Pages

Saturday, September 14, 2013

Sejarah Olahraga

    Sejarah di Malaysia

Olahraga mula diperkenalkan ke negara kita pada pertengahan abad ke-19 di Singapura
Namun sukan ini tidak mendapat sambutan penduduk negara kita.

Sehinggalah pada tahun 1906, kejohanan olahraga yang pertama diadakan di Ipoh, Perak.
Namun begitu, penyertaan hanya terhad kepada para pegawai Inggeris sahaja.

Pada tahun 1920, Kejohanan olahraga telah diadakan di Kuala Lumpur dan pada tahun itu juga, Persatuan Olahraga Amatur British Malaya telah ditubuhkan.

Pada tahun 1931, Keanggotaan Persatuan Olahraga Amatur British Malaya dibuka kepada semua negeri di Malaysia.

Dalam kejohanan olahraga 1931, Mohd. Hanif Ghows (Perak) telah berjaya memenangi dan mencipta rekod baru dalam acara 100 ela pecut . Beliau merupakan peserta tempatan pertama yang berjaya berbuat demikian.
Malaya mula melibatkan diri dalam perjumpaan olahraga antarabangsa pada tahun 1950-an.Pada tahun 1956, Malaya mengambil bahagian dalam Sukan Olimpik pada kali pertama di Melbourne.Pencapaian terbaik negara dalam sukan olahraga ialah selepas tahun 1960-an.M.Jegathesan merupakan peserta lari pecut negara yang pernah memenangi pingat emas dalam acara 100 meter dan 200 meter Sukan Asia serta memasuki peringkat separuh akhir dalam Sukan Olimpik 1964 (Tokyo) dan 1968 (Mexico).

   
  Sejarah Antarabangsa

Setiap makhluk mempunyai fikiran, dari pemikiranlah terhasilnya perlakuan
kemahiran asas seperti berlari, melompat, membaling ataupun melontar.
Lama kelamaan kemahiran ini telah diperkembangkan sehingga menjadi satu acara
sukan.

Tarikan yang ada pada acara sukan ini telah melahirkan istilah olahraga
(athletics) yang merangkumi acara berlari, melontar dan melompat.

Mengikut catatan sejarah, olahraga dipercayai bermula pada 3000 tahun yang
lampau di Greece.
Oleh itu ianya boleh dianggap sebagai acara sukan yang tertua di dunia. Catatan sukan olahraga ini bermula di Sukan Olimpik kuno tahun 776 S.M di Greece. Berdasarkan “The Encyclopedia of Sports” acara pertama yang dicatatkan sebagai sukan ialah lompat jauh dimana ahli sukan Sparta bernama Chionis berjaya melompat sejauh 23 kaki 1 ½ inci pada Sukan Olimpik 656 S.M.

Di England, sukan olahraga telah dihidupkan oleh Royal Military College di
Sandhurst di mana temasya sukan bermula pada 1812. Kemudian Kelab Olahraga
yang pertama ditubuhkan iaitu ‘The Necton Guild’. Selepas itu semakin banyak kelab
olahraga ditubuhkan dan terdapat juga kelab olahraga peringkat universiti yang
ditubuhkan pada tahun 1850 di University Oxford, dikenali sebagai Exeter College
Athletic Club.

Kejohanan olahraga kebangsaan yang pertama telah dianjurkan
pada tahun 1866 oleh Amateur Athletic Club di England. Seterusnya kejohanana
Antarabangsa yang pertama diadakan pada tahun 1876 antara England dan
Ireland.

Menjelang abad ke-20, ramai atlet Amerika Syarikat yang telah mampu
mencatatkan prestasi yang memberangsangkan. Ternyata kebanyakkan peserta dari negara Amerika Syarikat ialah berketurunan Negro, namun atlit dari negara Eropah lain turut cemerlang dalam olahraga.

Sememangnya ketika itu atlet dari Asia dan Afrika belum mampu menyaingi
kemampuan atlet dari Eropah. Tetapi kini senario tersebut telah berubah dan boleh
dikatakan atlet Asia dan Afrika dianggap setaraf dengan atlet Eropah.
Kini pelbagai kejohanan sukan diadakan seperti Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan
Komanwel dan Sukan Olimpik. Mana-mana badan atau pertubuhan yang berdaftar
            dibawah IAAF boleh menyertai kejohanan dibawah pengawasan IAAF.


