Tugasan
1 : Penulisan Akademik
Pendidikan
pada masa kini semakin berkembang seiring dengan kemajuan negara yang terbina.
Dari zaman ke zaman, tahun berganti tahun kerajaan sentiasa mementingkan sistem
pendidikan bagi melahirkan generasi yang berilmu selaras dengan falsafah
pendidikan kebangsaan. Ia menjadi penyumbang utama kepada pembangunan modal
insan dan ekonomi negara. Perdana menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’
Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak turut mengatakan dalam Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) bahawa sistem pendidikan
negara perlu berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi,
Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang menjadi
asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.
Semua
pihak terutamanya ibu bapa, guru-guru, dan masyarakat perlu berganding bahu dan
menambah baik visi, aspirasi, dan jangkaan untuk masa depan sistem pendidikan
negara. Transformasi besar sistem pendidikan diasaskan berdasarkan objektif
bagi melahirkan individu berbakat dan kompetitif pada peringkat global serta
mampu berdaya saing. Berdasarkan PPPM, terdapat dua aspek yang perlu diberi
perhatian bagi menjayakan transformasi sistem pendidikan iaitu aspirasi
keseluruhan sistem pendidikan dan aspirasi setiap murid. Dalam aspek aspirasi
sistem pendidikan Malaysia, terdapat lima aspirasi iaitu Akses, Kualiti,
Ekuiti, Perpaduan, dan Kecekapan.
Rajah 1: Lima Aspirasi Sistem Pendidikan
Malaysia
Aspirasi
yang pertama sistem pendidikan Malaysia iaitu akses kepada kejayaan. Dalam Akta
Pendidikan 1996 mengatakan “Dan bahawasanya tujuan pendidikan adalah untuk
membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang
diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan
daripada perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat”. Oleh itu bagi
mencapai tujuan tersebut, setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk mendapat
pendidikan yang sempurna tanpa mengira taraf ekonomi, etnik atau latar belakang
keluarga. Setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk akses yang sama dalam
pendidikan berkualiti berasaskan pendidikan adalah untuk semua Tiada halangan
untuk rakyat Malaysia meneruskan pengajian hingga ke peringkat tertinggi. Malah
tiada diskriminasi jantina atau latar belakang yang berbeza sebagai syarat
untuk mendapatkan pendidikan yang sewajarnya
Aspirasi
sistem pendidikan yang seterusnya ialah kualiti standard antarabangsa yang
tinggi. Malaysia mensasarkan untuk berada dalam kalangan negara sepertiga
teratas bagi pentaksiran antarabangsa seperti TIMSS dan PISA dalam tempoh 15
tahun. TIMSS merupakan singkatan daripada Trends
in Mathematics and Science Study dan PISA pula singkatan daripada Programme For International Student
Assessment. TIMSS merupakan anjuran International
Association for The Evaluation of Educational Achievement (IEA). Ia
dilaksanakan untuk mengkaji penguasaan murid dalam mata pelajaran matematik dan
sains bagi murid tahun 4 dan tahun 8. Malaysia telah menyertai TIMSS ini
bermula pada tahun 1999 (Zamrud, 2013). PISA pula dikelolakan oleh Organization for Economic Cooperation and
Development (OECD) iaitu sebuah organisasi di bawah NCES yang berpusat di
Amerika Syarikat. PISA memberi fokus kepada kurikulum dan kehidupan sebenar
yang berorientasikan polisi. Menurut Hailmi (2014), negara yang sering
mengungguli PISA ialah Finland, Korea, Hong Kong, Jepun, China serta Singapura.
Sehubungan dengan itu,
Malaysia menyediakan penambahbaikan prestasi dengan menitik beratkan bidang
Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT). Dalam Berita Harian seorang
penulis mengatakan bahawa KBAT berupaya melahirkan generasi mempunyai pemikiran
kritikal dan kreatif (Ifwan Tun Tuah, 2013). Dalam sistem pendidikan Malaysia
kini, warga pendidik dititikberatkan untuk memasukkan unsur-unsur KBAT dalam
pengajaran dan pembelajaran.
