Pages

Sunday, August 15, 2010

Draft agsiment K.Sosial Pra Pismp sem 1 2009

Geomorfologi merupakan kajian saintifik mengenai bentuk mukabumi dan juga perubahan-perubahan daratan. Geomorfologi, asalnya daripada bahasa Yunani, yang bermaksud 'Kajian Bentuk Bumi'. Proses fizikal, kimia, dan biologi ialah merupakan proses geomorfologi yang bertanggungjawab membentuk, memperkembang, dan mengubah bentuk muka bumi atau pandang darat fizikal sama ada secara meluas atau mikro.
Kajian tentang geomorfologi ini merangkumi subbidang seperti geomorfologi tropika. Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap melibatkan proses luluhawa kimia, pergerakan jisim, dan hakisan berkaitan ombak dan sungai.
Terdapat tiga jenis luluhawa iaitu luluhawa kimia, luluhawa fizikal, dan luluhawa biologikal.Di kawasan tropika lembap terjadinya luluhawa dalaman yang juga dikenali sebagai luluhawa kimia. Luluhawa kimia merujuk kepada proses penguraian dan pereputan batuan secara perlahan-lahan akibat tindak balas kimia. Luluhawa ini juga turut berlaku di kawasan tanah pamah yang sederhana lembap dan kawasan batu kapur.
Luluhawa kimia atau luluhawa dalaman ini mempunyai enam proses utama, iaitu proses larutan,pengkarbonan,hidrolisis,pengoksidaan dan proses chelasi. Proses larutan berlaku ke atas mineral-mineral atau batuan yang mudah larut seperti garam batu, batu kapur, dan dolomit. Apabila air hujan yang turun menyentuh batu garam ia akan mudah dilarutkan. Proses larutan menyebabkan galian terlarut dan wujud dalam bentuk ion-ion supaya tindak balas kimia selanjutnya dapat berlaku dengan berkesan. Proses pelarutan menyingkirkan galian-galian yang mudah larut dan meninggalkan sisa-sisa pepejal seperti besi dan aluminium di dalam tanah dan ia menggalakkan pembentukan tanah laterit yang kaya dengan besi dan aluminium oksida. Pelarutan juga menyebabkan terhasilnya lubang-lubang di dalam tanah atau batuan yang dipanggil honeycomb.
Proses luluhawa kimia yang kedua ialah proses pengkarbonan. Pengkarbonan merupakan sebarang tindak balas antara asid lemah (asid karbonik) dengan kalsium karbonat (batu kapur). Pengaruh air hujan yang turun apabila bercampur dengan gas karbon dioksida dalam udara akan menghasilkan asid karbonik lemah. Persamaan tindak balas kimia adalah,
H2O (Air) + CO2 (Karbon dioksida) = H2CO3 (Asid karbonik)
Asid karbonik berupaya untuk menguraikan batuan apabila ia bertindak balas dengan kalsium karbonat (batu kapur) menghasilkan larutan kalsium bikarbonat atau kapur mati. Bahan yang terhasil ini adalah dalam bentuk cairan. Persamaan tindak balas kimianya ialah
H2CO3 (Asid karbonik) + CaCO3 (Kalsium Karbonat)=Ca (HCO3 )2 (Kalsium Bikarbonat)