Penilaian Berasaskan Budaya

Penilaian Berasaskan Budaya

Tujuan penilaian dilakukan adalah untuk memperbaiki lagi prestasi atau keadaan (Esah Sulaiman, 2004). Stufflebeam (dalam Esah Sulaiman, 2004) juga mengatakan penilaian sebagai proses menentukan, mendapatkan dan memberikan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan bagi tindakan selanjutnya. Penilaian juga merujuk kepada satu proses mendapatkan maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan tentang tindakan selanjutnya (Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008).
 Guru perlu mengadakan penilaian terhadap murid berasaskan budaya yang bersesuaian dengan situasi di dalam bilik darjah. Guru harus mengambil kira aspek kepelbagaian budaya murid semasa menyelia dan memilih instrumen untuk memperoleh maklumat dan membuat keputusan. Antara faktor-faktor murid yang perlu guru ambil perhatian semasa membuat penilaian tersebut ialah sejarah imigrasi, status sosio-ekonomi, dan latar belakang murid. Perkara tersebut adalah penting supaya maklumat yang akan diperoleh sah dan boleh dipercayai. Selain itu, guru juga dapat memilih alat-alat penilaian yang bersesuaian berdasarkan kepelbagaian budaya murid.
Penilaian berasaskan budaya bertujuan untuk mengumpul maklumat bagi kemajuan, diagnosis dan tindakan selanjutnya, menilai dengan menggunakan prosedur autentik dan alternatif, memperoleh data tentang peluang pembelajaran untuk semua, mengumpul malumat berkaitan dengan faktor linguistik dan kerelevan budaya, menentukan keperluan bahasa yang sesuai untuk penilaian formal, dan mengurangkan bias dalam amalan-amalan penilaian tradisional. Penilaian dilihat sebagai proses untuk mengumpulkan maklumat untuk dianalisis dan dibuat keputusan untuk tujuan mengambil tindakan selanjutnya.
Perkara yang turut perlu diberikan perhatian oleh guru adalah aturan dan kedudukan fizikal bilik darjah dalam kumpulan dengan kaum yang berbeza. Guru hendaklah mempunyai kemahiran menguruskan bilik darjah dan menyesuaikan persekitaran bilik darjah dengan kepelbagaian budaya murid-murid. Menurut Sandford (1983 dalam Esah Sulaiman, 2004) pengurusan meliputi semua perkara untuk mendapatkan penglibatan murid dan kerjasama dalam aktiviti di dalam bilik darjah. Persekitaran bilik darjah yang teratur dan bersesuaian dengan kepelbagaian budaya murid akan menghasilkan pembelajaran yang optimum. Levin (2000 dalam Esah Sulaiman, 2004) menekankan suasana fizikal bilik darjah khususnya tempat duduk. Guru harus menyusun kedudukan murid di dalam kelas dengan tujuan untuk menyatupadukan kepelbagaian budaya dalam kalangan murid-murid.
Guru hendaklah menyediakan aktiviti yang dapat memperkenalkan adat dan kaum yang berbeza di Malaysia. Murid haruslah diberi peluang untuk melakukan aktiviti bersama dengan kaum yang berbeza. Penerapan nilai seperti kerjasama dapat diterapkan oleh guru semasa aktiviti pembelajaran dan akan memudahkan proses penilaian terhadap murid. Antara proses penilaian yang dilakukan oleh guru terhadap  murid semasa melakukan aktivit di dalam kelas ialah aspek nilai, disiplin, hubungan sosial, dan aspek psikologi. Penilaian terhadap aspek nilai dilihat sebagai satu pola tingkah laku yang diingini dalam bilik darjah. Nilai yang baik akan mencorakkan perkembangan tingkah laku yang positif dan menjamin keharmonian dalam bilik darjah.
Dari aspek disiplin pula, disiplin yang terkawal dapat membentuk suasana pembelajaran bilik darjah yang harmoni dan mesra. Dalam Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) disiplin ialah kesanggupan seseorang individu menghormati dan mematuhi undang-undang, sama ada disiplin itu dikenakan dari luar atau dengan kerelaan sendiri. Tujuan disiplin ditegaskan dalam bilik darjah ialah untuk membentuk individu yang bertanggungjawab dan dapat meneruskan amalan cara hidup yang baik. Hubungan sosial murid yang dilakukan dalam bilik darjah berdasarkan budaya akan mengembangkan hubungan yang harmoni, dinamis, dan bertanggungjawab. Penilaian dari aspek psikologi pula ialah meliputi kesan pelbagai pengaruh budaya ke atas perkembangan dimensi mental, sosial, moral dan psikologi bilik darjah. Pembentukan sahsiah dan tingkah laku yang baik dapat dibina dalam bilik darjah melalui keyakinan dan keberanian yang didorong oleh guru dalam pembelajaran. Guru perlu sedar bahawa pengaruh perkembangan diri banyak dipengaruhi oleh kawasan persekitarannya khususnya persekitaran sosial. Murid banyak dipengaruhi oleh ibu bapa, keluarga, dan rakan sebaya dalam perkembangan sosialnya. Kesannya, pengaruh budaya dalam kehidupan murid ini banyak dipengaruhi oleh ibu bapa, keluarga, dan kawasan tempat tinggalnya. Murid membesar dalam suasana budaya yang berbeza-beza bagi setiap individu.
Dalam pelaksanaan penilaian berasaskan budaya guru perlu mengambil kira beberapa prinsip seperti penilaian harus berasaskan pemahaman tentang cara murid belajar dalam bilik darjah. Guru harus memainkan peranan untuk membentuk pengalaman pembelajaran murid. Guru juga hendaklah peka terhadap perbezaan individu murid dalam pembelajaran. Penilaian yang dilakukan oleh guru perlulah mengambil kira budaya, latar belakang, bahasa utama, dan keluarga murid. Tugasan yang diberi oleh guru juga hendaklah bersifat koperatif, aktif, dan berasaskan inkuiri. Guru juga harus bersikap adil dalam penilaian yang dilakukan. Ia perlu merangkumi prinsip-prinsip inklusif dan menyokong ekuiti bagi mengelakkan bias dari segi gender, kaum, budaya, dan bahasa.


