaitu luluhawa kimia, luluhawa fizikal, dan luluhawa biologikal.Di kawasan tropika lembap terjadinya luluhawa dalaman yang juga dikenali sebagai luluhawa kimia. Luluhawa kimia merujuk kepada proses penguraian dan pereputan batuan secara perlahan-lahan akibat tindak balas kimia. Luluhawa ini juga turut berlaku di kawasan tanah pamah yang sederhana lembap dan kawasan batu kapur.
Luluhawa kimia atau luluhawa dalaman ini mempunyai enam proses utama, iaitu proses larutan,pengkarbonan,hidrolisis,pengoksidaan dan proses chelasi. Proses larutan berlaku ke atas mineral-mineral atau batuan yang mudah larut seperti garam batu, batu kapur, dan dolomit. Apabila air hujan yang turun menyentuh batu garam ia akan mudah dilarutkan. Proses larutan menyebabkan galian terlarut dan wujud dalam bentuk ion-ion supaya tindak balas kimia selanjutnya dapat berlaku dengan berkesan. Proses pelarutan menyingkirkan galian-galian yang mudah larut dan meninggalkan sisa-sisa pepejal seperti besi dan aluminium di dalam tanah dan ia menggalakkan pembentukan tanah laterit yang kaya dengan besi dan aluminium oksida. Pelarutan juga menyebabkan terhasilnya lubang-lubang di dalam tanah atau batuan yang dipanggil honeycomb.
Proses luluhawa kimia yang kedua ialah proses pengkarbonan. Pengkarbonan merupakan sebarang tindak balas antara asid lemah (asid karbonik) dengan kalsium karbonat (batu kapur). Pengaruh air hujan yang turun apabila bercampur dengan gas karbon dioksida dalam udara akan menghasilkan asid karbonik lemah. Persamaan tindak balas kimia adalah,
H2O (Air) + CO2 (Karbon dioksida) = H2CO3 (Asid karbonik)
Asid karbonik berupaya untuk menguraikan batuan apabila ia bertindak balas dengan kalsium karbonat (batu kapur) menghasilkan larutan kalsium bikarbonat atau kapur mati. Bahan yang terhasil ini adalah dalam bentuk cairan. Persamaan tindak balas kimianya ialah
H2CO3 (Asid karbonik) + CaCO3 (Kalsium Karbonat)=Ca (HCO3 )2 (Kalsium Bikarbonat)

Proses pengkarbonan bersama-sama dengan proses larutan sangat berkesan di kawasan batu kapur.
Seterusnya, proses luluhawa kimia yang ketiga ialah proses hidrolisis. Hidrolisis adalah proses tindak balas air dengan batuan. Proses ini berlaku apabila batuan menyerap air dan mengalami tindak balas kimia. Hidrolisis juga merupakan tindak balas antara ion hidrogen (H ) atau ion hidroksil (OH ) dengan ion mineral pembentuk batuan sehingga menyebabkan terhasil satu sebatian dan mineral yang berlainan. Tindak balas kimia ini boleh melemahkan batuan untuk menghasilkan regolit tanah. Ion hirogen atau ion hidroksil yang menjadi agen peluluh ini dibekalkan oleh air hujan. Biasanya, mineral pembentuk batuan yang tidak stabil mudah diuraikan menerusi proses ini untuk membentuk kaolinit (tanah liat). Ringkasan tindak balas hidrolisis bagi menghasilkan tanah liat ialah, Orthoclase Feldsfar + Asid Karbonik + Air = Kalsium Karbonat + Kaolin (Tanah liat) + Kuartza.Proses ini menyebabkan felspar dan mika direputkan dan bertukar menjadi tanah liat putih atau kaolin yang lembut. Apabila bahagian tanah liat ini terhakis ia akan mendedahkan bahagian dalam yang diluluhawakan sehingga seluruh struktur batuan granit terluluh dan terurai. Mineral kuartza dalam batuan granit akan tertinggal sebagai batu tongkol atau butiran pasir kerana ia sukar direputkan.