Proses pengkarbonan bersama-sama dengan proses larutan sangat berkesan di kawasan batu kapur.
Seterusnya, proses luluhawa kimia yang ketiga ialah proses hidrolisis. Hidrolisis adalah proses tindak balas air dengan batuan. Proses ini berlaku apabila batuan menyerap air dan mengalami tindak balas kimia. Hidrolisis juga merupakan tindak balas antara ion hidrogen (H ) atau ion hidroksil (OH ) dengan ion mineral pembentuk batuan sehingga menyebabkan terhasil satu sebatian dan mineral yang berlainan. Tindak balas kimia ini boleh melemahkan batuan untuk menghasilkan regolit tanah. Ion hirogen atau ion hidroksil yang menjadi agen peluluh ini dibekalkan oleh air hujan. Biasanya, mineral pembentuk batuan yang tidak stabil mudah diuraikan menerusi proses ini untuk membentuk kaolinit (tanah liat). Ringkasan tindak balas hidrolisis bagi menghasilkan tanah liat ialah, Orthoclase Feldsfar + Asid Karbonik + Air = Kalsium Karbonat + Kaolin (Tanah liat) + Kuartza.Proses ini menyebabkan felspar dan mika direputkan dan bertukar menjadi tanah liat putih atau kaolin yang lembut. Apabila bahagian tanah liat ini terhakis ia akan mendedahkan bahagian dalam yang diluluhawakan sehingga seluruh struktur batuan granit terluluh dan terurai. Mineral kuartza dalam batuan granit akan tertinggal sebagai batu tongkol atau butiran pasir kerana ia sukar direputkan.
Proses luluhawa kimia yang keempat ialah proses penghidratan.Proses penghidratan ialah sebarang penambahan air kepada mineral batuan sehingga menyebabkan mineral tersebut mengalami tegasan dam mengembangan. Antara contoh yang dapat diberikan ialah besi oksida (ferum oksida) menyerap air menjadi besi hidroksida (ferum hidroksida). Contoh terbaik penglibatan proses ini ialah dalam kejadian limonit daripada hematit. Persamaan kimianya ialah,
2FeO2 + 3H2O (Hematit merah) = 2FeO2.3H2O (Limonit kuning).
Proses luluhawa kimia yang kelima ialah pengoksidaan. Proses pengoksidaan ini merupakan segala perubahan akibat tindak balas kimia melalui tindakan oksigen dari udara atau air dengan mineral-mineral dalam batuan terutama unsur-unsur besi. Ia juga merupakan tindak balas antara oksigen dengan kandungan mineral batuan yang menyebabkan mineral tersebut teroksida. Contohnya ialah,
4Fe (Ferum) + 3O2 (Oksigen) = 2Fe2O3 (Ferum Oksida) . Besi yang teroksida menjadi besi oksida.Proses pengoksidaan ini dapat melemahkan struktur batuan sehingga penguraian batuan berlaku. Batuan yang mengandungi besi lebih mudah mengalami pengoksidaan. Antaranya ialah besi sulfida (pirit), magnetik (ferus oksida), mika dan hornblend (feromagnresium silikat).
Proses chelasi merupakan proses yang terakhir dalam luluhawa dalaman. Chelasi ialah proses pembendungan satu ion antara agen-agen chelasi yang dikeluarkan oleh tumbuhan dengan ion mineral dalam batuan seperti ion ferum. Pembendungan telah menyebabkan batuan mengalami tegasan dan mengembang. Agen-agen chelasi boleh dikeluarkan oleh tumbuhan yang hidup di permukaan batuan seperti lumut dan kulampair. Semasa menyerap makanan dan zat galian menerusi akar higroskopiknya tumbuhan tersebut akan mengeluarkan asid chelasi. Asid ini berupaya bertindak balas dengan ion mineral batuan menyebabkan mineral tersebut mengalami penguraian.
Luluhawa biologi atau luluhawa organik berlaku akibat tindakan tumbuhan dan ia seringkali dominan di kawasan hutan tebal seperti di kawasan Hutan Hujan Tropika khususnya di kawasan Khatulistiwa. Luluhawa ini berlaku akibat tindakan tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan manusia sama ada secara fizikal atau kimia yang dapat memecah dan menguraikan batuan. Akar-akar pokok boleh menjalar ke dalam tanah dan memasuki rekahan batuan. Semasa pokok membesar, akarnya menembusi dan membesarkan rekahan baru pada batuan. Rekahan yang dimasuki oleh akar tumbuhan turut mempercepatkan proses kemasukan air untuk luluhawa kimia beroperasi jauh ke dalam tanah. Bakteria dan organisma bergantung kepada tumbuh-tumbuhan atau haiwan yang sedang reput. Tindakan bakteria ini akan menghasilkan asid organik atau asid humik. Asid ini apabila bercampur dengan air hujan boleh meresap ke dalam tanah dan berupaya bertindak balas secara kimia terhadap batuan induk sebagai luluhawa kimia. Tindak balas asid organik seperti asid chelasi dengan mineral batuan akan mempercepatkan lagi penguraian batuan berkenaan. Haiwan seperti arnab, tikus, dan ular pula memecahkan batuan dengan mengorek