Sosiolinguistik

Sosiolinguistik

Sosio bermaksud perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan organisasinya (Kamus Inggeris – Melayu Dewan 1994 dalam Noriah Mohamed, 2003). Sosiolingusitik merupakan gabungan daripada dua kata dasar iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi bermaksud ilmu yang meliputi segala jenis hal tentang masyarakat dengan menyerap ilmu sosial yang lain (Comte dalam Abdul Rashid Daing Melebek, 2010). Linguistik pula adalah ilmu pengetahuan yang mengkaji tentang bahasa. Menurut Hartman, R.R.K, dan Stork, F.C dalam Abdul Rashid Daing Melebek, 2010, linguistik ialah satu bidang kajian, dan subjek kajiannya ialah bahasa. Linguistik pula bermaksud disiplin yang mengkaji unsur bahasa, khususnya unsur yang membentuk sistem bahasa (Noriah Mohamed, 2003).
Menurut pandangan Hudson (1980 dalam Noriah Mohamed, 2003) bidang sosioloinguistik dapat didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji hubungan antara bahasa dengan masyarakat  yang menggunakan bahasa tersebut. Menurut Hudson (1983 dalam Abdul Rashid Daing Melebek, 2010) sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan tentang aspek-aspek perhubungan antara bahasa dengan masyarakat.
Sejarah telah mengatakan bahawa kemasukan buruh asing dari luar seperti dari India dan Cina telah menyebabkan masyarakat pada masa kini telah berkembang dan menjadi tiga kelompok etnik terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina, dan India. Selain itu, terdapat juga etnik lain seperti bajau, sumazau, bidayuh, orang asli, dan sebagainya. Menurut Mohd Daud bin Yusof (1994), terdapat 16 jenis dialek dalam kalangan penutur jati Bahasa Melayu di semenanjung. Menurut Ismail (1973 dalam Abdul Rashid Daing Melebek, 2010) pula terdapat sekurang-kurangnya 14 dialek Melayu di Malaysia. Ini membuktikan bahawa selain bahasa yang berbeza mengikut kaum, terdapat juga dialek-dialek tertentu yang bertebaran mengikut kawasan geografinya. Etnik bermaksud perbezaan budaya yang diwarisi oleh setiap kumpulan manusia (Mohd. Salleh Lebar, 2007). Kebudayaan tersebut merujuk kepada pertuturan, agama, makanan, dan negara asal. Selain itu, dalam sesebuah bilik darjah juga terdapat status dan kelas sosial murid yang berbeza. Status yang berbeza-beza menyebabkan timbulnya kelas sosial dalam masyarakat. Menurut Max Weber (dalam Mohd. Salleh Lebar, 2007) terdapat lima kelas sosial iaitu kelas atasan, kelas pertengahan atasan, kelas pertengahan bawahan, kelas pekerja, dan kelas bawahan. Setiap status mempunyai peranan yang tersendiri. Oleh itu, guru perlu mengetahui dan peka akan perbezaan ini berdasarkan budaya murid yang berbeza latar belakang etnik dan kelas sosial.
Guru menggunakan bahasa sebagai medium untuk menyampaikan isi pelajaran kepada murid-muridnya. Guru akan menggunakan bahasa rasmi seperti Bahasa Melayu untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Namun begitu, dalam kalangan murid-murid terdapat variasi bahasa yang berbeza mengikut budaya. Guru perlu memastikan mereka hanya menggunakan satu bahasa sahaja iaitu bahasa kebangsaan untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Dalam laporan Cheesman (1946 dalam Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008) di dalam sesebuah bilik darjah sekolah inggeris terdapat murid-murid pelbagai etnik yang menuturkan hampir sebelas jenis bahasa. Maka, sekiranya murid-murid tidak dapat menguasai satu bahasa sebagai bahasa pengantar, ia akan menimbulkan kesukaran kepada guru untuk menyampaikan pengajaran dan murid-murid tidak dapat memperoleh sebarang ilmu dan juga wujud masalah perpaduan dalam kalangan mereka.
Laporan Rahman Talib 1960 merupakan usaha kerajaan untuk membentuk satu sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan sebagai usaha menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai budaya. Dalam akta 1961 juga termaktub Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menggariskan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar utama untuk semua peringkat pendidikan.
Konferens pertama sosiolingusitik telah berlangsung di University of California, Los Angeles pada tahun 1964. Ditmar (1976 dalam Syed Ismail Syed Mustapa, 2013) mengatakn bahawa terdapat tujuh dimensi dalam penyelidikan sosiolinguistik iaitu identiti sosial penutur, identiti sosial pendengar yang terlibat dalam proses komunikasi, lingkungan sosial tempat peristiwa perbincangan berlaku, analisis sinkronik dan diakronik terhadap dialek-dialek sosial, penilaian sosial yang berbeza oleh penutur akan bentuk-bentuk perilaku penutur, tingkatan ragam linguistik, dan penerapan praktikal daripada penyelidikan sosiolinguistik.
Guru berperanan untuk mengadakan pelbagai aktiviti yang melibatkan bahasa dan budaya dalam kalangan murid-murid. Aktiviti tersebut boleh diadakan di dalam atau di luar bilk darjah mengikut kreativiti guru itu sendiri. Melalui aktiviti kokurikulum juga, guru boleh merancang pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dan memberi manfaat kepada murid-murid. Guru hendaklah menyelitkan unsur-unsur warisan etnik budaya lain dalam aktiviti yang dirancang. Contohnya menggunakan lirik lagu kadazan dalam pelajaran muzik, menggunakan permainan tradisional india dalam pendidikan jasmani dan sukan, serta menggunakan gerak tari tarian cina dalam kegiatan kokurikulum tarian. Kemudian guru menerapkan nilai-nilai murni yang berkaitan budaya untuk menggalakkan penyatuan perpaduan antara pelbagai budaya.

