Hasil pemerhatian pengalaman
berasaskan sekolah (PBS)
BMM3117 Kaedah pengajaran
bahasa melayu sekolah rendah
1.0 PENGENALAN
Saya
telah menjalani pengalaman berasaskan sekolah (PBS) di Sekolah Kebangsaan Seri
Cheras, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 13 hingga 15 Ogos 2012. Saya
dikehendaki untuk melakukan pemerhatian dan berinteraksi dengan komuniti
sekolah sepanjang menjalani PBS. Saya perlu merekodkan dapatan saya mengenai
kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang kerap dan
kurang dilaksanakan oleh guru dan implikasinya terhadap pengajaran dan
pembelajaran.
Menurut
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), kaedah bermaksud cara atau aturan membuat
sesuatu atau hukum atau prinsip. Kaedah itu merupakan sesuatu siri tindakan
yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Menurut Mok Soon
Seng (1992 dalam Adenan Ayob, 2012) kaedah pengajaran adalah tentang cara
sesuatu objektif pembelajaran didekati dengan langkah penyampaian tersusun.
Hassan Langgulung (1981 dalam Adenan Ayob, 2012) turut mengatakan pendapat
bahawa kaedah itu merupakan satu aktiviti pengajaran yang mempunyai
langkah-langkah tersusun. Terdapat lapan jenis kaedah dalam pengajaran Bahasa
Melayu iaitu kaedah natural, kaedah tatabahasa terjemahan, kaedah terus, kaedah
ajuk hafaz, kaedah linguistik, kaedah kod kognitif, kaedah bahasa komuniti, dan
kaedah oral-aural.
Teknik
pula menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bermaksud kaedah penciptaan
sesuatu hasil seni seperti muzik, mengarang dan sebagainya. Anthony (1963 dalam
Khairuddin Mohamad, 2012) mentakrifkan teknik itu ialah satu muslihat atau
taktik yang digunakan oleh guru untuk mencapai hasil segera yang maksimum pada
waktu pengajaran bagi bahagian bahasa tertentu. Guru menggunakan teknik atau
alat untuk menyampaikan sesuatu bahan pengajaran. Teknik pengajaran digunakan
adalah untuk menarik perhatian murid, mengekalkan perhatian murid, dan juga
untuk membangkitkan inkuiri murid. Terdapat empat jenis teknik iaitu teknik
drama, teknik permainan bahasa, teknik latih tubi, dan teknik bercerita.
2.0 TUJUAN
PERNYATAAN
Melalui
aktiviti pemerhatian ini semasa menjalani PBS di sekolah, saya dapat memperolehi
pendedahan awal mengenai pembelajaran murid. Saya dapat melihat bagaimana
seseorang guru itu menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu
di dalam kelas. Selain itu, saya dapat membina kemahiran berinteraksi dengan
murid, guru, dan kakitangan sekolah. Semasa saya menjalani PBS, saya perlu
berinteraksi dengan guru, murid, dan pihak sekolah untuk mendapatkan maklumat
yang diperlukan untuk menyiapkan tugasan dan juga untuk meluaskan pergaulan
sosial saya. Saya juga dapat membina kemahiran inkuiri penemuan dan kemahiran
berfikir secara kreatif dan analitikal melalui tugasan yang diberikan.
Pengalaman yang telah dikutip sepanjang berada di sekolah dapat
didokumentasikan untuk perbincangan semasa sesi refleksi selepas PBS
dilaksanakan.
3.0 PERNYATAAN
PROFESIONAL
3.1 Sebelum
PBS
Sebelum
saya pergi ke sekolah untuk menjalani PBS, saya telah mengenalpasti apakah
tugasan yang perlu saya siapkan. Salah satu tugasan yang perlu saya lakukan
ialah melakukan pemerhatian dan interaksi dengan komuniti sekolah untuk dapatan
pemerhatian mengenai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu.
3.2 Semasa
PBS
Semasa
menjalani PBS di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras, saya telah berusaha untuk
mencari dan berkenalan dengan guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu.
Saya telah melakukan pemerhatian terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu untuk tahap satu.
Guru
kerap menggunakan kaedah ajuk hafaz iaitu kaedah yang menggunakan latih tubi
dan demonstrasi. Pada mulanya, guru akan menyebut ayat atau perkataan, kemudian
diikuti oleh murid-murid sehinggalah murid-murid dapat mengingati perkataan
atau ayat tersebut. Kaedah ini digunakan dengan cara hafazan dan menggunakan
beberapa ayat asas melalui cara ajukan. Antara kebaikan menggunakan kaedah ajuk
hafaz ini ialah sesi pembelajaran menjadi mudah kerana murid belajar melalui
hafazan dan ajukan. Murid juga dapat menguasai pelajaran dengan cepat dan
betul. Namun begitu, terdapat juga kelemahan dalam kaedah ajuk hafaz ini iaitu
tugas guru menjadi makin bertambah kerana perlu menyediakan latihan pertuturan
yang banyak, dan guru juga perlu menguasai cara sebutan yang betul terlebih
dahulu.
Kemudian,
kaedah tatabahasa terjemahan turut digunakan oleh guru di Sekolah Kebangsaan
Seri Cheras. Kaedah ini lebih menekankan
kepada kemahiran menulis. Tujuan kaedah ini digunakan ialah untuk
membolehkan murid-murid memahami tatabahasa sesuatu bahasa disamping melatih
murid-murid menulis dengan menggunakan bahasa yang betul. Tatabahasa yang
diajarkan oleh guru ialah tatabahasa formal. Kaedah tatabahasa terjemahan ini
berteraskan pendekatan deduktif dan menekankan hafazan peraturan tatabahasa. Kebaikan
menggunakan kaedah ini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa ialah dapat
menjimatkan masa kerana tidak perlu menggunakan masa yang panjang, dapat
menjimatkan kos kerana tidak memerlukan penggunaan kos yang tinggi, dan tidak
membebankan guru kerana tidak perlu menggunakan bahan bantu mengajar yang
pelbagai. Kelemahan menggunakan kaedah ini pula ialah murid beranggapan bahawa
pembelajaran struktur bahasa adalah tidak penting kerana lebih menekankan aspek
hafazan.