lubang-lubang di dalam tanah dan mendedahkan batuan kepada luluhawa. Najis, air kencing dan bangkai haiwan juga bertindak untuk mereputkan batuan. Kegiatan manusia juga boleh membantu mempercepatkan kadar luluhawa batuan. Aktiviti manusia seperti penebangan hutan, perlombongan, dan pertanian akan mendedahkan batuan kepada agen-agen luluhawa seperti sinaran matahari dan air hujan. Dengan itu batuan menjadi lebih cepat dipecah dan diuraikan. Bahan-bahan kimia seperti baja,racun serangga, sisa toksid, dan sebagainya hasil daripada aktiviti manusia ini akan terasid di dalam air hujan atau air tanih untuk bertindak balas dengan mineral batuan dan meluluhawakan batuan tersebut.
Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap yang lain pula ialah pergerakan jisim. Pergerakan jisim merupakan sebahagian daripada proses geomorfologi. Berlakunya daya tarikan graviti apabila proses gerakan jisim in imelibatkan pergerakan regolit dari atas cerun ke bahagian bawah. Gerakan jisim ini dianggap sebagai proses peralihan antara luluhawa dan pemendapan.Terdapat beberapa jenis pergerakan jisim iaitu jenis aliran lambat, aliran cepat, geluncuran, dan runtuhan.
Aliran lambat atau juga dikenali sebagai kesotan adalah melibatkan pergerakan tanah dan ketulan batuan secara perlahan-lahan dari bahagian atas cerun ke bahagian bawah cerun.Proses yang melibatkan aliran lambat ini ialah kesotan tanih, kesotan talus, kesotan batuan, kesotan batu glasier, dan gelangsaran tanah. Pergerakan regolit berlaku di atas permukaan cerun yang sangat landai. Antara faktor-faktor penting yang mempengaruhi proses aliran lambat ini ialah cerun yang landai, tidak terlalu curam, dan muka cerun tersebut tidak diliputi oleh tumbuh-tumbuhan yang tebal yang mungkin telah digondolkan oleh manusia.Hujan yang lebat juga telah menambahkan berat jisim (tanah) di atas cerun apabila ruang-ruang udaranya dipenuhi air. Ini menyebabkan cerun menjadi tidak stabil dan menambahkan kelicinan permukaan untuk memudahkan pergerakan regolit ke bawah cerun.
Aliran cepat pula melibatkan pergerakan tanah, ketulan batuan dan lumpur dari atas cerun ke bahagian bawah cerun dengan kadar yang cepat. Proses aliran cepat ialah aliran tanah, aliran lumpur, dan puin salji runtuh. Di Malaysia, aliran lumpur lebih dikenali sebagai banjir lumpur. Banjir lumpur merupakan sejenis aliran yang membawa tanah liat, lumpur, kelodak dan lain-lain muatan terapung yang sudah ditinggalkan oleh manusia menuruni cerun-cerun yang lebih curam. Professor Ibrahim Komoo,seorang pakar geologi dari UKM mengatakan bahawa kejadian banjir lumpur berlaku disebabkan hujan lebat luar biasa, faktor geologi, dan faktor topografi. Topografi merujuk kepada permukaan cerun. Aktiviti manusia seperti pembalakan telah meniggalkan banyak batang kayu, dahan, ranting dan sampah sarap yang akan terkumpul membentuk empangan sementara pada awal hujan. Empangan ini boleh menakung air dengan cepat dan akhirnya pecah apabila takat tepunya diatasi oleh curahan hujan yang lebat dan kemudian merempuh kawasan sekitar.
Maksud geluncuran ialah pergerakan tanah-tanih, regolit, dan bongkah batuan secara besar-besaran di cerun-cerun yang curam dan hampir tegak. Antara proses yang terdapat dalam jenis geluncuran ini ialah robohan, geluncuran puin, dan geluncuran batuan. Robohan ialah sejenis geluncuran yang melibatkan pergerakan bongkah batuan di suatu cerun curam yang berbentuk cekung seperti cerun-cerun gunung atau bukit. Pergerakan ini berlaku apabila lapisan batuan yang lebih berat terletak di atas lapisan-lapisan batuan yang lebih lembut seperti batu syal dan tanah liat. Lapisan batuan lembut akan runtuh akibat bebanan batuan berat diatasnya dan mendorong lapisan batuan keras di atas turut bergerak menuruni cerun. Geluncuran puin pula melibatkan pergerakan serpihan batuan di suatu cerun curam. Biasanya pergerakan ini mengangkut regolit yang kurang padat dan lebih kering. Geluncuran batuan pula melibatkan pergerakan bongkah batuan secara besar-besaran di cerun yang curam dan hampir tegak.