Murid yang berkebolehan menggunakan pelbagai bahasa untuk berinteraksi pula perlu diberikan perhatian oleh guru. Murid ini boleh digalakkan untuk membantu rakan sebaya yang menghadapi masalah dalam berinteraksi dan berkomunikasi dalam pembelajaran. Dengan ini secara tidak langsung, penyatuan perpaduan daripada pelbagai budaya dapat diterapkan. Guru juga perlu bijak menerapkan penggunaan laras bahasa yang berbeza mengikut situasi dalam pembelajaran. Guru perlu memastikan agar murid mendapat info-info yang berkaitan dan dapat diterima serta difahami.

Pedagogi Relevan Budaya Dan Kepelbagaian Kelompok

Pedagogi Relevan Budaya Dan Kepelbagaian Kelompok

            Menurut Esah Sulaiman (2004), pedagogi berasal daripada perkataan Latin yang bererti kaedah mengajar kanak-kanak. Kemudian ia telah berkembang dan digunakan dalam konteks pengajaran untuk semua peringkat pusat pembelajaran seperti sekolah dan peringkat pengajian tinggi. Shafritz (1997 dalam Esah Sulaiman, 2004) pula mengatakan bahawa pedagogi ialah prinsip dan kaedah pengajaran. Ia meliputi pelbagai aspek yang berkait dengan penyampaian ilmu kepada murid. Ia turut dapat ditakrifkan sebagai kemahiran mengajar yang digunakan oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan yang khusus dalam sesuatu bidang. Guru yang memiliki kemahiran pedagogi yang tinggi dapat menggunakan pelbagai kemahiran dan kebolehan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Pedagogi yang relevan menggunakan pelbagai strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menjadikan pembelajaran menjadi lebih bermakna (Syed Ismail Syed Mustapa,2013). Cruickshank (1995 dalam Esah Sulaiman, 2004) menjelaskan bahawa pedagogi ialah seni dan sains pengajaran yang meliputi prinsip, strategi, kaedah, teknik, dan pelbagai pertimbangan untuk menjayakan sesuatu pengajaran. Pengajaran dikatakan sebagai suatu seni adalah kerana setiap murid mempunyai perbezaan individu dan guru harus memilih kaedah yang bersesuaian dengan murid bagi memenuhi keperluan murid yang terdiri daripada pelbagai kelompok etnik dan ras. Manakala pengajaran dikatakan sebagai sains pengajaran adalah kerana setiap pengajaran yang berlaku perlu dilaksanakan dengan sistematik dengan maklum balas tentang pengajaran digunakan untuk mempertingkatkan mutu pengajaran pada masa hadapan (Highet 1950 dalam Esah Sulaiman, 2004).
Dalam pedagogi seseorang guru, penekanan terhadap pengintegrasian pengetahuan, kemahiran asas serta memupuk nilai murni adalah perlu bagi memastikan perkembangan yang menyeluruh bersesuaian dengan kebolehan murid yang relevan dengan budaya yang diamalkan. Guru perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memenuhi keperluan murid tanpa ada sikap prejudis terhadap murid yang mempunyai pelbagai budaya. Ini adalah kerana sekolah dilihat sebagai institusi yang melahirkan kanak-kanak yang mengikut kehendak masyarakat. Gay (2000 dalam Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008) mengatakan bahawa para guru perlu memberikan perhatian kepada murid-murid yang berlatar belakangkan pelbagai budaya agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan berkesan.
Antara tujuan pedagogi relevan budaya ialah supaya pengelolaan, pengurusan, dan pengajaran guru mengambil kira akan sensitiviti budaya. Ini adalah penting kerana tanpa keprihatinan sosial budaya, pedagogi guru tidak berjalan dengan lancar. Selain itu, guru harus berinteraksi dengan positif untuk memupuk sifat bangga akan budaya masing-masing. Dengan itu tidak wujudlah masalah generasi muda yang tidak mengenal budaya yang terdapat dalam Malaysia. Persefahaman dan permuafakan dapat dipupuk dalam kalangan murid-murid dan guru melalui pedagogi relevan budaya dan ia dapat menghasilkan kesepaduan perolehan ilmu, kemahiran, dan sikap yang holistik. Guru juga bertindak sebagai pengantara persekitaran rumah dan sekolah bagi murid yang mempunyai budaya yang berbeza antara murid yang lain.
Menurut Guittierez  dan Ladson Billings (1994 dalam Dr. Noriati bt A. Rashid, 2008) ciri-ciri pedagogi relevan budaya ialah murid mempunyai pengetahuan, konsep, kemahiran, dan strategi yang dipelajari daripada situasi pelbagai budaya ke dalam kesepaduan ilmu dan nilai tanpa ada sikap prejudis. Murid juga memahami latar belakang sendiri dan rakan yang berlainan budaya. Walaupun belajar dalam keadaan yang pelbagai budaya, ia tetap dapat menyatupadukan pengetahuan merentasi budaya. Pedagogi ini turut memotivasikan murid belajar secara kontekstual iaitu dengan mengambilkira pengalaman murid yang berbeza.