Aspirasi sistem pendidikan
Malaysia yang ketiga ialah ekuiti untuk semua murid. Ia bermaksud pendidikan
wajar diberikan kepada semua murid tanpa mengira etnik, tempat, latar belakang,
dan sosioekonomi. Semua murid mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang
sepatutnya. Kerajaan berhasrat untuk merapatkan lagi jurang sosioekonomi antara
bandar dan luar bandar serta gender dalam pencapaian murid menjelang 2020. Pelbagai
inisiatif dan program yang disediakan oleh kerajaan untuk semua murid antaranya
ialah pelbagai jenis sekolah dan aliran seperti aliran vokasional. Vokasional
disediakan untuk murid yang mempunyai pelbagai minat dan memberi peluang kepada
mereka untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka. Selain itu, kementerian
turut menyediakan pelbagai jenis sokongan dan bantuan kepada murid-murid
bekeperluan khas bagi membolehkan mereka memaksimumkan kebolehan dan pencapaian
mereka.
Malaysia terdiri daripada
penduduk pelbagai etnik dan budaya. Kementerian sentiasa menggalakkan perpaduan
dalam sistem pendidikan untuk menyatupadukan murid-murid agar mempunyai
semangat kekitaan dan menghargai kepelbagaian budaya dan sosial. Sekolah
merupakan tempat pemupukan perpaduan yang paling tepat kerana murid banyak
menghabiskan masanya satu per empat di sekolah dari berumur 7 tahun hingga 17
tahun. Aspirasi sistem pendidikan yang seterusnya ini amat bersesuaian sekali
dengan latar belakang rakyat di Malaysia.
Aspirasi yang terakhir
dalam sistem pendidikan ini ialah pelaksanaan berkecekapan tinggi. Ia bermaksud
bahawa kerajaan Malaysia telah memperuntukkan perbelanjaan untuk pendidikan dan
ia menunjukkan bahawa kerajaan turut memberikan komitmen yang tinggi dan
memberi tumpuan terhadap sistem pendidikan. Pulangan murid dalam bentuk
keberhasilan murid perlu dimaksimumkan seiring dengan perbelanjaan yang telah
dilaburkan. Sebanyak 16% daripada bajet tahunan Persekutuan telah diperuntukkan
untuk sistem pendidikan.
Selain daripada aspek
aspirasi sistem pendidikan Malaysia, terdapat aspek lain juga yang turut
terlibat dalam PPPM iaitu aspirasi untuk setiap murid. Dalam aspek ini, setiap
murid dianggap mempunyai potensi untuk mencapai potensi individu secara
keseluruhannya. Setiap warga sekolah terutamanya guru mata pelajaran, guru
kelas dan pihak pentadbir turut memainkan peranan bagi menggalakkan murid
mencapai potensi dalam diri mereka. Ibu bapa dan masyarakat turut memainkan
peranan penting bagi mencapai aspirasi ini kerana setiap murid mempunyai
potensi untuk memberikan sumbangan terhadap negara khususnya kepada keluarga
dan masyarakat.
Rajah 2: Enam Aspirasi Untuk Setiap Murid
Yang pertama, murid akan
mempunyai pengetahuan yang paling asas iaitu keupayaan literasi dan numerasi
sepenuhnya. Pengetahuan ini akan membekalkan murid untuk meneruskan kehidupan
dengan lebih baik dan mengaplikasikannya secara berkesan bagi membolehkan
mereka memupuk nilai untuk diri sendiri, masyarakat, dan negara. Kedua,
kemahiran berfikir. Semangat yang tinggi untuk meningkatkan penguasaan berfikir
dalam diri setiap murid adalah perlu bagi mendapatkan pengetahuan sepanjang
hayat dan menghubung kaitkannya dengan pengetahuan baru. Kemahiran kognitif
dalam diri setiap murid merangkumi pemikiran kreatif dan inovatif, penyelesaian
masalah, dan keupayaan belajar.
Aspirasi murid yang ketiga ialah kemahiran memimpin.
Kemahiran memimpin dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan adalah penting bagi
menjamin keberkesanan dalam sesuatu pasukan. Sistem pendidikan Malaysia
menggalakkan murid untuk sentiasa bekerja dalam kumpulan dan belajar untuk
menjadi seorang pemimpin yang berkebolehan semasa mengendalikan aktiviti
kokurikulum dan di dalam bilik darjah. Perkara ini merangkumi unsur-unsur
seperti keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan keterampilan
komunikasi.