Jenis gerakan jisim yang keempat ialah runtuhan. Runtuhan merupakan pergerakan regolit yang berlaku di cerun-cerun yang sangat curam. Fenomena runtuhan yang paling popular di kawasan tropika lembap ialah kejadian tanah runtuh, runtuhan batu, dan juga runtuhan tebing.Hujan yang turun juga selalunya akan memasuki lapisan tanah atau struktur batuan yang akan menghasilkan tekanan hidrostatik. Akibat curahan hujan yang lebat, berat jisim sesuatu cerun akan bertambah hasil daripada proses susupan dan larut resap. Ini akan menyebabkan terjadinya runtuhan secara besar-besaran. Aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti pemotongan susuh bukit, penebangan hutan, dan penarahan lereng-lereng bukit untuk melakukan aktiviti pembangunan juga menjadi salah satu faktor berlakunya kejadian tanah runtuh.
Proses pembentukan landskap di kawasan tropika lembap yang seterusnya ialah hakisan. Hakisan ialah proses melarut atau mengorek dan mengeluarkan batuan dari tempat asalnya. Hakisan sungai melibatkan pembawaan keluar batuan dan mineral dari tempat asalnya di tebing dan dasar sungai. Ini dilakukan dengan empat cara iaitu yang pertama ialah tindakan hidraulik. Tindakan ini merupakan tindakan air sungai yang merempuh tebing dan dasar sungai. Hempasan air sungai akan mengorek dan mengeluarkan bahan-bahan yang longgar seperti pasir, kerikil, dan kelodak. Yang kedua ialah geseran. Geseran bermaksud hakisan yang berlaku akibat perlanggaran antara beban sungai dalam air seperti pasir, kelodak dan sebagainya. Bahan-bahan ini akan dibawa oleh sungai dan akan menggeser tebing sungai dan bergolek di dasar sungai. Yang ketiga ialah lagaan. Bahan yang dibawa oleh air sungai akan berlaga-laga antara satu sama lain lalu pecah menjadi halus. Seterusnya ialah larutan. Larutan ialah tindakan kimia dan tindakan air yang menyebabkan batuan hancur dan larut dalam air.
Hakisan sungai dapat dijeniskan kepada hakisan menegak dan hakisan mendatar. Hakisan menegak ialah hakisan ke bawah di dasar sungai yang banyak berlaku di kawasan pergunungan. Hakisan mendatar pula ialah hakisan ketepi di tebing sungai. Hakisan jenis ini banyak berlaku di kawasan daratan.
Ombak juga melakukan hakisan melalui empat cara iaitu yang pertama ialah tindakan hiraulik. Tindakan ini berlaku apabila ombak mendampar dan memukul cenuram serta rekahan batuan di bahagian pinggir laut menyebabkan udara terperangkap dan menjadi mampat. Apabila ombak berundur, udara yang termampat akan dilepaskan dengan serta-merta. Akhirnya batuan akan pecah dan roboh. Hakisan yang kedua ialah lagaan. Tindakan ini berlaku apabila bahan-bahan dalam ombak berlaga antara satu sama lain dan pecah menjadi pasir halus. Hakisan ombak yang ketiga ialah kikisan dan lelasan. Tindakan ini berlaku apabila bahan-bahan dalam ombak terhentam pada dinding cenuram. Hakisan yang seterusnya ialah larutan. Larutan berlaku secara tindakan kimia apabila air laut melarutkan batuan di pinggir laut. Contohnya batu kapur akan dibawa bersama oleh ombak semasa basuhan balik berlaku.
Proses pembentukan landskap di Tropika lembap menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi. Proses pengkarbonan telah melebarkan dan mendalamkan rekahan-rekahan di kawasan batu kapur. Ia dinamakan graik dan bongkah-bongkah yang tertinggal dinamakan klint. Proses pengkarbonan juga telah membentuk gua di kawasan batu kapur. Gua terbentuk kerana batu kapur dilarut dan dibawa keluar oleh air hujan. Stalaktit, stalagmit, dan tiang batu kapur pula terbentuk di dalam gua akibat enapan semula batu kapur di bumbung dan lantai gua. Bumbung gua juga mungkin mempunyai lubang layang-layang atau lohong batu kapur.Anak sungai yang mengalir di permukaan kawasan akan memasuki lubang ini dan mengalir di bawah tanah sebagai sungai bawah tanah. Lurah asal yang kehilangan sungainya akan menjadi lurah kering. Kawasan batu kapur dikenal sebagai kawasan kars.(Rujuk rajah 1.1,1.2,dan 1.3 di lampiran).
Kejadian kesotan tanih menyebabkan berlakunya perubahan bentuk muka bumi. Pokok-pokok,tiang elektrik,tembok dan sebagainya akan tumbang dan menjadi condong dan retak. Kejadian runtuhan juga menyebabkan tanih runtuh dan mengubah pandangan permukaan tersebut. Aliran lumpur pula membentuk kipas aluvium di kaki cerun yang curam selepas aliran tersebut meneruni cerun dan lurah tertentu. (Rujuk rajah 2.1, dan 3.1 dilampiran).
Di peringkat hulu sungai, berlakunya hakisan menegak. Tindakan hakisan ini telah membentuk lurah 'V' yang sempit dan tebingnya curam.(Rujuk rajah 4.1 dilampiran). Lurah yang sempit dan curam dikenali sebagai gaung. Gaung yang besar dan dalam pula dikenali sebagai kanyon.