Kaedah
yang kurang digunakan oleh guru Bahasa Melayu tersebut semasa sesi pengajaran
dan pembelajaran di sekolah ialah kaedah natural, kaedah terus, kaedah
linguistik, kaedah kod kognitif, kaedah bahasa komuniti, dan kaedah oral-aural.
Saya merasakan guru patut mempelbagaikan kaedah pengajaran semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran dan disesuaikan dengan jenis murid dan tahap.
Dengan itu pembelajaran yang lebih berkesan akan berlaku.
Seterusnya,
saya juga mendapati bahawa guru tersebut banyak menggunakan teknik latih tubi dalam pengajaran bahasa untuk
murid-murid menaakul isi-isi pelajaran. Teknik latih tubi ialah aktiviti
pengulangan fakta-fakta atau kecekapan yang dipelajari. Tujuan menggunakan
teknik latih tubi ini ialah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran, di
samping menjamin ketekalan ingatan. Kebiasaannya, guru akan memberikan latih
tubi selepas tamat mengajar sesuatu tajuk di dalam kelas. Kemudian guru akan
memberikan kerja sekolah kepada murid-murid untuk disiapkan di rumah. Apabila
kelas berikutnya diadakan, guru akan menyemak hasil kerja murid dan memberikan
jawapan yang betul atau melakukan perbincangan dengan murid di dalam kelas. Saya
mendapati guru tersebut tidak menggunakan teknik drama, teknik permainan
bahasa, dan teknik bercerita semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran
bahasa di dalam kelas. Implikasinya, murid akan berasa bosan dan tertekan
kerana hanya diberikan latih tubi tanpa ada aktiviti-aktviti lain yang lebih
menyeronokkan seperti drama, permainan, dan bercerita di dalam kelas. Guru
perlu mempelbagaikan lagi teknik pengajaran agar dapat mengekalkan minat dan
perhatian murid untuk belajar bahasa.
3.3 Selepas
PBS
Selepas
saya pulang dari menjalani PBS di Sekolah Kebangsaan Seri Cheras, saya telah
meneliti hasil dapatan yang saya perolehi sepanjang berada di sekolah tersebut.
Saya telah menyiapkan laporan aktiviti saya ini dalam bentuk penulisan dan
perlu ditulis sebanyak 1000 hingga 1500 patah perkataan. Saya telah dapat
membuat refleksi dan kesimpulan bahawa sepanjang saya berada di sekolah
tersebut, saya telah berusaha untuk mencari guru ketua panitia Bahasa Melayu
untuk berjumpa dan menyatakan hasrat saya mengenai tugasan Bahasa Melayu ini.
Namun begitu, saya telah gagal mencari beliau dan akhirnya saya berjaya
berjumpa dengan guru Bahasa Melayu tahap satu. Kemudian saya telah mengikuti
kelas guru tersebut untuk menjalani pemerhatian saya terhadap pengajaran dan
pembelajaran beliau. Kemudian saya telah mengenalpasti murid yang ingin saya
temui dan menguji tahap penguasaan Bahasa Melayu murid tersebut.
Pada
hari berikutnya, saya berasa bertuah kerana berpeluang untuk menggantikan guru
yang tidak hadir selama 1 jam di kelas yang saya masuki pada hari pertama iaitu
1 Intelligent. Saya telah menggunakan masa 1 jam tersebut untuk berinteraksi
dengan murid-murid dan menjalankan satu sesi pengajaran dan pembelajaran suku
kata KVK. Saya telah menggunakan bahan bantu mengajar seperti tayangan slide power point, kertas bergambar, dan audio
muzik. Sebelum saya memasuki kelas tersebut, saya telah membuat satu lakaran
rancangan pengajaran harian untuk merancang aktiviti saya di dalam kelas. Saya
telah menggunakan kaedah oral-aural dan teknik bercerita. Saya mendapati bahawa
murid-murid tersebut gemar dengan bahan bantu mengajar saya terutamanya semasa
menggunakan audio muzik. Namun begitu, masih terdapat beberapa kelemahan yang
perlu saya perbaiki iaitu, saya tidak dapat mengawal keseluruhan kelas dengan
baik. Terdapat murid yang kurang memberikan perhatian dan ada yang bergaduh
sesama mereka. Saya juga tidak dapat menunjukkan tayangan dan video muzik
dengan baik kerana ketiadaan alat LCD di dalam kelas tersebut.
Saya
juga merasakan bahawa saya perlu berusaha untuk masuk ke kelas dengan lebih
banyak untuk melakukan pemerhatian sesi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Dengan itu saya akan dapat meluaskan lagi pandangan dan pengalaman saya. Walaubagaimana
pun, saya berasa berpuas hati kerana berpeluang untuk berinteraksi dengan pihak
sekolah, guru, staf, dan juga murid. Saya dapat meluaskan lagi pergaulan saya,
menambahkan pengalaman, dan pengetahuan dalam bidang pendidikan dan juga
pengajaran bahasa melayu.
Rujukan
Adenan Ayob. (2012).Siri Pendidikan Guru Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu. Shah Alam:
Oxford Fajar.
No comments:
Post a Comment