Seterusnya ialah kemahiran
dwibahasa dalam diri setiap murid. Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan
dan ia perlu dikuasai oleh setiap individu. Selain itu, Bahasa Inggeris turut
perlu dikuasai sebagai bahasa kedua di Malaysia dan ia merupakan bahasa
komunikasi antarabangsa. Setiap murid berpeluang untuk belajar bahasa tambahan
mengikut minat dan kemampuan mereka. Kelebihan yang dapat diperoleh oleh mereka
ialah mudah untuk bekerjasama dan berkomunikasi secara berkesan dengan rakan
yang lain.
Etika dan kerohanian pula
sangat perlu dalam diri murid-murid agar mempunyai satu set prinsip dan nilai
bersama yang kukuh seperti kerohanian pegangan agama yang kuat, bersikap
integriti yang mempunyai keberanian dan disiplin yang tinggi serta mempunyai
rasa tanggungjawab sivik demi kebaikan negara, alam sekitar, dan masyarakat.
Selain itu, rakyat Malaysia perlu mempunyai identiti nasional yang melambangkan
sebagai rakyat yang berpegang teguh dengan nilai-nilai bangsa Malaysia. Setiap
murid diajar untuk menghayati nilai-nilai seperti semangat patriotisme,
memahami perbezaan, bertolak ansur, dan menghormati budaya dan etnik kaum lain.
Dengan itu generasi muda akan mempunyai rasa bangga dan tanggungjawab serta
setia terhadap negara Malaysia.
Seorang guru yang baik
sentiasa berpegang dan memahami tentang visi dan aspirasi sistem pendidikan
negara. Dengan itu, para pendidik akan berusaha untuk kearah pencapaian
aspirasi negara tersebut. Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang dihadapi
oleh guru dalam usaha untuk mencapai visi dan aspirasi tersebut. Bagi aspirasi
sistem pendidikan yang pertama iaitu akses kepada kejayaan tanpa mengira taraf
ekonomi, etnik, dan latar belakang murid. Di sini, guru perlu berpegang kepada
prinsip bahawa setiap murid berhak dan berkeupayaan untuk mencapai kejayaan
dalam semua bidang terutamanya akademik. Cabaran guru dari aspek ini ialah yang
pertama wujudnya masalah yang timbul dalam diri murid itu sendiri. Terdapat
murid yang mempunyai sikap tidak positif dan terbuka untuk berusaha mencapai
kejayaan dalam akademik. Murid yang berada di dalam kelas belakang kebiasaannya
kurang bermotivasi untuk mencari alternatif terhadap penyelesaian masalah
akademik mereka. Kejayaan tetap tidak dapat dicapai sekiranya murid tidak
menunjukkan perubahan sikap dan prestasi walaupun guru telah berusaha
bersungguh-sungguh untuk mencurahkan segala ilmu pengetahuan yang dimiliki.
Cabaran guru dalam
merealisasikan Malaysia berada pada tahap antara yang teratas di antarabangsa
dari segi prestasi akademik pula ialah tekanan daripada pihak kementerian dan
kerajaan untuk terus meningkatkan prestasi murid. Sedangkan di sekolah, guru
sering dibebani dengan pelbagai tugasan dan pekerjaan luar daripada bidang
mengajar. Malah pelbagai kursus dan aktiviti yang perlu dihadiri oleh guru
dalam sesuatu tempoh masa pada waktu pengajaran dan pembelajaran. Kesannya
ialah murid akan terabai dan tidak mendapat pendidikan yang sewajarnya. Oleh
itu, bagaimana pula murid-murid dapat mencapai kejayaan dalam pelajaran dan
merealisasikan impian dan harapan negara? Sistem pendidikan juga sering
bertukar apabila menteri pelajaran atau kerajaan telah bertukar. Oleh itu, guru
tidak dapat menumpukan perhatian yang sewajarnya dengan menggunakan satu-satu
sistem untuk tempoh masa tertentu.