Jeram dan air terjun terbentuk apabila aliran air sungai dihalang oleh lapisan batuan yang keras.(Rujuk rajah 5.1 dan 5.2 dilampiran). Jeram terbentuk apabila air sungai mengalir melalui kawasan rintangan batuan keras dengan laju menuruni cerun yang amat curam. Air terjun pula terbentuk apabila hakisan air sungai terus mendalamkan dasar sungai sehingga air sungai menjunam secara menegak ke bawah.
Air sungai biasanya berpusar dan menyebabkan batu tongkol bergesel dan mengorek lekukan-lekukan di dasar sungai. Lekukan-lekukan ini dinamakan lubuk pusar.(Rujuk rajah 6.1 dilampiran). Susuh bukit berpanca pula terbentuk di kawasan pergunungan. Bentuk muka bumi terbentuk apabila sungai yang belum berupaya melakukan hakisan mendatar berliku-liku di antara susuh-susuh bukit yang bertentangan.(Rujuk rajah 7.1 dilampiran). Selain itu, likuan sungai juga terbentuk di dalam lurah dibahagian tengah sungai. Setiap liku mempunyai tebing cekung dan tebing cembung. Tebing cekung lebih dalam kerana berlaku pemendapan berbanding daripada tebing cembung.(Rujuk rajah 8.1 dan 8.2 dilampiran). Kelodak yang dimendapkan di kawasan yang luas kesan daripada banjir telah membentuk satu dataran banjir yang luas. Pemendapan yang berlaku di tebing sungai mewujudkan tetambak.(Rujuk rajah 9.1 dan 9.2 dilampiran). Bentuk muka bumi yang lain pula ialah liku terpenggal dan tasik ladam. Sungai mengalir secara berliku-liku di kawasan dataran di bahagian tengah sungai. Likuan menjadi jelas kerana hakisan berlaku di tebing cekung dan pemendapan berlaku di tebing cembung. Lama-kelamaan likuan sungai menjadi hampir bulat dan membentuk liku terpenggal. Aliran sungai memotong lehernya yang sempit dan mengalir terus. Bahagian likuan yang terpenggal dari aliran sungai asal akan membentuk tasik ladam.(Rujuk rajah 10.1 dilampiran). Kelodak yang termendap dengan banyak di muara sungai boleh membentuk satu kawasan tanih aluvium yang rendah,rata,dan luas. Bentuk fizikal inidinamakan delta. Sungai di kawasan delta biasanya bersirat.(Rujuk rajah 11.1 dilampiran).
Kesan daripada hakisan ombak telah mewujudkan bentuk muka bumi seperti teluk dan tanjung,cenuram dan teres hakisan ombak,gua laut dan gerbang laut,batu tunggal dan tunggul sisa,lohong ombak atau glop, dan anak teluk atau geo. Teluk terhasil kesan daripada batuan lembut yang terhakis. Tanjung pula merupakan batuan keras yang bertahan daripada hakisan di pinggir laut. Tanjung yang terdiri daripada tanah tinggi dikenali sebagai tanjung tinggi.(Rujuk rajah 12.1 dilampiran). Cenuram terbentuk pula hasil daripada hakisan ombak secara dasar cerun dan menjadikannya amat curam. Ombak mengundurkan cenuram ke belakang semasa ombak menghakis dasar tanah tinggi dan ini mewujudkan sebuah pelantar atau teres yang terhakis yang dikenali sebagai teres hakisan ombak.(Rujuk rajah 13.1 dilampiran). Teres luar pesisir ialah merupakan bahan yang terhakis yang terkumpul di hujung luar pentas hakisan ombak.
Lubang besar yang terbentuk di cenuram dan di tebing tanjung dinamakan gua laut. Apabila terdapat dua buah gua membelakangi satu sama lain dan bercantum maka terbentuklah gerbang laut.Apabila bumbung gerbang laut terhakis dan runtuh kaki gerbang laut yang tertinggal itu membentuk pula batu tunggul. Akhir sekali selepas bahagian atas batu tunggul terhakis, batuan yang tertinggal dikenali sebagai tunggul sisa.(Rujuk rajah 14.1 dilampiran). Sebuah lohong terbentuk dan tembus ke permukaan bumi di bahagian darat apabila hakisan ombak sering kali memukul bumbung gua dan memperbesarkan rekahan-rekahan yang terdapat di dalamnya. Lubang ini dikenali sebagai lohong ombak atau gloup. Anak teluk atau geo pula terhasil apabila hakisan yang berterusan yang menyebabkan bumbung gua runtuh.(Rujuk rajah 15.1 dan 15.2 dilampiran).
Kesimpulannya proses luluhawa banyak berlaku di kawasan Tropika lembap kerana kehadiran air yang banyak. Terdapat empat jenis gerakan jisim iaitu aliran lambat, aliran cepat, geluncuran, dan runtuhan. Sungai dan ombak melakukan tiga tindakan utama iaitu hakisan,pengangkutan,dan pemendapan. Hakisan sungai dilakukan dengan empat cara iaitu tindakan hidraulik,geseran,lagaan,dan larutan. Hakisan ombak pula melibatkan tindakan hidraulik,lagaan,kikisan atau lelasan,dan larutan. Hakisan tindakan air mengalir menghasilkan pelbagai bentuk muka bumi, termasuklah lurah V,air terjun,jeram,lubuk pusar,dan likuan sungai. Hakisan ombak pula menghasilkan teluk dan tanjung,cenuram,teres hakisan ombak,gua laut,gerbang laut,batu tunggul,tunggul sisa,lohong ombak atau gloup, dan anak teluk atau geo.