Proses luluhawa kimia yang keempat ialah proses penghidratan.Proses penghidratan ialah sebarang penambahan air kepada mineral batuan sehingga menyebabkan mineral tersebut mengalami tegasan dam mengembangan. Antara contoh yang dapat diberikan ialah besi oksida (ferum oksida) menyerap air menjadi besi hidroksida (ferum hidroksida). Contoh terbaik penglibatan proses ini ialah dalam kejadian limonit daripada hematit. Persamaan kimianya ialah,
2FeO2 + 3H2O (Hematit merah) = 2FeO2.3H2O (Limonit kuning).
Proses luluhawa kimia yang kelima ialah pengoksidaan. Proses pengoksidaan ini merupakan segala perubahan akibat tindak balas kimia melalui tindakan oksigen dari udara atau air dengan mineral-mineral dalam batuan terutama unsur-unsur besi. Ia juga merupakan tindak balas antara oksigen dengan kandungan mineral batuan yang menyebabkan mineral tersebut teroksida. Contohnya ialah,
4Fe (Ferum) + 3O2 (Oksigen) = 2Fe2O3 (Ferum Oksida) . Besi yang teroksida menjadi besi oksida.Proses pengoksidaan ini dapat melemahkan struktur batuan sehingga penguraian batuan berlaku. Batuan yang mengandungi besi lebih mudah mengalami pengoksidaan. Antaranya ialah besi sulfida (pirit), magnetik (ferus oksida), mika dan hornblend (feromagnresium silikat).
Proses chelasi merupakan proses yang terakhir dalam luluhawa dalaman. Chelasi ialah proses pembendungan satu ion antara agen-agen chelasi yang dikeluarkan oleh tumbuhan dengan ion mineral dalam batuan seperti ion ferum. Pembendungan telah menyebabkan batuan mengalami tegasan dan mengembang. Agen-agen chelasi boleh dikeluarkan oleh tumbuhan yang hidup di permukaan batuan seperti lumut dan kulampair. Semasa menyerap makanan dan zat galian menerusi akar higroskopiknya tumbuhan tersebut akan mengeluarkan asid chelasi. Asid ini berupaya bertindak balas dengan ion mineral batuan menyebabkan mineral tersebut mengalami penguraian.
Luluhawa biologi atau luluhawa organik berlaku akibat tindakan tumbuhan dan ia seringkali dominan di kawasan hutan tebal seperti di kawasan Hutan Hujan Tropika khususnya di kawasan Khatulistiwa. Luluhawa ini berlaku akibat tindakan tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan manusia sama ada secara fizikal atau kimia yang dapat memecah dan menguraikan batuan. Akar-akar pokok boleh menjalar ke dalam tanah dan memasuki rekahan batuan. Semasa pokok membesar, akarnya menembusi dan membesarkan rekahan baru pada batuan. Rekahan yang dimasuki oleh akar tumbuhan turut mempercepatkan proses kemasukan air untuk luluhawa kimia beroperasi jauh ke dalam tanah. Bakteria dan organisma bergantung kepada tumbuh-tumbuhan atau haiwan yang sedang reput. Tindakan bakteria ini akan menghasilkan asid organik atau asid humik. Asid ini apabila bercampur dengan air hujan boleh meresap ke dalam tanah dan berupaya bertindak balas secara kimia terhadap batuan induk sebagai luluhawa kimia. Tindak balas asid organik seperti asid chelasi dengan mineral batuan akan mempercepatkan lagi penguraian batuan berkenaan. Haiwan seperti arnab, tikus, dan ular pula memecahkan batuan dengan mengorek lubang-lubang di dalam tanah dan mendedahkan batuan kepada luluhawa. Najis, air kencing dan bangkai haiwan juga bertindak untuk mereputkan batuan. Kegiatan manusia juga boleh membantu mempercepatkan kadar luluhawa batuan. Aktiviti manusia seperti penebangan hutan, perlombongan, dan pertanian akan mendedahkan batuan kepada agen-agen luluhawa seperti sinaran matahari dan air hujan. Dengan itu batuan menjadi lebih cepat dipecah dan diuraikan. Bahan-bahan kimia seperti baja,racun serangga, sisa toksid, dan sebagainya hasil daripada aktiviti manusia ini akan terasid di dalam air hujan atau air tanih untuk bertindak balas dengan mineral batuan dan meluluhawakan batuan tersebut.
Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap yang lain pula ialah pergerakan jisim. Pergerakan jisim merupakan sebahagian daripada proses geomorfologi. Berlakunya daya tarikan graviti apabila proses gerakan jisim in imelibatkan pergerakan regolit dari atas cerun ke bahagian bawah. Gerakan jisim ini dianggap sebagai proses peralihan antara luluhawa dan pemendapan.Terdapat beberapa jenis pergerakan jisim iaitu jenis aliran lambat, aliran cepat, geluncuran, dan runtuhan.
Aliran lambat atau juga dikenali sebagai kesotan adalah melibatkan pergerakan tanah dan ketulan batuan secara perlahan-lahan dari bahagian atas cerun ke bahagian bawah cerun.Proses yang melibatkan aliran lambat ini ialah kesotan tanih, kesotan talus, kesotan batuan, kesotan batu glasier, dan gelangsaran tanah. Pergerakan regolit berlaku di atas permukaan cerun yang sangat landai. Antara faktor-faktor penting yang mempengaruhi proses aliran lambat ini ialah cerun yang landai, tidak terlalu curam, dan muka cerun tersebut tidak diliputi oleh tumbuh-tumbuhan yang tebal yang mungkin telah digondolkan oleh manusia.Hujan yang lebat juga telah menambahkan berat jisim (tanah) di atas cerun apabila ruang-ruang udaranya dipenuhi air. Ini menyebabkan cerun menjadi tidak stabil dan menambahkan kelicinan permukaan untuk memudahkan pergerakan regolit ke bawah cerun.
Aliran cepat pula melibatkan pergerakan tanah, ketulan batuan dan lumpur dari atas cerun ke bahagian bawah cerun dengan kadar yang cepat. Proses aliran cepat ialah aliran tanah, aliran lumpur, dan puin salji runtuh. Di Malaysia, aliran lumpur lebih dikenali sebagai banjir lumpur. Banjir lumpur merupakan sejenis aliran yang membawa tanah liat, lumpur, kelodak dan lain-lain muatan terapung yang sudah ditinggalkan oleh manusia menuruni cerun-cerun yang lebih curam. Professor Ibrahim Komoo,seorang pakar geologi dari UKM mengatakan bahawa kejadian banjir lumpur berlaku disebabkan hujan lebat luar biasa, faktor geologi, dan faktor topografi. Topografi merujuk kepada permukaan cerun. Aktiviti manusia seperti pembalakan telah meniggalkan banyak batang kayu, dahan, ranting dan sampah sarap yang akan terkumpul membentuk empangan sementara pada awal hujan. Empangan ini boleh menakung air dengan cepat dan akhirnya pecah apabila takat tepunya diatasi oleh curahan hujan yang lebat dan kemudian merempuh kawasan sekitar.