Mengikut James S.Coleman (dalam Mohd Salleh Lebar, 1998) terdapat empat ciri konsep persamaan pendidikan iaitu pendidikan percuma pada satu peringkat, mempunyai kurikulum yang sama untuk semua murid, dan semua murid pelbagai latar belakang berpeluang untuk bersekolah yang sama. Oleh itu, para pendidik tidak boleh terlalu bias kepada kelompok majoriti dan perlu lebih bersikap adil kepada semua murid. Usaha kerajaan untuk menerapkan pendidikan kebangsaan yang terdiri berbilang budaya telah dimulakan bermula dari wujudnya Penyata Razak 1957.
Guru perlu memilih strategi, kaedah, dan teknik yang bersesuaian mengikut keadaan kelas dan kerelevan budaya dalam pedagogi pendidikan. Menurut Ng Kim Choy dari Jabatan Ilmu Pendidikan, Institut Perguruan Sandakan, Sabah kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan yang tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan pula ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Setiap kaedah pengajaran mempunyai teknik-teknik yang tertentu. Mengikut Edward M. Anthony (1963 dalam Mok Soon Sang, 2002) kaedah ialah satu ikhtiar keseluruhan dikehendaki dalam satu set prosedur yang tersusun berlandaskan kepada sesuatu pendekatan yang dipilih.
Menurut Ng Kim Choy juga pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan pengajaran yang sering digunakan oleh guru ialah pendekatan induktif, deduktif, dan eklektik. Mengikut kamus dewan (1998 dalam Mok Soon Sang, 2002) pendekatan merupakan cara atau langkah-langkah yang diambil bagi memulakan dan melaksanakan sesuatu tugas seperti mengatasi masalah. Pendekatan yang berasaskan pengelolaan murid ialah pendekatan individu, pasangan, berkumpulan, kelas bercantum dan sebagainya. Guru perlu menyampaikan pengajaran mengikut tema-tema tertentu dan hendaklah tidak menyentuh sensitiviti budaya murid.
Srategi pula ialah suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu maklumat dengan menggunakan masa, tenaga, dan kemudahan. Biasanya guru akan menggabungkan beberapa pendekatan dengan kaedah mengajar tertentu. Menurut Mok Soon Sang (2002), strategi itu merupakan rancangan sesuatu tindakan atau operasi yang berkesan. Strategi yang dipih haruslah berdasarkan pertimbangan terhadap teori pembelajaran, pendekatan kaedah dan teknik mengajar. Ia juga harus bersesuaian dengan kepelbagaian budaya murid-murid.
Teknik mengajar ialah kemahiran guru untuk mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (Mok Soon Sang, 2002). Antara teknik mengajar yang biasa digunakan oleh para guru ialah teknik bercerita, perbincangan, latih tubi, demonstrasi, penyoalan, main peranan, simulasi, sumbang saran, dan sebagainya. Menurut Mok Soon Sang (2002) juga, tujuan teknik mengajar ini ialah untuk menarik minat murid, mengekalkan perhatian dan membangkitkan perasaan ingin tahu murid supaya pengajaran guru berjaya mencapai objektif yang disasarkan. Teknik mengajar yang dipilih guru hendaklah bersesuaian dengan murid mengikut usia, minat, kebolehan, kecerdasan, perbezaan individu dan budaya.
Terdapat beberapa pendekatan pedagogi yang relevan untuk diamalkan dalam pelbagai budaya murid iaitu :
Rajah 1: Pendekatan pedagogi yang relevan diamalkan
Kaedah direktif ialah belajar melalui penerangan secara langsung kepada murid tentang kepelbagaian budaya dan diikuti oleh ujian kefahaman dan latihan. Fokus diberikan kepada kemahiran asas. Dalam pendekatan ini guru bertindak sebagai model kepada murid-muridnya. Contoh strategi pengajaran yang boleh digunakan ialah kuliah, latih tubi, dan demonstrasi. Kaedah kuliah bermaksud kaedah penerangan untuk menyampaikan maklumat yang agak banyak dalam tempoh tertentu. (Esah Sulaiman, 2004). Kaedah latih tubi merujuk kepada latihan yang diberikan guru kepada murid secara berterusan untuk melatih kemahiran dan kebolehan dalam sesuatu isi pelajaran. Manakala demonstrasi pula ialah satu jenis teknik pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan sesuatu aktiviti di hadapan murid (Mok Soon Sang, 2002).
Kaedah mediatif pula merujuk kepada guru yang menggunakan bahan media dalam pembelajaran kelas. Melalui kaedah ini, murid diajar mengaplikasikan pengetahuan untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, mengenal pasti andaian, dan hipotesis berkaitan budaya. Contoh bahan yang digunakan melalui teknik mediatif ialah penggunaan komputer, buku elektronik, dan penggunaan video. Menurut Mohd Arif Hj. Ismail dan Rosnaini Hj. Mahmud (2001) dalam jurnal Teknologi Pendidikan, penggunaan teknik video dapat melibatkan murid dengan aktif dan memupuk nilai kerjasama dan saling bantu membantu.