Seterusnya, cabaran yang
dihadapi oleh guru dalam membentuk ekuiti untuk semua murid ialah untuk
bersikap adil dan tidak bias terhadap murid-murid di sekolah. Sebagai manusia
biasa, terdapat guru yang sukar untuk benar-benar bersikap adil dan tidak bias
terhadap semua muridnya. Contohnya, jika di dalam kelas yang diajarkan oleh
guru tersebut terdapat anak kepada sanak saudaranya atau terdapat murid yang
lebih cantik dan pintar berbanding yang lain maka kemungkinan untuk seseorang
guru itu bersikap berat sebelah mungkin wujud dalam dirinya. Selain itu, perkara
ini kadang kala boleh mengganggu emosi guru sekiranya dipaksa oleh ibu bapa
yang kaya dan berpengaruh untuk lebih memberikan perhatian yang lebih kepada
anak mereka.
Latar belakang murid yang
berbeza turut mempengaruhi guru untuk berhadapan dengan muridnya. Contohnya
jika terdapat murid yang datang daripada keluarga yang pernah melakukan jenayah
atau mempunyai sejarah hitam dalam hidupnya, kemungkinan terdapat guru yang
mempunyai persepsi dan pandangan yang negatif terhadap murid tersebut. Maka ia
turut menjadi satu cabaran kepada rakan sejawat yang lain untuk membetulkan
persepsi negatif tersebut demi memberikan pendidikan yang terbaik kepada setiap
murid. Selain itu, kadang kala terdapat ibu bapa yang tidak menghantar anak
mereka mengikut keperluan pendidikan. Contohnya, kanak-kanak pendidikan khas
tidak mendapat rawatan dan pengesahan daripada doktor untuk membolehkan anak
tersebut mendapat sistem pendidikan yang bersesuaian. Contohnya, terdapat ibu
bapa yang tidak dapat menerima anak mereka adalah kanak-kanak masalah
pembelajaran. Maka, ibu bapa tersebut telah menghantar anak tersebut ke sekolah
harian kebangsaan dan telah menyebabkan guru sukar mengajar dengan baik dan
tidak memberikan perhatian yang sewajarnya kepada setiap murid. Adalah menjadi
satu cabaran kepada guru, apabila terdapat ibu bapa yang sukar menerima
pandangan dan saranan guru untuk mendiagnosis dan menghantar anak mereka ke
sekolah yang bersesuaian. Guru menjadi tertekan kerana tidak dapat mengajar
dengan sempurna dan kehadiran murid tersebut mungkin mengakibatkan guru tidak
memberikan perhatian yang adik kepada murid-muridnya.
Seterusnya, guru turut
menghadapi cabaran apabila masih wujud jurang perbezaan murid dari segi agama,
etnik, dan budaya yang berbeza. Tidak semua murid telah dididik dan dipupuk
sejak kecil dalam keluarganya untuk saling bergaul sesama rakan tanpa mengira
agama, kaum, dan etnik. Di sinilah cabaran yang terpaksa guru hadapi untuk
menyatupadukan murid sejak di bangku sekolah lagi. Harapan negara untuk memupuk
perpaduan dalam kalangan murid mungkin tidak tercapai jika tidak disokong dan
dibantu oleh keluarga dan masyarakat setempat. Sedangkan terdapat juga individu
dewasa di sekeliling murid yang turut mempunyai sikap yang tidak bersatu padu
antara satu sama lain.
Selain itu, kerajaan turut
menyediakan bajet untuk pendidikan dalam bajet persekutuan agar dapat mencapai
akses sejagat bagi setiap peringkat pendidikan. Dalam perkara ini, guru dan
pihak sekolah perlu menggunakan perbelanjaan dan peruntukan yang telah
diberikan oleh pihak kerajaan dengan sebaiknya. Namun begitu, apa yang terjadi
di sekolah ialah sering kali berlaku masalah kekurangan dana dan kewangan untuk
melaksanakan sesuatu program dan membaiki aset tetap yang rosak. Sehinggakan
pihak sekolah perlu melakukan kutipan sumbangan daripada ibu bapa, Persatuan
ibu bapa dan guru (PIBG), serta melakukan pelbagai program untuk mengutip dana.