Maksud geluncuran ialah pergerakan tanah-tanih, regolit, dan bongkah batuan secara besar-besaran di cerun-cerun yang curam dan hampir tegak. Antara proses yang terdapat dalam jenis geluncuran ini ialah robohan, geluncuran puin, dan geluncuran batuan. Robohan ialah sejenis geluncuran yang melibatkan pergerakan bongkah batuan di suatu cerun curam yang berbentuk cekung seperti cerun-cerun gunung atau bukit. Pergerakan ini berlaku apabila lapisan batuan yang lebih berat terletak di atas lapisan-lapisan batuan yang lebih lembut seperti batu syal dan tanah liat. Lapisan batuan lembut akan runtuh akibat bebanan batuan berat diatasnya dan mendorong lapisan batuan keras di atas turut bergerak menuruni cerun. Geluncuran puin pula melibatkan pergerakan serpihan batuan di suatu cerun curam. Biasanya pergerakan ini mengangkut regolit yang kurang padat dan lebih kering. Geluncuran batuan pula melibatkan pergerakan bongkah batuan secara besar-besaran di cerun yang curam dan hampir tegak.
Jenis gerakan jisim yang keempat ialah runtuhan. Runtuhan merupakan pergerakan regolit yang berlaku di cerun-cerun yang sangat curam. Fenomena runtuhan yang paling popular di kawasan tropika lembap ialah kejadian tanah runtuh, runtuhan batu, dan juga runtuhan tebing.Hujan yang turun juga selalunya akan memasuki lapisan tanah atau struktur batuan yang akan menghasilkan tekanan hidrostatik. Akibat curahan hujan yang lebat, berat jisim sesuatu cerun akan bertambah hasil daripada proses susupan dan larut resap. Ini akan menyebabkan terjadinya runtuhan secara besar-besaran. Aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti pemotongan susuh bukit, penebangan hutan, dan penarahan lereng-lereng bukit untuk melakukan aktiviti pembangunan juga menjadi salah satu faktor berlakunya kejadian tanah runtuh.
Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap yang seterusnya ialah hakisan. Hakisan ialah proses melarut atau mengorek dan mengeluarkan batuan dari tempat asalnya. Hakisan sungai melibatkan pembawaan keluar batuan dan mineral dari tempat asalnya di tebing dan dasar sungai. Ini dilakukan dengan empat cara iaitu yang pertama ialah tindakan hidraulik. Tindakan ini merupakan tindakan air sungai yang merempuh tebing dan dasar sungai. Hempasan air sungai akan mengorek dan mengeluarkan bahan-bahan yang longgar seperti pasir, kerikil, dan kelodak. Yang kedua ialah geseran. Geseran bermaksud hakisan yang berlaku akibat perlanggaran antara beban sungai dalam air seperti pasir, kelodak dan sebagainya. Bahan-bahan ini akan dibawa oleh sungai dan akan menggeser tebing sungai dan bergolek di dasar sungai. Yang ketiga ialah lagaan. Bahan yang dibawa oleh air sungai akan berlaga-laga antara satu sama lain lalu pecah menjadi halus. Seterusnya ialah larutan. Larutan ialah tindakan kimia dan tindakan air yang menyebabkan batuan hancur dan larut dalam air.
Hakisan sungai dapat dijeniskan kepada hakisan menegak dan hakisan mendatar. Hakisan menegak ialah hakisan ke bawah di dasar sungai yang banyak berlaku di kawasan pergunungan. Hakisan mendatar pula ialah hakisan ketepi di tebing sungai. Hakisan jenis ini banyak berlaku di kawasan daratan.
Ombak juga melakukan hakisan melalui empat cara iaitu yang pertama ialah tindakan hiraulik. Tindakan ini berlaku apabila ombak mendampar dan memukul cenuram serta rekahan batuan di bahagian pinggir laut menyebabkan udara terperangkap dan menjadi mampat. Apabila ombak berundur, udara yang termampat akan dilepaskan dengan serta-merta. Akhirnya batuan akan pecah dan roboh. Hakisan yang kedua ialah lagaan. Tindakan ini berlaku apabila bahan-bahan dalam ombak berlaga antara satu sama lain dan pecah menjadi pasir halus. Hakisan ombak yang ketiga ialah kikisan dan lelasan. Tindakan ini berlaku apabila bahan-bahan dalam ombak terhentam pada dinding cenuram. Hakisan yang seterusnya ialah larutan. Larutan berlaku secara tindakan kimia apabila air laut melarutkan batuan di pinggir laut. Contohnya batu kapur akan dibawa bersama oleh ombak semasa basuhan balik berlaku.