Kaedah generatif menggalakkan murid menjana idea-idea kritis dan kreatif yang sesuai dengan budaya yang diketengahkan. Dengan itu, murid akan dapat menyelesaikan masalah dengan menggunakan pemikiran yang kritis dan kreatif serta membuat pertimbangan untuk meneruskan budaya yang relevan dalam kehidupannya.
Kaedah kontekstual iaitu murid mengaitkan bahan pengajaran dan pembelajaran kepada situasi dunia sebenar. Kaedah ini dapat meningkatkan motivasi murid untuk membuat perkaitan antara ilmu pengetahuan dengan mengaplikasikannya kepada budaya mereka. Pembelajaran lain yang dapat dikaitkan kepada pembelajaran kontekstual ialah pengalaman hidup sebenar, pembelajaran aktiviti, dan pembelajaran berpusatkan murid.
Kaedah metakognitif merupakan kaedah tugasan yang diberikan oleh guru kepada murid yang berkaitan dengan relevan budaya setempat. Dengan itu, murid berpeluang untuk memikirkan tentang proses pembelajaran, rancangan pembelajaran, pemantauan, dan penilaian kendiri. Murid akan menggunakan kaedah perbincangan dengan rakan-rakan mengenai tugasan yang diberikan oleh guru. Semasa murid menjalani latihan praktikal dalam kelas, murid dapat mempraktikkan strategi metakognitif yang telah diketahui.
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di luar bilik darjah dengan guru yang bertindak sebagai fasilitator merupakan kaedah konteks atau kajian luar dalam pedagogi relevan budaya. Aktiviti yang diberikan oleh guru kepada murid biasanya adalah satu aktiviti penyelesaian masalah dan murid dikehendaki untuk berada di luar bilik darjah untuk menyelesaikannya. Kemudian, murid akan menyediakan laporan terhadap aspek yang dibincangkan dalam sesi pembelajaran yang telah berlangsung.
Murid-murid akan dapat mengambil bahagian dalam penciptaan masa hadapan melalui kaedah kajian masa depan yang digunakan oleh guru. Kaedah ini menggalakkan murid untuk meramalkan apa yang akan berlaku di masa hadapan dengan menggunakan akal fikiran logik dan murid dapat berfikiran jauh ke hadapan. Murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya perlu memainkan peranan dalam sesi pembelajaran agar ia menjadi lebih bermakna dalam kehidupan mereka. Pemilihan soalan kajian juga perlulah dilakukan dengan beretika oleh guru.
Kaedah koperatif menggalakkan murid untuk belajar secara berkumpulan dan saling berinteraksi dalam kalangan mereka yang datangnya dari pelbagai latar belakang budaya. Menurut Slavin (1995 dalam Mohd Arif Hj. Ismail, 2001) kriteria utama dalam pembelajaran koperatif ialah setiap ahli kumpulan saling bantu membantu dan bekerjasama bagi mencapai kejayaan sebagai satu kumpulan. Kaedah ini sesuai diaplikasikan dalam kelas dan dapat menarik perhatian murid untuk melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran. Dengan itu, kemahiran sosial dalam diri murid-murid yang terdiri daripada pelbagai budaya dapat ditingkatkan. Satu teknik video yang dicadangkan oleh Mohd Arif Hj. Ismail (2001) dalam jurnal yang bertajuk Penggunaan Teknik Video Bagi Pembelajaran Koperatif: Teknik Tayangan Bersilang Dengan Komentar yang dikenali sebagai tayangan bersilang dengan komentar dapat meningkatkan pembelajaran koperatif dalam satu kelas bahasa.
Kaedah kolaboratif bermaksud kerjasama erat di antara dua pihak atau lebih (Syed Ismail Syed Mustapa,2013). Murid akan menggunakan usaha sendiri bersama-sama dengan rakan-rakan sekelas untuk mencapai matlamat dalam pembelajaran. Kaedah ini melibatkan sekumpulan murid yang berusaha ke arah pencapaian prestasi yang diingini. Oleh itu, keberkesanan pembelajaran berjaya ditingkatkan.
Kelas bercantum merupakan kelas yang mengandungi murid-murid yang terdiri daripada satu tahun persekolahan (Mok Soon Sang, 2002). Sejarah kelas bercantum ini bermula sejak penjajahan British dan dikenali sebagai Multiple Class Teaching. Ciri-ciri kelas bercantum ialah hanya wujud di peringkat sekolah rendah sahaja, bilangan murid kurang daripada 10 orang, guru mengajar lebih daripada satu tahun persekolahan kerana peruntukan guru mengikut bilangan kelas, dan strategi pengajaran dan pembelajaran berbeza daripada kelas biasa. Selain itu, bilangan murid di sesebuah sekolah tidak melebihi 145 orang. Bilangan guru pula adalah tidak melebihi 5 orang.