Cabaran bagi guru dalam perkara ini ialah, guru menjadi semakin sibuk dengan
urusan luar kelas bagi menjayakan sesuatu agenda. Kesannya, murid-murid terabai
dan tertinggal pelajaran serta guru juga tidak dapat memberikan tumpuan dan
fokus sepenuhnya terhadap tugasnya yang sebenar.
Dalam menjayakan hasrat
negara untuk melahirkan murid yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir,
kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti
nasional, terdapat cabaran dan masalah yang dihadapi oleh guru. Pada peringkat
yang paling asas iaitu keupayaan murid untuk memiliki pengetahuan dan keupayaan
dalam literasi dan numerasi sepenuhnya, guru mempunyai cabaran untuk
merealisasikan terhadap semua murid. Cabaran untuk memastikan murid dapat
menguasai ilmu ialah bebanan tugas guru (Maszuria, Salina, Marina & Hjh
Rosnah, 2014). Tugas guru pada masa kini bukan sahaja adalah untuk mengajar di
dalam kelas sahaja. Malah terdapat banyak tugasan lain yang memerlukan
perhatian daripada guru seperti aktiviti kokurikulum, hal ehwal murid,
perkeranian, dan sebagainya. Oleh itu, kualiti masa guru untuk mengajar juga
adalah berkurangan.
Berdasarkan PPPM
2013-2025, kemahiran berfikir merangkumi pemikiran secara kreatif dan kritis,
dan berfikir pada aras tinggi. PPPM
2013-2025 juga bermatlamat mahu melahirkan bukan sahaja murid-murid yang
cemerlang tetapi yang mempunyai daya fikir yang tinggi (Utusan, 2013). Kemahiran sedemikian boleh diasah dan
diterapkan kepada murid semasa aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Menurut
Raini Pakar (2012), kemahiran berfikir adalah kurang diterapkan dalam
pengajaran guru semasa di dalam kelas. Perkara ini terjadi kerana terdapat guru
yang beranggapan bahawa kemahiran ini hanya membebankan guru dan merumitkan
tugas guru. Kemahiran berfikir ini memerlukan guru untuk meluangkan masa untuk
menyediakan pelbagai bahan yang boleh menjana pemikiran murid. Oleh itu, guru
mempunyai masalah kekangan masa untuk merancang dan membina bahan pengajaran
yang bersesuaian. Oleh itu, ia telah mengakibatkan bebanan kerja yang banyak
bagi seorang guru. Guru-guru konvensional masih selesa menggunakan pengajaran
berpusatkan guru berbanding menggunakan pengajaran berpusatkan murid dan bahan.
Guru yang kurang menggunakan kemahiran berfikir ini kerana kurang berkemahiran
untuk menyesuaikan pendekatan pengajaran dan pembelajaran dengan murid yang
ramai yang terdiri daripada pelbagai jenis dan kebolehan.
Dalam ilmu yang terbina
untuk membantu murid meningkatkan nilai kepimpinan dalam diri merupakan satu
aspek penting untuk membantu melahirkan generasi yang berkemahiran untuk
menyelesaikan masalah. Kemahiran memimpin perlu dipupuk sejak zaman awal
persekolahan lagi agar mereka mengaplikasikan kemahiran memimpin dalam dunia
pekerjaan kelak. Dalam konteks sistem pendidikan kepimpinan merangkumi empat
dimensi iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi dan kemahiran
berkomunikasi dengan berkesan (Sinar Harian, 2013). Cabaran bagi guru untuk
menjayakan hasrat dalam PPPM ini untuk melahirkan murid yang berkemahiran
memimpin ialah guru perlu bijak berfikir untuk menerapkan nilai tersebut ke
dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru perlu berfikir jauh ke hadapan untuk
menciptakan suatu suasana pembelajaran yang boleh menggalakkan murid
menggunakan kemahiran memimpin. Contohnya guru menghadapi cabaran untuk
mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kreatif dan kritis
contohnya aktiviti dalam kumpulan, perbentangan, dan sebagainya.
