Pages

Friday, July 27, 2012

Perbandingan Antara Budaya Orang Pekak dan Budaya Orang Yang Mendengar.

Perbandingan Antara Budaya Orang Pekak dan
Budaya Orang Yang Mendengar.

            Menurut kamus dewan edisi terbaru, budaya bermaksud peradaban, kemajuan fikiran, dan akal budi (cara berkelakuan dan sebagainya). Setiap bangsa dan kaum mempunyai budayanya yang tersendiri. Tetapi sedarkah kita semua bahawa wujudnya budaya pekak dalam masyarakat kita yang menghadapi masalah pendengaran. Orang pekak juga sebenarnya mempunyai budaya dan gaya hidup mereka yang tersendiri. Tetapi adakah ianya sama dan mempunyai perbezaan dengan budaya orang yang mendengar?
            Sebenarnya terdapat beberapa perbezaan antara budaya orang pekak dengan budaya orang yang mendengar. Perbezaan yang pertama yang dapat kita lihat ialah dari segi penggunaan bahasa dan linguistik. Dalam budaya orang pekak, orang pekak menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dalam komunitinya. Contohnya di negara Malaysia, Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) digunakan sebagai bahasa komunikasi dalam komuniti orang pekak. Bagi orang yang mendengar, rakyat Malaysia biasanya menggunakan bahasa lisan seperti bahasa melayu, bahasa inggeris, bahasa cina,bahasa hindi, dan sebagainya. Bagi komunikasi lisan yang biasa, penggunaan verbal dan suara adalah faktor utama untuk berkomunikasi. Dalam bahasa isyarat pula, penggunaan isyarat pada tangan, badan, dan mimik muka yang dititik beratkan untuk berkomunikasi. Tetapi bagaimana pula untuk orang pekak berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang yang mendengar? Orang pekak biasanya membawa buku nota kecil dan sebatang pen walau kemana mereka pergi agar mudah untuk berkomunikasi dengan orang yang mendengar yang tidak tahu menggunakan bahasa isyarat. Dalam aktiviti sosial atau dalam majlis tertentu yang mempunyai kelompok orang yang mendengar dan orang pekak, terdapat seorang jurubahasa isyarat di hadapan berdekatan dengan orang yang berucap bagi menyampaikan maklumat dan menukarkan bahasa lisan kepada bahasa isyarat.
            Sebagai orang yang mendengar, biasanya kita boleh berkomunikasi dengan hanya menggunakan organ mulut untuk bertutur dan telinga untuk mendengar. Dua organ ini sahaja sudah cukup untuk orang yang mendengar saling berkomunikasi dan berinteraksi. Tetapi bagi orang pekak mereka memerlukan kontek mata yang jelas tanpa ada halangan seperti asap rokok, dan tiada gangguan benda pada mulut dan tangan. Mereka juga memerlukan kawasan yang mempunyai pencahayaan yang baik untuk berkomunikasi. Walaupun begitu terdapat juga kelebihan dalam penggunaan bahasa isyarat ini kerana ia dapat digunakan walaupun berada pada kedudukan jarak yang jauh, disebalik cermin, dan juga ketika di dalam air.
            Dari segi perhubungan bagi orang pekak, mereka juga mempunyai perhubungan dengan sesama manusia seperti dengan keluarga, percintaan, perkahwinan, dan sebagainya. Bagi individu pekak yang dilahirkan dalam keluarga yang boleh mendengar, mereka mempunyai masalah untuk saling berkomunikasi kerana tidak memahami antara satu sama lain. Mereka mungkin tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan keluarga mereka. Tetapi terdapat juga keluarga yang memahami dan turut mempelajari bahasa isyarat agar mudah untuk berkomunikasi dengan orang pekak dan mereka tidak berasa seperti disisihkan. Kanak-kanak pekak lebih selesa berkawan dengan kanak-kanak pekak yang lain berbanding kanak-kanak yang boleh mendengar. Tetapi apabila mereka semakin meningkat dewasa, mereka mula berkawan dengan orang yang boleh mendengar kerana mereka mula menyedari akan kepentingan untuk berkawan dengan orang yang mendengar. Golongan pekak ini juga menjalani kehidupan sosial seperti orang yang mendengar. Contohnya, mereka juga mempunyai kekasih dan turut berkahwin. Tetapi mereka tidak keluar bersama kekasih mereka di tempat-tempat yang gelap dan sunyi kerana kesukaran untuk menggunakan bahasa isyarat. Orang pekak juga berkahwin seperti orang yang mendengar tetapi jika orang pekak tersebut beragama islam yang memerlukan akad dan nikah, mereka akan menggunakan khidmat jurubahasa untuk urusan ijab dan kabul. Mereka tidak perlu berjabat tangan dengan kadi dan melafazkan akad tetapi cukup dengan berbahasa isyarat dan berniat didalam hati.
            Setiap orang pasti mempunyai anutan agama dan kepercayaannya yang tersendiri seperti agama islam, buddha, hindu, dan kristian. Walaupun orang pekak tidak mempunyai keupayaan untuk mendengar dan bertutur seperti orang yang mendengar, namun terdapat juga dalam kalangan mereka yang berpegang kepada kepercayaan agama sama seperti orang yang mendengar. Tetapi biasanya, golongan pekak mempunyai pengetahuan dan pegangan agama yang lebih rendah berbanding dengan orang yang mendengar. Ini adalah kerana kurangnya maklumat yang disampaikan kepada mereka. Negara kita juga mempunyai masalah dalam penyebaran agama kepada golongan pekak. Ini adalah kerana golongan pendakwah dan guru agama tidak mempunyai kemahiran untuk berbahasa isyarat dan tidak memahami budaya orang pekak. Namun begitu, kini di masjid-masjid utama di Malaysia disediakan seorang jurubahasa setiap kali khutbah jumaat diadakan agar orang-orang pekak beragama islam juga turut menerima maklumat dan khutbah yang disampaikan.