Murid-murid dipecahkan kepada beberapa kumpulan seperti kumpulan sama kebolehan, kumpulan pelbagai kebolehan, kumpulan tahun persekolahan, kumpulan sosial, dan kumpulan individu. Kumpulan sama kebolehan turut dikenali sebagai kumpulan akademik. Biasanya pengajaran matematik dan bahasa amat sesuai digunakan untuk mengajar kumpulan akademik ini.
Rajah 2: Contoh kumpulan mengikut kebolehan











                                    












Rajah 3: Contoh pelan cantuman kelas kumpulan mengikut kebolehan

            Kumpulan pelbagai kebolehan terdiri daripada murid-murid mempunyai kebolehan dalam pelbagai aktiviti. Murid yang cerdas dapat membantu murid yang lemah berdasarkan lembaran kerja yang diberikan. Maka, projek yang dilaksanakan dapat membuahkan hasil yang membanggakan. Kumpulan tahun persekolahan pula merupakan guru yang mengajar satu tahun tertentu dan dalam masa yang sama tahun persekolahan yang lain perlu melakukan kerja sendiri. Dalam kumpulan ini, kemahiran belajar adalah berbeza mengikut kumpulan.
Rajah 4: Contoh pelan kelas kumpulan tahun persekolahan

            Kumpulan sosial dibentuk berdasarkan kepada penyesuaian murid-murid itu sendiri. Murid-murid diberi peluang untuk memilih kumpulan mereka sendiri. Aktiviti-aktiviti yang sering dilakukan oleh murid-murid dari kumpulan sosial ini ialah pelajaran muzik, drama, rekreasi, dan permainan. Kumpulan individu pula digunakan setelah murid-murid melibatkan diri dalam pembelajaran. Guru memberikan bimbingan secara individu kepada murid-murid.
            Guru perlu bijak menggunakan kreativiti dalam melaksanakan pengajaran dalam kelas bercantum. Ini adalah kerana terdapat aras perbezaan yang agak ketara dalam diri setiap murid. Guru hendaklah menguasai sepenuhnya aspek pedagogi agar murid mempunyai minat ditahap yang baik untuk terus menguasai ilmu dan kemahiran yang telah dirancang oleh guru.


Pengenalan dan Konsep Pembinaan Persekitaran Bilik Darjah yang Mesra Budaya.

  Pengenalan dan Konsep Pembinaan Persekitaran Bilik Darjah yang Mesra Budaya.           

Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya melibatkan suasana pembelajaran dalam bilik darjah menjadi kondusif untuk murid-murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang budaya. Menurut Syed Ismail Syed Mustapa (2013) dalam bukunya yang berjudul Budaya dan Pembelajaran, beliau mengatakan bahawa pengurusan bilik darjah yang dinamik dapat mencapai objektif ke arah pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek. Lemlech (1998 dalam Syed Ismail Syed Mustapa, 2013) menjelaskan bahawa pengurusan bilik darjah sebagai orkestra dalam kehidupan. Ini bermakna bahawa ia merupakan satu proses yang melibatkan penyertaan dan kerjasama daripada semua ahli bilik darjah untuk mencapai sesuatu objektif dalam pengajaran dan pembelajaran.
            Mesra membawa erti keselesaan, keceriaan, dan kegembiraan. Mesra boleh wujud apabila perhubungan sesama manusia terjalin berdasarkan nilai-nilai murni dan ia dapat meningkatkan persefahaman, toleransi, dan saling hormat menghormati. Perkataan budaya pula dikatakan berasal daripada perkataan Budhi (Sanskrit) dan Daya (Melayu) yang membawa maksud kecergasan fikiran akal budi dan kekuatan kuasa, tenaga, dan pengaruh. Maka ia bermaksud budaya merupakan kebolehan seseorang individu menggunakan kekuatan, tenaga, dan akalnya untuk meningkatkan kecergasan akal supaya dapat menangani masalah. Menurut Nik Safiah Haji Abdul Karim (dalam Syed Ismail Syed Mustapa,2013) budaya adalah tenaga fikiran, usaha rohani atau kuasa menggerakkan jiwa.
            Budaya melibatkan cara hidup manusia yang melibatkan kepercayaan, agama, adat resam, bahasa, ekonomi, politik, dan sebagainya. Dalam sesebuah bilik darjah terdapat murid-murid yang terdiri daripada pelbagai bangsa, warna kulit, agama, dan daerah. Menurut Abdul Halin Hamid (2003) dalam bukunya Mengenali Institusi Sosial mengatakan bahawa terdapat tiga kesan elemen penting budaya ke atas sesebuah sekolah iaitu kepercayaan, nilai, dan norma berkaitan dengan persekolahan. Beliau turut mengatakan bahawa setiap masyarakat mempunyai nilai tertentu berkait dengan sekolah.
Pengurusan bilik darjah turut melibatkan proses merancang, mengelola, memimpin, mengarah, dan mengawal yang melibatkan guru dan murid-muridnya. Pengurusan bilik darjah yang berjaya dapat menghasilkan pembinaan modal insan yang menjurus kepada pembinaan JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial. Selain itu pengurusan persekitaran fizikal bilik darjah juga adalah penting agar ia dapat memberikan keselesaan dan membantu penghuninya menghadapi pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan. Antara peralatan asas yang diperlukan dalam sesebuah bilik darjah ialah papan putih, papan kenyataan, meja, kerusi, bahan bacaan, bahan bantu mengajar, dan sebagainya. Ia perlu disusun dan diletakkan dengan baik untuk memberikan keselesaan, keceriaan, dan kekemasan bilik darjah.
Selain itu, peraturan bilik darjah yang berpandukan pekeliling dan peraturan sekolah dapat membantu mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang selesa dan mesra. Walaubagaimana pun, guru perlu memastikan agar ia bersesuaian dengan pelbagai budaya murid-muridnya.
Pengurusan sosio-emosi juga adalah penting bagi merangsang dan mengekalkan minat murid untuk terus kekal bermotivasi bagi menghadapi pembelajaran. Guru perlu mempunyai pengetahuan untuk menguruskan emosi murid dengan berkesan agar mereka tidak berada dalam situasi yang membimbangkan semasa berada di dalam kelas.

Kepelbagaian budaya yang wujud dalam kalangan murid perlu disesuaikan dengan situasi pembelajaran. Murid perlu mengetahui dan menghormati agama dan adat etnik murid yang lain. Persefahaman antara murid yang terdiri daripada kelompok etnik yang berbeza dapat mengelakkan perkara-perkara negatif seperti pertentangan.

Saturday, September 7, 2013

Happy Birthday!!!

Hai. Assalamualaikum.

Alhamdulillah pada 2 september lepas dah genap umur ku 23 tahun. Alhamdulillah. Allah masih memberi kesempatan hingga ke usia ini untuk menyedut udara di bumi ini.

Pada usia begini tiada apa yang aku ingin kan melainkan masa untuk Allah, keluarga, pelajaran dan kawan - kawan. Jodoh?? insya Allah.. Hanya Allah yang tahu. Aku masih belum tahu... haha..

Dan sekarang aku masih berpraktikum di Sk Jln Semenyih 1, Kajang dari bulan puasa hari tu sampai tengah bulan ni. Tahun depan dah last year.. Wahh tkutnyer nak wat kajian tindakan.. Aku nak lulus dengan cemerlangnya. pastu nak dpt posting cepat2 . Aminn.. hehe..

Alhamdulillah pada mlm 2 sept lepas dapat kejutan dari kawan2 serumah dan semalam dari family lak.. Thank u so much!!





Friday, July 26, 2013

Piawaian untuk mengenali seseorang

Saidina Umar semasa cuba menyingkapi keperibadian seseorang, beliau sudah meletakkan piawaian tertentu. Beliau tidak mudah tertipu melihat postur dan penampilan seseorang. Beliau meletakkan kayu ukur tertentu bagi menilai agama dan akhlak seseorang itu. Ketika datang seorang lelaki yang memberikan kesaksian untuk seseorang, Umar bertanya kepadanya:
            
            Umar               : Adakah kamu mengenal orang ini?
            Sahabat           : Ya.
Umar               :Adakah kamu berjiran dengannya dan mengetahui saat dia keluar masuk?
            Sahabat           : Tidak.
Umar               :Adakah kamu pernah menemaninya dalam satu perjalanan (musafir) dan mengenal kemuliaan akhlaknya?
            Sahabat           :Tidak.
Umar               :Adakah kamu pernah berinteraksi dengannya yang melibatkan dinar dan  dirham (duit), sehingga kamu mengenal sifat hati-hatinya?
            Sahabat           :Tidak.
Umar               :Mungkin kamu pernah melihatnya berdiri dan duduk solat di masjid, mengangkat kepalanya pada suatu ketika dan menundukkannya pada saat yang lain?
            Sahabat           :Ya.
            Umar               :Pergilah. Sungguh kamu tidak mengenalnya.



 
Images by Freepik