Selain itu, guru juga
menghadapi cabaran untuk mengajar murid belajar bahasa kedua selain daripada
bahasa ibunda sendiri. Contohnya bagi sebuah sekolah yang terletak di kawasan
pedalaman, secara amnya murid-murid di sekolah tersebut mempunyai tahap yang
rendah dan sederhana dalam penguasaan bahasa kedua seperti bahasa Inggeris.
Situasi tersebut berlaku kerana latar belakang murid yang terdiri daripada
keluarga yang berpendidikan rendah dan kurang akses kepada penggunaan bahasa Inggeris.
Bagi guru yang mengajar di sekolah sedemikian menghadapi cabaran untuk mengajar
murid bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam bahasa kedua. Antara
cabarannya ialah persepsi murid yang menganggap bahasa tersebut merupakan
sesuatu pengajaran bahasa yang sukar dikuasai. Murid juga tidak mendapat
bantuan untuk menggunakan bahasa inggeris di rumah kerana keluarga yang tidak
mempunyai kemahiran bahasa tersebut.
Guru juga menghadapi
cabaran untuk membentuk murid yang mempunyai etika kerohanian dan identiti
nasional apabila generasi zaman sekarang mudah terdedah dengan pelbagai situasi
dan kemajuan yang tiada batasan. Generasi masa kini lebih mudah mendapat
maklumat dan terdedah dengan pelbagai situasi luar dan dalam negara. Pengaruh
dari negara barat juga semakin menular di negara kita dan sedikit sebanyak
murid-murid yang masih mentah turut mudah terpengaruh dengan budaya luar.
Perkara ini mengakibatkan guru semakin
mempunyai tugas yang berat untuk menerapkan nilai murni dan etika kerohanian dalam
generasi muda. Guru perlu lebih bekerja keras dan bijak memberikan ilmu dan
penerapan nilai ke dalam pengajaran dan pembelajaran agar generasi seterusnya
akan mempunyai identiti yang mulia dan juga mempunyai jati diri rakyat yang
cintakan negara.
Perubahan dalam sistem
pendidikan yang menuntut perubahan paradigm dalam kalangan guru akan secara
langsung atau tidak membawa kepada tekanan terhadap guru (Noriati, Boon Pong
Ying, Sharifah Fakhriah & Zuraidah, 2010). Perkara ini bergantung kepada
seseorang guru itu untuk menghadapinya secara positif atau negatif. Guru sudah
pasti tidak lari daripada tekanan emosi kerana bebanan kerja yang banyak
seperti mengajar, aktiviti kokurikulum ,dan juga kerja – kerja pengurusan
sekolah. Dalam masa yang sama juga, guru turut mendapat tekanan daripada
tanggungjawab terhadap murid, rakan sekerja, dan pihak pengurusan dalam
melaksanakan tugas di sekolah. Dalam proses melaksanakan tugas dan
tanggungjawab tersebut, sudah pasti guru akan berhadapan dengan pelbagai
halangan, rintangan, perselisihan faham, dan juga kesuntukan masa sehingga guru
mendapat tekanan yang sukar dikawal. Oleh itu, guru perlu bijak mencari
penyelesaian dan pencegahan agar emosi guru dapat dikawal dan tidak
mempengaruhi kualiti kerja di sekolah.
Tugasan
2: Pelan Tindakan
Pelan
Tindakan Peningkatan Akademik (Matematik dan Sains)
Matlamat
: Melahirkan murid
yang dapat memahami konsep matematik dan sains dengan baik.
Strategi:
Meningkatkan
kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata pelajaran Matematik dan Sains.
Objektif: 1. Meningkatkan kemahiran mengira matematik bagi
murid tahap 1.
2. Meningkatkan
pencapaian matematik bagi murid tahap 2.
3. Meningkatkan
kemahiran dan pemahaman konsep sains bagi murid tahap 2.