Draft agsmnt Gerko Tarian sem 1 2009

Di Negara kita, Malaysia terdapat banyak jenis tarian tradisional yang telah wujud sejak dahulu lagi. Setiap kaum di Negara kita seperti Melayu, Cina dan India mempunyai jenis tariannya yang tersendiri. Tarian ini juga merupakan warisan budaya dan kaum di Malaysia. Tarian kaum Melayu, Orang Asli serta beberapa suku kaum penduduk di Sabah dan Sarawak. Setelah sekian lama kaum Cina, India dan Portugis menetap di Malaysia, tarian-tarian tradisi negara asal mereka juga menjadi sebahagian daripada warisan dan budaya Malaysia.
Antara tarian yang terkenal di Malaysia ini ialah tarian Mak Yong Melayu. Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat DiRaja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diRaja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu

Tarian Kuda Kepang pula berasal dari negeri Johor . Diperkenalkan oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung. Kuda kepang ini biasanya dibuat dari anyaman yang dibentuk seperti seekor kuda tanpa kaki. Ia diperbuat daripada buluh yang dianyam atau kulit binatang yang diwarnakan untuk menjadi lebih menarik. Lazimnya terdapat 10 hingga 15 orang penari bagi setiap kumpulan penari kuda kepang yang biasanya akan mempunyai seorang ketua. Pada peringkat awalnya, semua gerak geri penari adalah atas arahan dayang yang menggunakan tali untuk mengawal permainan. Tarian ini biasanya dipertunjukkan di majlis-majlis keramaian untuk memeriahkan lagi suasana seperti sewaktu menyambut orang-orang kenamaan, meraikan majlis perkahwinan dan di hari-hari perayaan. Pada masa dahulu terdapat banyak pantang larang bagi mereka yang menonton persembahan kuda kepang seperti tidak mencaci penarinya atau akan menimpa musibah.

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah. Dikatakan bahawa tarian ini pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.


Selain itu, terdapat juga sejenis tarian yang dikenali tarian gamelan. Tarian klasik ini mula di kesan di empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17.Ia mula di persembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan Pahang dalam tahun 1811 dalam upacara persandingan Tengku Hussain, putera kepada Sultan Abdul Rahman yang memerintah Lingga, dengan Wan Esah yakni adik perempuan kepada Bendahara Ali dari Pahang. Ianya mula di perkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam iaitu seorang puteri di Pahang, mengahwini Tengku Sulaiman yakni putera kepada Tengku Zainal Abidin dari Terengganu.