Proses pembentukan landskap di Tropika lembap menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi. Proses pengkarbonan telah melebarkan dan mendalamkan rekahan-rekahan di kawasan batu kapur. Ia dinamakan graik dan bongkah-bongkah yang tertinggal dinamakan klint. Proses pengkarbonan juga telah membentuk gua di kawasan batu kapur. Gua terbentuk kerana batu kapur dilarut dan dibawa keluar oleh air hujan. Stalaktit, stalagmit, dan tiang batu kapur pula terbentuk di dalam gua akibat enapan semula batu kapur di bumbung dan lantai gua. Bumbung gua juga mungkin mempunyai lubang layang-layang atau lohong batu kapur.Anak sungai yang mengalir di permukaan kawasan akan memasuki lubang ini dan mengalir di bawah tanah sebagai sungai bawah tanah. Lurah asal yang kehilangan sungainya akan menjadi lurah kering. Kawasan batu kapur dikenal sebagai kawasan kars.(Rujuk rajah 1.1,1.2,dan 1.3 di lampiran).
Kejadian kesotan tanih menyebabkan berlakunya perubahan bentuk muka bumi. Pokok-pokok,tiang elektrik,tembok dan sebagainya akan tumbang dan menjadi condong dan retak. Kejadian runtuhan juga menyebabkan tanih runtuh dan mengubah pandangan permukaan tersebut. Aliran lumpur pula membentuk kipas aluvium di kaki cerun yang curam selepas aliran tersebut meneruni cerun dan lurah tertentu. (Rujuk rajah 2.1, dan 3.1 dilampiran).
Di peringkat hulu sungai, berlakunya hakisan menegak. Tindakan hakisan ini telah membentuk lurah 'V' yang sempit dan tebingnya curam.(Rujuk rajah 4.1 dilampiran). Lurah yang sempit dan curam dikenali sebagai gaung. Gaung yang besar dan dalam pula dikenali sebagai kanyon.
Jeram dan air terjun terbentuk apabila aliran air sungai dihalang oleh lapisan batuan yang keras.(Rujuk rajah 5.1 dan 5.2 dilampiran). Jeram terbentuk apabila air sungai mengalir melalui kawasan rintangan batuan keras dengan laju menuruni cerun yang amat curam. Air terjun pula terbentuk apabila hakisan air sungai terus mendalamkan dasar sungai sehingga air sungai menjunam secara menegak ke bawah.
Air sungai biasanya berpusar dan menyebabkan batu tongkol bergesel dan mengorek lekukan-lekukan di dasar sungai. Lekukan-lekukan ini dinamakan lubuk pusar.(Rujuk rajah 6.1 dilampiran). Susuh bukit berpanca pula terbentuk di kawasan pergunungan. Bentuk muka bumi terbentuk apabila sungai yang belum berupaya melakukan hakisan mendatar berliku-liku di antara susuh-susuh bukit yang bertentangan.(Rujuk rajah 7.1 dilampiran). Selain itu, likuan sungai juga terbentuk di dalam lurah dibahagian tengah sungai. Setiap liku mempunyai tebing cekung dan tebing cembung. Tebing cekung lebih dalam kerana berlaku pemendapan berbanding daripada tebing cembung.(Rujuk rajah 8.1 dan 8.2 dilampiran). Kelodak yang dimendapkan di kawasan yang luas kesan daripada banjir telah membentuk satu dataran banjir yang luas. Pemendapan yang berlaku di tebing sungai mewujudkan tetambak.(Rujuk rajah 9.1 dan 9.2 dilampiran). Bentuk muka bumi yang lain pula ialah liku terpenggal dan tasik ladam. Sungai mengalir secara berliku-liku di kawasan dataran di bahagian tengah sungai. Likuan menjadi jelas kerana hakisan berlaku di tebing cekung dan pemendapan berlaku di tebing cembung. Lama-kelamaan likuan sungai menjadi hampir bulat dan membentuk liku terpenggal. Aliran sungai memotong lehernya yang sempit dan mengalir terus. Bahagian likuan yang terpenggal dari aliran sungai asal akan membentuk tasik ladam.(Rujuk rajah 10.1 dilampiran). Kelodak yang termendap dengan banyak di muara sungai boleh membentuk satu kawasan tanih aluvium yang rendah,rata,dan luas. Bentuk fizikal inidinamakan delta. Sungai di kawasan delta biasanya bersirat.(Rujuk rajah 11.1 dilampiran).