Bilangan
|
Aktiviti
|
Huraian
|
Sasaran
|
Jangka Masa
|
1
|
Bijak
Nombor
|
Setiap
5 hinga 10 minit sebelum memulakan kelas Matematik, murid perlu menjawab kuiz
matematik secara lisan
|
Murid
tahap 1
|
Sepanjang
tahun
|
2
|
Bijak
Sifir
|
Setiap
5 minit sebelum memulakan kelas Matematik, murid perlu membaca sifir secara
hafalan
|
Murid
tahap 2
|
Sepanjang
tahun
|
3
|
Majalah
Matematik dan Sains
|
Penerbitan
berkala yang mengandungi tentang maklumat dan perkongsian tentang Matematik
dan Sains
|
Murid
tahap 1 dan 2
|
Diterbitkan
setiap 3 bulan sekali bagi sepanjang tahun
|
4
|
Bengkel
Matematik dan Sains UPSR
|
Diadakan
sebulan sekali
|
Murid
tahun 5 dan 6
|
Sepanjang
tahun
|
5
|
Kelas
tambahan Matematik dan Sains
|
Diadakan
setiap hari Isnin dan Selasa pada sebelah petang
|
Murid
yang lemah tahap 1 dan 2
|
Sepanjang
tahun
|
6
|
Bulan
Matematik dan Sains
|
Pelbagai
aktiviti yang berbeza pada setiap minggu :
-
Kuiz
-
Explorace
-
Puzzle
matematik
-
Lawatan
ke Petrosains
|
Murid
tahap 1 dan 2
|
April
|
Pelan
tindakan yang disediakan seperti diatas merujuk kepada tindakan yang
dicadangkan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata
pelajaran Matematik dan Sains. Ia bersesuaian dengan aspirasi murid yang
pertama iaitu pengetahuan. Dalam PPPM 2013-2025, aspirasi murid iaitu setiap kanak-kanak
akan dapat membaca, menulis dan mengira, menguasai mata pelajaran teras seperti
Matematik dan Sains, dan mempunyai pengetahuan kukuh mengenai Malaysia, Asia,
dan Dunia. Namun disini, saya hanya memberi fokus terhadap dua mata pelajaran
sahaja iaitu Matematik dan Sains.
Matlamat utama Pelan
Tindakan Peningkatan Akademik (Matematik dan Sains) ini ialah melahirkan murid
yang dapat memahami konsep matematik dan sains dengan baik. Strateginya pula
ialah untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan murid dalam mata pelajaran
Matematik dan Sains. Pelan ini juga disediakan bertujuan untuk meningkatkan
kemahiran mengira matematik bagi murid tahap1, meningkatkan pencapaian
matematik bagi murid tahap 2, dan meningkatkan kemahiran dan pemahaman konsep
sains bagi murid tahap 2. Terdapat enam aktiviti atau program yang dirancang
untuk dilaksanakan selama setahun yang pertama, aktiviti Bijak Nombor. Aktiviti
ini memfokuskan kepada murid tahap 1 dan diadakan setiap hari pada sepanjang
tahun waktu persekolahan. Ia dikendalikan oleh guru matematik yang mengajar
kelas pada satu-satu masa mengikut jadual waktu. Setiap kali sebelum memulakan
pengajaran dan pembelajaran matematik, murid akan menjawab soalan yang
dikemukakan oleh guru selama 5 hingga 10 minit. Soalan yang dikemukakan oleh
guru merangkumi soalan matematik seperti operasi tambah, tolak, dan
penyelesaian masalah mengikut tahap murid. Semasa aktiviti ini, guru perlu
memberikan tumpuan terhadap murid yang lemah dan kurang aktif. Dengan itu,
aktiviti ini akan menggalakkan murid untuk berfikir dan meningkatkan kemahiran
matematik mengira.
Aktiviti yang kedua pula
ialah aktiviti bijak sifir untuk murid tahap 2. Aktiviti ini juga dikendalikan
oleh guru matematik sebelum memulakan pengajaran dan pembelajarannya selama 5
minit. Murid dikehendaki untuk membaca sifir secara hafalan secara
beramai-ramai atau individu. Jangka masa pelaksanaan aktiviti ini ialah setiap
hari pada waktu persekolahan. Kadang kala, guru akan mengemukakan soalan
matematik yang melibatkan operasi darab untuk mengukuhkan ingatan dan kemahiran
murid. Tujuan aktiviti ini diadakan ialah supaya murid-murid dapat menghafal
dan menguasai sifir apabila sudah belajar pada tahap 2 persekolahan.