Tarian Cik Siti Wau bulan mempunyai kaitan dengan permainan wau. Pada musim menuai di negeri-negeri sebelah Pantai Timur sering diadakan permainan seperti main gasing, main wau, rebana ubi, rebana kertuk, rebana kayu dan lain-lain lagi. Tarian ini dahulunya, mengisahkan tentang anak muda bermain-main wau di musim menuai. Kemeriahan tarian ini tergambar dalam gerak-geri penari-penari yang terdiri daripada anak muda lelaki dan perempuan.

Tarian Asyik pula merupakan sejenis tarian Melayu klasik dari daerah - daerah di Kelantan yang ditarikan di istana raja - raja Kelantan dan Patani.Asyik itu maknanya ialah kekasih, oleh itu tarian ini bersesuaian dengan gerak - geri bersifat lemah lembut dan penuh dengan ketertiban. Tarian asyik ini ditarikan dalam upacara perkahwinan, iaitu malam berinai dan malam berinai besar di Istana.Tarian Asyik mempunyai rentak perlahan dan gemalai, kerana ia ditarikan dihadapan raja dan permaisuri. Penari asalnya dalam pakaian berkemban, dengan tali pinggang dan mahkota kecil.Bahagian utama tarian Asyik terdiri ini adalah dari duduk bersimpuh dengan gerakan membayangkan haiwan dan persekitarannya. Sesetengah pergerakan menyerupai tarian pementasan Mak Yong. Tarian Asyik biasanya ditarikan oleh inang remaja di istana.

Tarian Ulik Mayang pula berasal dari Negeri Terengganu. Dalam kesenian tarian Melayu, tarian ini mempunyai unsur-unsur pemujaan. Ulik Mayang ditarikan oleh 10 hingga 15 orang penari. Dahulu Ulik Mayang dimainkan sewaktu musim puja pantai. Ianya sebagai persembahan kepada penunggu laut supaya tidak mengganggu nelayan. Terlebih dahulu mayang pinang dipuja serta digoncang-goncang atas bekas kemenyan. Kemudian mayang pinang tadi akan berpindah tangan dari seorang ke seorang. Kemuncak tarian ini apabila penari yang memegang mayang tidak sedarkan diri.

Sabah juga tidak ketinggalan dengan kepelbagaian tariannya yang merangkumi tarian ritual dan moden. Sabah juga kaya dengan tarian tradisional. Contohnya tarian sumazau. Ia merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Biasanya Sumazau ditarikan semasa menyambut hari keramaian dan di majlis jamuan





Selain itu, seni tari India turut memaparkan gaya persembahan yang tersendiri yang menggabungkan elemen-elemen klasik, kemanusian dan kepercayaan mereka. Tarian Bharata Natyam merupakan salah satunya tarian india. Tarian ini adalah berasal daripada wilayah Tamil Naidu di bahagian Selatan India. Secara tradisionalnya, tarian ini di persembahkan secara solo oleh seorang penari wanita.Suatu persembahan yang lengkap dalam tarian ini merangkumi enam peringkat di kenali sebagai Alarippu, Jatiswaram, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat ini menggabungkan elemen Nritta atau tarian tulen dan Nritya ( Tarian Ekspressi ).Nritta merangkumi tiga elemen, posisi berdiri yang asas,pergerakan tangan dan kaki dan juga seni pergerakan tangan.Tempoh masa adalah berdasarkan rentak yang mempunyai kadar yang sama di kenali sebagai Jatis.Muzik bagi tarian ini adalah berdasarkan kepada nada yang penting ataupun ragas seperti Bhairavi, Kalyani dan Kambodhi.
Yang kedua ialah tarian Bhangra . Bhangra merupakan suatu bentuk tarian yang mana ianya untuk meraikan penglibatan dan kejayaan dalam tuaian yang baik dan berasal daripada wilayah Punjab di India.Tarian ini lebih memaparkan komuniti Sikh di Malaysia. Penari bagi tarian ini yang biasanya terdiri daripada kalangan lelaki dan wanita akan mengenakan pakaian yang pelbagai serta berwarna cerah. Lagu yang di gunakan untuk tarian ini adalah gabungan lagu asli dengan di iringi instumen tradisional seperti tholl ( drum ), harmonika, tamborin dan klapper muzik.Kepopularitian Bhangra d Malaysia adalah berdasarkan ianya seringkali di persembahkan pada majlis seperti perkahwinan, harijadi dan perayaan kekeluargaan yang lain.
Masyarakat Cina juga mempunyai tarian tradisional mereka yang tersendiri. Antaranya ialah tarian Singa Cina, tarian Bunga Cina, dan tarian Payung.
Tarian Singa merupakan sejenis tarian yang sangat popular di kebanyakan negeri di Malaysia.Kebanyakan penarinya adalah daripada golongan muda kerana tarian ini amat memerlukan banyak tenaga dan kekuatan. Peralatan yang paling penting sekali bagi tarian ini datangnya daripada sebuah singa buatan. Ianya juga di hiaskan dengan kain yang berwarna keemasan untuk menunjukkan kegemilangan haiwan ini yang di rujukkan sebagai raja segala haiwan. Para penari biasanya akan cuba untuk menimbulkan suasana persekitaran yang meriah dengan bantuan bunyi yang kaya kesan daripada pukulan " gendang ", "canang" dan "simbal".Bunyi yang terhasil akan menggalakkan penari untuk menjadikan tarian mereka lebih bertenaga dan penuh bersemangat memandangkan singa tersebut akan menari dengan mengikut irama bunyi tersebut.