Kesan daripada hakisan ombak telah mewujudkan bentuk muka bumi seperti teluk dan tanjung,cenuram dan teres hakisan ombak,gua laut dan gerbang laut,batu tunggal dan tunggul sisa,lohong ombak atau glop, dan anak teluk atau geo. Teluk terhasil kesan daripada batuan lembut yang terhakis. Tanjung pula merupakan batuan keras yang bertahan daripada hakisan di pinggir laut. Tanjung yang terdiri daripada tanah tinggi dikenali sebagai tanjung tinggi.(Rujuk rajah 12.1 dilampiran). Cenuram terbentuk pula hasil daripada hakisan ombak secara dasar cerun dan menjadikannya amat curam. Ombak mengundurkan cenuram ke belakang semasa ombak menghakis dasar tanah tinggi dan ini mewujudkan sebuah pelantar atau teres yang terhakis yang dikenali sebagai teres hakisan ombak.(Rujuk rajah 13.1 dilampiran). Teres luar pesisir ialah merupakan bahan yang terhakis yang terkumpul di hujung luar pentas hakisan ombak.
Lubang besar yang terbentuk di cenuram dan di tebing tanjung dinamakan gua laut. Apabila terdapat dua buah gua membelakangi satu sama lain dan bercantum maka terbentuklah gerbang laut.Apabila bumbung gerbang laut terhakis dan runtuh kaki gerbang laut yang tertinggal itu membentuk pula batu tunggul. Akhir sekali selepas bahagian atas batu tunggul terhakis, batuan yang tertinggal dikenali sebagai tunggul sisa.(Rujuk rajah 14.1 dilampiran). Sebuah lohong terbentuk dan tembus ke permukaan bumi di bahagian darat apabila hakisan ombak sering kali memukul bumbung gua dan memperbesarkan rekahan-rekahan yang terdapat di dalamnya. Lubang ini dikenali sebagai lohong ombak atau gloup. Anak teluk atau geo pula terhasil apabila hakisan yang berterusan yang menyebabkan bumbung gua runtuh.(Rujuk rajah 15.1 dan 15.2 dilampiran).
Kesimpulannya proses luluhawa banyak berlaku di kawasan Tropika lembap kerana kehadiran air yang banyak. Terdapat empat jenis gerakan jisim iaitu aliran lambat, aliran cepat, geluncuran, dan runtuhan. Sungai dan ombak melakukan tiga tindakan utama iaitu hakisan,pengangkutan,dan pemendapan. Hakisan sungai dilakukan dengan empat cara iaitu tindakan hidraulik,geseran,lagaan,dan larutan. Hakisan ombak pula melibatkan tindakan hidraulik,lagaan,kikisan atau lelasan,dan larutan. Hakisan tindakan air mengalir menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi, termasuklah lurah V,air terjun,jeram,lubuk pusar,dan likuan sungai. Hakisan ombak pula menghasilkan teluk dan tanjung,cenuram,teres hakisan ombak,gua laut,gerbang laut,batu tunggul,tunggul sisa,lohong ombak atau gloup, dan anak teluk atau geo.
 
Images by Freepik