            Orang pekak turut mendapatkan ilmu pendidikan dengan belajar di sekolah. Di Malaysia terdapat beberapa jenis sekolah yang boleh disertai oleh kanak-kanak pekak. Kanak-kanak pekak boleh dihantar belajar di sekolah rendah biasa dengan kanak-kanak yang mendengar dalam program inklusif. Malah terdapat juga sekolah pendidikan khas untuk kanak-kanak pekak. Golongan pekak juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi sama seperti orang yang mendengar. Antaranya ialah politeknik, universiti, institut perguruan, dan kolej-kolej swasta. Namun begitu, mereka perlu berusaha dengan lebih gigih lagi berbanding orang yang mendengar kerana input yang diterima oleh mereka di dalam kelas biasanya adalah kurang kerana mereka tidak dapat mendengar dan hanya bergantung kepada input visual sahaja. Maka, mereka perlu untuk menambahkan pengetahuan dengan cara mendapatkan buku-buku tambahan, merujuk sumber internet, bertanya pada pensyarah dan rakan-rakan , dan juga mendapatkan khidmat jurubahasa. Namun begitu, kebanyakannya yang dapat kita lihat, golongan pekak mempunyai tahap akademik yang lebih rendah berbanding dengan orang yang mendengar. Ini adalah disebabkan oleh kekurangan yang dialami oleh mereka. Mereka tidak dapat mendengar input yang disampaikan oleh pensyarah dalam kuliah dan mereka juga tidak dapat mendengar perbincangan oleh rakan-rakan mereka yang mendengar. Kemudian, disebabkan oleh masalah pendengaran yang dihadapi oleh orang pekak, mereka mempunyai penguasaan bahasa yang agak lambat berbanding dengan orang normal. Oleh itu, mereka mempunyai masalah untuk kefahaman yang tinggi dalam akademik. Tetapi tidak dapat dinafikan juga terdapat orang pekak yang berjaya dalam pelajaran dan dalam kehidupan mereka, tetapi mereka memerlukan usaha yang kuat dan sokongan oleh orang-orang disekelilingnya terutama daripada keluarga mereka.
            Selain itu, orang pekak juga mempunyai pengetahuan dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi sama seperti orang yang mendengar. Kehidupan moden dan akses maklumat yang semakin tersebar luas kini membolehkan orang pekak menggunakan ICT sebagai satu medium untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Contohnya, orang pekak boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan bergambar (MMS), webcam, 3G, dan sebagainya untuk berkomunikasi secara visual dan tulisan dengan orang lain. Mereka juga mempunyai jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, youtube, dan sebagainya sebagai satu kaedah komunikasi. Mereka juga menggunakan web dan blog untuk menyebarkan dan mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka juga dapat menonton televiesyen seperti orang yang mendengar tetapi mestilah mempunyai ciri-ciri tertentu. Contohnya, jika mereka ingin menonton rancangan berita dalam televiesyen, mereka perlu memilih siaran berita yang mempunyai jurubahasa isyarat seperti yang disedikan oleh rancangan televiesyen Malaysia (RTM). Dan mereka gemar menonton rancangan yang mempunyai sari kata seperti rancangan luar negara, dan juga rancangan yang tidak mempunyai dialog tetapi dapat difahami seperti rancangan Mr. Bean yang turut dikenali ramai.
            Aktiviti sukan dan rekreasi juga turut diminati oleh orang-orang pekak. Mereka juga mempunyai minat dan kemahiran yang sama seperti orang yang mendengar. Terdapat pertubuhan kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang menyediakan program dan sukan untuk golongan orang pekak. Contohnya MSFD iaitu Malaysia Sports Federation of the Deaf bergabung dengan Komuniti Sukan Orang Pekak Antarabangsa (CISS) menguruskan Deaflympik setiap 4 tahun dan Sukan Orang Pekak Asia Pasifik.
            Dari segi kerjaya pula, orang pekak turut mempunyai kerjaya yang baik seperti orang yang mendengar. Mereka juga memerlukan pekerjaan untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan mereka. Namun begitu, tidak semua jenis pekerjaan yang sesuai untuk mereka ceburi. Orang pekak sesuai untuk menceburi bidang pekerjaan yang tidak memerlukan banyak komunikasi lisan seperti tukang masak, tukang cuci, menyusun barang-barang, akauntan, atlet, tukang jahit, penulis, mekanik, dan sebagainya. Jika orang pekak turut rajin belajar dan berusaha, mereka juga boleh mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan profesional, malah mereka juga boleh menjadi kaya dan bersaing dalam masyarakat yang mendengar. Bagi orang yang mendengar, mereka boleh memilih dan menceburi semua bidang yang diminati bersesuaian dengan kemahiran dan kelayakan yang dimiliki. Tidak seperti orang pekak yang terpaksa memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan keupayaan mereka.
            Kesimpulannya, budaya orang pekak dengan budaya orang yang mendengar terdapat sedikit persamaan dan perbezaannya. Sebagai orang yang mendengar dan mempunyai pancaindera yang mencukupi kita perlulah bersyukur dan juga turut memahami dan belajar mengenai budaya orang pekak agar kita lebih mudah memahami dan bergaul dengan orang pekak. Orang pekak juga berasa berbangga dengan budaya mereka sendiri dan sentiasa mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Mereka perlu lebih terbuka dan menerima budaya orang yang mendengar agar kita sama-sama dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik dan harmoni.
           
           

No comments:

 
Images by Freepik