Tarian Bunga Cina pula merupakan suatu tarian yang di persembahkan sebagai merayakan keamanan dan kegembiraan di dunia ini. Tarian ini menggambarkan perasaan memberi dan mengasihi.Terdapat juga unsur memikat dari segi perasaan dan harmoni dalam pergerakan yang terdapat pada tarian ini

Tarian Payung merupakan tarian rakyat yang sangat popular pada Dinasti Han di China.Tarian ini di katakan berasal daripada sebuah daerah di China yang mana terkenal dengan pembuatan payungnya. Tarian Payung ini mempunyai tarikan seninya tersendiri.Gaya dan semangat yang di persembahkan di Malaysia adalah menyerupai persembahan yang sebenar di negara China.Ianya biasanya di persembahkan di kampung-kampung. Penarinya menggunakan kostum yang di pakai di Dinasti Han.Muzik iringan bagi persembahan ini biasanya berentak irama bebas yang berterusan.

Monday, August 2, 2010

Bakal kekeringan akaun bank..

hAI sume..
Apa khabar..
HUhu..saya rasa bulan ini saya bakal akan kekeringan wang ringgit..
Ini kerana banyak nampaknya saya perlu blanjakan..
Bulan ni Pengajian sosial buat projek kat FRIM.. ok soal byrn dah settle bulan lepas..
Lepas tu, kena byr untuk PJ permainan,..mm maybe untuk mkn n adiah n perbelanjaan yg sewaktu dengannya..
Kemudian, saya juga kena keluarkan duit untuk bayaran T-shirt persatuan, tp yang ni saya x kisah sgt sbb kali ini adalah baju t-shirt muslimah, hope cantek n sesuai dgn saya.. >_<.. Lepas tu plak, saya kena byr untuk kem budak2 junior mggu ni.. Sebagai AJK kena byr lebih ckit dariapa peserta..huhu.. mm.. x pe2la.. Lepas tu kena bayar apa lagi ek.. haaa..kena mula simpan duit dlm rm90 lebih untuk camping pas raya ti.. huhu..-_-.. haa..byran duit asrama blum lagi, HELWI pun blum.. ketua aras x kutip lagi, so aku pun x byr la lagi.. huu.. tp x pe, aku fhm sbb budak2 junior ni elaun x masuk lagi, so kesian la ckit,.. hu akk2 yg dh de elaun ni pun, elaun bulan ni lum masuk lg.. tunggu 5hb ti..lau x aku dah tegur dah ketua aras aku minta kutip...hihi. Apa lagi ek,..hmmm... brg2 aku pun byk dh habes, nak beli syampu, pen2, paper, mknn..huu.. nak bayar bill maxis lagi.. mmmm...nak beli tudung baru lagi .. >_<.. (penting ke Nida?.. Nida kte: hmm pennting gak la, sbb tdung skng ni dh cam x sesuai n x be selesa dh nak pkai.. so kira penting gak la,..)
huuu...ade ke lagi?.. mm ni je la kut yg aku sempat ingat.. so bila ditotalkan hmm mgkn byk gak ni jumlahnya..
wowoowowo... de spe2 nk tolong support saya?!..hehehe... Guwau jerk.. Aku harap akaun bank aku x kekeringan dan mampu menyara hidup ku lagi..hehehhe.. :)
 
Images by Freepik