Aktiviti yang seterusnya
ialah menerbitkan majalah Matematik dan Sains pada setiap tiga bulan bagi
sepanjang tahun sesi persekolahan. Penerbitan majalah ini akan dikendalikan
oleh panitia Matematik dan Sains dengan kerjasama daripada Persatuan Teknologi
Maklumat Sekolah. Antara pengisian yang terkandung dalam majalah tersebut ialah
info, maklumat, perkongsian ilmu, dan soalan kuiz mata pelajaran matematik dan
sains. Majalah tersebut akan dijual dengan harga yang rendah dan mampu milik
oleh setiap murid. Hasil jualan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun panitia
Matematik dan Sains dan akan digunakan untuk aktiviti panitia yang seterusnya
pada masa akan datang.
Bengkel Matematik dan
Sains UPSR akan dilaksanakan setiap bulan sebanyak satu kali. Murid yang
terlibat dengan bengkel ini ialah murid tahun 5 dan 6. Setiap bulan, pihak
panitia akan memilih hari Sabtu untuk membuat bengkel tersebut selama satu
hari. Bengkel ini akan diteruskan sehingga bulan terakhir sebelum peperiksaan
UPSR dijalankan. Di dalam bengkel ini, murid akan didedahkan dengan
teknik-teknik menjawab soalan Matematik dan Sains UPSR mengikut tema dan
sukatan UPSR. Individu yang terlibat untuk memberikan ceramah dan pengajaran
dalam bengkel ini ialah terdiri daripada guru-guru UPSR.
Selain itu, guru Matematik
dan Sains juga perlu mengenal pasti murid yang lemah dan bermasalah untuk
memahami konsep Matematik dan Sains agar dapat diberikan kelas tambahan dan
intensif selepas waktu persekolahan. Kelas tambahan ini akan diadakan pada
setiap hari Isnin dan Selasa pada sebelah petang selama satu jam setengah. Kelas
tambahan ini akan dikendalikan oleh guru-guru yang berpengalaman dan akan
bertugas secara bergilir-gilir.
Aktiviti yang terakhir
ialah aktiviti Bulan Matematik dan Sains sekolah. Bulan yang dipilih untuk
mengadakan pelbagai aktiviti dan program selama sebulan ini ialah pada bulan
April. Antara aktiviti yang dirancangkan ialah kuiz Matematik dan Sains,
pertandingan Explorace, pertandingan
puzzle Matematik, dan lawatan ke Petrosains. Kuiz Matematik dan Sains akan
diadakan pada setiap hari pada waktu perhimpunan pagi. Setiap soalan yang
dikemukakan akan mengikut tahap dan bagi setiap soalan yang berjaya dijawab
oleh murid pula akan diberikan ganjaran hadiah. Pertandingan Explorace pula akan diadakan pada hari
Rabu minggu kedua April pada waktu kokurikulum selama dua jam. Dalam
pertandingan tersebut, murid akan menjawab beberapa soalan kuiz yang menjana
minda berkaitan dengan Matematik dan Sains secara berkumpulan. Setiap stesen
dalam pertandingan tersebut, mengandungi soalan Matematik dan Sains yang perlu
dijawab oleh murid. Jika jawapan yang diberikan adalah tepat, murid akan
berpeluang untuk meneruskan pertandingan dengan pergi ke stesen yang seterusnya
hingga ke penamat. Pada minggu ketiga April pula, panitia Matematik dan Sains
akan mengadakan pertandingan puzzle matematik. Setiap murd berpeluang untuk
menyertai pertandingan ini secara individu dan pemenang akan diberikan hadiah
pada hujung bulan April. Waktu pertandingan ini diadakan ialah pada hari Khamis
pada waktu perhimpunan pagi. Aktiviti yang terakhir untuk bulan Matematik dan
Sains ialah lawatan ke Petrosains. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk
memberikan pendedahan kepada murid-murid mengenai dunia sains secara lawatan di
luar sekolah. Sasaran murid bagi lawatan ini ialah murid tahun 3,4,5, dan 6.
Pihak sekolah akan berurusan dengan pihak Petrosains untuk mendapatkan pas
pelajar secara percuma atau separuh harga. Murid-murid akan berasa seronok
kerana akan belajar sambil mengadakan lawatan secara santai di Petrosains.
No comments:
Post a Comment